Isnin, 11 Februari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tidak malu kerana kerja mulia

Posted:

Tidak malu kerana kerja mulia

Tidak malu kerana kerja mulia

SELEPAS lebih 15 tahun bergelar pekerja am Alam Flora, Latiff menyaksikan pelbagai ragam manusia termasuk membantu menggagalkan satu kes rompakan beberapa tahun lalu.


KETIKA ramai yang sedang nyenyak dan dibuai mimpi namun lain pula bagi Latiff Jaafar. Lelaki berusia 55 tahun itu bangun dari tidur seawal pukul 3 pagi untuk bersiap ke tempat kerja.

Dengan menyarungkan baju Alam Flora, seluar slek hitam, memakai topi dan kasut, dia memulakan perjalanan dari kediamannya di sebuah pangsapuri di Bangsar, Kuala Lumpur ke tempat kerja dengan menaiki basikal.

Kayuhan menuju ke Lorong Maarof, Bangsar selama 25 minit sudah biasa buatnya.

Sebaik tiba di pejabat Alam Flora cawangan Bangsar, cerita anak jati Muar, Johor itu lagi, perkara pertama yang dilakukannya ialah mendaftar masuk melalui alat perakam waktu sebelum pukul 4.30 pagi.

Dia kemudiannya mengayuh basikal itu semula menuju ke Jalan Telawi yang hanya mengambil masa lima minit untuk memulakan kerja-kerja pembersihan.

Sebelum itu, dia mengambil peralatan pembersihan seperti penyapu dan penyodok yang disimpan di sebuah kedai makan lalu menuju sekitar kawasan premis hiburan malam kerana pada kebiasaannya, kawasan parkir di situ dipenuhi sampah.

Seterusnya, Latiff membersihkan pula kawasan di sekitar tapak parkir di hadapan sebuah pusat gimnasium memandangkan pengunjung pusat itu akan tiba seawal pukul 7 pagi.

Jika tidak dilakukan segera, ia akan menimbulkan kesukaran untuk membersihkan sampah dari bawah kereta.

Tugasnya belum selesai. Latiff lazimnya akan berhenti berehat selama 20 minit sebelum memulakan kerja di zon lain sehingga pukul 11.30 pagi.

Latiff memberitahu, dia bekerja pada setiap hari kecuali mempunyai kes kecemasan. Begitulah rutin hariannya sejak 15 tahun yang lalu.

Bagi pekerja am Alam Flora itu, dia memahami bahawa tugasnya bukan untuk masuk ke pejabat berhawa dingin atau berpakaian kemeja dengan imej korporat.

'Pejabatnya' ialah di jalanan dan tempat awam. Begitupun, dia tidak pernah merungut dengan jadual kerjanya kerana menyedari menguruskan soal kebersihan itu sebagai tuntutan fardu kifayah.


WALAUPUN bergelumang dengan sampah serta kekotoran, tetapi wajah-wajah inilah yang sentiasa memastikan ibu kota sentiasa bersih dan cantik.


Pengalaman kerja

Berbicara lanjut mengenai kerjaya yang diceburinya sejak berusia 24 tahun itu, Latiff memberitahu bahawa dia pernah berkhidmat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama 15 tahun sebelum berpindah tugas ke Alam Flora pada tahun 1999.

Sebelum itu, Latiff pernah melakukan pelbagai kerja termasuk di kilang, berniaga dan pembantu kedai.

"Ketika memulakan tugas di DBKL dulu, saudara saya memberitahu jika saya tidak malu bekerja sebagai penyapu sampah, saya boleh mendapat pekerjaan itu dengan segera," ujarnya.

Mengimbas kembali pengalaman itu, bapa kepada tiga orang anak itu memberitahu, dia sekali lagi diduga sewaktu sesi temu duga sama ada dia benar-benar bersedia untuk berkecimpung dalam bidang kerja yang tidak diminati ramai itu.

Penemuduga turut mempersoalkan sama ada dia sanggup menyahut cabaran jika ditempatkan di kawasan tumpuan orang ramai untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Jawapan saya ketika itu, saya tidak kisah dan sanggup bekerja di mana-mana sahaja. Lagipun, saya sedar kerana tidak mempunyai kemahiran lain dan tidak berpelajaran tinggi," ungkapnya yang menamatkan pendidikan sehingga tingkatan tiga sahaja.

Justeru, anak kedua daripada enam adik-beradik itu hanya mampu menguatkan semangat dan mengikis perasaan malu yang ada dalam diri semata-mata mahu mencari rezeki halal.

Walaupun bagi sesetengah pihak, kerja itu dilihat kotor tetapi Latiff tidak pernah mempedulikannya asalkan tidak menyusahkan orang lain.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana mampu menggunakan tulang empat keratnya untuk meraih pendapatan tanpa menyalahi undang-undang.

Walau bagaimanapun, dia mengakui, sewaktu kali pertama kali menyapu sampah sememangnya timbul perasaan malu kerana orang yang lalu-lalang melihatnya.

"Ketika itu, saya muda. Jadi memang berasa segan sedikit. Namun, mujur saya seorang yang sabar, tabah dan tidak mengambil peduli dengan tanggapan orang ramai. Saya kini masih berkhidmat pada usia separuh abad.

"Biarpun segelintir orang memandang rendah pekerjaan ini, saya tidak peduli asalkan pendapatan yang diperoleh mampu menyara keluarga dan membesar serta menyekolahkan anak-anak," ungkapnya.

Enggan bekerjasama

Dalam pada itu, sepanjang sesi temu bual diadakan bersama Latiff, warga emas itu kelihatan tegas dan tidak putus-putus memberi nasihat kepada pemilik dan penyewa bangunan rumah kedai serta pekerja restoran agar tidak melonggok sampah di merata-rata tempat.

Selama tiga jam bersama Latiff, tinjauan mendapati segelintir pihak sesuka hati melonggok sampah di pangkal pokok dan kaki lima.

Ketika ditanya kepada Latiff, dia memberitahu itulah sikap kebanyakan individu yang bergantung kepada pekerja Alam Flora untuk mengutip longgokan sampah.

"Mereka tidak menggunakan penyodok sampah sebaliknya melonggok sampah dan menunggu kami membersihkan longgokan itu.

"Apa salahnya mereka kaut semua sampah itu dan masukkan ke dalam tong sampah? Memanglah tidak salah tetapi mereka melepaskan semua tanggungjawab pembersihan kepada kami," keluhnya sambil menyifatkan hal itu sepatutnya tanggungjawab bersama.

Warga emas yang pernah memenangi anugerah perkhidmatan sebanyak lima kali itu memberitahu, sikap masyarakat dahulu lebih baik berbanding sekarang.

Menurutnya, hari ini dia memerhatikan ramai orang yang gemar membuang sampah di merata-rata tempat.

Jika dahulu, dia jarang melihat longkang yang tersumbat dengan minyak pejal atau lemak, sebaliknya hanya terdapat plastik atau sisa makanan. Keadaan hari ini berbeza hinggakan pekerja pembersih terpaksa menggunakan water jet untuk memecahkan sisa makanan yang telah menjadi beku.

Jika hal tersebut tidak segera diatasi, ia boleh mengakibatkan sistem perparitan dan pembetungan tersumbat.

Namun, kesemua sampah sarap itu dibersihkan dengan sabar oleh kumpulan petugas Alam Flora kerana itulah tuntutan tugas mereka.

Jenayah pagi

Menyentuh mengenai cabaran dalam bidang itu, Latiff mengakui tiada sebarang masalah cuma berhadapan dengan risiko bahaya ketika menjalankan tugas pada awal pagi.

Sepanjang tempoh bekerja terutama pada awal pagi, dia telah menyaksikan pelbagai kejadian yang membabitkan kes kebakaran, ugut dan rompakan.

Menurutnya, dia pernah melihat sekumpulan lelaki yang bergaduh kerana seorang lelaki yang mabuk membuang air di kaki lima.

Berikutan itu, lelaki mabuk berkenaan dipukul sampai mati namun dia tidak berani meleraikan pergaduhan tersebut kerana khuatir menjadi mangsa. Dia sebaliknya hanya mendapatkan bantuan pihak polis.


ANANDAN menguruskan peralatan water jet untuk menyedut sampah dan lemak beku yang terkumpul dalam longkang.


Selain kejadian itu, dia juga pernah menyelamatkan seorang wanita yang diugut dan dirompak.

"Seingat saya, kejadian ini berlaku beberapa tahun yang lalu yang membabitkan seorang wanita yang diugut sekumpulan samseng.

"Ketika itu, saya memberanikan diri untuk menyelamatkan wanita tersebut dengan menggunakan penyodok dan penyapu," katanya sambil menyifatkan banyak kejadian yang berlaku pada awal pagi lantas membuatkan dia sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

Selain Latiff, S. Anandan, 50, yang telah berkecimpung dalam bidang itu juga menyuarakan perkara yang sama.

Dia yang mempunyai empat orang anak mengakui, walaupun terpaksa bergelumang dengan sampah sarap dan bau busuk, ia tidak menjadi masalah untuknya asalkan dapat mencari rezeki yang baik.

Anandan yang bertugas dalam menguruskan kelengkapan water jet mengakui ia bukan satu tugas yang mudah.

Cerita anak jati Kuala Lumpur itu, kerja-kerja tersebut menuntut kesabaran, ketelitian dan komitmen yang tinggi.

Biarpun peralatan tersebut satu teknologi terkini yang mampu membersihkan longkang yang tertutup dengan berkesan namun terdapat risiko bahaya.

"Bayangkan, kumpulan lemak yang beku dalam longkang boleh dipecahkan dengan mudah, namun pengendalian jetter perlu dilakukan dengan berjaga-jaga kerana pancutan air tersebut yang kuat boleh menyebabkan maut jika terkena manusia," katanya sambil memberitahu telah menjalani kursus khas untuk mempelajari cara-cara mengawal peralatan tersebut selama tiga bulan.

Tambah Anandan, dalam menjalani tugasnya itu, dia juga berhadapan dengan risiko sakit belakang kerana sering mengangkat penutup longkang yang berat.

Sebelum kerja-kerja pembersihan dalam longkang tersumbat yang teruk dilakukan, kami terpaksa mengangkat kesemua penutup longkang untuk memudahkan kerja-kerja pecahan minyak yang beku.

"Ia sangat berat sehingga membuatkan rasa sakit di bahagian belakang terutamanya pinggang. Saya juga bukannya muda lagi," katanya berseloroh.

Ekonomi rapuh gugat Korea Selatan

Posted:

Ekonomi rapuh gugat Korea Selatan

Ekonomi rapuh gugat Korea Selatan


PAKAR analisis ekonomi memberitahu, Korea Selatan masih dalam fasa pertumbuhan kadar perlahan. - Gambar hiasan


LEE SANG-KUK bekerja sebagai penghantar daging pada waktu siang manakala pada sebelah malamnya dia menjadi pemandu kepada ahli perniagaan yang sering pulang dalam keadaan mabuk.

Walaupun mempunyai dua pekerjaan, dirinya dan jutaan lagi rakyat Korea Selatan masih terjerat dengan hutang yang meningkat saban tahun.

Situasi yang dihadapi Sang-kuk adalah sesuatu yang normal di Korea Selatan. Di negara itu, jumlah keseluruhan pinjaman perumahan adalah sebanyak 937.5 trilion won (RM2.6 trilion ) pada September tahun lepas, iaitu melebihi 70 peratus kadar GDP tahun 2011.

Selepas berhenti kerja di sebuah syarikat media pada tahun 2000, Sang-kuk membuat pinjaman bank untuk membuka restoran dan meletakkan rumahnya sebagai cagaran. Sayangnya, perniagaan itu hanya bertahan selama dua tahun hingga memaksa Sang-kuk memohon status muflis.

Bagi melangsaikan hutang bank, Lee menjual rumahnya tetapi membuat pinjaman dengan faedah tinggi daripada peminjam persendirian untuk kegunaan pembelajaran anak-anaknya.

"Sejak itu, hidup saya mula berkecamuk," ujarnya yang pernah mencuba untuk membunuh diri.

Menurutnya, semua pembayaran yang diperoleh digunakan untuk membayar hutang.

"Gaji isteri saya yang bekerja sebagai pembantu rumah untuk menampung keperluan seharian," luahnya.

Krisis teruk

Hutang pinjaman perumahan yang tinggi terjadi sejak berlakunya krisis ekonomi 1997. Peristiwa itu membuatkan bank-bank tempatan menjadikan pelanggan untuk pertumbuhan aset.

Peningkatan dalam pinjaman gadai didorong faedah yang rendah dan kepercayaan bahawa hartanah adalah sesuatu yang menguntungkan.

"Walaupun kadar isi rumah di Amerika Syarikat adalah sederhana, terutamanya selepas krisis gadai janji subprima, permintaan pinjaman gadai janji meningkat di sini atas kenaikan harga hartanah," ujar Penganalisis Institut Penyelidikan Ekonomi Hyundai, Lee Jun-hyup.

"Ia tidak mengancam sistem bank, tetapi ia secara terang-terangan menjejaskan permintaan pengguna tempatan," ujar Jun-hyup.

Selepas ekonomi meningkat tujuh peratus setiap tahun sejak berakhirnya Perang Korea pada tahun 1953, Korea Selatan telah memasuki fasa pertumbuhan dalam kadar perlahan.

Pasaran hartanah yang jatuh menjunam ditambah dengan kelembapan ekonomi menyebabkan ramai penduduk kehilangan pekerjaan. Ia menutup sumber pendapatan keluarga yang bergelut untuk terus bertahan.

Kerajaan telah menganggarkan enam juta berdepan dengan risiko tersebut iaitu lebih 10 peratus daripada populasi penduduk Korea Selatan.

Masalah semakin runcing buat mereka yang mempunyai anak kerana perlu membayar pendidikan tambahan sebagai prasyarat kemasukan ke kolej berikutan persaingan yang sengit.

Menurut seorang profesor di Universiti Korea, Lee Phil-sang, hutang isi rumah merosot disebabkan peningkatan beban hutang golongan yang bekerja sendiri. Ia merangkumi hampir satu pertiga daripada tenaga kerja.

Pada masa yang sama, terdapat peningkatan statistik dalam golongan keluarga berpendapatan rendah yang meminjam untuk kegunaan harian.

Bayaran balik

"Pinjaman perumahan ibarat penyakit kanser dalam tubuh kita. Jika dibiarkan, ia bakal mengheret sama ekonomi kerana pembayaran balik pinjaman akan bertambah buruk semasa tekanan ekonomi," ujar Sang-kuk.

Hari ini, ramai lagi penduduk pertengahan umur Korea Selatan yang diberhentikan kerja. Mereka mengeluarkan pinjaman persendirian dan membuat gadai janji untuk memulakan perniagaan.

Namun demikian, kebanyakan bank perdagangan hanya memihak peniaga berpendapatan tinggi. Mereka menolak peminjam miskin dan ada yang mengenakan kadar faedah yang tinggi.

Sang-kuk merupakan antara tiga juta penduduk yang telah disenaraihitamkan oleh bank atau tidak memperoleh pinjaman tambahan kerana penarafan gaji kredit yang rendah.

Sebagai sebahagian daripada janji pilihan raya untuk meningkatkan perbelanjaan kebajikan sosial, bakal Presiden, Park Geun-Hye mencadangkan 18 trilion won (RM510 bilion) dana awam untuk membantu golongan berpendapatan rendah mengurangkan hutang.

Parti pembangkang dan beberapa pakar berpendapat dana tersebut adalah sangat sedikit untuk menutup jurang polisi dan menggesa Geun-Hye untuk mencari penyelesaian jangka masa panjang. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved