Isnin, 14 Januari 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Tiga tahun Infiniti di pasaran

Posted:

Tiga tahun Infiniti di pasaran

Tiga tahun Infiniti di pasaran

Oleh ALIF ABU BAKAR

YANG Dipertua Kelab Kebajikan dan Sosial Tun Teja Malaysia, Datin Norhashima Darus (kanan) menerima cenderamata daripada Zulkarnain Zakaria.


CERITA berkisar sains dan alam semesta menjadi tarikan utama kepada Mohd. Firdaus Norezan, 30, untuk menjadi pembaca setia majalah Infiniti. Sejak setahun yang lalu, Pengurus kepada agensi pelancongan Elaf Al-Massa itu melaburkan RM3.80 setiap bulan bagi mendapatkan majalah berkonsep sains ilusi realiti itu.

Saat pertama kali menemui majalah itu di kedai, Firdaus tertarik dengan kandungannya yang penuh ilmu bermanfaat. Kisah berkenaan pembentukan ketamadunan menerusi teori sains menjadi antara hamparan artikel yang paling diingati Firdaus sehingga kini.

"Jika boleh, saya mahu saiz majalah ini diperbesarkan kerana tidak puas melihat gambar-gambar menarik yang dipaparkan dalam majalah ini," saran Firdaus ketika ditemui pada majlis ulang tahun Infiniti yang ketiga di Pusat Boling Ampang Superbowl, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Hal yang sama turut diutarakan oleh seorang lagi pembaca setia Infiniti, Norizan Mohd. Nor, 40, yang merasakan saiz majalah itu sekarang tidak memenuhi kepuasan bacaan orang ramai.

Minat awal Norizan terhadap majalah 130 muka surat itu terbentuk sejak ia mula menjengah pasaran tiga tahun yang dulu. Sehingga kini, dia memastikan agar setiap keluaran Infiniti dibeli, bukan sahaja untuk bacaan peribadinya malah menjadi rujukan ilmu seisi keluarga.

"Anak lelaki sulung saya berumur 16 tahun sangat menggemari Infiniti kerana kandungannya penuh cerita sains dan maklumat menarik yang tidak diperoleh daripada buku-buku sekolah.

"Saya berharap agar majalah berkonsep sebegini diperbanyakkan lagi di Malaysia kerana ia membekalkan pengetahuan tanpa sempadan kepada masyarakat, khususnya golongan remaja," ujar Norizan yang hadir pada majlis itu bersama anak-anak dan rakan-rakannya.

Penolong Pengarang Infiniti, Mohd. Zaidi Senapi menyatakan, sepanjang tiga tahun majalah itu berada di pasaran, ia telah mengalami evolusi dari segi persembahan kandungan.

Fiksyen sains

Pada awal penerbitan, ia banyak memaparkan kisah-kisah misteri yang kemudiannya diubah kepada bahan-bahan berbentuk fiksyen sains. Hari ini, Infiniti memfokuskan kepada realiti sains yang disampaikan menggunakan ayat-ayat mudah agar pengisiannya mudah difahami pembaca.

Jelas Zaidi lagi, kebanyakan bahan yang disajikan majalah tersebut diambil berdasarkan kisah-kisah menarik dari luar negara. Bagi memberikan nilai setempat supaya ia lebih dekat dengan pembaca, penerangan dan komentar yang disisipkan diperoleh daripada pakar-pakar dan penyelidik cabang sains, teknologi dan psikologi tempatan.

"Kekurangan cerita sains menarik di Malaysia membuatkan kita menggunakan cerita antarabangsa. Bagaimanapun, cerita yang dipilih perlu sahih dan kemudiannya disahkan pakar dalam bidang berkenaan agar cerita yang kami sajikan boleh dijadikan rujukan ilmu.

"Infiniti merupakan majalah akses seisi keluarga. Ia menggalakkan anak-anak muda berfikir tentang sains di luar kotak melalui penceritaan fakta yang menghiburkan," jelas Zaidi yang memberitahu masih belum ada perancangan bagi membesarkan saiz majalah itu kerana menurutnya saiz sekarang menepati konsep mobiliti yang mereka tekankan.

Sementara itu, sambutan ulang tahun ketiga majalah tersebut berjaya menarik kira-kira 250 orang yang terdiri daripada pembaca setia mereka dan barisan artis yang turut sama memeriahkan acara berkenaan.

Majlis tersebut diacarakan oleh Munir Phyne Ballerz dan turut disertai Shida, Lan A to Z, Fazli Zainal, Zoufi dan kumpulan GLP. Kesemua artis juga menyertai para pembaca dalam pertandingan boling.

Para pengunjung juga diberi peluang menyaksikan persembahan silap mata oleh Hafiz the Wizard dan persembahan muzikal sains oleh Pusat Sains Negara.

Acara tersebut mendapat kerjasama daripada penaja utama iaitu Kelab Kebajikan dan Sosial Tun Teja Malaysia, Elaf Al-Massa Travel & Tours dan Mai Beauty Spa.

Para penaja lain yang terlibat ialah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Adabi Consumer Marketing, Faiza Sdn.Bhd, aL-ikhsaN, Aman Iltizam Sdn. Bhd., Eye Vision Optometrist, Nur-Ain Optometrist, Hawa Resort, Redbox, Absec Malaysia Sdn. Bhd. dan So Sweet Coffee.

Ally kucing kacak

Posted:

Ally kucing kacak

Ally kucing kacak

Oleh NORAZLINA ISMAIL

BAGI peminat kucing, bukan menjadi satu pembaziran untuk berhabis wang setiap bulan semata-mata memastikan haiwan kesayangan mereka dapat dipelihara dengan baik dan sempurna.

Itulah gelagat 95 pemilik kucing yang menyertai Pertunjukan dan Pertandingan Kucing Cantik 2012 yang diadakan pada minggu terakhir Pesta Pulau Pinang penghujung Disember lalu.

Kehadiran puluhan ekor kucing pelbagai baka, sama ada yang berbulu panjang atau pendek dengan variasi warna turut memikat hati ribuan pengunjung terutamanya kanak-kanak yang memeriahkan Tapak Pesta Sungai Nibong.

Acara anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang dengan kerjasama Kelab Kucing Malaysia itu untuk merebut pelbagai gelaran dalam dua kategori iaitu kategori kucing berbulu pendek dan kucing berbulu panjang.

Lebih menarik, pertandingan tersebut juga berjaya memikat penyertaan peminat kucing dari beberapa negeri lain termasuk Perlis, Kedah, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Tuah berpihak kucing peliharaan Nazri Mohd. Feroz Khan, 31, menerusi kucingnya bernama Ally yang diumumkan sebagai Kucing Paling Kacak

Beliau yang merupakan kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) mengakui sangat sukakan kucing dan selalu menyertai pertandingan sedemikian bersama isterinya, Azlina Abdul Aziz, 31.

"Sejak kecil lagi saya memang sukakan kucing dan minat semakin mendalam apabila melihat kucing-kucing yang dipelihara mempunyai bulu dan warna yang menarik.

"Saya juga memelihara kucing sebagai penghibur kerana kami belum dikurniakan cahaya mata," ujarnya.

Katanya, beliau dan isteri membelanjakan RM400 setiap bulan untuk membeli makanan dan ubat-ubatan bagi 12 ekor kucing yang dipelihara.

Pengalaman pertama


MAZLAN (kanan) bersama rakannya, Azmanisham Abdul Rahim menunjukkan kucing mereka pada Pertunjukan dan Pertandingan Kucing Cantik 2012 di Tapak Pesta, Sungai Nibong.


Seorang lagi peserta Mazlan Chik Rus, 34, turut gembira dapat menyertai pertandingan itu buat julung-julung kalinya.

"Ini merupakan penyertaan pertama saya dalam pertandingan kucing cantik. Saya tentunya teruja apabila melihat kucing saya yang diberi nama Aira turut sama bersaing dengan puluhan kucing lain.

"Saya juga dapat banyak maklumat tentang penjagaan kucing daripada peserta lain yang berpengalaman dan pertandingan seperti ini menjadi platform kami bertukar-tukar pandangan," katanya.

Beliau yang mula jatuh cinta pada haiwan comel itu sejak setahun lalu kini memelihara tujuh ekor baka Parsi.

Kategori lain yang dipertandingkan pada hari itu termasuklah menghias sangkar kucing, pertunjukan fesyen dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

Kesemua pemenang menerima hadiah sebuah sangkar dan produk makanan kucing sumbangan Brit Care.

Selain itu, pelbagai aksesori kucing seperti baju, sangkar, barangan kesihatan dan alat permainan kucing turut dijual kepada orang ramai pada harga yang amat istimewa.


SEBAHAGIAN kucing yang dihias cantik, malah lengkap dengan aksesori seperti topi.


Dalam pada itu, seorang lagi pemilik kucing, Faridah Tahir, 51, suri rumah dari Alor Setar, Kedah berkata, beliau membawa 11 ekor kucing Parsi berbulu panjang untuk menyertai acara tersebut.

"Anak-anak juga sudah dewasa dan rumah akan sunyi apabila mereka semua keluar bekerja. Kucing-kucing ini menjadi peneman di rumah.

"Kucing juga dapat membantu meredakan tekanan kerana ia seolah-olah faham dengan keadaan emosi tuannya," katanya.

Tambah Faridah, sesiapa yang berminat memelihara kucing mesti rajin dan bersedia untuk melayan pelbagai kerenah haiwan itu.

Kucing Faridah yang diberi nama Baby juga berjaya memenangi gelaran Kucing Paling Menawan bagi kategori bulu panjang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved