Ahad, 9 Disember 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Khazanah untuk tatapan anak bangsa

Posted:

Khazanah untuk tatapan anak bangsa

Khazanah untuk tatapan anak bangsa

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

SUASANA Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur biasanya senyap sunyi lantaran kebanyakan pengunjung leka memberi tumpuan dengan bahan bacaan bertukar menjadi riuh-rendah.

Kebanyakan pengunjung yang pada asalnya datang untuk membaca buku kemudian tertarik untuk ke sebuah bilik pameran yang terletak di tingkat dua perpustakaan itu. Ini kerana di situ berlangsungnya Pameran Telusuri Kegemilangan Melayu Menerusi Naskhah Melayu Lama dan Artifak yang diadakan pada pertengahan bulan lalu.

"Saya ke sini untuk mengulang kaji pelajaran serta mencari buku rujukan sesuai untuk mata pelajaran tahun depan. Namun, selepas singgah di tempat pameran ini, saya memperoleh informasi mengenai artifak dan manuskrip lama yang menceritakan mengenai sejarah Melayu terutama kelengkapan yang digunakan oleh Laksamana Hang Tuah," ujar pelajar tingkatan empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Baru, Muhd. Faris Hadi.

Dia yang berkunjung ke perpustakaan negara bersama rakannya, Akmal Masri, 16, ternyata terpegun dengan bahan sejarah dipamerkan menerusi Pameran Telusuri Kegemilangan Melayu Menerusi Naskhah Melayu Lama dan Artifak itu.

Pameran yang berlangsung selama lima hari itu menghimpunkan 17 artifak yang digunakan oleh Laksamana Hang Tuah serta kelengkapan kebesaran sultan ketika era kegemilangan pemerintahan Melaka dan 11 naskhah manuskrip lama mengenai sejarah Melayu yang dipulihara oleh pihak Pusat Manuskrip Melayu PNM.

Selain daripada pihak PNM, penganjur utama pameran yang julung-julung kali diadakan itu ialah Kelab Merdeka Muda Kuala Lumpur dan Selangor (Kemuda).

Presidennya, Noor Azhar Mohamad memberitahu, fokus utama penganjuran pameran adalah untuk membangkitkan minat kepada golongan muda mengenai sejarah Melayu yang kian dilupakan dewasa ini.

"Melalui artifak dan manuskrip yang dipamerkan, ia menunjukkan bukti bahawa kegemilangan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu bukan dongeng dan rekaan semata-mata dan ia merupakan sebuah sejarah yang harus dibanggakan oleh orang Melayu," ujarnya.


SEJUMLAH 11 naskhah manuskrip mengenai sejarah Melayu simpanan PNM dipamerkan kepada pengunjung.


Tambahnya, pameran tersebut merupakan kesinambungan daripada kejayaan program Wah! Hebatnya Melayu yang dianjurkan oleh Kemuda baru-baru ini.

Keris Tempa Melaka

Antara artifak yang dipamerkan sempena pameran itu ialah Keris Tempa Melaka (keris yang diperbuat daripada 21 jenis logam digunakan oleh Laksamana Hang Tuah), Rentaka (sejenis meriam kecil sepanjang satu hasta), Chi Pau Pen (alat muzik menggunakan air yang digunakan oleh Puteri Hang Li Po semasa dalam pelayaran ke Melaka) dan Pontoh (alat perhiasan diri para Pembesar Istana Melaka yang dipakai di lengan).

Kesemua artifak yang dipamerkan merupakan simpanan Penyimpan Setia Khazanah, Muzium Istana Raja Melewar, Negeri Sembilan iaitu Zainal Johan, 47, yang turut bekerjasama dengan pihak Kemuda dan PNM dalam pameran tersebut.


TAMBOL digunakan sebagai alat untuk menghidang makanan kepada para pembesar istana ketika era Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.


Menurut Zainal, 17 artifak yang dipamerkan itu hanya sebahagian daripada 200 koleksi artifak dalam simpanan muzium untuk dipertontonkan kepada umum.

"Melalui artifak-artifak ini, ia jelas menunjukkan bahawa bangsa Melayu pernah menjadi satu bangsa yang paling maju di seantero dunia sekitar tahun 1400 hingga 1511. Setiap artifak terutamanya keris, ia dihasilkan berdasarkan ilmu sains yang ada pada cendekiawan Melayu Melaka di zaman itu.

"Lihat sahaja Keris Tempa Melaka. Ia dihasilkan menerusi gabungan 21 jenis logam pada zaman itu. Sehingga kini, tiada senjata yang berkeupayaan seperti itu termasuk pedang yang dibanggakan oleh orang Jepun iaitu pedang samurai. Itu merupakan kehebatan bangsa Melayu," ujarnya yang juga salah seorang daripada keturunan ke-12 Bendahara Melaka iaitu Tun Perak yang tersohor ketika era kegemilangan Melayu Melaka.

Naskhah manuskrip

Seorang pengunjung yang hadir ke pameran itu, Nor Adzman Abdul Rahman, 60, memberitahu, minatnya terhadap sejarah kegemilangan Melaka telah membuatkannya terpanggil untuk datang melihat secebis tinggalan sejarah itu.

"Artifak ini merupakan salah satu khazanah yang harus dipulihara untuk tatapan anak bangsa kini seterusnya masa hadapan mengenai kehebatan bangsa Melayu. Ini merupakan salah satu usaha yang baik dan berharap ia tidak berhenti setakat ini sahaja," jelasnya yang sanggup datang dari Seremban, Negeri Sembilan untuk ke pameran tersebut.

Tidak hanya tertumpu kepada pameran, pengunjung juga berpeluang untuk melihat kaedah yang dilakukan oleh pihak Pusat Manuskrip Melayu PNM menjalankan proses pembaikan naskhah manuskrip lama serta coretan kisah-kisah penting yang berlaku semasa era kegemilangan Melaka.

Lebih menarik, forum wacana ilmu diterajui oleh Zainal Johan, Timbalan Pengarah Bahagian Manuskrip PNM, Faizal Hilmi dan Pensyarah Bahagian Persuratan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Talib Samad turut membincangkan mengenai kesahihan artifak dan manuskrip yang masih kekal sehingga ke hari ini diadakan pada hari terakhir pameran tersebut.

Bercakap mengenai naskhah manuskrip lama, Timbalan Pengarah Pusat Manuskrip Melayu PNM, Nasimah Badaruddin memberitahu, coretan dalam naskhah manuskrip merupakan salah satu bukti kepada setiap kewujudan artifak yang telah ditemui.

"Rentaka ada disebut dalam manuskrip Hikayat Hang Tuah dan ia merupakan bukti yang jelas bahawa meriam tersebut digunakan oleh Laksamana Hang Tuah seperti yang tertera dalam hikayat itu," ujarnya ketika ditemui semasa pameran itu berlangsung baru-baru ini.

Tambahnya, PNM mempunyai kira-kira 4,600 naskhah manuskrip asal yang ditulis oleh orang Melayu yang rata-ratanya didapati dari negara luar.

"Manuskrip hasil tulisan orang Melayu telah bertebaran ke seluruh dunia ketika pelbagai penjajah seperti Portugis telah menakluki Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Tugas kami di PNM perlu menjejaki naskhah ini dan membawa pulang kembali ke tanah air," jelasnya.

Contohi era kegemilangan Melaka


PEMBANTU Pemuliharaan Unit Manuskrip PNM menunjukkan demontrasi pemuliharaan manuskrip kepada pengunjung.


Tidak dinafikan bahawa empayar kegemilangan Melaka yang dibina sekitar tahun 1400 hingga 1511 di bawah pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka merupakan sebuah kerajaan yang amat disegani ketika era itu.

Ketika itu, bangsa Melayu mempunyai ilmu pengetahuan dalam penciptaan kelengkapan persenjataan sehingga menarik minat pihak Eropah untuk datang mendalami dan menceduk ilmu yang dihasilkan oleh orang Melayu di Melaka.

Selaku pengkaji sejarah Melayu, Zainal Johan juga berpendapat bahawa masyarakat Malaysia perlu mengambil contoh daripada setiap peristiwa dan catatan yang berlaku ketika era kegemilangan Melaka.

"Ketika itu, ilmu bangsa Melayu di Melaka amat berharga. Untuk menjadi sebuah bangsa dan negara yang maju, kita tidak perlu melihat negara-negara yang membangun. Artifak dan manuskrip lama ini jelas menunjukkan bukti serta formula bahawa kita mampu mengembalikan kegemilangan itu dalam konteks masa kini.

"Rakyat Malaysia perlukan sejarah kerana ia akan membangkitkan semangat cintakan tanah air. Jangan melihat perbezaan masa itu sebagai halangan kerana sejarah akan memberi kita kekuatan untuk menaikkan kembali semangat bangsa yang telah lama kita lupakan," ujarnya.

Kelazatan tersembunyi di atas bukit

Posted:

Kelazatan tersembunyi di atas bukit

Kelazatan tersembunyi di atas bukit


RUMAH tradisional yang didirikan semula di pekarangan restoran selepas dipindahkan dari Melaka.


DEBARAN pasti dirasai apabila seseorang itu buat kali pertama menuju ke sebuah restoran unik yang terletak di Gombak, Selangor. Sejurus membelok ke susur masuk dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), laluan bukit securam 40 darjah perlu dilepasi untuk akhirnya sampai di sebuah halaman istimewa.

Dikelilingi rimbun pokok hutan, tanah seluas 0.6 hektar itu bukan sahaja menempatkan kediaman persendirian milik novelis popular, Ahadiat Akashah, malah landskap luasnya kini turut dijadikan kawasan restoran eksklusif yang terlindung dari pandangan umum.

Masih baru beroperasi dan mempertaruhkan gaya persekitaran desa, restoran yang hanya dibuka pada hujung minggu dan waktu malam itu lantas diberi nama Golek-Golek Suasana Kampung.

Aura tradisional

"Saya mahu orang datang ke sini untuk meraikan waktu santai bersama keluarga dan rakan-rakan. Namanya sahaja sudah memberikan idea tentang momen yang relaks," ujar Ahadiat berlatarbelakangkan binaan rumah tradisional Melayu berusia lebih 100 tahun yang dipindahkan khas dari lokasi asalnya di Melaka.

Selain rumah lama tersebut yang mencuri tumpuan, restoran itu menerbitkan emosi pengunjung laksana suasana pulang beraya di kampung. Rias taman tropika, pencahayaan remang-remang dan keriuhan terkawal di ruang duduk pelbagai gaya di situ menjadi tarikan.

Itu belum lagi dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu semasa dan malar segar yang disampaikan oleh kuartet berbakat, Adinda Kirana. Sesi kunjungan pastinya sempurna dengan alunan melodi dan aroma kelazatan yang dibawa angin sepoi-sepoi di pinggir bukit tersebut. Ia nyata menjadi terapi berkesan bagi yang mahu lari daripada kesibukan rentak hidup di kota konkrit.

Ahadiat, 47, memberitahu, idea mengenai operasi restoran itu bermula daripada cadangan anak-anak buahnya. Setelah berbincang bersama isterinya, Norhayati Mohd. Fauzi, 33, mereka bersetuju untuk melaksanakan idea tersebut memandangkan prospek niaga yang menjanjikan sambutan dan kemudahan ruang yang sedia ada.

Eksperimen resipi


NORHAYATI (tengah) dan Ahadiat percaya pada layanan peribadi untuk memenangi hati pelanggan.


Penyediaan menu di Golek-Golek Suasana Kampung percaya pada konsep pengkhususan. Tanpa perlu sibuk memikirkan banyak jenis masakan semata-mata untuk memenuhkan senarai menu, mereka sebaliknya menumpukan kepada menu ikan bakar resipi keluarga.

"Setelah banyak membuat eksperimen, akhirnya kami menggabungkan tiga jenis sambal iaitu sambal tumis, sambal cili dan sejenis sambal khas yang bukan sahaja menyedapkan hidangan, malah ia membuatkan isi ikan kami tidak melekat pada daun pisang yang membalutinya ketika dibakar," terang Norhayati yang mahu lari daripada penggunaan rempah ikan bakar konvensional.

Pesanan menu makanan laut itu bertambah lazat apabila turut dibakar bersama petai. Bagi penggemar ulam yang rangup dan lemak itu, gandingannya bersama nasi putih panas tentunya memacu selera. Sementara ikan dan udang dihidang bersama petai, menu seperti sotong dan kerang pula disediakan dengan potongan sayur bendi atau kacang botor - kombinasi yang hebat untuk menambah suapan nasi seterusnya!

Secara sampingan, pesanan sup ayam, terung ikan masin atau char kuetiau boleh menambah kemeriahan di atas meja makan. Kesemua hidangan itu sangat sesuai jika dinikmati bersama minuman jus buah terutamanya yang menjadi signatur restoran tersebut iaitu jus kedondong segar.

"Bagi memastikan kesegaran, kami tidak menyimpan beku bekalan ikan kami lebih daripada 24 jam. Itu bagi memastikan rasa enak dan kemanisan ikan itu terpelihara. Sebab itulah tempahan awal amat penting supaya kami boleh mendapatkan bekalan mengikut pesanan," ujar Ahadiat.

IKAN bakar dengan petai resipi keluarga Ahadiat dan Norhayati ibarat menu juara di Golek-Golek Suasana Kampung.


Sementara itu, Norhayati yang peka pada tunas rasa pelanggan membuka rahsia: "Selain faktor bahan mentah yang segar dan terpilih, petua kami dalam penyediaan makanan iaitu ia perlu dimasak dengan ikhlas."

Lokasi keraian

Walaupun Ahadiat dan Norhayati mengakui seronok melayan tetamu dalam bilangan yang terkawal, Golek-Golek Suasana Kampung sebenarnya mampu memuatkan sehingga 300 orang pada satu-satu masa dengan 200 tempat duduk daripadanya adalah berbumbung.

Sama ada makan di tempat terbuka, di bawah gazebo, di bawah rumah tradisional mahupun di pelantar untuk duduk bersila, terpulang kepada keinginan pengunjung sendiri.

"Restoran ini juga menerima tempahan dalam skala besar untuk majlis keraian tertentu seperti resepsi perkahwinan atau majlis sambutan hari lahir," ujar Ahadiat.

Tambah penulis novel Lagenda Budak Setan itu, dia dan isteri bersama pekerja restorannya sedaya upaya mahu menghidupkan aura kemesraan di restoran itu.

"Lepas makan, mereka boleh menghabiskan masa santai dengan berbual-bual, menghisap shisha atau 'bergolek-golek' di sini. Begitulah asal namanya," ujarnya.

Norhayati sempat berseloroh: "Nama itu juga datang daripada cara kami 'menggolek-golekkan' ikan kami ketika membakarnya."

Wheelie Sunday di Publika

Posted:

Wheelie Sunday di Publika

Wheelie Sunday di Publika

Oleh NIZHA PERIASWAMY


PUBLIKA menjadi pusat beli-belah pertama menawarkan aktiviti berbasikal.


WARGA ibu kota tentu tertanya-tanya jika mereka mempunyai sebuah tempat untuk berekreasi pada hujung minggu secara bebas dengan kemudahan secara percuma.

Publika di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur mungkin jawapan yang anda cari.

Malah, menariknya Publika yang sebenarnya sebuah kompleks beli-belah menawarkan aktiviti fizikal antara bangunan bermotif seni dan sosial. Di Publika, anda berpeluang untuk mengayuh basikal secara percuma pada waktu yang ditetapkan.

Ini kerana kompleks Publika menganjurkan aktiviti Wheelie Sundays, aktiviti sihat dan penuh keseronokan di litar bebas dengan trafik lagi selamat.

Demi Wheelie Sundays, setiap hari Ahad kawasan Solaris Dutamas akan ditutup daripada laluan trafik bermula dari pukul 7.15 pagi hingga 10 pagi. Ini membolehkan para pengunjung melakukan aktiviti berbasikal, berjoging, roller-blade atau berjalan-jalan menyorong kereta bayi di sekitar litar sepanjang 1.2 kilometer dengan selamat.


PELBAGAI jenis basikal disediakan Publika untuk kegunaan pengunjung secara percuma.


Landskap menghijau antara bangunan, Publika merupakan kompleks beli-belah perintis di Malaysia yang menawarkan pengalaman sihat itu.

Bermula sejak Februari lalu, aktiviti secara mingguan itu mengalu-alukan penyertaan semua lapisan masyarakat yang sentiasa dahaga dan mementingkan gaya hidup sihat.

Jika anda tidak mempunyai basikal untuk ditunggang usah bimbang kerana Publika menawarkan pelbagai jenis basikal untuk pengunjungnya secara percuma.

Terdapat pelbagai jenis basikal yang ditawarkan iaitu basikal remaja, basikal tiga roda, basikal kanak-kanak dan basikal kembar untuk pasangan yang mahukan pengalaman lebih romantis.

Penyediaan perkhidmatan itu tentu sekali, satu peluang yang seharusnya dimanfaatkan dengan baik oleh warga ibu kota yang sentiasa tersekat dalam rutin harian yang sesak dan kekurangan kemudahan rekreasi.

Kepada mereka yang mahu membawa basikal sendiri, anda boleh menempatkan kenderaan di Aras B2 dan membawa basikal ke Aras B1 bangunan C untuk menyertai aktiviti tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved