Jumaat, 21 Disember 2012

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Norzalehawaty lakukan tugas sama seperti lelaki

Posted:

Norzalehawaty lakukan tugas sama seperti lelaki

Norzalehawaty lakukan tugas sama seperti lelaki

Oleh SUHANA VERU
rencana@kosmo.com.my

JIKA dilihat secara rawak, kerjaya sebagai penghantar surat dan bungkusan yang biasa dipanggil despatch di negara ini dimonopoli kaum Adam. Fitrah tugas yang menuntut kepantasan, kecekapan dan ketelitian tindakan itu dirasakan sesuai untuk golongan lelaki.

Istilah Mat Despatch yang menjurus kepada pekerja lelaki juga seperti sudah sebati dalam kalangan pekerja di syarikat-syarikat yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

Begitupun, ia bukan bermakna pintu kerjaya itu tertutup buat kaum Hawa. Bukan calang-calang wanita yang sanggup mengerah kudrat mereka bekerja sebagai despatch memandangkan mereka terpaksa bekerja di bawah panas matahari untuk menghantar surat dan bungkusan.

Namun demikian, lain pula bagi Norzalehawaty Kosni, 26, yang berani menyahut cabaran demi mencari rezeki sejak enam tahun yang lalu.

Tidak melihatnya sebagai cabaran yang sukar untuk dihadapi, Norzalehawaty yang lebih mesra dengan panggilan Uda nekad untuk menjadi lebih cekal dan tidak mengenal erti putus asa.

Menurutnya, tidak kira apa jenis pekerjaan ia perlu dilakukan dengan ikhlas dan jujur selain perlu ada minat dan kesungguhan.

Ketika diajak bersembang mengenai pembabitannya dalam pekerjaan itu, Uda tersenyum panjang dan tidak menyangka akan terjun dalam bidang itu memandangkan sebelum ini dia bekerja di kedai makan dan kilang.

Cerita anak jati Klang itu lagi, pada usia 12 tahun dia telah mula bekerja di sebuah kedai makan lantaran kehilangan peluang dan minat untuk meneruskan pelajaran.

Selepas hampir lima tahun bekerja sebagai pelayan di restoran sekitar Lembah Klang dan Shah Alam, akhirnya anak keempat daripada enam beradik itu membuat keputusan untuk bekerja di kilang bagi meningkatkan sumber pendapatannya.

Walau bagaimanapun, Uda hanya sempat bekerja selama setahun kerana terlibat dalam kemalangan motosikal. Sebaik sembuh, dia tidak pernah berhenti mencari pekerjaan.

Segala jawatan kosong yang disiarkan dalam surat khabar mahupun risalah, dia tidak pernah terlepas untuk memohon pekerjaan namun nasib tidak menyebelahinya.

Melihatkan tiada perkembangan dari mana-mana syarikat untuk mengambilnya bekerja, usaha Uda tidak terhenti setakat itu sahaja sehingga dia sanggup memohon pekerjaan sebagai despatch di TNT Express Worldwide di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

Tidak sampai seminggu, Uda menerima panggilan telefon daripada syarikat TNT untuk menghadiri sesi temu duga.

"Bersyukur rezeki berpihak kepada saya kerana diterima bekerja. Secara jujur, saya begitu mengharapkan pekerjaan itu kerana enggan duduk di rumah tanpa melakukan sebarang pekerjaan selain dapat membantu ayah untuk menyara keluarga," katanya sambil memberitahu dia ditawarkan gaji pokok sebanyak RM800.

Bermula dari bawah

Buat permulaan, Uda diberikan tugas di bahagian penghantaran yang dikenali sebagai Ground Service Ambassador (GSA).


WALAUPUN melibatkan diri dengan kerja-kerja yang memerlukan tenaga seperti lelaki namun Norzalehawaty membuktikan dia mampu melakukannya.


Skop tugasnya merangkumi pengagihan surat dan bungkusan untuk dihantar kepada pelanggan.

Uda perlu memulakan kerja-kerja itu dari pukul 8 pagi hingga 7 malam. Namun, dalam tempoh masa itu terdapat dua syif tugas bagi pekerja despatch iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan sesi petang pula bermula pukul 2 petang hingga 7 malam.

Dalam pada itu, segala surat yang mahu dihantar perlu diselesaikan pada waktu-waktu itu sebelum pulang ke pejabat.

Sambung Uda, dia perlu memastikan kesemua barangan mahupun dokumen yang perlu dihantar kepada penerima sampai ke lokasi pada hari yang sama.

Dalam mengerjakan tugas hariannya, Uda mengakui tidak terlepas menjadi perhatian orang ramai.

Rata-rata pelanggan tidak percaya seorang wanita sanggup menjadi despatch kerana ia bukanlah kerja pilihan bagi kebanyakan wanita.

Sungguhpun begitu, dia tidak mengambil pusing dengan kata-kata itu dan semua itu sedikit pun tidak melenturkan semangat kentalnya.

Berbicara mengenai cabaran bekerja, siapa sangka di sebalik wajah ceria dan gembira, hakikatnya Uda mengharungi banyak cabaran.

Gadis yang tidak lekang dengan senyuman itu mengakui kerja tersebut bukan mudah kerana dia perlu menggunakan motosikal untuk menghantar dan mengambil surat hampir 20 hingga 40 tempat pada satu-satu masa.

Menurutnya, ia bukan satu tugas yang mudah kerana seseorang perlu mahir dengan selok-belok jalan raya. Ditanya sama ada dia pernah tersesat ketika bertugas, Uda mengakui perkara tersebut adalah lumrah.

Dalam kes-kes sedemikian, dia akan mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan lain untuk memberi tunjuk arah.

Bagi mengatasi masalah itu dia terlebih dahulu akan mencari maklumat menerusi internet untuk ke sesebuah tempat bagi memudahkan perjalanan.

Cabaran kerja

Berbicara lanjut mengenai cabaran sepanjang berkhidmat di TNT, gadis itu memberitahu dia tidak terkecuali dimarahi pelanggan kerana lewat menghantar barangan. Bagaimanapun, masalah tersebut timbul bukan kerana pelanggan itu sendiri tetapi kerana mereka tidak membayar duti kastam.


NORZALEHAWATY (tengah) merupakan satu-satunya pekerja despatch wanita di TNT Express Worldwide di negara ini.


"Kami tidak boleh menyerahkan barangan tersebut selagi mereka tidak berbuat demikian (bayar duti kastam). Namun, apa yang terjadi kami pula dimaki hamun," ungkapnya sambil memberitahu kadangkala pelanggan tidak memahami tugas despatch.

Selain cabaran-cabaran itu, Uda juga berhadapan dengan masalah seperti ketiadaan lif di dalam bangunan.

"Bayangkan, saya terpaksa mengambil kotak-kotak yang berat untuk menghantar barangan dengan menaiki tangga. Ia bukan sahaja memenatkan malah menguji kesabaran," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya bagaimana dia boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang dimonopoli golongan lelaki, Uda berkata, pada mulanya agak sukar untuk dia berdepan dengan keadaan tersebut.

Namun demikian, dengan mempunyai kemahiran bergaul selain pandai membawa diri di tempat kerja, Uda hanya mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menyesuaikan diri.

Berbekalkan berkat kesabaran dan kecekalan Uda selama ini akhirnya pada tahun lalu, dia tidak lagi menggunakan motosikal untuk melakukan tugas-tugasnya itu.

Kini, Uda membawa van untuk melakukan kerja-kerja penghantaran ke kawasan yang ditetapkan. Biarpun, tidak lagi perlu mencari tempat berteduh daripada hujan Uda mengakui tugasnya semakin mencabar.

"Jika dulu, saya boleh mencelah ketika kesesakan lalu lintas bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan namun kini tidak lagi.

"Malah, saya kini perlu membawa barangan besar dan mencari tempat meletak van untuk menghantar barangan tersebut," katanya sambil tersenyum.

Walau apa jua cabaran dalam pekerjaan itu, Uda mengakui dia gembira dengan bidang tugasnya kerana tidak perlu 'memerap' diri dalam pejabat dan menghadap komputer sepanjang masa.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan akan datang, Uda tidak berhasrat untuk berhenti daripada pekerjaan itu kerana dia gemar bekerja di luar.

Senaman cergaskan otak

Posted:

Senaman cergaskan otak

Senaman cergaskan otak


AKTIVITI senaman seperti berjoging, berjalan atau mendaki baik untuk kesihatan jantung dan otak.


JIKA anda telah berusia lebih daripada 40 tahun, anda mungkin pernah mengalami keadaan tidak ingat barang yang telah diambil atau mahu digunakan untuk tujuan apa?

Selain itu, anda mungkin berjalan ke dalam sebuah bilik dan lupa mengapa anda masuk ke bilik tersebut atau anda mungkin kabur tentang peristiwa masa lalu.

Bagaimanapun, sifat pelupa itu tidaklah seharusnya dilihat sebagai satu masalah yang membimbangkan. Ia mungkin kerap berlaku kerana anda tertekan atau bekerja keras.

Dalam pada itu, satu kajian pembangunan perubatan penyakit nyanyuk di Jepun mendapati individu yang aktif dalam sukan kurang berkemungkinan mengalami pengecutan otak.

Senaman yang dilakukan secara berkala bukan saja menghindari penurunan fungsi otak disebabkan peningkatan usia, tetapi membantu mengembalikan kecergasan otak.

Di samping itu, sama ada seseorang itu mempunyai sifat lupa atau tidak, mereka disarankan melakukan aktiviti fizikal yang sederhana untuk meningkatkan fungsi otak.

Berikut merupakan aktiviti yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian anda:

1. Naik dan turun tangga

Bagi yang sukar untuk memulakan senaman, dengan memanjat tangga ia dapat membantu mengepam darah ke otak.

Senaman yang mudah itu boleh dilakukan di rumah sahaja.


KEMEROSOTAN fungsi otak boleh terjadi seiring dengan peningkatan usia.


2. Meletakkan kenderaan di tempat jauh

Kebanyakan orang gemar mencari kawasan tempat letak kereta yang hampir dengan kawasan yang ingin dituju.

Apabila anda telah mendapat tempat itu, anda berasa seolah-olah menang loteri.

Bagaimanapun, tindakan itu hanya merugikan individu berkenaan. Justeru, orang ramai disarankan meletakkan kenderaan mereka lebih jauh dari tempat biasa.

Dengan berjalan ia bukan sahaja memperbaiki sistem jantung, malah menawarkan banyak manfaat kepada kesihatan.

3. Aktif

Bagi individu yang berasa diri mereka kurang aktif dalam aktiviti sukan, mereka masih boleh melakukan aktiviti yang ringkas seperti berjalan bersama rakan-rakan.

Sambil berbual dengan rakan, anda bukan sahaja dapat meluangkan masa bersama-sama, tetapi juga boleh mengeluarkan peluh.

Walau bagaimanapun, penyelidik berkata, masih banyak persoalan yang belum dijawab mengenai kesan senaman terhadap otak.

Namun demikian, mereka percaya mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti senaman yang sederhana akan meningkatkan fungsi otak.

Selain itu, senaman sedemikian dilihat dapat mengurangkan penurunan keupayaan saraf yang biasa dilihat pada orang tua.

Sumber: http://www.myhealthnewsdaily.com

Hari bersejarah 16 pasangan mempelai

Posted:

Hari bersejarah 16 pasangan mempelai

Hari bersejarah 16 pasangan mempelai

Oleh NOR SYARIZA MUHD. TAHIR
norsyariza.tahir@kosmo.com.my


SEBAHAGIAN daripada 16 pasangan mempelai yang gembira setelah majlis bersejarah itu berjalan dengan lancar.


SUASANA di pekarangan Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor pada pagi itu kelihatan meriah dengan beberapa buah khemah yang dipasang dan bunga manggar yang dipacakkan di hadapan masjid.

Di dalam masjid dua tingkat yang tersergam indah itu, kelihatan tetamu dan keluarga raja sehari duduk dengan tenang.

Turut kelihatan deretan teruna dara dengan riak wajah yang resah gelisah sambil mendengar khutbah yang disampaikan oleh Ketua Pendaftar, Pernikahan, Perceraian dan Rujuk Perundangan Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Aluwi Parman.

Pengantin lelaki kelihatan segak dengan persalinan bak pahlawan Melayu, bersampin dan bersongkok. Begitu juga dengan deretan gadis yang duduk bersimpuh dengan memakai aneka busana indah yang diserikan dengan inai merah di jari.

Riak gembira bercampur gelisah dapat dilihat pada wajah masing-masing yang berdebar menantikan saat diijabkabulkan pada hari penuh bersejarah itu.

Mereka ialah 16 pasangan mempelai yang dinikahkan dalam satu majlis pernikahan beramai-ramai yang dianjurkan oleh jawatankuasa Masjid Al-Khairiyah khusus buat penduduk Sri Gombak.

Usai sahaja khutbah, satu demi satu pasangan dinikahkan oleh lima orang jurunikah bertauliah yang dilantik oleh JAIS.

Pelbagai gelagat dapat diperhatikan pada setiap mempelai, ada yang mengalirkan air mata kerana terharu, ada yang terpaksa mengulangi lafaz nikah kerana terlalu cemas bahkan ada yang kelihatan tenang sahaja.


ANGGUN. Wajah setiap pengantin kelihatan berseri-seri dengan busana raja sehari yang indah.


Fasa baharu

Apa yang pasti, dalam diri setiap pasangan tersimpul satu perasaan gembira dan bahagia kerana mereka telah memasuki satu fasa baharu dalam kehidupan masing-masing.

Bagi pasangan Muhamad Nazerin Shah Ashrudin, 21, dan Nora Shirda Mohd. Noor, 28, mereka mendapat tahu mengenai majlis pernikahan beramai-ramai itu dalam satu taklimat yang diadakan di masjid tersebut.

"Kami ingin merasakan pengalaman bernikah secara beramai-ramai kerana ia sesuatu yang menarik dan jarang dilakukan oleh orang lain.

"Saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan pengalaman ini pasti akan menjadi kenangan terindah seumur hidup saya," ujar Nazerin yang sekali-sekala mengusik isterinya.

Selesai upacara tersebut, kesemua pasangan pengantin dibawa ke meja santapan untuk acara makan beradab dengan diiringi ahli keluarga terdekat.

Menariknya, selepas acara tersebut tamat, pihak penganjur menjalankan aktiviti cabutan bertuah buat para pengantin. Antara hadiah menarik yang disediakan termasuklah pakej bulan madu ke beberapa destinasi menarik di Malaysia dan beberapa barangan elektrik.

Sementara itu, bagi pasangan muda masing-masing berumur 23 tahun, Mohd. Khairuddin Samsuddin dan Alpina Akiruddin, pada asalnya mereka merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan.

"Sebaik sahaja mendapat tahu mengenai program ini, kami terus mendaftarkan diri kerana ia dapat menjimatkan perbelanjaan perkahwinan," ujar Alpina sambil tertawa riang di sisi Khairuddin yang sah menjadi suaminya.


KEMERIAHAN majlis pernikahan turut dirasai sekalian yang hadir tanpa mengira usia.


Ringankan beban

Sementara itu, Nazir Masjid Al-Khairiyah, Mohd. Rozi Salleh menjelaskan, majlis tersebut diadakan bagi membantu meringankan beban perbelanjaan perkahwinan yang perlu ditanggung oleh pasangan yang mahu berkahwin.

"Pihak masjid berharap agar dengan adanya majlis seperti ini sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan kos perkahwinan pasangan mempelai memandangkan kos belanja kahwin pada hari ini semakin tinggi," katanya.

Kesemua perbelanjaan majlis pada hari itu ditaja sepenuhnya oleh pihak masjid dan beberapa penaja lain sebagai salah satu usaha program tanggungjawab sosial masjid untuk penduduk setempat.

"Ini merupakan acara perkahwinan kali yang kedua pihak masjid menganjurkan program seumpama ini, kerana sebelum ini majlis pernikahan lima pasangan pengantin pernah diadakan pada 1 Muharam lalu.

"Pihak masjid akan menjadikan program ini sebagai aktiviti tahunan memandangkan sambutan yang diterima sangat menggalakkan," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved