Selasa, 29 Januari 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


ICON lahirkan pembangun berbakat

Posted:

ICON lahirkan pembangun berbakat

ICON lahirkan pembangun berbakat

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

PENGALAMAN bekerja sebagai jurutera perisian membuatkan Nurul Hana Abdul Aziz, 34, tidak mahu ketinggalan untuk menyertai program MSC Malaysia Pembangunan Kandungan Bersepadu (Integrated Content Development - ICON) ketika ia mula diperkenalkan pada tahun 2010.

Atas pelawaan seorang rakan pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Nurul Hana mencuba nasib dengan menghantar idea berkaitan kandungan aplikasi yang mungkin boleh dibangunkan.

Tanpa disangka, penyertaannya diterima sekali gus terpilih sebagai peserta perintis ICON musim pertama pada tahun tersebut. Ia memberi peluang kepada Nurul Hana untuk mengikuti kursus khas selama seminggu bagi mempelajari kaedah dan cara-cara membangunkan aplikasi mobil melalui peralatan yang disediakan pihak Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Akhirnya, dia berjaya mencipta satu aplikasi Islamik bertajuk My Jawi Word Builder dalam usaha menggalakkan kanak-kanak seronok mempelajari tulisan tersebut.

"Alhamdulillah, aplikasi My Jawi Word Builder berjaya dipasarkan di laman Google Play Store dan telah menarik perhatian golongan sasaran. Ia merupakan cara mudah untuk mengenali, mengeja dan belajar huruf Jawi bukan sahaja untuk kanak-kanak malah orang dewasa.

"Saya berpuas hati dan gembira kerana dapat menyertai program ICON yang membolehkan para peserta mengembangkan rangkaian kenalan di samping menjana pendapatan sendiri," ujar Nurul Hana yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Artificial Intellegence (AI) atau kepintaran buatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Nurul Hana merupakan salah seorang daripada lebih 1,100 peserta ICON Fasa I yang diadakan bermula tahun 2009 hingga 2010.

Ketua Bahagian Pembolehan Digital MDeC, Wan Murdani Mohamad berkata, ICON ialah satu program mengenai pembangunan kapasiti serta pembinaan ekosistem untuk pembangun-pembangun tempatan memasuki pasaran aplikasi di peringkat rantau dan global.

"Melalui program ini, MDeC memberi penekanan kepada keupayaan dan idea yang dimiliki oleh peserta ICON untuk dikembangkan melalui penyediaan tenaga pengajar dan peralatan bagi kegunaan mencipta aplikasi mudah alih tempatan.


WAN PENG (kiri) dan Wan Murdani (tengah) menunjukkan telefon pintar Nokia Lumia 620 yang turut dilancarkan ketika perasmian program ICON Fasa III bagi musim 2013 di Plaza Low Yatt, Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Untuk itu, MDeC juga menjalin kerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi industri dan pihak berkepentingan untuk melengkapkan pembangun-pembangun dengan pelbagai aspek merangkumi kemahiran teknikal, komunikasi, pendedahan pasaran, latihan perniagaan dan integrasi peranti sepanjang tempoh pembangunan aplikasi," jelas Wan Murdani kepada Kosmo!.

ICON III bersama Nokia

Terbaharu, program ICON III diteruskan MDeC melalui kerjasama dengan Nokia bagi memupuk pembangunan kandungan aplikasi mudah alih tempatan pada platform Windows Phone 8.

Kerjasama itu akan menawarkan latihan khas dan sokongan komuniti kepada kira-kira 100 pembangun ICON untuk membantu mereka mempelajari platform Windows Phone 8 dan membina asas pengetahuan berdasarkan kepakaran teknikal.

Selain itu, Nokia akan menyediakan Program Pembangun Premium Nokia (NPDP), satu program permulaan yang menawarkan pembangun ICON dengan perkhidmatan dan peralatan terbaik bagi membantu mereka mencipta aplikasi mudah alih bertaraf dunia.

"Kami rasa amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan ICON untuk membina sebuah ekosistem bertenaga yang mengintegrasi pengedaran, kesedaran dan penjanaan wang dari satu tempat.

"Kerjasama ini juga memastikan pembangun di Malaysia menerima peluang maksimum untuk idea-idea yang hebat sambil mengurangkan penglibatan risiko kewangan," kata Ketua Pemasaran Nokia Pan Asia, Gary Chan.


PERMINTAAN aplikasi telefon pintar daripada pelbagai platform termasuk iOS, Android mahupun BlackBerry semakin tinggi dalam kalangan pengguna.


Tambah beliau, janji Windows 8, Windows RT (untuk ARM-based tablet) dan Windows Phone 8 adalah untuk berkongsi sistem operasi teras merentasi semua platform.

Bahkan, aplikasi tersebut boleh dibangunkan dengan perkongsian komponen yang menggunakan komputer peribadi (PC), tablet dan telefon pintar sekali gus membolehkan pembangun untuk mencapai lebih daripada 400 juta peranti pada 2013.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MDeC, Ng Wan Peng melahirkan rasa teruja kerana dapat bekerjasama dengan jenama besar seperti Nokia yang merupakan antara pemain utama industri berkenaan.

"Perkongsian bersama Nokia akan lebih melengkapkan pembangun aplikasi dengan kemahiran teknikal yang tepat di samping turut memberi pendedahan pasaran dan keupayaan integrasi peranti sepanjang kitaran hidup pembangunan aplikasi," tuturnya.

Tidak ketinggalan katanya, melalui ICON, pembangun aplikasi tempatan berpeluang meneroka pasaran antarabangsa melalui medium global seperti Windows Phone Marketplace.

"Kami yakin platform mudah alih terkini seperti Windows 8 akan membawa piawaian pembangunan aplikasi ke tahap yang lebih tinggi dan meluaskan pilihan untuk pasaran baharu," jelasnya.

Air pasang besar di Tanjung Pia

Posted:

Air pasang besar di Tanjung Pia

Air pasang besar di Tanjung Pia

Oleh FAHAMI AHMAD
fahami.ahmad@kosmo.com.my


AIR laut akan melimpah ke kawasan daratan dan tadahan sehingga membolehkan kawasan sekitar bak taman air mini.


SIKAP segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sarap secara sesuka hati ke kawasan pantai, menyebabkan bahan buangan berkenaan tersangkut pada akar pokok bakau yang tumbuh di pesisir pantai.

Botol minuman, plastik, selipar dan banyak lagi yang tersangkut di perangkap semula jadi itu sedikit sebanyak menjejaskan keindahan kawasan Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Bagi mengembalikan keindahan dan mengekalkan keseimbangan ekosistem Taman Negara Johor Tanjung Piai, DRB-HICOM Bhd. bersama-sama sekumpulan wakil media dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia bekerjasama mengutip sampah sarap berkenaan.

Aktiviti yang bermula seawal pukul 9.30 pagi itu dilakukan dengan penuh semangat selepas beberapa kumpulan kecil dibuat untuk memudahkan operasi pembersihan kawasan seluas 926 hektar itu.

Salah seorang peserta, Nurul Shuhada Karim, 24, mengakui masalah pembuangan sampah di taman negara tersebut harus dipandang serius kerana ia bukan sahaja akan mengganggu ekosistem, bahkan memusnahkan lokasi yang turut dikenali sebagai penghujung benua Asia tersebut sedikit demi sedikit.

"Pemandangan kawasan tumpuan pelancong ini akan terjejas kerana jumlah sampah sarap yang tersangkut di akar pokok selepas dihanyutkan air.

"Jika kita mengharapkan kakitangan taman negara sahaja yang menguruskan hal ini memang sukar kerana kawasannya yang luas," kata Nurul Shuhada ketika ditemui semasa program mengutip sampah berkenaan.


SEORANG pengunjung, Mohd. Zaidi Juwahir sedang berjalan di atas jambatan yang tenggelam ketika beliau sedang memancing ketika fenomena air pasang besar di Tanjung Piai.


Fenomena air pasang besar

Walau bagaimanapun, selain membersihkan kawasan Taman Negara Johor Tanjung Piai, ada satu lagi sebab mengapa tarikh tersebut dipilih untuk mengumpulkan sukarelawan dan media.

Berlaku hanya dua kali setahun di taman tersebut, fenomena yang dipanggil sebagai air pasang besar sangat mengujakan.

Dalam fenomena tersebut air laut mula naik secara mendadak menutupi permukaan tanah selut kira-kira pukul 11.30 pagi.

"Renjer yang bertugas di kawasan kami segera meminta peserta yang berada di bahagian bawah jambatan taman negara naik ke atas sebelum air menjadi lebih dalam," cerita Nurul Shuhada lagi.

Difahamkan, air di kawasan berkenaan naik sehingga ketinggian 3.5 meter dari paras tanah.

Fenomena air pasang besar berkenaan dikatakan biasanya berlaku dua kali setahun iaitu pada awal dan penghujung tahun.

Kelihatan beberapa kelibat haiwan seperti ular, ketam, monyet dan sebagainya yang menjadikan kawasan itu sebagai habitat mula riuh-rendah menyelamatkan diri.

Monyet contohnya mula memanjat ke bahagian pokok yang lebih tinggi bagi mengelak daripada dihanyut air laut, manakala beberapa spesies burung mula berterbangan.


SPESIES ular kapak boleh ditemui di hutan paya bakau Tanjung Piai.


Suasana di kawasan pintu masuk Taman Negara Johor Tanjung Piai pula bertambah meriah dengan kehadiran penduduk setempat.

Mereka yang telah dimaklumkan mengenai kejadian fenomena itu berkumpul bagi melihat sendiri proses perubahan alam itu.

Kawasan berkenaan dengan sekelip mata berubah menjadi seperti taman tema air mini apabila kanak-kanak berpesta bermain air yang mula melimpah keluar dari taman negara itu. Kanak-kanak begitu riang bermain air setinggi paras buku lali sambil diperhatikan oleh ibu bapa mereka.

Pesta yang ditunggu-tunggu

Menurut penduduk setempat, Che Halim Che Ismail, 52, air laut yang melimpah keluar dari taman itu akan mengalir ke arah anak sungai kecil yang terletak tidak jauh dari situ.

"Hampir setiap tahun kami sekeluarga akan datang melihat fenomena air pasang besar, tambahan pula taman negara ini terletak berhampiran dengan rumah kami," katanya.

Fenomena air pasar besar itu berlangsung selama beberapa jam dan mula surut secara perlahan-lahan pada waktu tengah hari.

Dalam pada itu, Pengurus Taman Negara Johor Tanjung Piai, Khalid Zahrom berkata, fenomena itu memberi kesan terhadap kawasan Tanjung Piai kerana hakisan akan menyebabkan kehilangan keluasan tanah di situ.

Bagaimanapun, Khalid memberitahu, pelbagai usaha dijalankan pihaknya terutamanya menerusi program penanaman pokok bakau sebagai penahan semula jadi.

Teknologi masa depan di CES 2013

Posted:

Teknologi masa depan di CES 2013

Teknologi masa depan di CES 2013

Oleh KHAIRUL ANUAR RAHMAN
anuarrahman@gmail.com


PENGESAN Bagasi Trakdot membantu menyelesaikan masalah bagasi hilang di lapangan terbang.


PAMERAN Elektronik Pengguna (CES) merupakan pameran yang menghimpunkan pelbagai produk elektronik terkini yang bakal dipasarkan selain prototaip gajet digital yang masih berada dalam fasa penyelidikan.

Saban tahun, pengeluar produk elektronik dan ahli kepada Persatuan Konsumer Elektronik (CEA) dari segenap pelosok dunia berkumpul di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) bagi memperkenalkan produk terkini mereka.

Berikut merupakan antara inovasi unik yang diperkenalkan dalam pameran berprestij yang berlangsung pada 8 hingga 11 Januari lalu.

Pengesan Bagasi Trakdot

Kehilangan bagasi atau kesilapan manusia dalam menguruskan bagasi sehingga menyebabkan bagasi tiba di destinasi yang salah merupakan satu risiko yang dihadapi oleh penumpang mana-mana penerbangan.

Berdasarkan rekod, hampir 26 juta bagasi dilaporkan hilang setiap tahun di lapangan terbang di seluruh dunia, lazimnya akibat kecuaian kakitangan ketika melabel atau ketika memunggah bagasi keluar dan masuk dari perut kapal terbang.

Namun para penumpang kini boleh menarik nafas lega kerana mereka boleh mengesan lokasi semasa bagasi mereka dengan menggunakan Trakdot Luggage Tracker. Peranti itu hanya perlu diaktifkan dan kemudiannya disimpan di dalam beg penumpang.

Kedudukan beg akan ditentukan menggunakan cip GSM dan bukannya GPS bagi menjimatkan penggunaan bateri. Ia juga mampu mengesan kelajuan dan akan dimatikan secara automatik sebaik mengesan kelajuan melebihi 100 knots selaras dengan peraturan penerbangan antarabangsa.

Peranti itu dijangka mula memasuki pasaran bermula Mac tahun ini di AS pada harga sekitar AS$49.95 (RM150), yuran pengaktifan sekitar AS$8.99 (RM27) dan yuran perkhidmatan tahunan sekitar AS$12.99 (RM40).


REVOLUSI TV hari ini semakin menakjubkan menerusi TV 4D.


Tenaga hijau Goal Zero

Memang mudah untuk menyebut tenaga hijau iaitu tenaga yang boleh diperbaharui, tetapi berapa peratus manusia di dunia yang benar-benar mempraktikkan penggunaan tenaga itu?

Goal Zero menawarkan rangkaian produk solar bagi membekalkan pelbagai jenis perkakasan elektrik di rumah dari sekecil telefon pintar sehinggalah sebesar set televisyen.

Sebagai perbandingan, ia boleh mengecas telefon pintar anda sebanyak tujuh kali, menghidupkan lampu selama 16 jam, mengecas tablet sebanyak dua hingga tiga kali dan komputer sekali sebelum pengguna perlu mengumpulkan semula tenaga solar.

Kit Goal Zero terdiri daripada satu unit panel solar bagi mengumpulkan tenaga dan satu unit pek kuasa bagi menyimpan tenaga yang telah dikumpulkan, seterusnya menyalurkan tenaga kepada perkakasan elektrik yang hendak digunakan.

Bukan itu sahaja, Goal Zero juga menawarkan model Guardian yang mampu mengecas bateri 12v kenderaan seperti motosikal, traktor dan juga kereta. Maklumat lanjut boleh didapati dalam laman web www.goalzero.com.

Samsung Youm

Ketika mula mengorak langkah dalam industri telefon pintar, ramai penganalisis teknologi khususnya dari negara Barat tidak yakin dengan kemampuannya. Hari ini, setelah lebih daripada tiga tahun berada dalam arena telekomunikasi bergerak, Samsung merupakan antara syarikat elektronik yang disegani oleh pengeluar lain yang jauh lebih lama berada dalam industri yang sama.


GOAL Zero membekalkan tenaga melalui kuasa solar.


Youm melambangkan pencapaian syarikat pengeluar produk digital berpengkalan di Korea itu. Ia merupakan teknologi paparan terkini yang menggunakan skrin OLED fleksibel yang boleh dilentur, dilipat dan dikhabarkan bakal menjadi paparan telefon pintar dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.

Teknologi paparan itu menggunakan plastik dan bukannya material separa kaca bagi membolehkan ia boleh dilentur tanpa merosakkan skrin. Terdapat juga spekulasi yang mengatakan Galaxy S4 bakal menjadi telefon pintar pertama keluaran Samsung yang bakal menggunakan skrin jenis itu.

Tetapi penulis berpendapat ia mungkin dapat dilihat pada model selepas versi Galaxy S4. Apa yang pasti, paparan fleksibel itu bakal menjadi titik tolak kepada revolusi paparan telefon pintar dan memungkinkan telefon yang jauh lebih nipis.

TV OLED 4K Panasonic

PADA pameran CES tahun lalu, para pengeluar TV sibuk memperkenalkan kepada dunia TV 3D OLED. Tahun ini, pengeluar seperti Panasonic membuka tirai teknologi TV terkini 4K atau juga dikenali sebagai Ultra HD. Selain Panasonic, Sony juga telah memperkenalkan prototaip TV 56 inci dengan paparan 4K itu.

Dikuasakan dengan resolusi 3840 x 2160 piksel, TV itu mampu memberikan pengguna imej yang jauh lebih jelas berbanding paparan berdefinisi tinggi. Pada pendapat penulis sudah cukup jelas hingga mampu mendedahkan kesan jerawat pada wajah pelakon di paparan TV.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved