Rabu, 24 Oktober 2012

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Wajah-wajah nadi pelancongan Melaka

Posted:

Wajah-wajah nadi pelancongan Melaka

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my

USIANYA sudah mencecah 61 tahun, namun lelaki itu kelihatan gagah dan bertenaga. Pergerakannya masih tangkas dan lincah, pandangan matanya masih tajam. Pada usia itu juga dia jarang mendapat penyakit yang lazim dihidapi lelaki seusianya.

Rutin kesihatannya mudah, sejak empat dekad yang lalu, hampir setiap hari dia akan mengayuh beca di sekitar Bandar Hilir, Melaka.

"Jika dihitung, saya berkayuh tidak kurang daripada 20 hingga 30 kilometer sehari. Mungkin itu agaknya rahsia saya sentiasa tampak awet muda," seloroh Atan Hamzah tatkala membawa penulis dan rombongan Media Familiarization anjuran Felda Holding Berhad menaiki beca mengelilingi bandar raya itu baru-baru ini.

Sambil berkayuh, lelaki yang mesra dengan panggilan Pak Atan itu rancak bercerita mengenai sejarah bandar raya yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia itu.

"Sekitar tahun 70-an dahulu, kawasan di sekitar Jalan Kota dan Jalan Gereja ini dipenuhi pejabat kerajaan sebelum ia dipindahkan ke lokasi lain. Begitu juga laluan di sekitar Jonker Walk yang terkenal sebagai 'syurga' perniagaan dan barangan antik sejak sekian lama.

"Pada masa yang sama, banyak bangunan lama dan bersejarah di kawasan itu telah dibaik pulih sama ada dijadikan muzium, galeri seni atau hotel kepada pelancong," kata anak jati Kampung Umbai itu.

Tambah Pak Atan, pembangunan pesat Melaka khususnya dalam industri pelancongan sedikit sebanyak telah mengubah kehidupan golongan penarik beca sepertinya.

Ikon negeri

"Beca tidak lagi dipandang sebagai pengangkutan murahan, sebaliknya ia telah menjadi sebahagian daripada ikon pelancongan di negeri ini.

"Di mana lagi kita boleh lihat penarik beca di negara ini kecuali di Melaka dan Pulau Pinang. Sebab itu pengalaman menaikinya menjadi sangat istimewa. Lagipun, beca memudahkan pelancong melihat sisi bandar raya ini dengan lebih dekat," bapa kepada tujuh orang anak itu.

Pak Atan merupakan antara ratusan penarik beca yang masih setia memberi perkhidmatan kepada pelancong ke negeri yang terkenal dengan sejarah, warisan budaya dan seni yang telah berakar umbi sejak 600 tahun yang lalu.

Sejak ditemui Parameswara, Melaka muncul sebagai sebuah empayar yang gemilang di bawah Kesultanan Melayu Melaka. Kedudukan strategik di titik pertemuan Timur dan Barat menjadikannya pusat perdagangan terulung di rantau ini.

PELUANG melihat suasana malam di sekitar Sungai Melaka dari atas bot pasti sukar dilupakan sampai bila-bila.


Bagaimanapun, kegemilangannya berakhir selepas diserang Portugis pada tahun 1511. Ia disusuli dengan penjajahan Belanda (1641) dan Inggeris (1824).

Hari ini, Melaka dikenali melalui peninggalan sejarah silamnya. Antara serpihan lampau itu dapat dilihat ketika mengunjungi tapak Kota A Famosa, Gereja St. Paul, Gereja Christ, bangunan Stadhuys, Makam Hang Jebat dan Makam Hang Kasturi malah ketika menyaksikan gaya hidup sepanjang menyusuri Sungai Melaka.

Melalui integrasi kaum, interaksi sosial dan seterusnya perkahwinan silang budaya dan resam, terhasil juga kepelbagaian keturunan. Pasti ramai yang menyedari kehadiran masyarakat Baba Nyonya, golongan Asia campuran Eropah dan Portugis serta komuniti Chitty.

Bagi Sazali Said, 35, dia bangga melihat transformasi yang berlaku di negeri kelahirannya itu.

"Melaka sudah jauh berubah. Dahulu tidak banyak bangunan pencakar langit, gedung beli-belah apatah lagi hotel bertaraf empat hingga lima bintang.

"Hari ini, lihatlah sendiri, semuanya tampak gah dengan pelbagai mercu tanda baharu seperti Dataran Pahlawan, Menara Taming Sari dan sebagainya.

"Itu belum dengan pelbagai tarikan lain seperti Taman Rama-Rama, Taman Buaya, Zoo Melaka, Taman Tema Air A Famosa, Melaka Cruise yang sememangnya tidak pernah surut dengan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara," katanya yang berasal dari Bukit Baru.

Subjek lukisan

Sazali berkata, peningkatan jumlah pelancong ke negeri itu turut menyuburkan kerjayanya sebagai pelukis jalanan sejak 10 tahun yang lalu.

Memilih lokasi di sekitar Gereja St. Paul sebagai medan mencari rezeki, Sazali berkata dia gemar menjadikan gambar pemandangan dan ikon-ikon pelancongan di negeri itu sebagai subjek dalam lukisan.

"Saya memilih tema sedemikian kerana mahu pelanggan menghayati keistimewaannya dalam bentuk lukisan.

"Di samping dapat berkarya, secara tidak langsung saya dapat mempromosikannya kepada pelancong yang datang," ujarnya yang berada di situ setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Jika Sazali gigih mempromosikan pelancongan di Melaka melalui lukisan, Muhammad Kassim Muhammad Ali, 29, pula mempunyai kaedah tersendiri untuk menambat hati pelancong ke negeri itu.

Cendol segar

Kedai Cendol Jam Besar yang terletak berhampiran Bangunan Stadhuys yang diusahakan Muhammad Kassim sering menjadi tumpuan pelancong untuk membasahkan tekak sambil menikmati panorama Sungai Melaka.

PELBAGAI artifak dan sejarah dunia maritim di Melaka satu ketika dahulu boleh dilihat di Muzium Maritim.


Menawarkan aneka cendol bermula dari RM1.70 sehingga RM3 semangkuk, Muhammad Kassim berkata, ia merupakan perniagaan keluarga yang dimulakan oleh datuknya pada tahun 1952.

"Ada pelanggan-pelanggan lama kami menyatakan rasanya langsung tidak pernah berubah sejak dahulu sehingga kini. Sebenarnya kami tiada rahsia khusus, cuma mungkin rasa lemak santan dan gula melaka yang digunakan," katanya.

Ujarnya, setiap hari gerainya dikunjungi kira-kira 100 pelanggan dan jumlahnya akan meningkat sekali ganda pada hujung minggu atau cuti persekolahan.

"Kadang-kadang memang tidak menang tangan dibuatnya, namun apa yang diutamakan ialah kepuasan pelanggan.

"Pelanggan kami tidak terhad dalam kalangan orang tempatan, malah para pelancong asing.

"Lebih membuatkan saya terharu, ada pelancong yang pernah mencubanya sanggup kembali semula ke sini selepas beberapa tahun," katanya.

Percutian lengkap

Sementara itu, pelancong Itali, Claudie Alessandro, 25, melahirkan kekaguman terhadap Melaka yang disifatkan sebagai sebuah destinasi percutian lengkap kepada pelancong.

"Segala-galanya ada di sini - sejarah, warisan dan tradisi, gastronomi, hiburan, alam semula jadi dan sebagainya," katanya.

Menghabiskan masa seminggu di negeri itu, Claudie berkata dia teruja melihat beberapa bangunan bersejarah dari era Portugis sehingga Inggeris yang masih kekal terpulihara sehingga kini.

"Pada masa yang sama saya juga kagum melihat kepelbagaian budaya dan masyarakat di negeri ini.

"Pertembungan elemen penjajah, Islam, Cina, India dan Melayu menghasilkan satu warisan unik yang mungkin sukar ditemui di negara-negara lain di seluruh dunia," katanya.

Identiti keagamaaan Dharamshala kian pupus

Posted:

Identiti keagamaaan Dharamshala kian pupus

IMEJ sami Buddha yang sinonim dengan Dharamshala kini perlahan-lahan semakin terhakis.


DHARAMSHALA merupakan sebuah bandar di utara India yang menjadi tarikan utama pelancong bukan sahaja kerana keindahan alam semula jadi yang dimilikinya, malah disebabkan tempat-tempat bersejarah selain kerana faktor keagamaan.

Tarikan tersebut kebanyakannya terdapat di Kangra, sebuah daerah di Dharamshala yang terkenal dengan peninggalan budaya dan sejarah lama India. Peninggalan itu juga banyak dipamerkan di muzium seperti Muzium Seni, Haripur-Guler dan Kangra Fort.

Selain itu, tempat tersebut juga popular disebabkan tarikan bangunan keagamaan yang dimilikinya seperti kuil Baglamukhi, Bajreshwari dan Kaleshwar Mahadev.

Suasana damai dan nyaman Kangra turut diserlahkan lagi dengan keindahan bukit-bukau yang menghijau.

Namun hari ini, kemajuan dan perkembangan industri pelancongan yang meletus tanpa seiring dengan kemajuan infrastruktur mula menggugat Dharamshala yang terletak di kaki gunung Himalaya.

Ia kini dikategorikan sebagai sebuah bandar yang sesak dan huru-hara, malah penduduk yang telah lama mendiami kawasan tersebut kini bimbang ia bakal menghilangkan identiti Dharamshala.

Bandar yang juga dikenali dengan nama McLeod Ganj itu kini berdepan dengan masalah kesesakan lalu-lintas teruk. Deretan kereta di sepanjang jalan dan hiruk-pikuk bunyi hon kenderaan cukup merimaskan penduduk setempat.

Menurut seorang pembuat filem yang telah mendiami kawasan tersebut sejak 35 tahun lalu, Tenzing Sonam, ketika mereka tidak mempunyai pengangkutan persendirian, penduduk hanya bergantung kepada laluan di sekitar gunung.

Khabarnya, pembangunan pesat seperti pembinaan hotel, restoran dan parkir bertingkat yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan kini telah menjejaskan imej bandar Dharamshala. Dahulu, ia cukup popular sebagai tempat untuk mencari ketenangan serta perlindungan bagi golongan keagamaan.

Menurut penduduk sekitar yang hanya mahu dikenali sebagai Sonam, 53, tidak dinafikan penduduk mendapat manfaat daripada ekonomi yang dijalankan, tetapi amat mustahil untuk mereka hanya bergantung kepada sumber tersebut untuk jangka masa panjang.

LALUAN pejalan kaki yang sempit dan kesesakan lalu lintas menyukarkan kehidupan harian penduduk setempat.


"Sedih apabila melihat pembangunan haram dan tidak dirancang giat dijalankan. Ini mungkin kerana undang-undang yang dilaksanakan tidak ketat.

"Kalau ia tidak dikawal dari sekarang, tidak mustahil satu hari nanti tempat ini akan musnah," ujarnya.

Dahulu, imej sami berjubah kuning dengan sandal dan wanita Tibet mengenakan pakaian panjang cukup sinonim dengan bandar itu terutamanya di Kangra.

Namun, secara perlahan-lahan ia musnah selepas ditenggelami dengan kenderaan pacuan empat roda yang semakin banyak.

Kenderaan tersebut yang membawa pelancong akan singgah di kedai arak dan piza yang kini mula memonopoli Dharamshala.

Selain itu, beberapa signatur dan amalan yang menjadi simbolik Dharamshala juga semakin hilang demi untuk memenuhi tuntutan pelancongan.

Masalah sumber air dan elektrik

Sebagai contoh sebuah hotel butik bernama Chonor House yang sering menjadi pilihan aktor terkenal, Richard Gere terpaksa mengorbankan tab mandi yang menjadi simbolik di Dharamshala dengan bilik mandi menggunakan air pancuran.

Ia dilakukan untuk menjimatkan air disebabkan Dharamshala kini sedang berdepan dengan masalah sumber air.

Menurut pengurus hotel yang hanya ingin dikenali dengan nama Karma, pembinaan hotel yang terlalu pesat menyebabkan air menjadi isu sangat serius di kawasan pergunungan tersebut.

PENDUDUK sekitar Dharamshala menjadikan perniagaan sebagai sumber ekonomi mereka.


Kata beliau, kebanyakan yang menginap di hotel itu merupakan pelancong dari Amerika Syarikat, Britain dan Jerman, manakala pelancong Jepun, Thailand dan Vietnam lebih gemar menginap di hotel-hotel besar berdekatan.

Malah tambahnya, jumlah hotel yang banyak juga menyebabkan, kebanyakan pengusaha hotel, bahkan penduduk tempatan memerlukan generator untuk memastikan hotel serta rumah masing-masing tidak bergelap pada waktu malam.

Jalan raya ke bandar itu yang sempit dan sesak turut menghilangkan ciri kedamaian yang patut ada pada sebuah daerah pelancongan dan serta keagamaan.

Tidak cukup dengan masalah sumber air dan bekalan kuasa, sampah juga merupakan antara konflik baharu bagi bandar itu.

Hal ini kerana penduduk setempat dikatakan sewenang-wenangnya membuang sampah di tepi jalan sehingga mengganggu pendaki yang berjalan menuju ke gunung tersebut.

Sementara itu, menurut Jabatan Pelancongan, seramai 1.8 juta pelancong domestik serta 99,000 pelancong asing telah melawat Dharamshala.

Ia merupakan satu peningkatan yang mendadak sejak sedekad lalu.

"Mungkin mereka tertarik dengan iklim sejuk di dataran kami atau aktiviti sukan lasak seperti mendaki gunung serta lambakan tempat-tempat agama," ujar Timbalan Pengarah Pelancongan Kangra, Ashwani Sood.

Sejarah panjang Big Ben

Posted:

Sejarah panjang Big Ben

MEKANIKAL jam direka oleh Denison yang terkenal dengan ketepatan masanya.


TERLETAK di tebing Sungai Thames, menara jam yang dikenali sebagai Big Ben menjadi mercu tanda tarikan pengunjung di kota London, England.

Menara setinggi 96 meter yang dibina antara tahun 1843 dan 1858 itu merupakan sebahagian daripada struktur fizikal Istana Westminster. Ia turut menempatkan dewan parlimen dan kebanyakan pejabat kerajaan.

Di kawasan tersebut juga terletak Istana Buckingham yang menjadi kediaman rasmi Ratu Elizabeth dan kerabat diraja England.

Big Ben sebenarnya merujuk kepada loceng yang besar yang terdapat di dalam menara jam itu. Menara jam yang diberi nama Menara St. Stephen itu terletak di bahagian timur laut bangunan tersebut.

LONDON mempunyai laluan kereta api integratif termasuk laluan bawah tanah yang dikenali sebagai tube.


Uniknya, pengunjung boleh mendengar irama Big Ben atau nama rasminya The Great Bell yang terhasil setiap setengah jam sekali.

Ketepatan masa

Jam itu dipasang pada pertengahan abad ke-19 dan merupakan yang terbesar di dunia ketika itu. Sebelum itu, menara berkenaan dibina sebagai sebahagian daripada rekaan arkitek Charles Barry. Barry mereka bentuk struktur baharu istana itu selepas ia musnah dalam sebuah kebakaran pada 16 Oktober 1834.

Seni bina menara itu banyak dipengaruhi oleh unsur gothik Victoria. Menara jam itu tersergam kukuh menggunakan susunan bata, manakala rangka puncaknya diperbuat daripada keluli tempa.

KEUNIKAN Istana Westminster makin terserlah dengan kewujudan Big Ben.


Tapak menara berkenaan adalah seluas 225 meter persegi. Ia menggunakan konkrit setebal tiga meter di atas permukaan tanah, sementara tujuh meter lagi di dalam tanah. Keseluruhan menara itu dianggarkan seberat 8,667 tan.

Kaca warna

Keempat-empat permukaan jamnya yang berada pada ketinggian 55 meter direka oleh Augustus Pugin. Permukaannya diserikan dengan 312 keping kaca warna opal yang disemat kukuh oleh rangkaian bingkai keluli berdiameter tujuh meter.

Permukaan jam itu berdiameter 7.5 meter dengan jarum jam sepanjang 2.7 meter, manakala jarum minit pula sepanjang 4.25 meter. Mekanikal jam tersebut direka oleh Edmund Beckett Denison yang terkenal dengan ketepatan masanya.

Dalam pada itu, loceng-loceng jam tersebut pernah beberapa kali retak. Pada Julai 1859, loceng yang retak itu telah digantikan dengan tukul yang lebih ringan.

Menara jam tidak dibuka kepada orang ramai, namun pengunjung yang ingin melihat pemandangan Kota London dari paras yang tinggi boleh menaiki London Eye.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved