Isnin, 11 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tiga sifu mencari bintang

Posted:

Tiga sifu mencari bintang

Tiga sifu mencari bintang

FAIZAL ISMAIL, Sabri Yunus dan Raja Azura antara sifu yang terpilih untuk membimbing para peserta Bintang Mencari Bintang.


KETIKA ini sudah banyak rancangan realiti televisyen yang dianjurkan oleh stesen televisyen tempatan bertujuan mencungkil bakat terpendam orang ramai sama ada dalam bidang lakonan atau nyanyian.

Terbaharu menyaksikan sebuah rancangan yang diberi nama iaitu Bintang Mencari Bintang terbitan TV3, program yang memerlukan para peserta berkebolehan membuat komedi dan menyanyi.

Rancangan yang dianjurkan buat julung-julung kalinya itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri apabila para peserta bakal dibimbing oleh setiap individu yang sememangnya mempunyai nama besar dalam dunia hiburan.

Antara yang terpilih seperti Sabri Yunus, Raja Azura, Faizal Ismail, Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik serta kumpulan Senario dan mereka ini digelar sifu. Setiap sifu pula akan diberi tanggungjawab melatih dua orang peserta.

Salah seorang sifu iaitu Sabri berkata, dia sendiri meluahkan rasa gembiranya apabila dipilih menyertai rancangan Bintang Mencari Bintang dan menyifatkan rancangan berkenaan mampu melahirkan lebih ramai penghibur.

"Pada mulanya saya pernah menolak apabila ditawarkan menjadi sifu dalam rancangan ini. Bukan tidak berminat untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan, sebaliknya ia disebabkan faktor masa memandangkan jadual agak padat.

"Kemudian apabila pihak TV3 menyatakan mereka bersetuju untuk ikut jadual kerja saya, barulah persetujuan saya berikan kepada mereka kerana merasakan rancangan ini memang menarik," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran rancangan tersebut baru-baru ini.

Diberi tanggungjawab untuk membimbing dua peserta iaitu kumpulan Titan dan Bog Too, Sabri menyatakan, antara matlamat utamanya adalah mahu melahirkan seorang penghibur yang bijak.

Menurutnya, bakat komedi yang dimiliki sekadar merangkumi 20 peratus dan selebihnya bergantung kepada minat, kreativiti dan kebijaksanaan seseorang individu itu.

"Sebelum ini saya sudah beberapa kali terlibat dalam pelbagai rancangan pencarian bakat. Jadi, untuk rancangan ini saya membuat sedikit kelainan dalam pemilihan peserta.

"Sebagai contohnya, saya telah memilih beberapa individu yang semasa uji bakat dan membentuk mereka dalam satu kumpulan. Kemudian saya biarkan mereka untuk berbual apa sahaja topik dan barulah pemilihan dilakukan menerusi pemerhatian yang saya buat," jelasnya.

Mengenai pemilihan Azizul Ammar Abu Hassan dan Fazlisham Mat Hussin (Titan) dan Nor Alif Mohd. Mokhtar dan Mohamad Shafiq Raside (Bog Too) sebagai peserta bimbingannya, Sabri menyatakan kedua-dua kumpulan itu memiliki kekuatan tersendiri.

"Saya yakin bakat yang mereka ada mampu digilap dan dibentuk lagi. Cuma saya agak risau tidak mampu memberi sepenuh komitmen membimbing mereka dan mungkin saya dapat bertemu mereka selepas pukul 12 tengah malam kerana jadual saya yang padat.

"Bagaimanapun, saya harap ia tidak menjadi satu halangan buat mereka untuk tampil dengan persembahan yang terbaik. Saya akan mencurahkan segala ilmu dan pengalaman yang dimiliki agar dapat melahirkan penghibur yang berkualiti," ujarnya.

Berkenaan persembahan nyanyian pula, Sabri secara terus terang menyatakan dia memang tidak berkebolehan untuk menyanyi. Namun begitu, ia tidak akan mengambil mudah mengenai perkara itu.

"Apa yang saya tahu markah yang diberi lebih kepada sketsa komedi berbanding nyanyian, tetapi saya mahu persembahan kedua-dua peserta saya seimbang. Jadi, saya mungkin akan meminta pertolongan rakan yang boleh menyanyi untuk membantu saya memantau mereka," ujarnya.


MUHAMMAD SUFIAN (empat dari kanan) dan Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan TV9, Sherina Nordin (kanan) bergambar bersama barisan sifu program Bintang Mencari Bintang.


Pelawak wanita

Merupakan satu-satunya sifu wanita, Raja Azura menggalas tugasan besar membimbing kumpulan Kelawak yang dianggotai Syed Atiq Wan Long dan Muhd. Maaruf Zamani Lim serta Awok yang menampilkan satu-satunya peserta wanita iaitu Filzah Azmi dan Nurul Ain Othman.

Raja Azura atau lebih popular dengan panggilan Kak Engku memberitahu, dia sebenarnya mempunyai matlamat tersendiri apabila terbabit dalam rancangan Bintang Mencari Bintang ini.

"Selama ini kita dapat lihat tidak ramai wanita yang berminat menjadi pelawak, sedangkan ia merupakan bidang yang mampu mendatangkan pendapatan lumayan.

"Menerusi rancangan ini saya memang merancang untuk memilih sebuah kumpulan wanita yang akan bersaing dengan peserta lain. Biarpun menjadi satu-satunya peserta wanita, saya tetap yakin Awok sedia mengharungi setiap cabaran yang bakal dilalui," ujarnya.

Jelas Kak Engku, memandangkan dunia komedi tempatan kurang penyertaan golongan wanita dan didominasi oleh lelaki, Kak Engku berhasrat mahu melahirkan pelawak wanita yang hebat dan mampu bersaing dengan pelawak sedia ada.

Menurutnya, semasa sesi uji bakat berlangsung sebelum ini Filzah dan Nurul Ain masing-masing datang berpasangan bersama peserta lelaki, lalu dia membuat keputusan memecahkan pasangan tersebut dan menggandingkan mereka berdua.

"Walaupun matlamat saya mahu melahirkan pelawak wanita yang berjaya, ia tidak bermakna saya mengabaikan kumpulan Kelawak. Saya akan membimbing kedua-duanya secara sama rata dan mahu melihat mereka mara ke peringkat yang lebih jauh," ujarnya.

SABRI (kiri) gembira manakala Faizal terkejut apabila diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai sifu program Bintang Mencari Bintang.


Terkejut

Seorang lagi sifu yang terpilih iaitu Faizal Ismail pula mengakui dia sebenarnya terkejut apabila dipilih oleh pihak TV3 untuk menyertai rancangan Bintang Mencari Bintang.

Pada peringkat awal dia sendiri agak hairan memandangkan dia lebih dikenali sebagai seorang penyampai radio dan bukanlah seorang pelawak atau pelakon komedi.

"Sebenarnya pembabitan saya ini sebagai pengganti kepada seorang pelawak lain yang tidak jadi menyertai rancangan ini, tetapi saya tetap tertanya-tanya apa yang menyebabkan saya mendapat tawaran ini.

"Apabila saya bertanyakan perkara ini kepada pihak TV3, mereka menyatakan terdapat unsur-unsur komedi dalam diri saya. Akhirnya saya bersetuju dengan tawaran ini untuk mencabar kebolehan diri sendiri," ujarnya.

Dalam rancangan tersebut, Faizal selaku sifu diberi tugasan untuk membimbing dua peserta iaitu kumpulan Tapaw yang dianggotai Khairul Faiz Sulaiman dan Mohd. Shahrizal Sulaiman serta peserta solo iaitu Wan Azrul Azizan (Ajo).

Selain kumpulan Titan, Bog Too, Kelawak, Awok, Tapaw dan Ajo, lain-lain peserta yang turut bersaing seperti Bowl dan Bocik (Afdlin Shauki), Achey dan XOXO (Harun Salim Bachik) serta Gegau dan Tocai (Senario) untuk merebut hadiah wang tunai RM200,000.

Ana Raffali pilih 800 peminat istimewa

Posted:

Ana Raffali pilih 800 peminat istimewa

Ana Raffali pilih 800 peminat istimewa

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

ANA RAFFALI kini sudah muncul dengan single terbaharunya, Jauh ke Syurga.


JUARA Anugerah Juara Lagu pada tahun 2010, Ana Raffali, 28, dilihat menyepikan diri setelah membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama seorang jurugambar bebas, Ahmad Aznaim Abdullah awal tahun lalu.

Bagaimanapun, penyanyi merangkap komposer dan penulis lirik itu sebenarnya mengakui, dia bukan sengaja mahu memencilkan diri daripada dunia seni tapi lebih mengutamakan kerja produksi lagu belakang tabir selain sedang merancang pembikinan album terbaharunya.

Penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku tersebut ditemui pada majlis pelancaran album Asmidar, Kali Pertama di Black Box, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini mendapatkan kepastian lanjut.

Kosmo!: Ke manakah menghilangnya Ana Raffali yang sebelum ini pernah meraih populariti sekitar dua tahun lalu?

ANA RAFFALI: Saya kini melatih diri untuk menjadi seorang penerbit bagi album saya yang akan datang. Sekarang saya sendiri berpeluang dan bertanggungjawab sepenuhnya sepanjang pembikinan muzik, lagu dan album saya. Saya boleh memilih bunyi yang bagaimana saya mahukan dan saya suka melakukan kerja-kerja ini. Selain itu, saya memfokuskan kehidupan bersama suami dan keluarga saya.

Adakah Ana merajuk dengan industri?

Jauh sekali tidak. Malah, saya sentiasa memikirkan cara untuk kembali mencuri tumpuan peminat, sepanjang saya menjadi isteri orang pun saya tidak putus-putus diajukan pertanyaan sedemikian dan hadiah saya untuk peminat adalah lagu saya. Alhamdulillah pada 24 Januari lalu saya telah melancarkan single terbaharu saya berjudul Jauh ke Syurga dan sedang sibuk mempromosikan single itu.

Bagaimanakah sambutan peminat terhadap single itu kerana difahamkan lagu itu juga lebih bersifat Islamik?

Alhamdulillah dua hari selepas single itu dilancarkan, ia sudah mendapat lebih 65,000 hit di laman YouTube. Saya terharu dengan sambutan yang diterima. malah sebagai penghargaan, saya telah memilih 800 orang peminat bertuah untuk menerima lagu itu yang saya kirimkan melalui e-mel.

Saya seorang penulis lagu yang ingin berkongsi cerita dan lagu itu merupakan satu doa kepada isteri dengan harapan jodoh yang dipertemukan akan berkekalan sampai ke syurga. Kalau disebut dan dinyanyikan banyak kali akan menjadi satu doa.

Bagaimanakah kehidupan peribadi Ana bersama Aznaim?

Kami bahagia dan gembira. Sekarang, fokus saya adalah keluarga dan saya bersyukur kerana sentiasa ditemani oleh suami apabila berdepan waktu-waktu yang susah. Sekurang-kurangnya saya mendapat inspirasi yang positif walaupun dia hanya tidur di samping saya ketika saya sedang sibuk menyiapkan lagu. Kalau soal anak, kami tidak merancang kerana Allah mengetahui jalan hidup kita, saya berserah dan menantikan yang terbaik.

Kosmo! difahamkan Ana turut terlibat menyumbangkan sebuah lagu kepada Asmidar untuk dimuatkan dalam album terbaharunya, boleh Ana jelaskan lebih lanjut mengenai kolaborasi itu?

Lagu berjudul Sepasang Sudu dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh saya. Asmidar memiliki suara dan nada yang unik serta sesuai dengan lagu itu. Lagu Sepasang Sudu menceritakan situasi ketika minum petang dengan seorang teman baik tapi masing-masing menyimpan perasaan suka dalam hati namun malu-malu untuk diluahkan. Lagu ini ditulis sejak tahun 2008 dan mujurlah saya tidak merakamkan lagu ini untuk saya kerana sekarang ia sudah berjumpa dengan pemilik sebenarnya.

Produksi sensitif Ida Nerina

Posted:

Produksi sensitif Ida Nerina

Produksi sensitif Ida Nerina

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


IDA NERINA kini muncul dengan produksi arahannya, She.


TIDAK dinafikan sudah beberapa tahun, umum sudah tidak melihat atau mendengar sebarang perkembangan daripada pelakon yang berbakat besar, Ida Nerina.

Setelah lama menyepikan diri daripada sebarang aktiviti seni, Ida kini tampil dengan sebuah projek filem pendek sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac pada setiap tahun.

Apa yang menarik, projek tersebut bukan menghasilkan hanya sebuah filem, sebaliknya sebanyak 15 buah filem pendek dihasilkan membabitkan 15 pengarah berlainan yang terdiri daripada barisan aktres ternama Malaysia.

Mereka termasuklah Datin Sofia Jane yang pertama kali mengarah, Sharifah Amani, Vanidah Imran, Elaine Daly, Fauziah Nawi, Dira Abu Zahar, Melissa Saila dan Susan Lancanster.

"Ia merupakan sebuah projek menggabungkan 15 wanita hebat yang mengekspresikan cerita mereka melalui karya filem pendek.

"Projek yang diberi nama Ikal Mayang ini adalah untuk memberitahu kepada masyarakat supaya menghentikan stereotaip terhadap kaum wanita dan membuktikan kami bukan kaum yang lemah.

"Dengan kewujudan projek ini, kami berharap masyarakat akan melihat wanita juga mampu mencapai cita-cita mereka dan kami bukan merupakan kaum yang lemah," ujar salah seorang penerbit eksekutif Ikal Mayang, Low Ngai Yuen pada sidang akhbar dan pratonton lima buah filem pendek di GSC, Pavillion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Ida kelihatan ceria dan tidak lagi menggunakan kerusi roda seperti tahun lalu selepas mengalami kemalangan jatuh tangga di kediamannya pada tahun 2009.

Namun pada majlis sidang akhbar tersebut, pelakon filem Selubung dan Layar Lara itu bagaimanapun menolak untuk ditemu bual tentang perkembangan kisah peribadinya yang terkini.

Cuma selaku pengarah kreatif projek produksi tersebut, Ida sebaliknya hanya bercakap tentang Ikal Mayang. Dia menjelaskan, apa yang ingin disampaikan melalui projek tersebut adalah tentang realiti kaum wanita yang jarang dipaparkan di kaca TV mahupun medium lain.

Malah jelasnya, daripada 15 buah karya yang dihasilkan, lima filem pendek yang dipertontonkan kepada media pada hari tersebut diklasifikasikan sebagai sensitif. Ia termasuklah karya hasil arahannya yang berjudul, She.

"Memang lima buah filem pendek yang kami tayangkan ini, mungkin agak sukar untuk ditayangkan dan mempunyai kemungkinan besar ia akan disunting.

"Bagaimanapun, jika disunting bahagian tertentu, maka mesej yang ingin diceritakan tidak dapat disampaikan dengan baik. Jadi, lebih baik ia tidak ditayangkan di TV," jelasnya.

Ida memberitahu, She merupakan filem terakhir dihasilkan daripada kesemua 15 buah karya tersebut.

"She berkisar tentang karakter manusia yang jarang disentuh oleh pembikin filem. Ini kerana, menjadi kebiasaan bagi saya untuk memerhati gerak geri atau perincian karakter manusia.

"Ia merupakan sebuah filem yang menggabungkan kesemua lima belas karakter. Ini kerana, She dalam filem ini ialah seorang penulis. Jadi dia banyak memerhati keadaan sekelilingnya untuk dijadikan sumber untuk karyanya," jelas Ida tentang filem pendek yang dihasilkannya itu.

Tambahnya, jika diberi peluang, berkemungkinan mereka ingin menjadikan Ikal Mayang ini sebagai projek tahunan setiap kali menjelang Hari Wanita Sedunia.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved