Jumaat, 25 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Layanan istimewa untuk penganut agama Hindu

Posted:

Layanan istimewa untuk penganut agama Hindu

Layanan istimewa untuk penganut agama Hindu

Sejak 18 tahun lalu, sudah menjadi tradisi Pertubuhan Sri Agathiar Sanmarka Gurukulam Malaysia (SASGM) menghidangkan makanan secara percuma pada sambutan Thaipusam.

SELEPAS dimaklumkan bahawa makanan percuma yang disediakan pada hari Thaipusam merupakan sumbangan orang ramai, S.Kandasamy Suppiah, 57, yang tinggal di Sungai Tua, tidak jauh dari Batu Caves, segera menghubungi pihak penganjur untuk memberi sumbangan.

Sejak memberi sumbangan kira-kira 12 tahun lalu, Kandasamy tidak pernah melepaskan peluang mengunjungi pusat Pertubuhan Sri Agathiar Sanmarka Gurukulam Malaysia (SASGM) yang terletak di Kampung Laksamana, Batu Caves setiap tahun.

Bahan-bahan mentah seperti beras, bawang, kentang, minyak dan wang tunai antara barang yang disumbangkan Kandasamy. Sifat murah hati itu sudah sebati dengan jiwanya setiap kali perayaan Thaipusam disambut pada bulan Januari setiap tahun.

"Saya terharu dan berterima kasih dengan kewujudan sebuah pertubuhan yang bersedia menganjurkan acara pemberian makanan secara percuma kepada para penganut agama Hindu yang berlapar selepas upacara sembahyang.

"Program ini berjalan lancar sejak lebih sedekad lalu dan saya percaya ia mendapat restu daripada orang ramai yang memberi sumbangan di samping usaha ahli jawatankuasa SASGM," kata Kandasamy ketika ditemui selepas beliau menghantar beberapa kampit beras dan bahan-bahan mentah lain yang bernilai sekitar RM100.


PARA sukarelawan bekerjasama menyediakan makanan sehari sebelum acara.


Bak tuan rumah

Rata-rata penderma SASGM terdiri daripada orang awam kelas sederhana. Mereka tidak putus-putus memberi sumbangan sejak pertubuhan itu menganjurkan makanan percuma. Menurut beliau, selepas pertama kali menderma kepada SASGM, setiap tahun Kandasamy akan diingatkan untuk meneruskan usaha tersebut sama ada melalui risalah, telefon atau mesej ringkas oleh SASGM secara peribadi.

Mengalu-alukan kehadiran para penganut agama Hindu untuk makan tanpa sebarang bayaran, Pengerusi Pertubuhan SASGM, Panir Selvam, 50-an berkata, amalan yang diperkenalkan pertubuhan tersebut ialah seolah-olah mereka menjadi tuan rumah kepada para penganut yang datang dari serata Malaysia dan dunia.

"Sekiranya tetamu datang berkunjung ke rumah kita, tuan rumah lazimnya akan melayan tetamu dengan memberi makan minum. Itu yang kami lakukan," katanya memberi perumpamaan.

Pertubuhan yang beroperasi sejak tahun 1992 itu tertumpu kepada aktiviti keagamaan dan sosial. Idea untuk menyumbang makanan secara percuma itu bermula sejak tahun 1996. Tahun ini masuk kali ke-18 makanan percuma dijayakan SASGM.

Aktiviti seumpamanya bakal dikembangkan ke sebuah lagi kuil yang terkenal di Kuala Selangor.

"Kami menerima respons yang semakin baik dan memberangsangkan. Ini membuktikan keikhlasan dan komitmen orang awam," kata Selvam.

Menyasarkan sebanyak 100,000 hidangan, operasi agihan makanan dijadual berlangsung selama dua hari. Acara bermula pada 26 Januari dari pukul 7 pagi, manakala pada 27 Januari, agihan makan malam tamat sekitar pukul 10 malam.


SUKARELAWAN mengagih-agihkan makanan kepada orang awam.


Persediaan

Kerja-kerja penyediaan pula bermula sehari lebih awal iaitu pada 25 Januari.

Panir memberitahu, sejak beberapa tahun lalu, jumlah penganut yang mengambil makanan percuma semakin berkurangan. Faktor itu mungkin disebabkan perubahan lokasi dari pintu masuk utama. Kini, ia ditemepatkan berdekatan landasan kereta api.

Jika sebelum ini, SASGM menawarkan makanan siap dibungkus dalam bekas polistrine, strategi diubah kepada makanan dihidang di dalam pinggan beralas plastik.

"Perubahan lokasi mungkin kurang menggalakkan orang ramai berjalan masuk sehingga ke lokasi pemberian makanan percuma. Mereka juga perlu beratur menunggu giliran untuk makan di tempat yang disediakan," kata Panir.

Jelas beliau, perubahan lokasi tidak dapat dielakkan kerana ia melibatkan arahan pihak berkuasa tempatan untuk kerja-kerja penambah baik sekitar kawasan. Namun, Panir akui mereka mempunyai sebab kukuh untuk tidak menyediakan makanan yang siap dibungkus.

"Pada mulanya ramai yang melihat kaedah membungkus makanan lebih mudah. Tetapi apabila melihat kesannya, kami percaya para penderma pasti akan kecewa," katanya sambil mengarahkan salah seorang ahli jawatankuasa membawa rekod derma orang ramai.

M. Thilagavathy, 39, Timbalan Setiausaha Pertubuhan SASGM sambil membuka buku rekod derma memberitahu, dengan kaedah baharu ini mereka dapat mengurangkan pembaziran. Begitu juga dengan masalah sampah sarap apabila mempraktis layan diri berbanding membungkus makanan.

"Kita mempunyai ramai penderma, sebagai menghormati niat murni mereka, tidak manis makanan ini dibazirkan. Ia benar-benar bertentangan dengan polisi kami. Kami mengambil langkah ini setelah mempertimbangkan pengalaman mengendalikan aktiviti seumpamanya lebih sedekad lalu," kata Thilaga berhubung kaedah menghidang makanan seperti yang dilakukan pengusaha restoran daun pisang India.

Thilaga yang menyokong tindakan Pengerusi SASGM mendakwa, apabila makanan dibungkus, ada segelintir pihak mengambil kesempatan dengan mengambil lebih daripada yang diperlukan. Apabila berlebihan, mereka tanpa rasa bersalah membuang kotak-kotak polistrine yang berisi makanan merata-rata.

"Ini satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan menyakiti hati penderma. Jadi kami perlu mengubah strategi. Saya percaya, mereka yang benar-benar mahu makan, tidak kisah dengan perubahan ini. Apa yang penting, tiada pembaziran makanan," kata Thilaga.

Panir Selvam pula menambah, isu penggunaan polistrine yang membahayakan kesihatan dan alam sekitar turut diambil kira sebelum membuat keputusan.

"Jangan kerana satu niat yang baik, kita sanggup mengabaikan pelbagai perkara yang boleh membahayakan. Tidak berbaloi niat baik itu," katanya.

Sukarelawan SASGM termuda 8 tahun

Posted:

Sukarelawan SASGM termuda 8 tahun

Sukarelawan SASGM termuda 8 tahun


SUKARELAWAN tidak hanya terdiri daripada kaum India, bahkan kaum Cina turut serta.


TANPA tenaga sukarelawan, projek sumbangan makanan percuma anjuran SASGM mungkin tidak sampai kepada matlamatnya. SASGM melihat kedua-dua penderma dan sukarelawan faktor paling penting dalam menjayakan usaha tersebut.

"Jangan terkejut kerana ada kalangan sukarelawan terdiri daripada kanak-kanak semuda lima tahun di kaunter minuman atau bersama ibu bapanya di tempat memotong sayur-sayuran. Anak-anak ini belajar berkhidmat secara sukarela dan semangat itu sebati dalam diri mereka," kata akhli jawatankuasa SASGM, Sandilyan Priasamy, 37, dari Klang.

Sebagai seorang profesional dalam bidang perisian, Sandilyan terlibat dengan SASGM selaku sukarelawan sebelum menjadi sebahagian daripada ahli jawatankuasa.

"Sewaktu masih belajar, saya datang ke Batu Caves untuk membantu membersihkan sampah sarap. Itulah kerja sukarelawan pertama saya. Selepas mengenali SASGM, saya dapati ia menjadi platform yang baik untuk

SHERMEN


saya mengembangkan khidmat sukarela selain mempelajari hal-hal keagamaan," katanya yang menguruskan perjalanan program makanan percuma tahun ini.

Pernah terlibat dalam tugas membungkus makanan, memotong sayur dan kini menyelaras seluruh program, Sandilyan mengakui mempelajari banyak kemahiran menerusi penglibatannya itu.

Antaranya pengurusan program, masa, sumber manusia dan pemakanan itu sendiri.

Pada setiap malam hari Khamis, para sukarelawan berkumpul di pusat SASGM di Kampung Laksamana untuk memberi tugasan.

Turut ditemui pada perjumpaan mingguan itu ialah sepasang suami isteri yang sudah lebih lima tahun berkhidmat secara sukarela pada hari Thaipusam.

Hidup lebih baik

PERSEDIAAN menghidangkan makanan percuma dibuat sehari lebih awal.


Datang dari Sepang, Selangor, Saravanan Batumalai, 39, dan Thamaraiselvi Ramasamy, 35, pada peringkat awal hanyalah sebagai penderma tetapi kini mereka turut bertugas secara sukarela.

"Kami terlibat dalam kerja-kerja memotong sayur. Biasanya dua syif. Kami akan datang menaiki kereta api mengikut jadual tugas yang ditetapkan," kata Thamaraiselvi.

Saravanan mengakui, sejak terlibat dalam kerja-kerja sukarela, kualiti hidupnya bertambah baik, khususnya perniagaan yang diceburinya.

Sementara itu, Shermen Sebastian, 8, begitu teruja melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela setiap tahun. Pada peringkat awal, dia melakukan kerja-kerja mengagih makanan bersama bapanya.

Tahun ini masuk kali ketiga Shermen terlibat dengan program makanan percuma SASGM pada hari Thaipusam.

"Saya seronok bertugas sebagai sukarela pada hari Thaipusam di khemah makanan percuma SASGM. Selama ini saya hanya ikut bapa dan percaya ada banyak kebaikannya," ujarnya yang melibatkan diri sejak berumur 5 tahun.

SASGM turut menggembleng tenaga sukarelawan bertugas di kuil Sri Subramaniar Swamy Alayam, Batu 2, Kuala Selangor. Meletakan sasaran untuk memberi makanan percuma kepada kira-kira 30,000 penganut Hindu di kuil tersebut, SASGM berharap usaha mereka dapat dikembangkan ke kuil-kuil lain.

Di samping perancangan menambah program makanan percuma, Panir Selvam memberitahu, SASGM bercadang membeli sebuah bangunan bagi menempatkan warga emas, kanak-kanak kelainan upaya (OKU) dan menjadikannya pusat pembelajaran percuma. - NIZHA PERIASWAMY

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved