Rabu, 12 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Fear Factor versi Malaysia

Posted:

Fear Factor versi Malaysia

Fear Factor versi Malaysia

PENGARUH dan aura besar ternyata dimiliki program permainan sukan aksi, Fear Factor. Tidak hanya di Amerika Syarikat (AS), program yang membabitkan makanan jijik, ketakutan, ketinggian dan psikologi mental peserta itu telah diadaptasi di 36 buah negara termasuk Indonesia dan kini Malaysia.

Sejarah awal Fear Factor sebenarnya berasal dari Belanda yang dihasilkan oleh Endemol USA iaitu pengeluar TV dan syarikat pengedaran antarabangsa yang berpangkalan di negara tersebut.

Di Belanda, ia dikenali sebagai Now or Neverland, namun bagi pasaran AS bermula pada tahun 2001, judulnya ditukar kepada Fear Factor.

Bagi Fear Factor versi AS yang menawarkan ganjaran AS$50,000 (RM160,000) bagi juara, ia bukan sahaja membabitkan penyertaan pasangan dalam kalangan keluarga tetapi juga sahabat.

Bagi tujuan tarikan komersial berganda, ia turut membabitkan model, ahli sukan gusti, ratu cantik dan bintang realiti daripada program The Amazing Race, Survivor, American Idol, The Apprentice dan The Real World.

Terdapat tiga cabaran dalam Fear Factor iaitu melibatkan fizikal, mental dan aksi di dalam filem. Cabaran pertama, membabitkan fizikal yang direka bentuk untuk menguji ketahanan diri setiap peserta atau pasukan. Contohnya seperti melompat dari satu bangunan ke bangunan yang berikutnya.

Cabaran kedua, ia membabitkan mental peserta iaitu makan makanan yang menjijikkan seperti makan bahagian-bahagian badan binatang yang jijik, serangga hidup atau campuran pelbagai jenis serangga dan binatang yang sudah dikisar.

Terdapat juga cabaran lain yang melibatkan mental peserta seperti membenamkan kepala atau tidur bersama dengan pelbagai jenis binatang seperti tikus, lipas, labah-labah, ular dan cacing.

Peserta dalam cabaran kedua ini juga perlu melalui ketahanan kesakitan seperti merasai asap pemedih mata, berjalan di atas kaca yang pecah dengan keadaan kaki terdedah atau makan lada paling pedas di dunia iaitu habanero.

Cabaran ketiga yang juga terakhir pula melibatkan lagak ngeri seperti di dalam filem iaitu sama juga dengan cabaran pertama. Biasanya ia melibatkan ketinggian, air, kenderaan atau gabungan ketiga-tiganya sekali.

Mungkin cabaran-cabaran pelik dan menarik yang ditonjolkan dalam Fear Factor menyebabkan ia mempunyai nilai komersial yang tinggi sehingga diadaptasikan untuk dijadikan program TV seumpamanya di 36 buah negara.


SERAMAI 30 selebriti terkenal tempatan menyertai musim pertama Fear Factor Selebriti Malaysia.


Stesen televisyen Astro iaitu Astro Ria (saluran 104) buat julung-julung kalinya membawa program Fear Factor ke Malaysia dan telah diubah suai serta diberi nafas baharu mengikut kesesuaian budaya dan kehidupan masyarakat Malaysia iaitu Fear Factor Selebriti Malaysia.

Menurut Pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli, perkara-perkara jijik dan aktiviti-aktiviti yang menyalahi budaya Malaysia tidak akan ditonjolkan dalam program Fear Factor Selebriti Malaysia.

"Pihak kami amat peka dengan isu yang melibatkan sensitiviti penonton. Jika melihat format program asal, peserta akan diuji dengan memakan benda-benda yang menjijikkan, tetapi ia tidak akan berlaku dalam program ini.

"Fear Factor Selebriti Malaysia dihasilkan mengikut kesesuaian budaya negara kita tetapi cabaran yang melibatkan rasa ketakutan, ketinggian dan psikologi mental masih dikekalkan," ujarnya.

Biarpun tidak memaparkan cabaran makanan yang menjijikkan, jelas Raqim, Fear Factor Selebriti Malaysia masih mampu menjadi daya tarikan penonton kerana cabaran yang melibatkan kekuatan fizikal dan penggunaan haiwan yang menakutkan terpaksa dilalui selebriti-selebriti tempatan.

Seramai 30 selebriti (dibahagikan kepada 13 kumpulan) menyertai Fear Factor Selebriti Malaysia antaranya Johan As'ari, Didie Alias, Zoey, Dafi, Jehan Miskin, Ezlynn, Elfira Loy, Kaka, Mejar Dr. Faiz, Hairul Azreen, Farish Aziz, Azam Pitt, Akim Ahmad, Gambit Saifullah, Zawen Anwar, Roslan Shah dan Norisham Ismail.

Menjelaskan mengenai pemilihan selebriti menyertai program tersebut, Raqim memberitahu, 30 selebriti yang dipilih diwajibkan menjalani ujian fizikal yang disediakan pihak produksi Fear Factor Selebriti Malaysia.


FEAR Factor Selebriti Malaysia dihasilkan mengikut kesesuaian budaya Malaysia.


"Kami tidak memilih mereka secara rambang. Sebaliknya, setiap selebriti yang dipilih diwajibkan untuk menjalani ujian kesihatan fizikal. Mereka juga dinilai menerusi pencapaian di kaca TV sama ada dalam bidang pengacaraan, lakonan mahupun nyanyian.

"Bukan itu sahaja, setiap selebriti yang dipilih juga sudah menjalani latihan lasak selama lima hari dalam Boot Camp di Batu Caves, Selangor, seperti 'rock climbing' dan menyelam sebelum memulakan penggambaran di Cape Town, Afrika Selatan," jelasnya.

Dikendalikan oleh pelakon popular Aaron Aziz, Fear Factor Selebriti Malaysia akan ditayangkan pada 29 Disember ini, pada setiap hari Sabtu, pukul 9 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria 104.

Pemenang utama Fear Factor Selebriti akan menerima wang tunai sebanyak RM200,000 manakala pemenang bagi cabaran mingguan pula bakal menerima wang berjumlah RM10,000.

Pengalaman selebriti

Sementara itu, Aaron Aziz yang berkongsi pengalamannya sebagai hos Fear Factor Selebriti Malaysia memberitahu, dia juga perlu melakukan lima cabaran untuk tujuan mempromosikan program tersebut.

Ujarnya, dia yang sememangnya takut dengan ketinggian tetapi terpaksa juga melakukan cabaran tersebut.

"Walaupun saya seorang yang gayat dan takut pada ketinggian, saya tetap melakukan cabaran jatuh dari bangunan (free fall) setinggi sembilan tingkat," jelasnya.

Selain daripada cabaran ketinggian, kata Aaron, dia juga kena melakukan aksi di dalam kereta yang diterbalikkan, duduk dalam kontena yang penuhi dengan ular dan tergantung pada tali helikopter yang sedang bergerak.

Malah, kata Aaron, dia juga perlu melakukan aksi di dalam air namun dia tidak dapat melakukannya kerana terkena penyakit pneumonia dan doktor sarankan supaya pelakon Adam dan Hawa itu tidak lakukan cabaran tersebut.


ZOEY (depan kiri) dan Dafi (belakang) sedang beraksi dalam Fear Factor Selebriti Malaysia.


Ditanya apakah kepentingan yang diperoleh dengan penyertaannya dalam program tersebut, ulas Aaron, Fear Factor Selebriti Malaysia mengajarnya tahap kepercayaan pada diri sendiri.

"Cabaran tersebut merupakan perkara baharu yang kita perlu lakukan. Bagaimana kita paksa diri dan percaya untuk lakukannya sehingga berjaya," katanya.

Menurut salah seorang selebriti yang menyertai program tersebut, Zoey atau nama sebenarnya Mohd. Hairey Azhar Abd. Rahman, dia berjaya mengharungi ketakutan pada kala jengking selepas menyertai Fear Factor Selebriti Malaysia.

Ulasnya yang berpasangan dengan penyanyi Dafi, dia perlu melakukan cabaran meletakkan kala jengking di muka dan merasai pengalaman disengat kala jengking.

"Sebelum ini memang saya takut dengan kala jengking, tetapi selepas menyertai Fear Factor Selebriti Malaysia saya tidak takut pada binatang itu malah tahu bagaimana pergerakannya.

"Walaupun saya disengat oleh beberapa ekor kala jengking saya tetap meneruskan cabaran tersebut," ceritanya.

Menurut penyanyi Ezlynn pula yang bergandingan dengan salah seorang peserta MasterChef musim pertama, Nik Michael, setelah menyertai Fear Factor Selebriti Malaysia dia dapat menangani masalah dengan tenang malah mengatasi rasa ketakutannya.

Begitu juga dengan pelakon Gambit yang memberitahu, biarpun mengalami kecederaan ketika melakukan beberapa aksi lasak tetapi dia tetap menyelesaikan cabaran tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved