Kosmo Online - Varia |
Posted: Menghindari jenayah ragut
MUTAKHIR ini, masyarakat dibimbangkan dengan kejadian ragut yang bukan sahaja menyebabkan mangsa kehilangan wang dan barangan berharga, malah telah menyebabkan kecederaan serius. Lebih buruk, mangsa ragut juga berhadapan dengan kematian apabila peragut bertindak ganas dan tanpa belas kasihan. Rentetan jenayah kejam ini hanyalah sekadar untuk mendapatkan beg tangan yang belum tentu mempunyai wang seperti yang diharapkan. Walau bagaimanapun, kita boleh menghindar untuk tidak menjadi mangsa ragut dengan mengelak daripada berjalan seorang diri di lorong yang gelap, atau melewati kawasan yang mempunyai banyak kes jenayah. Namun demikian, tanpa dapat diduga, ia tetap berlaku di tempat awam termasuklah di tengah-tengah kesesakan jalan raya atau ketika sedang membeli-belah. Ia jenayah yang tidak boleh diramalkan kerana berlaku secara spontan, dan kita juga tidak bersedia untuknya. Oleh itu, di sini ada sedikit petunjuk psikologikal yang mungkin boleh membantu kita. Dalam hampir semua kes ragut yang direkodkan, biasanya peragut terdiri daripada golongan lelaki manakala mangsanya pula ialah wanita. Ini merupakan petunjuk yang mungkin tidak berlaku dalam jenayah lain. Dalam kes rompak dan samun, mangsa adalah sesiapa sahaja. Bagaimanapun, kejadian ragut ini hanya menyasarkan wanita sebagai mangsanya. Jadi, ini menunjukkan kemungkinan peragut memiliki kepercayaan pertentangan di antara maskulin dan feminin yang mengandaikan lelaki lebih kuat manakala wanita pula ialah kumpulan yang lemah. Kepercayaan seperti ini biasanya kuat di kebanyakan negara Asia, dan tidak di negara Barat. Umumnya, walaupun seseorang penjenayah itu dianggap ganas tetapi kajian-kajian yang ada menunjukkan mereka juga sebenarnya tidaklah sepenuhnya seorang yang sangat berani. Mereka sebenarnya mempunyai perasaan ketakutan. Mereka sentiasa mempunyai rasa risau untuk ditangkap atau diapa-apakan oleh orang lain. Tidak seperti kejadian jenayah lain, ragut merupakan jenayah spontan. Ia tidak memerlukan perancangan yang sempurna seperti halnya mereka yang ingin merompak bank atau melakukan jenayah kolar putih. Reaksi psikologikal Sungguhpun begitu, peragut juga manusia yang bertindak atas reaksi psikologikal seperti kebanyakan manusia lain. PERAGUT menyasarkan golongan wanita kerana mentafsirkan bahawa wanita tersebut ialah mereka yang lemah dan tidak akan melawan. - Gambar hiasan Seseorang manusia yang membuat tindakan secara spontan biasanya bergantung kepada working memory yang ada dalam kotak fikir mereka. Misalnya, kita membuat keputusan untuk terus memecut atau tidak ketika lampu isyarat berwarna kuning, dengan 'membaca' beberapa petunjuk. Ketika waktu malam di jalan yang tidak mempunyai kenderaan lain, manusia mungkin meneruskan kenderaan mereka sekalipun lampu sudah berwarna kuning. Ini disebabkan oleh fungsi working memory yang membuat penilaian terhadap sesuatu perkara. Dalam kes kejadian ragut, ada kemungkinan peragut juga menggunakan 'petunjuk' yang mereka miliki. Peragut menyasarkan golongan wanita kerana mereka telah mentafsirkan bahawa kemungkinan wanita tadi ialah mereka yang lemah dan tidak akan melawan. Pentafsiran peragut akan berubah sekiranya wanita tadi ialah seorang anggota polis yang berpakaian seragam, atau mereka yang memakai pakaian seragam yang berkaitan dengan agensi keselamatan. Golongan wanita seperti ini dianggap kuat dan mampu melawan mereka semula. Peluang untuk berlaku ragut juga mungkin berkurangan sekiranya wanita berjalan bersama dengan orang lelaki atau secara berkumpulan. Mengenai tanda-tanda yang mungkin dijadikan petunjuk oleh peragut ini, pada kebiasaannya peragut akan merampas beg tangan yang dipunyai oleh wanita dengan andaian bahawa di dalam beg tangan tadi tersimpan wang yang banyak. Pentafsiran tadi mungkin berubah sekiranya wanita yang ingin diragut berjalan tanpa membawa sebarang beg tangan atau barang kemas. Ini telah mengurangkan potensi wanita itu dianggap memiliki wang. Sebab itulah, kita dapati banyak kejadian ragut biasanya berlaku di kawasan tumpuan orang ramai, seperti pusat beli-belah atau berdekatan bank kerana ia melengkapkan potensi bahawa wanita yang berada di situ mempunyai wang di dalam beg tangannya. Potensi untuk seseorang wanita diragut juga semakin besar jika mereka dilihat lebih bergaya dibandingkan mereka yang berpakaian biasa sahaja, kerana mereka yang bergaya ini 'berpotensi' mempunyai wang. Walaupun adalah mustahil untuk kita mengurangkan semua petunjuk ini semata-mata bagi melemahkan working memory peragut, bagaimanapun, kita mungkin boleh melakukan sesuatu agar tidak menjadi sasaran peragut. Mereka yang dilihat lemah tetapi mempunyai wang yang banyak mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk diragut, dibandingkan dengan mereka yang dilihat 'kuat' dan tidak pula mempunyai wang yang banyak. Sekiranya golongan wanita merasakan tidak mampu untuk mengubah semua 'petunjuk' ini ketika keluar rumah, ada baiknya jika mereka membawa bersama orang lain yang mungkin boleh membantu melemahkan persepsi peragut terhadap mereka. | |
Posted: Pencarian ibu cantik terbaikMEGA Lifesciences mengumumkan senarai 95 orang ibu yang layak untuk bersaing merebut gelaran Glowing Youthful Mother 2012. SEBAIK sahaja pertandingan Glowing Youthful Mother 2012 dibuka kepada khalayak pada bulan Mei lalu, pihak penganjur menerima ribuan permohonan penyertaan daripada golongan ibu di seluruh negara. Namun, hanya 200 permohonan disenarai pendek untuk menghadiri sesi uji bakat pertama pada bulan Julai lalu. Usai sesi uji bakat itu, 95 peserta telah terpilih untuk ke peringkat seterusnya dan mereka juga telah diperkenalkan dalam satu majlis baru-baru ini. Glowing Youthful Mother 2012 merupakan acara tahunan kedua dianjurkan oleh Mega Lifesciences selepas ia mendapat sambutan hangat tahun lalu. Pertandingan tersebut merupakan platform bagi golongan ibu berumur lingkungan 30 hingga 60 tahun di negara ini untuk lebih bertanggungjawab mengenai kesihatan mereka dan mengetahui kepentingan penjagaan empat tonggak penting kesihatan manusia iaitu jantung, hati, sendi dan kulit. Pengarah Serantau Mega Lifesciences, Sudhir Gandhi memberitahu, 95 peserta itu dipilih ketika uji bakat dengan melihat kepada tahap kecergasan yang setara dengan umur mereka. "Sewaktu uji bakat, dua faktor yang ditentukan pihak juri ialah ujian biologi untuk mengukur tahap kesihatan yang setara dengan umur dan sesi soal jawab untuk menguji pengetahuan mereka mengenai topik kesihatan asas. "Selain itu, penampilan dan kemahiran berkomunikasi juga diambil kira untuk peserta di pilih ke peringkat seterusnya. Sesi pengenalan kepada 95 peserta ini juga merupakan salah satu cara untuk memperkenalkan ikon ibu sihat kepada ibu-ibu lain di luar sana," ujarnya ketika ditemui pada majlis itu baru-baru ini. Sesi memperkenalkan 95 ibu di Publika, Solaris Dutamas baru-baru ini turut diserikan dengan aksi cat walk daripada peserta. PERTANDINGAN Glowing Youthful Mother menggalakkan kaum ibu untuk menjaga kesihatan dan penampilan diri walaupun sudah berkeluarga. Seorang peserta yang terlibat, Alwizah Al-Yafii, 38, melahirkan rasa gembira apabila beliau dipilih sebagai salah seorang peserta sempena sesi pengenalan peserta itu. "Semasa sesi uji bakat baru-baru ini saya telah membuat persiapan yang rapi terutama dari aspek kesihatan luaran dan dalaman serta ilmu pengetahuan mengenai kesihatan. Saya tidak menyangka akan terpilih sehingga ke tahap ini," ujar ibu kepada dua cahaya mata ini. Glowing Youthful Mother 2012 mempertaruhkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM50,000. Pemenang utama akan menerima wang tunai bernilai RM25,000, manakala pemenang tempat kedua RM10,000 dan tempat ketiga RM5,000. Juri untuk pertandingan itu terdiri daripada personaliti terkenal iaitu Amber Chia, Daphne Iking dan Noniswara Baharuddin serta tidak ketinggalan juga pereka fesyen, Bon Zainal. Profil 95 peserta kini terdapat di laman web rasmi pertandingan iaitu www.gymc.com.my dan laman Facebook www.facebook.com/glowforever. Orang ramai juga boleh mengundi peserta kegemaran mereka di laman Facebook dan 20 peserta mendapat undian tertinggi akan terpilih ke peringkat akhir pada 3 November nanti. – MUHAMMAD AYMAN GHAFFA |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan