Khamis, 24 Januari 2013

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


6 bayi, 3 kanak-kanak diselamat

Posted:

6 bayi, 3 kanak-kanak diselamat

6 bayi, 3 kanak-kanak diselamat

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my

abdul RAHIM (dua dari kanan) menunjukkan gambar bayi yang diselamatkan serta surat kelahiran yang dirampas hasil operasi ke atas sindiket menjual bayi di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang melumpuhkan satu sindiket penjualan bayi terbesar di negara ini ekoran penahanan 33 individu sebelum berjaya menyelamatkan enam bayi dan tiga kanak-kanak yang sudah dijual kepada keluarga angkat masing-masing dalam beberapa serbuan bermula Disember tahun lalu sehingga kelmarin.

Ahli sindiket menjual bayi yang ditahan berusia antara 23 tahun dan 62 tahun dan ada antara mereka merupakan kakitangan awam di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta doktor di pusat perubatan swasta.

Enam bayi dan tiga kanak-kanak yang diselamatkan itu terdiri daripada tiga lelaki dan enam perempuan. Mereka pula dipercayai melibatkan tujuh warga Thailand dan masing-masing seorang rakyat tempatan dan seorang lagi warga Bangladesh.

Difahamkan, kesemua bayi dan kanak-kanak berkenaan dijual kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat pada harga RM18,000 hingga RM30,000 setiap seorang. Bayi yang dijual pada harga RM30,000 mempunyai sijil kelahiran, MyKid dan surat kesihatan.

Bagaimanapun, penetapan harga bayi juga boleh ditentukan mengikut rupa paras, warna kulit dan jantina bayi terbabit.

Kegiatan sindiket yang didalangi seorang wanita Cina tempatan berusia 50-an yang turut ditahan itu mendapat bekalan bayi untuk dijual dengan menyasarkan wanita Indonesia dan Thailand yang hamil anak luar nikah atau mengalami kesempitan wang.

Ibu yang mengandung dan bekerja di negara ini dikatakan sanggup menjual bayi masing-masing bagi mendapatkan wang.

Sindiket terbabit disyaki mendapatkan maklumat mengenai wanita hamil termasuk yang mahu menggugurkan kandungan daripada doktor di sebuah klinik swasta di sini.

Dalang dan doktor di klinik swasta itu akan bekerjasama dalam urusan pengumpulan maklumat ibu mengandung warga asing yang mendapatkan rawatan susulan di klinik tersebut.

Kakitangan di JPN yang mengurus proses pengeluaran sijil kelahiran turut diberi sejumlah wang.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kegiatan sindiket itu dikesan selepas polis menerima laporan pada awal Disember 2012 mengenai penjualan seorang bayi berusia 40 hari pada harga RM4,300 oleh seorang wanita warga asing.

"Daripada maklumat itu polis melalui Ops Pintas Sayang membongkar satu sindiket jual bayi yang bergerak aktif sejak tahun 2009 sebelum berjaya menyelamatkan lapan bayi dan seorang kanak-kanak yang berada di negeri ini, Kedah dan Perak," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, seramai 33 orang yang terdiri daripada 22 suspek berketurunan Cina, enam India, seorang Melayu, seorang rakyat Thailand dan tiga warga Indonesia itu diberkas.

"Sindiket ini hanya membayar kepada ibu mengandung yang tidak mahu bayi mereka antara RM2,500 hingga RM4,500," katanya.

Mereka yang diberkas ada yang bekerja sebagai ahli perniagaan, pekerja kilang dan seorang kakitangan JPN.

Abdul Rahim memberitahu, dalam siri serbuan itu, polis merampas 19 buah telefon bimbit, dua buah kereta, lima MyKid, 14 sijil kelahiran, 18 kad perubatan dan wang tunai berjumlah RM15,000.

Kesemua yang ditahan direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh dipenjara maksimum sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

2 maut kereta dihempap pokok

Posted:

2 maut kereta dihempap pokok

2 maut kereta dihempap pokok

Oleh norazlina ismail
berita@kosmo.com.my


KEADAAN kereta selepas dihempap pokok kelapa tumbang mengakibatkan dua maut di Jalan Hutan Lipur Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM - Hajat dua beranak berjoging di taman rekreasi Hutan Lipur Cherok Tok Kun seperti hari-hari sebelum ini tidak kesampaian apabila mereka maut dihempap sebatang pokok kelapa yang tiba-tiba tumbang menimpa kereta dinaiki di Jalan Hutan Lipur Cherok Tok Kun di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Tan Sai Lang, 70, dan anak perempuannya, Heng Lee Liew, 44, yang memandu kereta Proton Satria mati di tempat duduk masing-masing.

Dua beranak itu keluar dari rumah di Taman Permai Indah pada pukul 6 pagi dan jarak antara rumah mangsa dengan taman rekreasi tersebut ialah kira-kira 6.5 kilometer.

Tragedi itu berlaku hanya kira-kira satu kilometer dari taman rekreasi tersebut.

Mayat kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat selepas memotong bumbung kereta.

Anak lelaki bongsu mangsa, Heng Lih Hwang, 40, berkata, ibu dan kakaknya kerap keluar berjoging di taman rekreasi berkenaan jika ada kelapangan.

"Saya tidak sangka mereka pergi dalam keadaan yang menyayat hati seperti ini," katanya sedih ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Ab. Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Stor diesel di Segamat diserbu

Posted:

Stor diesel di Segamat diserbu

Stor diesel di Segamat diserbu

Oleh NUR AISHAH AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my


DUA daripada tiga buah tangki yang diletakkan di stor di Jalan Segamat-Kuantan, Segamat.


SEGAMAT – Hanya seminggu selepas serbuan sebuah stor menyimpan minyak diesel di Pengerang, kegiatan penyeludupan minyak subsidi itu rupa-rupanya sudah merebak ke sebuah kawasan lapang di Jalan Segamat-Kuantan di sini.

Rahsia tersebut terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu markas pengumpulan minyak diesel itu yang dipercayai sudah aktif beroperasi di situ kira-kira setahun lalu.

Semasa serbuan pada pukul 5 petang Selasa lalu, KPDNKK menemui sejumlah 250,000 liter minyak diesel yang berharga RM450,000 yang dikumpul di markas itu dalam tempoh dua minggu lalu. Kesemua minyak diesel itu disimpan dalam tiga buah tangki dan ia dalam proses diseludup ke negara jiran.

Pemeriksaan di tanah lapang yang dikelilingi zink dan dijaga oleh beberapa tonto itu dipercayai didalangi seorang lelaki berusia 30-an. Lelaki itu masih bebas.

Satu sumber berkata, modus operandi sindiket itu dikatakan menggunakan beberapa buah lori ais dan treler bagi mengangkut minyak diesel yang dibeli di stesen-stesen minyak di sekitar daerah ini.

Seperti kegiatan penyeludupan minyak di Pengerang yang terletak kira-kira 250 kilometer dari daerah ini, sindiket itu juga menggunakan cara sama iaitu membeli minyak diesel pada harga RM1.85 setiap liter berbanding dengan harga asal RM1.80.

Kegiatan membeli diesel itu pula dilakukan pada waktu malam hingga awal pagi dan kerja-kerja menyimpan diesel dari lori ke dalam tangki di stor itu dilakukan pada waktu pagi hingga petang.

Setiap buah kenderaan yang mampu menampung 6,000 liter minyak diesel itu dikatakan akan memunggah bekalan minyak ke stor itu sebanyak tiga kali sehari.

"Pekerja di stesen minyak di daerah ini menerima komisen lima sen bagi setiap liter diesel yang dijual kepada sindiket itu tanpa had," kata sumber itu.

Selepas tiga tangki di stor itu penuh, sindiket itu akan memunggah minyak itu ke kawasan persisir pantai di beberapa lokasi di Johor Bahru untuk dihantar ke kapal dan diseludup ke negara jiran.

Jelas sumber itu lagi, sindiket itu memilih daerah ini sebagai lokasi membeli minyak diesel subsidi kerana beberapa daerah lain di Johor Bahru sudah dimonopoli oleh sindiket lain yang lebih berkuasa.

Sementara itu, Ketua Penolong Kanan Penguasa SPRM Putrajaya, Mohd. Yusof Zakaria yang mengetuai operasi tersebut berkata, semasa pemeriksaan di stor itu, mereka menahan pekerja lelaki berusia 26 tahun.

Menurut beliau, lelaki itu yang terkejut dengan kemunculan pihak berkuasa bertindak menghubungi dalangnya.

Bagaimanapun, dalang sindiket itu tidak muncul.

"Dalam serbuan itu kami menyita dua buah lori dan 30,000 liter diesel yang disimpan di stor itu," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Operasi dan Pembangunan KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, serbuan Selasa lalu merupakan antara sindiket penyeludup minyak diesel yang dipantau pihaknya.

Menurut beliau, kegiatan penyeludupan diesel banyak dilaporkan di Johor kerana faktor geografinya yang berdekatan dengan laut dan negara jiran menyebabkan bekalan minyak diesel mendapat permintaan tinggi.

Difahamkan, diesel seludup yang dijual oleh sindiket ke Singapura, Thailand atau Indonesia pada harga antara RM2.20 hingga RM2.40 satu liter.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved