Kosmo Online |
- Empat dikhuatiri lemas, kereta terbabas ke dalam sungai
- Labuan mempunyai 19 hari cuti umum pada 2013
- PDRM tamat misi di Timor Leste akhir tahun ini
Empat dikhuatiri lemas, kereta terbabas ke dalam sungai Posted: Empat dikhuatiri lemas, kereta terbabas ke dalam sungai13/11/2012 9:33pm PENDANG — Empat individu yang tidak dikenali identitinya dikhuatiri lemas setelah kereta yang mereka naiki terbabas ke dalam Sungai Padang Kerbau, Titi Haji Idris dekat sini hari ini. Kejadian berlaku kira-kira 1.30 petang tadi apabila kereta jenis Proton Saga berwarna putih dipercayai masuk ke Kampung Titi Haji Idris dekat sini, iaitu kira-kira 200 meter dari jalan utama Titi Haji Idris- Pekan Pendang dengan tempat kejadian. Siti Fatimah Hussin, 34, berkata, dia ketika itu yang berada di hadapan rumahnya yang bertentangan dengan tempat kejadian ternampak sebuah kereta dari jalan utama menghala masuk ke kampungnya dan tiba-tiba dia terdengar bunyi dentuman kuat dari arah sungai. Katanya, kereta tersebut yang terbabas ke dalam sungai tenggelam dengan cepat akibat arus sungai yang deras. Bagaimanapun tiada kelibat mangsa yang cuba keluar daripada kenderaan tersebut bagi menyelamatkan diri. "Saya dengar bunyi "boom" dan terus nampak ada kereta dah jatuh dalam sungai. Kemudian saya beritahu jiran dan tak lama kemudian kereta tu terus tenggelam. Saya terus hubungi bomba dan polis," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini. Difahamkan kesemua mangsa bukan penduduk kampung tersebut dan mungkin orang luar yang datang untuk melakukan aktiviti memancing di kawasan sungai itu. Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Setar, Mohd. Faizol Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.30 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan 22 anggota dari Pendang dan Kota Setar termasuk empat penyelam. Katanya, operasi mencari dan menyelamat yang bermula pada 2.30 petang tadi bagaimanapun menghadapi kesukaran ekoran arus sungai yang terlalu deras serta keadaan sungai yang dalam iaitu kira-kira 5 meter. JPAM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Setar menggunakan dua bot bagi melakukan kerja-kerja menyelamat dan mencari kenderaan mangsa di sekitar kawasan tersebut. Setakat pukul 5 petang ini usaha mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai lemas, gagal. — BERNAMA |
Labuan mempunyai 19 hari cuti umum pada 2013 Posted: Labuan mempunyai 19 hari cuti umum pada 201313/11/2012 9:31pm LABUAN — Labuan akan mempunyai 19 hari cuti umum tahun depan berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan cuti umum perayaan Deepavali juga mencakupi Wilayah Persekutuan itu. Enam daripada 19 hari hari cuti umum pada tahun itu, sama ada jatuh pada hari Jumaat atau Isnin, akan melanjutkan cuti hujung minggu — masing-masing dua pada Februari dan Mei, dan setiap satu pada Jun dan September. Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal mengucapkan terima kasih kepada Najib terhadap pengumuman itu. "Pengumuman yang telah lama ditunggu-tunggu sudah pasti disambut baik oleh penduduk Labuan," katanya. Bilangan penganut Hindu di Labuan telah meningkat dan kini dianggarkan lebih 3,000 orang. Najib membuat pengumuman itu ketika berucap pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MIC di perkarangan kompleks Batu Caves di Kuala Lumpur hari ini. Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan, Labuan juga layak menikmati cuti umum berkenaan. Keputusan itu dibuat oleh Kabinet, kata Najib. — BERNAMA |
PDRM tamat misi di Timor Leste akhir tahun ini Posted: PDRM tamat misi di Timor Leste akhir tahun ini13/11/2012 9:29pm SEPANG — Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyertai Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Timor Leste (UNMIT) akan menamatkan tugas mereka akhir tahun ini. Komander Kontinjen PDRM di Timor Leste, Supt. Mohamad Salleh Khalid berkata, sejak menyertai misi pengaman itu pada 1999, Malaysia telah diiktiraf antara negara yang menjalankan tugas dengan baik. Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas majlis menyambut ketibaan 77 anggota dan pegawai PDRM iaitu 12 wanita dan 65 lelaki yang menyertai misi itu bermula Oktober tahun lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini. Kepulangan mereka disambut Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Bukit Aman SAC Hasanuddin Hassan. Menurutnya, 19 pegawai dan anggota lagi akan pulang ke tanah air esok, tiga hujung bulan ini dan seorang akan kembali ke tanah air bulan depan. Mohamed Salleh berkata, meskipun diterima baik dalam kalangan polis dan rakyat di negara itu, mereka tidak terkecuali daripada menempuh detik mencemaskan apabila hampir 90 kereta dinaiki anggota misi dibaling batu oleh penduduk Timor Leste sehingga cermin kenderaan pecah. "Keadaan masyarakat di sana tak boleh dijangka. Ia berlaku pada 17 Julai lepas apabila rakyat Timor Leste seakan tidak berpuas hati selepas pilihan raya parlimen negara itu diadakan," katanya. Selain itu masalah cuaca yang terlalu panas dan sumber bekalan air terhad adalah antara cabaran yang turut dihadapi, katanya. — BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan