Ahad, 2 Disember 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Mencari Tiger Wood Malaysia

Posted:

Mencari Tiger Wood Malaysia

Mencari Tiger Wood Malaysia

Oleh ADLAN JAAFAR

SAMA seperti kanak-kanak seusianya pada zaman sekarang, Caeden Cheah, 8, juga suka bermain dengan gajet seperti tablet. Namun, bukan permainan video yang dicari sebaliknya, sebaliknya Caeden tidak pernah bosan menonton video rakaman Rory McIlroy dan Bubba Watson mengayun kayu golf.

"Saya cuba untuk mengikuti ayunan dan teknik left arm straight," ujar Caeden yang kelihatan malu-malu ketika ditemui di Glenmarie Golf and Country Club, Selangor pada bulan November lalu.

Caeden suka golf sejak berusia lima tahun setengah apabila kerap mengikuti ayahnya, Justin Cheah, 42. Daripada situlah, Justin sudah dapat mengesan minat anaknya.

Justin mendapati anaknya itu suka memukul bola golf apabila diberi pada kali pertama lantas, lelaki yang bekerja di syarikat DiGi Telecomunication itu membeli satu set kayu golf kanak-kanak.

Bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Lai Chee, Jalan Ipoh, Caeden tampak pemalu apabila diajukan soalan, tetapi sebaik memegang kayu golf dia kelihatan begitu bersemangat.

"Caeden pasti nampak lebih berkeyakinan setiap kali bermain terutamanya apabila beraksi pada kejohanan-kejohanan golf.

"Sebelum pertandingan dia akan bertanya kepada kami mengenai bilangan penonton yang hadir dan begitu teruja setiap kali mahu bermain," kata Justin sambil disambut dengan senyuman oleh ibunya, Eugenie Tan, 41.

Memang benar, sebenarnya bukan mudah untuk memastikan pada awalnya seorang kanak-kanak itu benar-benar berminat memukul bola golf atau sekadar suatu permainan yang menarik perhatian mereka untuk seketika.

Malah, lebih sukar untuk menjangkakan sejauh mana minat seseorang kanak-kanak itu dapat pergi dalam sesuatu bidang akibat kebosanan atau mereka berhenti bermain kerana letih.

"Ibu bapa harus dapat memantau dan dapat membezakan sama ada mereka sebenar letih atau telah hilang minat selamanya.

"Namun, berlatih sukan sejak kanak-kanak amat baik kerana mereka tidak takut untuk membuat pukulan walaupun adakalanya terdapat pukulan yang sukar," cerita Justin.


TENGKU MUHAMMAD MUZAFFAR bercita-cita menjadi pemain golf profesional selepas tamat sekolah menengah.


Caeden mula menyertai kejohanan golf pada tahun 2012 dan akan menyertai Kejohanan Golf Kanak-Kanak Sedunia bermula hari ini hingga 7 Disember.

Kejohanan golf itu akan diadakan di Saujana Golf and Country Club dan Glenmarie Golf and Country Club.

Pertandingan tersebut turut disertai lebih 300 orang peserta muda dari 41 buah negara seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Perancis, Jerman, Belanda dan Singapura.

Diet dan bersenam

Selain Caeden, Khairul Aiman Zammani, 13, juga bakal bertanding dalam kejohanan tersebut bagi kategori 13 tahun.

Persediaannya meliputi mental dan fizikal termasuklah menjaga corak pemakanan dengan hanya mengambil makanan seperti nasi, roti, sup dan buah-buahan seperti epal atau pisang.

"Makanan kegemaran saya ialah masak lemak cili padi jadi, saya perlu betul-betul jaga pemakanan supaya tidak mengganggu kesihatan ketika kejohanan nanti," katanya.

Kejohanan memerlukan peserta berjalan kaki pada jarak beberapa kilometer di bawah bahang matahari dan dalam masa yang sama wajib fokus setiap kali memukul bola golf.

Stamina peserta juga perlu kekal dengan selalu melakukan senaman dan latihan berterusan, dia pasti menghabiskan masa yang panjang antara pukul 7 pagi hingga 5 petang untuk berlatih di Kelab Golf Perkhidmatan Awam Malaysia (KGPA).

Khairul Aiman walaupun baru setahun menyertai kejohanan amatur, tetapi sudah menyertai hampir lapan buah pertandingan golf. Ketika mula-mula beraksi dulu, handikapnya ialah 24, namun selepas hampir setahun dia sudah boleh mencapai handikap 14.

Antara kejohanan yang disertainya termasuklah Terbuka Jemputan CIMB dan Kejohanan Golf Amatur Terbuka Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC).


PADA usia kanak-kanak adalah waktu terbaik untuk mendidik dan membentuk seseorang bagi bergelar pemain golf profesional. - Gambar hiasan


Ceritanya, dia mula mengenali sukan golf sekitar usia lima tahun selepas diajar oleh bapanya, Datuk Zammani Mod Amin, 58, yang gemarkan sukan tersebut.

Bermula dengan sebuah aktiviti keluarga yang turut disertai oleh ibunya, Datin Safiah Mohd. Yunus, 52, remaja tersebut memasang impian untuk menjadi pemain golf profesional dalam tempoh lima tahun akan datang.

Terangnya, terdapat empat kejohanan terbuka golf paling utama pada peringkat profesional iaitu Terbuka Amerika Syarikat (AS), Terbuka British, Kejohanan US Masters dan Jelajah PGA AS.

"Sasaran saya selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia lebih kurang lima tahun, saya mahu menyertai salah satu kejohanan terbuka itu," kata Khairul Aiman.

Dia yang menuntut di Sekolah Menengah Victoria, Kuala Lumpur itu tetap mahu pelajarannya seiring dengan kemajuan dalam bidang sukan golf sama seperti yang dihajati oleh ayahnya.

"Kami mahu melihat dia maju dalam bidang golf tetapi dalam masa yang sama tetap fokus dengan pelajaran untuk menggenggam ijazah," ungkap Zammani ketika ditemui baru-baru ini.

Perbelanjaan besar

Dalam pada itu, Rafeah Ridzuan, 33, dan Tengku Masly Tengku Amir, 34, ibu bapa kepada Tengku Muhammad Muzaffar Tengku Masly, 10, mengakui, sukan golf memerlukan belanja besar walaupun pada peringkat kanak-kanak.

Minat Tengku Muhammad Muzaffar dikesan bapanya ketika kanak-kanak itu berusia tiga tahun apabila dia boleh memukul bola golf sebanyak 300 biji tanpa jemu di lapangan sasar.

Sejak itu, dia kerap mengikuti bapanya dan kini Tengku Muhammad Muzaffar sudah berada pada peringkat handikap 15.

Sama seperti Khairul Aiman, keluarga menyasarkan pelajar Sekolah Kebangsaan Pandan Indah itu menjadi pemain profesional selepas menamatkan pengajian menengah.

"Golf memerlukan latihan yang berterusan kerana ia memerlukan pengalaman dan kemahiran. Kadangkala ketegasan ketika berlatih juga diperlukan dalam melatih mereka," kata Rafeah berkongsi tip melatih kanak-kanak dalam sukan golf.

Ujarnya, pada tahap umur kanak-kanak sekitar lima hingga enam tahun merupakan waktu sesuai untuk memasukkan anak-anak yang berminat dalam akademi golf yang rata-rata mempunyai yuran bulanan sekitar RM200 atau RM300.


TIGA pemain golf junior negara ini bangga mendapat sokongan padu daripada keluarga masing-masing.


Apabila anak-anak berusia sekitar lapan tahun, mereka sudah boleh dihantar untuk belajar dengan pemain golf profesional secara satu dengan satu.

Kelas tersebut akan mengajar seluruh teknik dan kemahiran yang betul bermain golf dengan yurannya lebih kurang RM600 sebulan.

Selain kelas kemahiran, kayu golf merupakan antara yang memakan kos tinggi dalam sukan tersebut kerana kanak-kanak mempunyai tumbesaran yang cepat. Setiap kayu golf mesti melengkapi pemain.

Seperti anaknya, Rafeah dan suami telah membeli set kayu golf setiap tahun sepanjang tempoh Tengku Muhammad Muzaffar mula bermain sehingga kini,

Terdapat dua jenis set golf iaitu untuk kanak-kanak dan dewasa. Bagi set kanak-kanak, ia berharga sekitar RM600 manakala untuk dewasa untuk kegunaan kanak-kanak 10 tahun ke atas berharga RM1,000.

Pada waktu kelapangan, Tengku Masly pasti membawa anaknya bermain di lapangan sasar untuk latihan berterusan. Setiap satu set yang mengandungi 100 biji bola golf adalah pada harga antara RM12 hingga RM15 yang boleh dipukul dalam masa sejam mengikut keupayaan.

Tengku Muhammad Muzaffar turut bertanding dalam Kejohanan Golf Kanak-Kanak Sedunia nanti.

Perhimpunan pencinta buku di Kuala Lumpur

Posted:

Perhimpunan pencinta buku di Kuala Lumpur

Perhimpunan pencinta buku di Kuala Lumpur

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


MOHD. RAYHAN (dua dari kiri) bersama rakan-rakannya yang meluangkan masa mengunjungi festival ini.


FESTIVAL Penulis dan Pembaca Kuala Lumpur yang dianjurkan pada pertengahan bulan November lalu ternyata berjaya menarik warga kota untuk lebih mengetahui industri penerbitan buku negara.

Acara yang julung-julung kalinya dianjurkan itu memberi peluang kepada pembaca menemui penulis buku secara terus.

Pada acara yang sama, sesi pelancaran buku baharu keluaran syarikat penerbitan turut dianjurkan.

Tidak hanya tertumpu kepada jualan buku semata-mata, produk-produk tempatan seperti barangan fesyen remaja, hasil kraf tangan dan barangan terpakai turut memeriahkan acara kali ini.

"Festival ini menggabungkan pelbagai elemen dalam satu acara iaitu muzik, tayangan video, sastera dan yang paling menambat hati pengunjung ialah pelbagai buku dijual pada harga murah," ujar seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Rayhan Ahmad, 20, yang berkunjung ke festival itu.

Festival yang dianjurkan oleh kumpulan aktivis seni, Sindiket Sol-jah bersempena Pop Fest itu berlangsung di foyer Perpustakaan Kuala Lumpur berhampiran Dataran Merdeka.


KARYA lukisan daripada penggiat seni tanah air turut memeriahkan suasana festival.


Menurut penganjur acara, Haris Maulana, 44, perancangan untuk menganjurkan Festival Penulis dan Pembaca Kuala Lumpur itu dibuat selepas kejayaan Sindiket Sol-jah menganjurkan Festival Penulis dan Pembaca Johor Bahru pada bulan September lalu.

"Kami bawakan idea festival yang berlangsung di Johor Bahru itu ke ibu negara. Konsep kedua-dua festival ini ialah menjual buku, jadi syarikat penerbitan boleh mengadakan sesi bual bicara dengan pembaca.

"Sambutan festival di Kuala Lumpur ini amat menggalakkan mungkin kerana lokasinya strategik dan terletak di tengah-tengah ibu kota. Selain itu, pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan cendekiawan dan tokoh agama turut hadir menyokong festival ini," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Promosi dan diskaun buku

Festival yang bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam itu mengundang kumpulan muzik tanah air seperti Second Combat, Muck, Khottal dan Al Farabi Band untuk membuat persembahan pada sebelah petang.


KOLEKSI pakaian terpakai yang dijual berjaya mencuri tumpuan pengunjung.


Tambah menarik, Papa Rock negara, Ramli Sarip turut mengadakan persembahan khas untuk pengunjung yang hadir ke festival itu.

Seorang penerbit buku, Muhammad Aisamuddin Md. Asri, 29, menjelaskan, kebanyakan penerbit buku memberi promosi harga istimewa sepanjang festival ini.

"Promosi harga ini membantu kami sebagai pihak penerbit menggalakkan golongan muda untuk meminati bahan bacaan keluaran syarikat tempatan. Saya lihat ini merupakan satu perkembangan positif dalam kalangan rakyat Malaysia," ujar penerbit buku Lejen Press itu.

Antara syarikat penerbitan yang terlibat dalam festival tersebut ialah Merpati Jinga, Neon Terbit, Jargon Books dan Sang Freud Press.

FESTIVAL ini juga memberi ruang kepada warga kota yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan untuk mempromosikan produk mereka.


Sementara itu, pelakon, pengarah, pelakon, penyanyi dan penulis skrip, Khir Rahman yang turut memenuhi slot pertunjukan filem pendek terbaharu arahannya yang bertajuk Pesona...ter berharap festival itu diteruskan pada masa akan datang.

"Festival seperti ini merupakan tempat lazim untuk golongan remaja yang meminati variasi seni tanah air. Ini memberi gambaran bahawa Malaysia mempunyai komuniti yang cintakan seni walaupun pertama kali dianjurkan," jelasnya.

KLEC mercu tanda baharu KL

Posted:

KLEC mercu tanda baharu KL

KLEC mercu tanda baharu KL

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


KLEC bakal menjadi satu lagi mercu tanda hab bersepadu moden untuk bangunan pejabat dan kediaman di Kuala Lumpur.


MULA dilancarkan pada 15 November tahun lalu, KL Eco City (KLEC) dicanang sebagai sebuah pembangunan bersepadu yang terdiri daripada pelbagai aspek komersial serta kediaman.

Pembangunan berskala 24 hektar yang terletak di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur itu berdekatan dengan kawasan pembangunan pusat beli-belah Mid Valley City.

KLEC menempatkan menara pejabat, pejabat strata, pejabat butik dan menara kediaman. Sehingga kini, hampir 90 peratus unit menara kediaman Vogue Suites One telah habis dijual dalam tempoh setahun selepas ia dilancarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Tan Sri Liew Kee Sin memberitahu, banyak unit yang ditawarkan dalam KLEC untuk fasa yang pertama telah habis dijual kepada pelabur tempatan dan luar negara dalam tempoh yang singkat.

"Pejabat strata merupakan antara unit yang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelabur.

"Fasa pertama pembangunan KLEC kini sedang dilaksanakan, manakala fasa kedua projek akan bermula pada penghujung tahun hadapan," ujarnya dalam sidang akhbar selepas sesi pelancaran Pusat Antarabangsa Setia (SIC) pada 28 November lalu.

Hadir menyempurnakan pelancaran SIC, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Projek empat fasa yang dijangka siap sepenuhnya 10 tahun akan datang itu mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sehingga kini nilai jualan terkumpul adalah RM2.5 bilion.


KEE SIN (dua dari kanan) memberi penerangan mengenai replika tapak pembangunan KLEC kepada Raja Nong Chik.


Selain itu, projek KLEC juga bertujuan untuk menjadikan pembangunan bersepadu yang berasaskan alam semula jadi dan hijau di Malaysia.

Menerusi KLEC, syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1974 itu turut menyasarkan sijil Indeks Pembangunan Hijau (GBI).

Kemudahan awam

Menyentuh mengenai SIC, ia bakal dijadikan destinasi kepada pelabur untuk mendapatkan informasi mengenai projek pembangunan KLEC.

Hartanah KLEC bukan sahaja merupakan hab untuk pembangunan ikonik yang menempatkan menara pejabat dan kediaman, malah pembangunan itu turut diperkuatkan lagi dengan sistem pengangkutan awam yang baik.

Projek itu bakal menghubungkan sistem pengangkutan terbaik di ibu kota iaitu dengan tiga rangkaian rel stesen transit aliran ringan (LRT), KTM Komuter dan Transit Pantas Massa (MRT).

"Tiga projek pengangkutan awam ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2015 dan akan memberi kemudahan kepada orang ramai dan penduduk yang tinggal berdekatan dengan Lembah Pantai terutamanya di Bangsar dan Pantai Baharu," jelas Raja Nong Chik.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved