Khamis, 29 November 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


'Tolong selamatkan saya'

Posted:

'Tolong selamatkan saya'

'Tolong selamatkan saya'

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL
faiz.abu@kosmo.com.my

ANGGOTA polis memeriksa mayat Sukini yang mati terjatuh dari tingkat sembilan sebuah
kondominium di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Seorang pekerja kedai dobi terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa didera secara mental oleh majikannya apabila wanita tersebut ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat sembilan sebuah apartmen semalam.

Peristiwa menyayat hati yang berlaku pada pukul 11 pagi di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini itu menyebabkan Sukini, 30-an, maut apabila cubaannya untuk melarikan diri dengan memanjat balkoni rumah majikannya yang berketurunan Cina gagal sebelum dia terjatuh.

Difahamkan, ketika hendak memanjat, wanita dari Kalumpang, Sulawesi itu telah tergelincir dan sempat berpaut beberapa minit pada tembok balkoni itu sebelum terjatuh.

Turut ditemui di sisi mangsa ialah satu bungkusan kain batik mengandungi beberapa helai baju, seluar dan sabun.

Pekerja dobi berkenaan yang ingin dikenali sebagai Yanti, 40, berkata, dia begitu kesal dengan kematian Sukini kerana dia memang bercadang untuk menyelamatkan wanita itu sebaik mendapat nota terakhir mangsa yang ditulis di atas tisu pada pukul 9 pagi kelmarin.

Nota itu berbunyi: "Kakak, tolong selamatkan saya. Kalau kakak tak boleh tolong saya nekad lari ikut balkoni."

Mangsa baru bekerja sejak dua minggu lalu dengan majikannya itu.


ANAK panah menunjukkan arah Sukini terjatuh.


"Sejak dua minggu lalu, saya mendapat tiga nota ditulis di atas tisu yang dicampak mangsa setiap kali dia lalu di depan kedai bersama majikannya untuk membeli nasi lemak pada waktu pagi.

"Ia berkisar mengenai kesulitan dan kesengsaraannya sejak bekerja dua minggu lalu. Mangsa turut mengadu dia tidak dibenarkan berhubung dengan sesiapa termasuklah keluarganya yang berada di Kalumpang, Sulawesi," dakwanya ketika ditemui.

Ceritanya, nota keempat diterimanya pagi kelmarin. Nota itu memintanya supaya menyelamatkan amah tersebut atau dia akan nekad lari melalui balkoni kerana tidak tahan apabila sering dimaki hamun oleh majikannya.

"Sejurus membaca nota itu, saya telah melaporkannya kepada seorang pengawal keselamatan. Bagaimanapun, belum sempat dia diselamatkan, kami mendapat berita dia telah mati akibat terjatuh," dakwanya lagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut.

Penasihat Menteri Penerangan, Sosial dan Budaya bagi Kedutaan Indonesia di Malaysia, Suryana Sastradiredja pula ketika dihubungi berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan seorang pembantu rumah dari Jakarta, Indonesia yang dikenali sebagai Suryani, 24, cedera teruk akibat dipukul dengan batang mop oleh anak majikannya yang berketurunan Cina di Taman Patani Indah, Sungai Petani, Kedah.

Tiga beranak ditemui rentung berpelukan

Posted:

Tiga beranak ditemui rentung berpelukan

Tiga beranak ditemui rentung berpelukan

BELURAN, Sabah - Seorang ibu bersama dua anak perempuannya rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah kedai peralatan dan perkakasan di bandar ini kelmarin.

Mayat Siti Jainah Ajak, 39, bersama dua anak perempuannya, Siti Aznizah Hussin, 9, dan Siti Azikah, tiga tahun, ditemui dalam keadaan berpelukan di bilik mandi tingkat atas kedai itu, tempat mereka tinggal, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin.

Mereka terperangkap di rumah kedai itu yang dipasang dengan jeriji besi dan api yang bermula dari tingkat bawah merebak dengan cepat dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu.

Suami mangsa yang juga pemilik kedai itu, Hussin Ismail bersama seorang lagi anak mangsa, Mohd. Aznizam, 11, tidak berada di rumah semasa kebakaran.

Jemishin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 9.01 malam dan menghantar sebuah jentera bomba bersama empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan.

Katanya, mereka tiba di lokasi kejadian pada pukul 9.59 malam tetapi api sudah merebak di tingkat bawah dan atas kedai tersebut.

Menurutnya, dua kenderaan pelbagai guna bersama enam lagi anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan turut dihantar ke tempat kejadian.

Beliau berkata, api dipadamkan sepenuhnya pada pukul 12.58 pagi dan pemeriksaan di tingkat atas kedai tersebut menemui tiga mayat yang rentung terbakar di bilik mandi.

Jemishin berkata, mayat ibu bersama dua anak perempuannya itu kemudian dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat.

Katanya, dua lagi premis terletak bersebelahan membabitkan sebuah restoran dan Pejabat Parlimen Beluran hanya mengalami sedikit kerosakan. Menurutnya punca kebakaran dan anggaran kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan. - Bernama

Gadis didakwa dera amah

Posted:

Gadis didakwa dera amah

Gadis didakwa dera amah


CHIA LIN diiring keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani semalam.


SUNGAI PETANI - Kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang cedera akibat didera majikannya memasuki episod baharu apabila seorang pengusaha salun didakwa atas kesalahan itu di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Bagaimanapun, Khor Chia Lin, 29, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abdidin. Chia Lin merupakan anak perempuan majikan kepada amah yang dikenali sebagai Suryani, 24.

Chia Lin didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Suryani dengan menggunakan batang mop di rumahnya di No. 22, Taman Patani Indah, di sini pada pukul 11 pagi, 23 November lalu.

Dakwaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Intan Nurul Farena kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anida Mohd. Nasir dan peguam bela, Loo Yook Khin. Beliau turut menetapkan 2 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar wang itu.

Yook Khin memberitahu, ibu tertuduh yang ditahan bersama anak guamnya sebelum ini telah dibebaskan selepas didapati tidak terlibat.

Sementara itu, Pemangku Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Sofiana Mufidah yang turut menyaksikan prosiding itu berpuas hati dengan siasatan dan proses pendakwaan.

Katanya, dia berterima kasih kepada media kerana memaparkan berita berhubung kes penderaan pembantu rumah Indonesia.

Selasa lalu, Kosmo! melaporkan, Suryani dari Jakarta, melarikan diri dari rumah majikannya Ahad lepas selepas tidak tahan didera hingga cedera teruk di muka dan badan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved