Rabu, 24 Oktober 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Pencetak mesra alam Samsung

Posted:

Pencetak mesra alam Samsung

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

PELANCARAN variasi pencetak laser warna oleh Samsung Malaysia Electronics (Samsung) memberi khabar gembira buat individu dan pemilik perniagaan yang memerlukan produk tersebut untuk memudahkan urusan mereka.

Terkenal dengan keunggulan rangkaian kelengkapan elektronik dan komunikasi yang berteknologi tinggi, Samsung tidak pernah menghampakan pelanggannya apabila mengeluarkan sesuatu produk.

Enam model mesin pencetak laser warna bersaiz A4 dengan pelbagai fungsi iaitu CLP-360, CLP-3300, CLP-415, CLX-4195, CLP-680 dan CLX-6260 menjanjikan kecekapan dan kualiti cetakan yang menakjubkan.

Pengurus Kategori Pencetak dan Barangan Konsumer Samsung, Ku Wei Jian berkata, kesemua model pencetak tersebut memiliki ciri-ciri kawalan intuitif dan prestasi yang boleh dipercayai.

Ia menawarkan pilihan cetakan mesra alam yang berkualiti terutamanya untuk pengguna individu atau pengusaha bisnes kecil-kecilan.

"Dilengkapi dengan teknologi pemprosesan imej Samsung, Rendering Engine for Clean Pages (ReCP), pengguna boleh mengharapkan output warna yang jelas dan kualiti imej profesional untuk pelbagai keperluan perniagaan.

"Selain itu, penggunaan pencetak laser warna ini juga boleh mengurangkan kos penyelenggaraan yang mahal kerana ia dilengkapi Mod Percetakan ECO yang memenangi Anugerah Alam Sekitar BLI.

"Melalui mod ini, ia membantu pengguna perniagaan menjimatkan penggunaan toner dan kertas dengan satu langkah mudah yang terbina dalam satu sentuhan butang Mod ECO dan Pemandu Cetak Eco," ujar Wei Jian.

Untuk bisnes kecil

Tidak ketinggalan, rangkaian baharu pencetak laser warna Samsung juga dilengkapi dengan ciri-ciri inovatif yang menyediakan penyelesaian lebih mudah di tempat kerja. Melalui perkhidmatan pintar WiFi Direct dan Samsung Mobile Print Apps yang boleh didapati untuk peranti Android, iOS dan Windows, cetakan boleh dilakukan dengan satu sentuhan butang.

Penyelesaian SmarThruTM dan SyncThru Samsung turut dibina dengan variasi baharu pencetak laser warna tersebut. Ia menjadikan perkongsian fail dan data, pencarian fail, arkib serta pemprosesan menjadi lebih mudah dan selesa.

"Teknologi moden telah mengubah persekitaran kerja, trend dan cara orang berinteraksi dalam ruang kerja mereka. Kawasan pejabat kecil atau pejabat rumah (SoHO) kini semakin berkembang dan muncul sebagai salah satu pemacu ekonomi utama di Malaysia.

"Justeru, rangkaian pencetak laser warna baharu kami telah direka untuk menguruskan tugas-tugas percetakan pengguna perniagaan sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan bagi mengembangkan perniagaan," kata Pengarah Urusan Samsung Malaysia Electronics, Kwon Jae Hoon.

Pada majlis itu juga, wartawan Majalah PC, Mohd. Syafiq Bakri berjaya membawa pulang salah satu model pencetak Samsung kerana memenangi sesi kuiz yang diadakan.

Kesemua model pencetak laser warna itu telah berada di pasaran bermula hujung September lalu. Ia dijual pada harga serendah RM799 hingga RM2,829. Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.samsung.com.

Sarung telefon iPhone5

Posted:

Sarung telefon iPhone5



MESKIPUN iPhone5 belum menjengah ke pasaran Malaysia, namun syarikat pengkhususan rekaan dan pengubahsuaian sarung telefon, PopMyCase telah pun melancarkan koleksi terbaharu bagi sarung telefon pintar tersebut.

Ia dianggap masa yang sesuai kerana ramai menjangkakan iPhone5 bakal dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat ini. Sebagai salah satu daripada lima syarikat pengubahsuaian rekaan sarung telefon di dunia, PopMyCase kini menerajui pasaran Asia yang bernilai AS$150 juta (RM461 juta).

PopMyCase adalah satu-satunya syarikat di Asia yang menyediakan platform untuk pengguna telefon pintar menghasilkan rekaan sarung telefon tersendiri. Ia membolehkan pengguna memiliki sarung telefon yang menarik dan mengikut cita rasa masing-masing.

"Sarung telefon pintar iPhone5 dari PopMyCase mampu memenuhi permintaan pelanggan yang ingin menonjolkan personaliti mereka. Selain menyediakan ruang untuk menghasilkan karya unik, kami juga bekerjasama dengan beberapa artis grafik ternama untuk menghasilkan rekaan yang mempunyai elemen seni," ujar Pengarah Urusan Kumpulan Pop My Berry, Josafri Johari.

Tambah Josafri berikutan maklum balas yang diterima daripada pelanggan iPhone5 tentang bahagian belakang telefon yang mudah calar, PopMyCase adalah pilihan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Ini kerana ia diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi yang dikenali sebagai Lexan. Ia sejenis bahan khas iaitu resin polikarbonat yang ringan, tahan lasak dan fleksibel serta turut digunakan oleh NASA dan komponen jentera Formula Satu.

Pasaran Indonesia dan Australia

Pengubahsuaian karya sarung telefon di popmycase.com amat mudah untuk dilakukan. Pengguna hanya perlu muat turun gambar sendiri daripada komputer pada kanvas kosong yang menyerupai ukuran sebenar bahagian belakang iPhone5. Hasil rekaan yang telah siap akan dihantar terus kepada anda dalam tempoh dua hingga tiga hari.

Sehingga kini, sebanyak 20,000 sarung telefon pintar PopMyCase sudah terjual sejak mula dipasarkan enam bulan lalu. Kini, mereka menyasarkan untuk meningkatkan jualan kepada 80,000 menjelang penggal pertama tahun hadapan.

Rentetan itu, PopMyCase juga akan mengembangkan pasaran ke Indonesia dan Australia tidak lama lagi bagi memenuhi permintaan tinggi daripada kedua-dua negara tersebut.

"Buat masa sekarang, pasaran luar negara menyumbang kira-kira 35 hingga 40 peratus perolehan syarikat dan kami menyasarkan dengan pelancaran sarung telefon iPhone5, ia mampu meningkat kepada 55 hingga 60 peratus," kata Josafri selepas majlis pelancaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah Besar Kumpulan Digital PopMyCase, Riz Ainuddin memberitahu, penghasilan sarung telefon tersebut menggunakan teknologi percetakan tiga dimensi (3D) resolusi tinggi.

"Semua produk kami dihasilkan melalui proses pembuatan yang sangat kompleks dan tekanan haba setinggi 285 darjah Celcius. Ini menyebabkan dakwat berwarna meresap terus dalam sarung telefon berkenaan sekali gus menghasilkan imej yang sangat jelas dan tidak mudah luntur," jelas Riz.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.popmycase.com. Harga jualan bermula daripada RM98.

- KHADIJAH MOHAMAD NOR

Bakti pelajar KKKL kepada masyarakat

Posted:

Bakti pelajar KKKL kepada masyarakat

PROGRAM kemasyarakatan anjuran KKKL memberi peluang kepada pelajar untuk mendekati masyarakat setempat.


SEKUMPULAN pelajar dari Kolej Komuniti Kuala Langat, (KKKL) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia menjalankan usaha murni melalui Program Jelajah Kampung: Yok! Kursus di kawasan DUN Sijankang, Kuala Langat baru-baru ini.

Pada program itu, pelajar KKKL telah menyumbangkan tenaga memberi khidmat membuat kerja-kerja pendawaian elektrik di dua buah rumah selain aktiviti gotong-royong di Kampung Medan dan Kampung Sijangkang.

Pengarah KKKL, Zainah Rujihan berkata, melalui program tersebut, para pelajar dapat mempraktikkan pelajaran dalam situasi sebenar sekali gus berpeluang mendekati masyarakat setempat.

"Kerja-kerja pemasangan pendawaian elektrik yang dilakukan para pelajar dipantau sepenuhnya oleh pensyarah bagi Program Pemasangan Elektrik dari mula hingga akhir," tambahnya.

Penghuni rumah terlibat, Hashim Sabri, 44, dari Telok Panglima Garang, Banting, Selangor berkata, beliau bersyukur kerana terpilih sebagai penerima bantuan memandangkan hidupnya yang serba kekurangan.

Pada program tersebut, pelajar-pelajar terbabit turut memberi sumbangan langsir kepada Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Sijangkang. Langsir tersebut adalah hasil kerja 30 peserta kursus jahitan langsir yang menyertai kursus ini.

Program jelajah kampung buat kali kedua itu berjaya menarik 300 peserta dari sekitar Kuala Langat untuk menyertai pelbagai kursus yang dijalankan. Antara kursus tersebut ialah kursus pembuatan tempe, coklat, asas rawatan muka, kursus orientasi peta, dan kraftangan felt iaitu sejenis kain yang dikenali felt. Kursus tersebut dianjurkan oleh KKKL.

Pengerusi Penasihat KKKL, Datuk Sulaiman Mohd. Karli berkata, aktiviti seperti itu perlu diteruskan kerana ia dapat memupuk semangat kerja berpasukan kepada golongan muda dan melibatkan diri dalam bidang perniagaan selepas tamat belajar.

"Pendedahan dan penglibatan para pelajar dalam program ini dapat memahirkan diri mereka dengan ilmu yang dipelajari. Kemahiran dan kecekapan ini memudahkan mereka mendapat pekerjaan atau membuka perniagaan kelak," ujarnya ketika merasmikan program tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved