Sabtu, 10 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Rezeki daripada kawah beracun

Posted:

Rezeki daripada kawah beracun

Rezeki daripada kawah beracun

Susunan NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR

PELOMBONG belerang menutup muka mereka menggunakan skaf atau baju bagi mengelak daripada terhidu gas beracun.


BELERANG yang terbentuk hasil daripada aktiviti Gunung Ijen di timur Kabupaten Bondowoso, Jawa Timur, Indonesia ternyata memberi faedah kepada penduduk tempatan yang bekerja sebagai pelombong belerang iaitu sejenis sulfur bertoksik.

Perlombongan yang dilakukan di kawah gunung berapi itu masih menggunakan cara lama. Pelombong akan memasukkan ketulan sulfur berwarna kuning ke dalam dua buah bakul rotan dan memikulnya di atas bahu menggunakan kayu pengandar.

Mereka akan mendaki jalan berbatu dari dasar kawah yang terletak di puncak gunung dan berjalan menuruni lereng gunung kira-kira 10 kali sehari.

Perlombongan secara tradisional itu hanya boleh ditemui di Gunung Ijen dan Gunung Welirang di Indonesia. Ia sudah lama diamalkan iaitu sejak penjajahan Belanda di negara itu sekitar tahun 1911.

Penjajah Belanda yang mengetahui gunung berapi itu mempunyai sumber belerang, menggaji masyarakat tempatan secara paksa untuk melakukan perlombongan secara sederhana.

Pada masa itu, belerang tidak dimanfaatkan secara optimum seperti sekarang. Sejak itu, bermulalah kegiatan perlombongan sulfur di Gunung Ijen dan berterusan sehingga kini.

Seorang pelombong, Sahlun Barnawi, 37, berkata dia bekerja sebagai pelombong belerang kerana tidak mempunyai kelulusan tinggi.

"Menjadi pelombong belerang tidak memerlukan pendidikan tinggi. Apa yang diperlukan hanyalah kerja keras dan kekuatan fizikal," ujar Sahlun.

Menurutnya lagi, seorang pelombong perlu memikul beban yang berat demi mendapatkan bayaran kira-kira RM14 sehari.

"Sekali angkut, pelombong mampu membawa bongkah belerang seberat antara 50 hingga 90 kilogram (kg) sambil menuruni batu-batu tebing yang curam dan jalan yang sempit serta berliku-liku.

Gas beracun

"Jika tidak berhati-hati, pasti berlaku kemalangan yang boleh meragut nyawa. Itu belum lagi risiko dari aspek kesihatan. Pelombong belerang terdedah kepada kerosakan paru-paru akibat terhidu gas yang keluar dari kawah tempat batu-batu belerang itu berada," jelasnya.

Sahlun memberitahu, pelombong mendaki 2,000 meter ke puncak gunung setiap pagi dan merentasi laluan berbahaya untuk menjejaki kawah itu sebelum pulang 12 jam kemudian untuk tidur.


SEORANG pelombong membawa pulang belerang yang berwarna kuning cair dengan latar belakang Gunung Ijen di Jawa Timur, Indonesia.


"Kami biasanya melombong belerang setiap dua hari sekali. Namun, jika pelombong inginkan pendapatan tambahan, mereka boleh mendaki semula selepas mengumpulkan belerang itu di sebuah pusat pengumpulan yang terletak di daerah Paltuding," tuturnya yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun melombong belerang.

Kabupaten Bondowoso ialah salah sebuah kawasan di Wilayah Jawa Timur yang bersempadan dengan daerah Situbondo di utara.

Sebenarnya, masyarakat Bondowoso mempunyai pekerjaan yang pelbagai tetapi melombong belerang merupakan pekerjaan turun-temurun sejak dahulu lagi walaupun bilangan mereka yang terlibat semakin berkurangan.

Pelombong juga mempunyai tradisi unik yang tidak pernah ditinggalkan iaitu memberi makanan kepada penjaga gunung berkenaan.

"Tradisi ini menjadi kemestian pada setiap awal Muharam atau lebih dikenali sebagai bulan suro oleh masyarakat di sini," tambah Sahlun.

Bulan suro

Lelaki itu berkata, tradisi bulan suro itu memiliki makna yang tersendiri. Ia biasanya dilakukan dengan menyediakan sajian sebanyak tujuh jenis.

"Pemberian tujuh jenis sajian ini merupakan kepercayaan masyarakat pelombong bahawa alam ini diciptakan dengan serba tujuh iaitu tujuh lapis langit dan bumi, tujuh tingkat syurga dan neraka manakala bilangan hari dalam seminggu juga tujuh hari.

"Ada pelombong yang percaya dengan memberikan persembahan makanan serba tujuh itu, tujuh penjaga langit dan tujuh penjaga bumi akan memberi mereka keberkatan dengan menjaga sumber belerang Gunung Ijen supaya ia berpanjangan.

"Fikiran, pandangan dan kehidupan masyarakat pelombong yang masih berpegang teguh kepada adat-adat itu berpunca daripada pengaruh agama Hindu-Buddha. Itu menyebabkan mereka yakin bahawa jika upacara tersebut tidak dilakukan, ia boleh memberi ancaman kepada mereka," ujar Sahlun.

Beliau memberitahu, simbol tujuh itu merupakan gambaran rasa hormat kepada nenek moyang serta lambang adanya hubungan antara pelombong dengan penjaga alam.


JUMLAH pendapatan daripada kerja melombong belerang lebih lumayan berbanding bekerja di ladang kopi.


"Walaupun arus globalisasi dan pandangan masyarakat semakin moden, pelombong tetap dengan rutin mereka melakukan tradisi itu. Mereka yakin jika tradisi itu tidak dilaksanakan, mereka akan mengalami kemalangan ketika bekerja," tuturnya.

Sementara itu, jurugambar Britain, Mark Taylor, 48, mengikuti pekerja-pekerja lombong itu baru-baru ini bagi melihat aktiviti dan kehidupan mereka.

Mark berkata, persekitaran kawah itu dipenuhi udara dan asap beracun yang boleh membawa maut kalau dihidu terlalu lama. Namun, kerja-kerja melombong perlu diteruskan bagi memenuhi permintaan syarikat minyak dan sabun, katanya.

Mark, anak perempuannya yang berusia 10 tahun, Siena, dan rakannya, Miriam Da Costa Machado mengunjungi Indonesia untuk merakam aktiviti berkenaan.

Menurut Mark, ketika mendaki lereng gunung berapi untuk tiba di kawasan kawah berkenaan, bau sulfur yang sangat kuat dapat dirasakan.

Topeng

"Jika memandang ke atas, pasti anda boleh melihat gas itu dan pada peringkat tertentu, ia sungguh tebal sehingga menyekat sinaran matahari.

"Ketika berada di puncak dan untuk menuruni gunung itu, anda boleh melihat sekumpulan lelaki yang bekerja sebagai pelombong tidak mengenakan sebarang kelengkapan keselamatan.

"Ada yang memakai topeng muka lusuh dan yang lainnya hanya menutup muka menggunakan skaf atau baju. Apabila terhidu asap itu, tekak kami seolah-olah rasa terbakar dan hampir pengsan," jelasnya.


JURUGAMBAR Britain, Mark Taylor berkunjung ke Indonesia untuk melihat sendiri aktiviti perlombongan di Gunung Ijen.


Mark yang berasal dari Guildford, Surrey, England memberitahu, dia dan rakannya tidak tahan berada di lombong itu walaupun selama sejam berbanding sekumpulan lelaki yang bekerja di situ setiap hari.

"Mereka bekerja sepanjang hari dan menjual sulfur itu pada harga yang sangat murah. Kami pun tidak sanggup bangun dari katil hanya untuk mendapatkan bayaran sebanyak itu," tuturnya.

Menurut Mark, kecederaan serius khususnya pada dada dan mata adalah perkara biasa namun pendapatan yang diperoleh pelombong belerang adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding pekerja ladang kopi tempatan.

"Kerja-kerja melombong itu dilakukan tidak jauh dari sebuah tasik asid sulfurik terbesar di dunia dengan tahap keasidan air (pH) tasik itu 0.5 iaitu hampir sama dengan asid bateri kereta," tambahnya.

Pesona iklan minyak pengasih

Posted:

Pesona iklan minyak pengasih

Pesona iklan minyak pengasih

Oleh WARTAWAN Kosmo! Ahad

IKLAN-IKLAN yang menjual minyak pengasih iaitu sejenis sihir yang digunakan untuk memikat hati lelaki atau wanita yang diingini, semakin mudah ditemui di laman-laman web dan beberapa akhbar tempatan sekarang.

'Minyak Pengasih Seru Angin Malam: Ilmu pengasih yang sangat mujarab untuk mengirim getaran asmara kepada seseorang yang dituju' atau 'Minyak Puteri Bunian: Setiap yang terkena minyak ini pasti jatuh cinta dengan anda' adalah antara kata-kata yang digunakan dalam iklan berkenaan.

Sememangnya sesuatu yang mengejutkan apabila iklan sebegini mudah diakses oleh orang ramai dan promosinya berleluasa tanpa sebarang sekatan sedangkan kaedah rawatan itu terang-terangan menyimpang daripada ajaran Islam.

Pengamal perubatan tradisional terbabit turut menyenaraikan harga minyak pengasih dan minyak cenuai berkenaan iaitu antara serendah RM200 hingga mencecah RM1,000 sebotol kecil.

Harganya berbeza kerana ia dibahagikan mengikut gred minyak. Contohnya, minyak pengasih yang diperoleh daripada dagu mayat wanita yang mati ketika mengandung adalah minyak yang mempunyai gred yang paling tinggi.

Ini diikuti dengan minyak dagu orang yang mati dibunuh secara kejam, minyak abu mayat yang diperoleh daripada tujuh jenis tanah perkuburan dan minyak kongkang (sejenis monyet). Minyak daripada bangkai anjing hitam pula adalah gred yang paling rendah.

Jika seseorang itu berhajat untuk membuatkan orang yang disukainya tergila-gilakan dirinya, dia hanya perlu mencalit minyak pengasih itu ke badan individu tersebut.

Hasilnya, dia akan berjaya mendapatkan hanya jasad orang yang disukainya, tetapi tidak jiwanya.

Tahyul

Situasi sebegini bukanlah sesuatu yang mustahil berlaku pada zaman moden ini. Iklan-iklan menjual minyak pengasih ini menjadi bukti masyarakat masih percaya kepada perkara tahyul.

Justeru itu, bagi mendapatkan gambaran mengenai cara mendapatkan minyak pengasih, penulis telah menemui seorang pengamal perubatan yang mengiklankan ubat guna-guna berkenaan dalam laman webnya.

Dengan berselindung di sebalik pusat rawatan Islam, yang beroperasi di Subang Jaya, Selangor, menawarkan khidmat menjual minyak pengasih dan minyak cenuai.

Dari luar, suasana suram dan gelap menyelubungi ruang pejabat yang terletak di tingkat tiga itu.

Setelah membuat panggilan berdasarkan nombor telefon yang diiklankan, bomoh yang menggelarkan dirinya sebagai 'ustaz' itu meminta kami menunggunya di premis tersebut kerana dia sememangnya sedang dalam perjalanan ke situ.

Setelah hampir setengah jam menunggu, ustaz yang berumur dalam lingkungan 50-an itu pun tiba lalu mengajak kami masuk ke dalam pejabatnya untuk sesi berubat.

Daripada pemerhatian penulis, wajah lelaki itu kelihatan bengis dan agak menakutkan. Matanya yang kemerah-merahan sentiasa merenung tajam ketika bercakap.

Setelah memperkenalkan diri dan memberitahu kononnya penulis mahu memiliki seorang lelaki yang disukainya, ustaz itu memulakan sesi 'kaunseling' bagi mendapatkan perhatian penulis.

"Jika awak inginkan lelaki itu, datang semula ke sini dengan membawa gambar dan barang miliknya sama ada baju, pen, buku atau apa sahaja.

"Kemudian, saya akan buatkan dia tergila-gilakan awak, tidak kisahlah hatinya cintakan awak atau tidak kerana yang penting dia akan menjadi milik awak," ujarnya kepada penulis.

"Namun, ada syarat yang perlu awak patuhi kalau tidak mahu ia memakan diri," tambahnya yang membuatkan penulis berasa gementar.

"Awak dilarang sama sekali melakukan hubungan seks dengan lelaki itu meskipun setelah berkahwin nanti," jelasnya.

Setelah mengangguk tanda faham, rakan penulis cuba untuk 'memancing' bomoh tersebut dengan meminta kebenaran untuk membeli minyak pengasih seperti yang diiklankan dalam laman webnya.

Namun, bomoh itu enggan menjualnya kerana menurutnya dia tidak menjual minyak itu kepada sembarangan orang dan menjual kepada orang yang telah berumur sahaja.

"Kamu berdua masih muda, belum tiba masanya untuk kamu memiliki minyak itu. Saya takut ia akan memakan diri kamu nanti," katanya.

Menurutnya, pelanggan yang datang menemuinya pula bukan sahaja terdiri daripada golongan muda, isteri, suami orang, janda dan duda, malahan juga golongan artis serta orang ternama negara ini yang mempunyai agenda tersendiri.

"Jika awak memiliki minyak ini, awak tidak akan menjadi diri sendiri lagi kerana semua orang yang awak suka akan dengan rela hati datang menyerah diri kepada awak sehingga awak tidak dapat tidur dengan lena," katanya pada akhir pertemuan.

Hias penthouse ikut cara sendiri

Posted:

Hias penthouse ikut cara sendiri

Hias penthouse ikut cara sendiri

Oleh ZULHILMI JALIL

SATU sudut di ruang tamu menempatkan pelbagai barangan cenderamata yang dibeli pemilik ketika melancong ke luar negara.


SELALUNYA keadaan rumah lelaki bujang asal boleh duduk sahaja. Hamparan tikar getah corak geometri dengan sekeping tilam di dalam bilik yang berselerak menjadi pemandangan biasa tempat tinggal lelaki yang hidup bersendirian atau menyewa bersama teman-teman.

Dinding rumah pula dibiarkan polos tanpa berusaha menukar cat putih asal kepada warna yang lebih berseri.

Namun, ia berbeza bagi seorang anak muda, Mohd. Faizal Ibrahim. Ketika memasuki kediaman ahli perniagaan berusia 28 tahun ini, mata terpempan pada susun atur barang hiasan yang ada.

Seperti kebanyakan rumah warga kota yang lain, konsep moden kontemporari melatari kediaman pemilik yang berasal dari Muar, Johor ini.

Dekorasi dalaman yang ditonjolkan bagaikan mendapat sentuhan pereka hiasan dalaman profesional.

Bagaimanapun, Faizal berkata, beliau menghias sendiri rumah jenis penthouse yang dibelinya pada tahun 2010 itu.

"Saya hias ruang ini ikut kesesuaian. Saya tidak merujuk kepada buku mahupun internet.

"Rumah sendiri, jadi saya lebih suka ikut cara saya apabila menghiasnya," jelas Faizal.


PERABOT berjenama yang diimport menghiasi ruang tamu yang sedia luas.


Rumah berkeluasan 167 meter persegi ini nampak redup dengan penggunaan rona coklat sebagai warna asas perabot.

Selepas disuaipadankan dengan kombinasi aksesori berwarna putih dan krim, tona yang lebih cerah pantas tercipta.

Selain itu, Faizal turut menerapkan pencahayaan kuning sebagai penataan lampu rumah. Katanya, penggunaan lampu seperti itu dapat menyerlahkan lagi suasana elegan.

Sebuah cermin besar di ruang tamu menjadikan ruang itu terasa lebih luas lebih-lebih lagi tatkala melihat imej yang dipantulkan.

Bijak menggunakan ruang yang terhad, sebuah sofa kulit berbentuk L diletakkan berdekatan balkoni ruang tamu.

Sejuk

Di salah satu sudut pula ditempatkan pokok plastik berwarna hijau bagi mewujudkan persekitaran yang lebih sejuk.

Bukan itu sahaja, balkoni kediaman ini dihias dengan pokok-pokok hidup dan ukiran batu berbentuk cendawan.

"Apabila ada elemen hijau di dalam rumah seperti pokok hiasan, ia dapat menyuntik ketenangan," ujar Faizal.

Apa yang unik, dinding ruang tamu seolah-olah diukir dengan bentuk anyaman. Begitupun, apabila diamati ia hanyalah kertas dinding berwarna krim coklat yang menampakkan kesan tiga dimensi.

"Kertas dinding ini saya pesan dari Korea. Saya beli secara dalam talian," cerita beliau.

Tidak terhad kepada susun atur perabot, Faizal turut menghias rumahnya dengan barangan cenderamata yang dibeli setiap kali melancong ke luar negara. Ini terutamanya barang-barang hiasan yang kecil dan mudah dibawa.


PEMILIHAN warna hitam mengelakkan dapur daripada kelihatan cepat kotor.


Antara barangan yang wajib dibeli ialah bingkai gambar dan barang ukiran hiasan. Faizal ternyata gemar mencantikkan dinding rumah dengan bingkai gambar. Menurutnya, beliau cenderung memilih lukisan yang mempunyai gaya vintaj.

"Saya memang sukakan lukisan. Setiap lukisan yang saya beli ada maksud dan nilai tersendiri.

"Kalau tidak dapat beli lukisan asli, yang salinan pun sudah memadai," katanya yang menghabiskan hampir RM100,000 untuk dekorasi rumah impiannya.

Penthouse empat bilik tidur yang terbina di tingkat 16 ini mempunyai pemandangan menghadap Tasik The Mines yang begitu indah di Seri Kembangan, Selangor.

"Itulah yang menjadi faktor utama saya membeli rumah ini. Kalau balik daripada kerja, saya suka duduk melihat suasana di luar balkoni.

"Kalau waktu malam, saya tidak perlu guna kipas atau pendingin hawa kerana angin malam dari tingkat setinggi ini sudah cukup dingin," kata Faizal yang turut memiliki ruang kerja di rumahnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved