Ahad, 16 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Lali ejekan kerana yakin manfaat

Posted:

Lali ejekan kerana yakin manfaat

Lali ejekan kerana yakin manfaat

LAPAN tahun lalu, Khairuddin Aziz, 34, mengalami keracunan makanan. Ekoran peristiwa itu, dia mula mengkaji semula rutin sajian yang diambil, adakah ia benar-benar menjamin kesihatan dirinya?

Berdasarkan rekod yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih 3,500 kes keracunan makanan dilaporkan pada tahun 1995. Pada tahun 2010 pula, 12,519 kes dicatatkan atau 44.18 kadar kejadian per 100,000 populasi. Tahun 2011 mencatatkan peningkatan kepada 56.25 kadar kejadian per 100,000 populasi.

Sokongan faktor tersebut mendorong Khairuddin menolak makanan berasaskan daging yang berjaya diamalkan selama enam bulan. Sepanjang tempoh itu, dia hanya mengambil ikan sebagai sumber utama protein. Menyedari teknik itu berkesan bagi mengekalkan tahap kesihatan, Khairuddin lantas mengambil langkah drastik menjadi vegetarian sepenuh masa, tanpa sebarang daging ataupun makanan laut yang lain.

"Tempe, kentang, nasi putih, sayur-sayuran dan cendawan menjadi antara sumber makanan utama. Saya tidak melihat vegetarianisme membataskan nikmat pemakanan. Sebenarnya terlalu banyak pilihan makanan yang boleh diambil oleh pengamal vegetarian.

"Nasi ayam, nasi lemak, nasi goreng dan makanan tempatan lain semua boleh diambil, cuma daging atau ikan itu digantikan dengan bahan lain seperti cendawan atau tauhu," ujar Khairuddin yang merupakan presiden bagi Persatuan Belia Bebas Dadah (DFYA).

Natijahnya, amalan baharu Khairuddin itu turut didorong oleh pelbagai penyakit berbahaya yang diakibatkan oleh haiwan seperti selesema burung. Selain itu, suntikan antibiotik, vaksin atau enzim tertentu bagi tujuan tumbesaran dan kawalan penyakit ke atas haiwan ternakan seperti ayam, menambahkan kebimbangan dalam diri lelaki yang berasal dari Klang, Selangor itu.

Tambahnya: "Saya ragu-ragu untuk makan daging sebab tidak tahu banyak mana bahan kimia yang terkandung dalam haiwan tersebut dan ia mungkin memberi efek kepada tubuh badan manusia yang memakannya."

Sensitiviti


FAKTOR usia dan kesihatan adalah penyebab utama Firdaus menjadi vegetarian.


Pernah diperli teman-temannya dengan kenyataan yang meragut sensitiviti berkaitan agama dan kepercayaan, Khairuddin mengabaikan ejekan tersebut kerana enggan mencetuskan provokasi yang mampu mengeruhkan hubungan persahabatan.

Tambah lelaki yang tidak mengecualikan produk tenusu dalam menu hariannya, stigma masyarakat Malaysia terhadap pengamal vegetarian berbangsa Melayu masih belum berubah. Kesempitan fikiran sebahagian orang Melayu membuatkan vegetarian di Malaysia kurang mendapat perhatian dan hidup dalam sedikit tekanan.

Konflik psikologi itu turut dilalui Mohd. Firdaus Mustapa Rusdy, 30, yang merupakan vegetarian kategori lacto-ovo, iaitu pemakan sayuran namun turut mengambil produk tenusu dan telur.

"Pada awal saya menjadi vegetarian bermula bulan Mei tahun lepas, keluarga sedikit menentang dan hairan dengan tindakan saya untuk tidak memakan daging.

"Rakan-rakan Melayu juga menganggap ia sebagai satu gaya hidup yang pelik dan mengaitkan ia dengan kepercayaan sesetengah agama lain, dan bukan menjadi panduan yang ditetapkan agama Islam.

"Saya tidak rasa ia ganjil kerana alternatif pemakanan bukan ditentukan berdasarkan sesuatu bangsa atau kepercayaan. Selagi ia halal dan menjamin kesihatan, tiada yang salah dengan amalan vegetarian.

"Ibu saya sendiri sudah mula meyakini pilihan saya melihat kepada keadaan saya yang jarang sakit. Dia juga menyediakan menu khas untuk saya di rumah manakala bapa saya memberi dorongan agar terus konsisten sebagai vegetarian," panjang lebar penjelasan Firdaus ketika ditemui di Restoran PappaRich, The Curve, Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya lagi, cabaran bergelar vegetarian banyak berkisar dengan psikologi. Contohnya, apabila hadir ke majlis barbeku, mental perlu kuat untuk tidak terpengaruh dengan hidangan makanan berasaskan daging yang sememangnya lazat.

Begitu juga dengan godaan makanan segera, wajar dikawal agar usaha yang dibina tidak terlebur begitu sahaja. Namun, cabaran paling besar sudah tentu apabila sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha diraikan seluruh umat Islam di seluruh negara.

"Hari raya menjadi waktu yang agak menyulitkan kepada pengamal vegetarian Melayu. Kami tidak boleh makan rendang ayam atau daging, memang dianggap rugi kebanyakan orang.


MENU vegetarian juga perlu seimbang dengan nutrisi yang diperlukan badan.


"Namun, menu lain seperti nasi himpit, kuah kacang, kuah lodeh dan kuih-muih boleh diambil tanpa sebarang keraguan," kongsi Firdaus yang memilih untuk menjadi vegetarian atas sebab kesihatan dan usia yang semakin meningkat.

Pilihan individu

Sememangnya diakui, restoran yang menawarkan sajian vegetarian di Malaysia yang diusahakan orang Melayu agak terhad. Oleh yang demikian, Firdaus adakalanya terpaksa memesan menu khas apabila berkunjung ke restoran biasa.

Ada sesetengah kedai enggan memenuhi permintaannya ekoran kesukaran meletakkan harga yang telah ditetapkan. Namun, ia berbeza dengan pelakon dan pengacara jelita, Sazzy Falak yang tidak melihat situasi itu sebagai alasan untuk berputus asa menjadi vegetarian.

Berkongsi pengalamannya yang mula menjadi vegetarian kategori pescatarian, iaitu mengambil makanan laut untuk tempoh kira-kira lima tahun dulu, Sazzy sekadar memesan menu yang tidak berkaitan dengan daging.

"Kini saya seorang vegetarian, bermaksud makanan laut pun saya tidak ambil. Baru-baru ini saya cuba untuk menjadi seorang vegan, iaitu kategori vegetarian paling ketat yang tidak boleh mengambil daging, makanan laut, telur termasuk produk tenusu.


JUS buah-buahan turut menjadi pendamping setia Sazzy.


"Ia cuma bertahan lebih 20 hari dan saya bangga dengan pencapaian tersebut. Bagi saya, restoran untuk vegan memang susah ditemui terutamanya bagi orang Melayu," cerita Sazzy yang ditemui di Boost Juice, Bangsar Village, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Saat mengandung dan bersalin anak kembarnya, Iman Lily dan Tiara Rose pada April tahun lepas, Sazzy terpaksa menghentikan rutin vegetarian yang dijalankan bagi mendapatkan nutrisi berkhasiat daripada makanan berdaging.

"Saya tidak ralat berhenti sekejap dan merasakan tidak ia melanggar sebarang syarat. Menjadi vegetarian adalah pilihan individu untuk tujuan kesihatan.

"Individu itu sendiri boleh memilih berapa lama dia mahu menjadi vegetarian dan bila dia mahu menghentikan amalan itu untuk sementara waktu," ungkap Sazzy yang mengacarakan rancangan di saluran ESPN.

Sementara itu, Sazzy juga mendapati kulitnya menjadi lebih cantik dan sihat selepas bergelar vegetarian. Katanya: "Apabila saya bangun tidur pada waktu pagi, kulit wajah tampak segar dan badan pula rasa ringan."

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved