Ahad, 6 Januari 2013

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Aneka makanan 1Malaysia

Posted:

Aneka makanan 1Malaysia

Aneka makanan 1Malaysia

Oleh NIZHA PERIASWAMY dan MAHFUZ MOHAMAD

SEKALI lagi, bangunan bersejarah Pasar Seni di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur menjadi hos kepada sebuah acara budaya, sinonim dengan kewujudan dan operasi bangunan itu sendiri.

Mengetengahkan aspek sejarah dan budaya dalam identiti sesuatu makanan, Pesta Makanan Penjaja yang diadakan buat julung-julung kalinya pada tahun ini tentu sekali disambut baik.

Berlokasi di Dataran Pasar Seni, iaitu kawasan lapang di hadapan pintu masuk utama bangunan tersebut, pesta yang diadakan sempena kempen Fabulous Food 1Malaysia 2012 itu telah berlangsung selama tiga hari bermula 14 Disember hingga 16 Disember lalu. Ia berjaya menarik tumpuan sasaran pengunjung yang kebanyakannya terdiri daripada pelancong luar negara.

Sekiranya pada hari-hari biasa, Pasar Seni menerima sekitar 10,000 pengunjung, untuk acara ini pusat kesenian itu berjaya menambah 2,000 lagi tetamu.


KEHADIRAN Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kanan) turut memeriahkan perjalanan pesta.


"Saya teruja melihat kepelbagaian makanan yang ditawarkan di sini. Walaupun tujuan mereka mengunjungi Pasar Seni untuk membeli-belah, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati juadah di pesta makanan ini," kata Irin Van Santen, 30, dari Belanda yang memilih murtabak ayam sebagai pengalas perut.

Dia yang suka memilih hidangan berasaskan roti turut menggemari masakan India khususnya roti canai, nan dan roti-roti lain bersama kari berempah.

Dalam pada itu, pesta anjuran Dewan Perhimpunan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Pasar Seni dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia itu adalah sebahagian daripada program Fabulous Food 1Malaysia 2012 yang turut diadakan di beberapa lokasi lain di sekitar Kuala Lumpur.

Antara makanan yang menghiasi pesta makanan dan berulang kali diuar-uarkan oleh pengacara program tersebut ialah yong tau foo, mi rebus dan rojak. Namun, ia hanyalah sebagai rujukan menu mengikut kaum.

Apabila dilawati, Dataran Pasar Seni yang mendirikan 30 gerai penjaja turut menawarkan variasi makanan lain antaranya mihun sup, pulut mangga dan durian, nasi campur, nasi beriani, popia, rojak buah, kerepek, kek serta buah-buahan.

Peluang menarik

Pengurus Kompleks Pasar Seni, Cheong Wai Mun berkata, pada majlis pelancaran berkata, pesta itu merupakan peluang yang cukup hebat bagi para pengunjung berkumpul dan mencuba aneka sajian budaya Malaysia di bawah satu bumbung.

Walaupun mengumpulkan makanan penjaja, ia adalah lambang sejati budaya Malaysia dan tetap menarik orang ramai untuk menikmati keenakan makanan tersebut.

Seorang penggerai yang datang dari jauh iaitu dari Teluk Pulai, Klang, Chong Yoke Foong, 42, berkata, dia teruja dengan orang ramai yang tidak putus-putus membeli minuman di gerainya.


NASIRAH menunjukkan hidangan pulut mangga dan pulut durian yang menjadi tumpuan orang ramai di gerainya.


"Saya seorang penjaja di pasar malam sekitar Klang dan Kuala Lumpur. Saya melihat penganjuran ini suatu usaha yang baik," katanya yang menjual 500 hingga 600 cawan minuman jus markisa dan longan sehari.

Di gerai minumannya, Yoke Foong turut menjual buah markisa gred A yang ditanam sendiri di kawasan tempat tinggalnya di Klang pada harga RM10 sekilogram.

Jualan seorang lagi penjaja, Nasirah Yusoff, 38, dari Kampung Baru memperkenalkan pulut durian dan pulut mangga turut mendapat sambutan menggalakkan.

Nasirah yang juga merupakan seorang peniaga baju di Pasar Seni tidak mahu melepaskan peluang apabila diberitahu mengenai acara tersebut.

"Saya sekadar mahu mencuba dan dapati permintaan untuk makanan di sini agak bagus," katanya yang menjual kira-kira 30 kilogram pulut sehari termasuk pulut mangga, pulut ayam dan kuih akok.

Selain rasanya yang enak, dia memilih untuk mengetengahkan sajian berasaskan pulut itu kerana hidangan tersebut tidak banyak dijual di Lembah Klang dan Kuala Lumpur.

'Saya juga ingin menarik tumpuan orang ramai khususnya pelancong asing untuk merasainya," ujarnya yang turut dibantu oleh suami dan anaknya di gerai tersebut.

Cuba menu durian

Seorang pengunjung yang berasal dari Perancis, Alexandre Beny, 21, mencuba makanan yang menggabungkan pulut, santan dan Raja Buah itu buat kali pertama.

"Bagi saya, hidangan tersebut unik kerana rasa durian yang pelik dan berlemak. Namun, ia serasi diganding dengan rasa santan dan pulut.

"Saya amat teruja untuk mencubanya kerana tidak pernah mengetahui tentang makanan seperti itu. Ia tidak boleh ditemui di negara saya dan saya pasti bercerita dan mengesyorkannya kepada rakan-rakan saya di tanah air," ujarnya yang sudah berada di Malaysia selama dua minggu.

Selain daripada aktiviti jualan makanan, terdapat bermacam-macam aktiviti menarik disediakan untuk hiburan para pengunjung seperti persembahan kebudayaan, pertandingan membuat karipap, pertandingan makan popia dan menebar roti canai.

Kebanyakan pengunjung yang ditemui juga berpuas hati dengan penganjuran festival berkenaan dan mencadangkan supaya ia diadakan dengan lebih kerap.


ANEKA pilihan makanan terdapat di Pesta Makanan Penjaja 2012 bertempat di Pasar Seni baru-baru ini.


Pihak Pasar Seni turut menawarkan kupon pembelian percuma pada hari pertama dan terakhir yang boleh ditebus dengan hanya menunjukkan dua keping keratan kepala akhbar tempatan.

Di samping itu, pihak Pasar Seni juga telah mengeluarkan lebih RM7,000 nilai kupon pembelian percuma buat pengunjung menikmati pelbagai makanan.

"Saya amat menyukai makanan Malaysia terutama sekali masakan ikan. Lazimnya, saya bermula dengan minuman teh dahulu," demikian kata seorang pelancong dari Oman, Fatima Al-Khkaduri, 24.

Amal Hayati Ali, 42, pula berkata festival seperti itu patut diadakan setiap hujung minggu dengan tema makanan yang berbeza-beza.

"Karnival seumpama ini sangat bagus sebab kita boleh merasa pelbagai makanan dari pelbagai bangsa yang tidak pernah kita makan sebelum ini.

"Saya cadangkan program seperti ini patut diadakan setiap hujung minggu dengan menampilkan makanan berbeza-beza supaya pengunjung dapat merasai kelainan makanan Malaysia," katanya.

Sedekad festival Urbanscapes

Posted:

Sedekad festival Urbanscapes

Sedekad festival Urbanscapes

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


IDEA kreatif pihak penganjur yang mengadakan persembahan kumpulan muzik indie di atas bumbung bas ternyata mengundang perhatian.


SEPERTI tahun-tahun lalu, festival Urbanscapes 2012 merupakan antara festival yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh golongan remaja.

Tidak hanya tertumpu kepada penganjuran konsert semata-mata, Urbanscapes dilihat sebagai salah satu festival terbesar Malaysia dengan menggabungkan pelbagai seni kreatif seperti muzik, fesyen dan rekaan visual.

Festival tersebut dianjurkan di Padang Astaka, Petaling Jaya pada penghujung tahun lalu dan ia merupakan ulang tahun yang ke-10 festival itu.

Walaupun keadaan padang yang lecak akibat hujan, ia langsung tidak menjejaskan perjalanan festival itu.

Menurut pengasas Urbanscapes, Adrian Yap, 37, festival pada tahun lalu dianjurkan pada skala yang besar dan tempoh penganjurannya juga dilanjut selama dua hari.

"Pada tahun sebelum ini, festival ini dianjurkan hanya sehari. Daripada maklum balas pengunjung tahun lalu, pihak kami telah melanjutkan tempoh penganjuran festival.

"Festival ini juga menemukan komuniti yang terlibat dalam aktiviti seni kreatif bebas (indie) dalam negara untuk bertemu dan bertukar idea sesama mereka," ujarnya ketika ditemui pada festival itu baru-baru ini.

Antara yang menjadi tumpuan pengunjung ialah persembahan kumpulan post-rock dari Iceland, Sigur Ros pada hari kedua festival itu.

Selain itu, artis terkemuka tempatan seperti Yuna, Love Me Butch, Monoloque, Salam Musik dan ratu jazz negara, Sheila Majid yang mengadakan persembahan di lima pentas berbeza iaitu The Decks, The Lab, Green Stage, The Next Stage dan pentas utama, Volkswagen Stage.

Seorang pengunjung dari Australia, Owen Morton, 25, memberitahu, kunjungannya ke Urbanscapes ialah untuk mengetahui serba sedikit mengenai industri muzik Malaysia.

"Saya sangat gembira kerana berpeluang menghadiri salah satu festival tahunan yang terbesar di Malaysia ini. Situasi yang saya dapat lihat di festival ini sama seperti festival besar di Australia iaitu Big Day Out, Falls Festival dan Groovin The Moo dan ia amat berprestij," ujarnya.

Penganjuran Urbanscapes 2012 dilihat lebih tersusun jika dibanding dengan tahun sebelumnya terutama daripada sudut penglibatan artis yang membuat persembahan dan juga gerai yang menjual barangan seni kreatif.

Ia juga merupakan salah satu kejayaan kerana berjaya menarik seramai 20,000 pengunjung sepanjang festival tersebut.

Mohd. Zailam Zakaria, 37, memberitahu, tujuannya hadir ke Urbanscapes ialah untuk melihat persembahan artis tempatan yang sedang menempa nama di arena antarabangsa, Yuna.


KOMUNITI 1 Drum memberi peluang kepada pengunjung untuk mengeksperimentasi bunyian menerusi alatan perkusi.


"Saya juga berminat dengan fesyen jalanan (streetwear). Gerai-gerai di sini juga menyediakan pelbagai jenis fesyen jalanan yang menepati selera remaja masa kini," ujarnya yang datang dari Johor Bahru untuk ke festival tersebut.

Pemilik-pemilik gerai yang terlibat dalam Urbanscapes bukan hanya menjual barangan keluaran mereka, malah mereka lebih teruja dapat bertemu pengunjung-pengunjung. Kesempatan itu digunakan untuk menawarkan pelbagai promosi harga dan buah tangan kepada mereka.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Khalisah Burhanuddin, 19, kunjungannya ke Urbanscapes 2012 untuk menyokong rakannya yang membuka salah sebuah gerai menjual pakaian dan aksesori fesyen di situ.

"Ini merupakan kali ketiga pengalaman saya ke Urbanscapes selepas tahun 2010 dan 2011. Berdasarkan pemerhatian saya, festival pada tahun 2012 lebih meriah dan pelbagai aktiviti seni yang melibatkan remaja diketengahkan," ujarnya.

Not muzik iringi langkah di tangga

Posted:

Not muzik iringi langkah di tangga

Not muzik iringi langkah di tangga

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


THE Grand Musical Staircase merupakan tarikan baharu di Berjaya Times Square.


MENJEJAKKAN kaki ke pusat beli-belah Berjaya Times Square yang terletak di Jalan Imbi, Kuala Lumpur pelbagai perkara sentiasa bermain di fikiran pengunjung.

Pilihan fesyen terkini, gajet, restoran dan permainan di Taman Tema Cosmo's World merupakan antara beberapa sebab pengunjung mahupun pelancong hadir ke pusat beli-belah ikonik ibu negara itu.

Sempena menyambut tahun 2013, Berjaya Times Square memperkenalkan daya tarikan baharu kepada pengunjung iaitu The Grand Musical Staircase.

The Grand Musical Staircase itu dibina dengan kos sebanyak RM1.5 juta dan ia mengambil masa selama 13 minggu untuk siap sepenuhnya.

Ia merupakan binaan istimewa dengan anak-anak tangga itu diwarnakan mengikut rupa kekunci piano. Tangga itu menghubungkan aras bawah (Ground) dengan aras bawah tanah (Lower Ground).

Lebih menarik, tangga yang mempunyai 30 anak tangga itu akan mengeluarkan bunyi kod piano yang mengiringi setiap langkah pengunjung.

Pengurus Kanan Pemasaran dan Promosi Berjaya Times Square, Tan Boon Leong memberitahu, objektif utama tangga tersebut dibina ialah untuk mengelakkan kesesakan pengunjung yang menggunakan eskalator di pusat beli-belah yang menyambut kunjungan 2.5 juta pengunjung pada setiap bulan itu.

"Berjaya Times Square merupakan pusat beli-belah pertama di Malaysia yang mempunyai tangga muzikal ini. Setiap anak tangga dilengkapi dengan sensor yang akan mengesan setiap langkah pengunjung yang menggunakan tangga tersebut.

"Alunan piano serta lampu fiber optik dan zen mampu menarik perhatian pengunjung untuk melalui The Grand Musical Staircase. Ia juga memberi keterujaan dan keseronokan kepada pengunjung yang menggunakan tangga itu," ujarnya.

Selain itu, bunyi seruling, perkusi dan hap juga akan menggantikan bunyi piano itu mengikut tempoh yang telah ditetapkan oleh pihak Berjaya Times Square.

Menurut seorang pengunjung, Lim Hui Mei, 16, dia amat kagum dengan teknologi yang digunakan dalam penghasilan tangga muzikal itu.

"Saya juga amat terpesona dengan panel cecair yang berwarna ungu yang terletak berdekatan dengan tangga tersebut. Apabila panel itu dipijak, cecair didalamnya akan bergerak dan akan mengikut bentuk kaki saya," cerita pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sea, Petaling Jaya itu.

Apabila berada di sekitar The Grand Musical Staircase, pengunjung juga dapat merasakan ilusi seperti berjalan di atas bintang dengan cahaya yang menerangi persekitarannya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd. Amirul Idham Zakaria, 19, memberitahu, dia pada mulanya terkejut apabila ada sesuatu bunyi yang mengiringi setiap langkahnya.

"Tangga ini sangat unik kerana mempunyai bunyi piano dan sinaran lampu. Ini merupakan kali pertama saya menggunakan kemudahan seperti ini," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved