Ahad, 4 November 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Homedec inspirasi kediaman warga kota

Posted:

Homedec inspirasi kediaman warga kota

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
ayman.ghaffa@kosmo.com.my

DALAM kesesakan manusia yang hadir ke pameran jualan Pameran Dekorasi Kediaman 2012 (Homedec) di Dewan Satu hingga Enam Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sebuah rumah yang terletak di tengah-tengah ruang pameran paling menarik perhatian.

Rumah dua tingkat yang menampilkan konsep rumah sebenar itu dinamakan sebagai Urban Loft. Urban Loft mempunyai ciri-ciri kediaman idaman bagi setiap warga kota kerana ia dilengkapi dengan pelbagai hiasan dekorasi moden.

Ia juga ditambah dengan kelengkapan rumah seperti set sofa dan dapur yang ringkas serta kolam renang yang terhampar luas di luar rumah.

Menerusi konsep yang ditonjolkan dalam rekaan rumah di Homedec, ia mampu memberi gambaran dan inspirasi kepada setiap pengunjung yang hadir mengenai konsep kediaman mereka.

Apa yang menariknya mengenai rumah itu ialah ia dipersembahkan dengan dua mood keadaan yang berbeza iaitu untuk waktu siang dan malam.

IBU BAPA juga berpeluang membeli kelengkapan untuk dimuatkan dalam bilik anak-anak.


Tema

Pameran tahunan Homedec tahun ini dibahagikan kepada dua tema berbeza iaitu Design+Renovate yang mewakili bahagian pertama dan Furnish+Decorate pada bahagian kedua.

Bahagian pertama pameran jualan itu berlangsung dari 18 hingga 21 Oktober, manakala bahagian kedua pula dari 25 hingga 28 Oktober lalu.

Pameran pada tahun ini menampilkan 1,500 gerai daripada 430 syarikat industri dekorasi kediaman terkenal tanah air yang berbeza di kedua-dua pameran itu.

Seorang pengunjung yang ditemui pada pameran bahagian pertama, Ho Sit Chye, 49, memberitahu, dia sememangnya menunggu pameran itu saban tahun.

HARGA yang ditawarkan oleh kebanyakan syarikat yang terlibat dengan pameran ini nyata jauh lebih murah daripada harga pasaran.


Dia terus menjejakkan kaki ke pameran tersebut sebaik sahaja ia membuka tirai pada 18 Oktober lalu.

Sit Chye yang bekerja dalam sektor pengurusan perhotelan berkata, kunjungannya ke pameran tersebut antaranya bertujuan untuk mendapatkan idea baharu bagi syarikat tempat dia bekerja.

"Pada tahun ini, saya dapat lihat banyak produk baharu yang berada di pasaran. Antaranya ialah panel bumbung berteknologi tinggi yang jarang ditemui di pasaran, tetapi ada di sini. Ada beberapa barangan kelengkapan yang mungkin akan dibeli untuk syarikat saya.

"Kunjungan saya ke sini juga tidak terhad untuk hal ehwal pekerjaan sahaja. Saya juga dapat melihat pelbagai dekorasi terkini untuk kediaman saya," ujarnya sambil ketawa.

Menurutnya lagi, pameran pada tahun ini lebih tersusun dan lebih variasi terutama dari segi bilangan syarikat dan produk yang dijual.


PELBAGAI jenis dekorasi lampu terkini menjadi tumpuan para pengunjung.


Ulang tahun ke-10

Homedec yang diadakan di Kuala Lumpur sejak tahun 2003, kini telah menyambut ulang tahun ke-10 penganjurannya pada tahun ini.

Pameran tersebut merupakan pemegang rekod pameran dekorasi kediaman terbesar oleh Malaysia Book of Records pada tahun 2010 dan 2011.

Dengan kejayaan itu, pameran berkenaan turut dianjurkan di Pulau Pinang dan Johor selain ke Kota Kinabalu, Sabah pada September lalu.

Bagi Noor Sazulya Zulkifli, 27, kunjungannya bersama suami dan keluarga ke pameran Homedec adalah untuk memilih perabot-perabot terkini yang sesuai bagi kediaman mereka.

"Saya dan suami amat tertarik dengan kepelbagaian perabot seperti set sofa, set meja makan serta lampu hiasan yang dijual di sini. Kebetulan pula, kunjungan kami ini juga merupakan antara persiapan kami untuk berpindah ke kediaman baharu tidak lama lagi.

"Saya juga telah meninjau keseluruhan senarai harga promosi kelengkapan rumah di sini dan saya dapati ada di antaranya dijual 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran," ujar Sazulya ketika ditemui pada pameran Homedec bahagian kedua baru-baru ini.

Menurutnya lagi, setiap gerai yang terlibat juga memberikan informasi yang relevan serta lengkap mengenai setiap produk keluaran syarikat mereka kepada pengunjung.

KUNJUNGAN warga kota ke pameran Homedec mampu memberi idea pengubahsuaian kediaman mereka.


Akuarium hiasan

Sementara itu, pengarah sebuah syarikat hiasan akuarium dan kolam ikan, Aquatic Design, Wee Boon Chen memberitahu, ini merupakan tahun keenam syarikat tersebut menyertai pameran Homedec.

"Setiap kali pameran Homedec membuka tirai, Aquatic Design pasti akan melancarkan produk baharu untuk tatapan para pengunjung. Untuk tahun ini, kami melancarkan akuarium yang turut dilengkapi dengan set perabot yang dibuat khas mengikut permintaan pembeli.

"Sistem akuarium yang ditawarkan oleh syarikat kami tidak menggunakan kos penyelenggaraan yang tinggi dan ia mengambil masa enam bulan sekali untuk setiap penyelenggaraan," ujarnya.

Menurutnya lagi, pada pameran kali ini pihaknya menawarkan potongan harga antara RM500 hingga RM3,000 untuk setiap tempahan akuarium.

Festival Navarathiri di Pasar Seni

Posted:

Festival Navarathiri di Pasar Seni

Oleh NIZHA PERIASWAMY

SETIAP gerak tari klasik India memerlukan kelenturan tubuh luar biasa untuk memukau para penonton.


APABILA bercakap mengenai kompleks Pasar Seni di ibu negara, apa yang dapat dibayangkan ialah ratusan gerai-gerai kecil yang menjual cenderamata dan kartunis yang sedia duduk menghadap kertas putih selain galeri-galeri seni.

Berdiri sebagai sebuah pusat sehenti seni dan warisan, kepelbagaian yang dipamerkan di situ turut menyaksikan beberapa perubahan fasa kemas kini, tentu sekali demi kemudahan pengunjung sekali gus menarik perhatian para pelancong.

Menambahkan lagi nilai tarikannya sebagai hab seni budaya bangsa, baru-baru ini Pasar Seni menjadi tuan rumah kepada festival tarian, seni dan budaya yang dikenali Festival Navarathiri Arts Kuala Lumpur (KLNAF).

Memasuki edisi kelima tahun ini, KLNAF merupakan perayaan sembilan malam yang disambut oleh penganut agama Hindu.

Berbentuk perayaan yang dikhaskan kepada tiga dewi iaitu Saraswathy, Letchumy dan Parvathy, nava bermaksud sembilan dan rathiri bermaksud malam. Sepanjang sembilan hari itu, pentas di pintu masuk utama Pasar Seni menjadi saksi kepada pelbagai persembahan tarian yang lebih menonjolkan nilai seni dan budaya.

PARA penari lelaki yang tidak ketinggalan beraksi pada Festival Navarathiri di Pasar Seni.


Penganjuran istimewa

Menganjurkan KLNAF yang berlangsung dari 16 Oktober hingga 24 Oktober lalu merupakan sesuatu yang sangat istimewa bagi Pengarah Artistik Asthana Arts, Ravi Shanker, dan juga para penari dan pemilik sekolah tarian yang berpusat di Brickfields, Kuala Lumpur itu.

Idea tersebut diinspirasikan ketika Ravi terlibat dalam Festival Tarian Thiruvayur di Chennai dan Festival Tarian di Orisa

Kedua-dua festival di bumi India yang menyatukan aspek budaya antara kumpulan tarian, pemuzik dan aktivis seni di bawah satu bumbung itu telah membangkitkan semangat Ravi untuk mengajurkan festival yang sama di Malaysia.

"Oleh itu, pada tahun 2008, saya mengumpul sekumpulan rakan yang merupakan guru tarian serta pemilik sekolah tarian untuk menganjur satu festival tarian tersendiri di Malaysia," kata Ravi.

Menyentuh mengenai lokasi, Ravi memberitahu, pihaknya memilih Pasar Seni seiring dengan fokus kompleks berkenaan bertunjangkan seni dan warisan.

"Persembahan KLNAF berjaya menarik perhatian bukan sahaja orang ramai, aktivis seni dan pelajar bahkan pelancong asing yang terpukau dengan persembahan yang diberikan," tambah Ravi.

Ravi memberitahu, tahun ini buat pertama kali, dia memperkenalkan tarian kathak dan kuchipudi sebagai tumpuan di KLNAF.

Selain itu tiga lagi genre tarian yang turut dipersembahkan sepanjang KLNAF ialah odissi, mohiniattam dan bharathatanatyam. Semua tarian klasik India itu amnya mewakili setiap budaya dan seni dari pelbagai pelosok negeri di India.

PESERTA bengkel tarian anjuran Ashtaana Arts berpuas hati dengan pendedahan yang diberikan.


Namun, persembahan KLNAF tidak hanya terhad pada lima jenis tarian berkenaan. Ia turut dimeriahkan dengan persembahan tarian merak, fusion dan dramatari Ramayana oleh kanak-kanak menggunakan tarian tempatan Rajasthani.

Lebih membanggakan buat kali pertama, Asthana Arts menganjurkan bengkel mohiniattam yang turut disertai seorang peserta muda berketurunan Cina, Nikki Law Pik Wan, 28.

Penari Nanthakumar dan Mohd. Izzuddin Amir Abdul Malik menyampaikan tarian Varnam selama 25 minit tanpa henti manakala tarian bharathanatyam pula dipersembahkan oleh Nimal Raj.

"Saya berbangga melihat penari Mohd. Izzudin. Dia, seorang graduan bidang biologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan langkah tarian klasikal India, bharathanatyam sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di universiti. Kini, dia seorang penari yang berbakat," puji Ravi.

Persembahan khas

Buat julung-julung kalinya pada tahun ini, enam penari lelaki odissi dari Asthaana Arts iaitu Geethashankaran Pavitheranraj, Thinesh Rajaindren, Vickneswaran, Thanenthiran, Kirhubhamuruga dan Melvin Santhana membuat persembahan khas.

Sementara itu, Aahmu Thirunyanam dan Kannan Rajamanickan menyampaikan tarian mangalacharanam pada hari terakhir.

KLNAF kali ini disifatkan sebagai penganjuran yang berjaya memandangkan ia disertai lebih 70 penari dari usia semuda empat tahun hingga peserta separuh cacat penglihatan dan penari transeksual.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved