Kosmo Online - Hiburan |
Nadia Aqilah jelmaan Zaiton Sameon Posted: Nadia Aqilah jelmaan Zaiton SameonBERPELUANG menonton filem biografi Zaiton Ceritaku, sebuah kisah hidup penyanyi berstatus diva tahun 1980-an, Zaiton Sameon sesungguhnya begitu mengujakan. Bertempat di Cathay Cineplex e@Curve, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, perasaan semakin melonjak untuk mengetahui kisah hidup Zaiton, khususnya tentang apa yang berlaku di sebalik tragedi hitam kemalangan yang meragut nyawa anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar, 13 tahun, pada 21 Februari 1990. Bakal menemui penonton pada 1 November ini, antara karyawan filem ternama yang hadir memeriahkan majlis tayangan perdana filem itu pada Selasa lalu termasuklah Datuk Yusof Haslam dan Tiara Jacquelina. Sepanjang tayangan Zaiton Ceritaku yang turut dihadiri Zaiton Sameon sendiri serta Nadia Aqilah Bajuri yang merealisasikan karakter Zaiton Sameon, perasaan sebak menguasai seluruh pawagam dan semua yang sedang menonton naskhah arahan sulung Esma Daniel itu. Permulaan filem itu menonjolkan Nadia yang menyanyikan lagu hit Zaiton, Kabut Serangkai Mawar sekali gus mencetuskan gambaran dan nostalgia terhadap diva pujaan ramai pada era 1980-an itu. Sepantas kilat emosi berubah apabila selepas itu, penonton dikejutkan dengan kemalangan tidak diduga yang dialami Zaiton dan Azirwan ketika dalam perjalanan pulang dari membuat persembahan di Ipoh, Perak. Kemalangan ngeri itu berlaku di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Batang Kali, Selangor sehingga mengakibatkan dia kehilangan Azirwan buat selama-lamanya dan Zaiton sendiri koma selama tiga bulan. Emosi semakin menggila apabila putaran filem diteruskan dengan memaparkan keadaan Zaiton yang kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ibunya, Kamariah kerana tidak dapat berjalan akibat kemalangan itu. Duka terus dihambat derita apabila rumah banglo Zaiton serta segala barangan berharga telah dijual oleh kakaknya, ditambah pula dirinya kemudian terpaksa bergelut dengan kepedihan dan kekecewaan yang berganda selepas kematian ibunya itu akibat terkena strok. Semua paparan tersebut nyata benar-benar menyentuh emosi jauh di lubuk hati dan nurani. Menerusi filem itu juga, penonton didedahkan dengan fakta bahawa Zaiton sebenarnya bukannya kurang siuman seperti sesetengah laporan sebelum ini. Dia sebaliknya bertarung dengan perasaan sendiri daripada mengingati tragedi hitam yang berlaku terhadap dirinya yang tiba-tiba sahaja hilang segala kemilau bintang diva yang pernah dikecapinya sebelum ini. Zaiton juga terpaksa bergelut dengan keinginan dirinya yang membuak-buak untuk ke kancah nyanyian semula walaupun ketika itu dia sudah tidak mempunyai nilai seorang bintang lagi.
Malah sungguh tragis, apabila Zaiton kemudian telah menyanyi di sebuah gerai menjual durian untuk mendapat habuan makan durian secara percuma. Sebenarnya banyak lagi kisah lara Zaiton dipaparkan menerusi Zaiton Ceritaku yang begitu meruntun emosi. Ia nyata sekali sukses direalisasikan lakonan berkesan Nadia Aqilah, 26, sebagai Zaiton yang berusia 20-an pada zaman kegemilangannya, 30-an, 40-an sehinggalah di zaman malap pada usia 50-an. Walaupun nama Nadia masih agak asing di persada layar perak tetapi dia sebenarnya pernah membintangi beberapa drama bersiri di kaca televisyen seperti Tari Tirana, Emil Emelda, Sindarella dan Merah Putih. Tabik Zaiton Sameon Menurut Nadia, selepas disahkan memegang watak Zaiton Sameon, dia terus meminta untuk dipertemukan dengan pelantun lagu Menaruh Harapan itu untuk mengetahui dengan lebih dekat apa yang sebenarnya berlaku kepadanya. "Apabila jumpa Zaiton, saya tabik dengan dia, dia masih gagah berdiri dan tetap menyanyi walaupun di kenduri kahwin. Saya tidak tahu dari mana dia dapat semangat itu," katanya. Ujar Nadia, dia membuat pertemuan sebanyak tiga kali dengan Zaiton bagi menyelami dan menggali dalaman hati dan nurani wanita cekal itu. Tambah Nadia, sepanjang pembikinan filem itu, hanya sekali, Zaiton membuat kejutan dengan muncul di set penggambaran. "Zaiton sebenarnya seorang yang gigih, ada jiwa sebagai penyanyi, kalau tengok filem ini kita akan faham dirinya apabila sudah menyanyi sejak kecil, hidup kita hanya nak duduk atas pentas sahaja," katanya. Dia juga menjelaskan, apabila menonton filem berkenaan, orang ramai akan tahu bahawa Zaiton sebenarnya bukan seorang yang sakit jiwa. "Bila lihat mata dia, saya tahu dirinya sakit, filem itu akan beri penjelasan bahawa dia banyak kehilangan terutama anaknya Irwan, ketika bersembang dengan Zaiton dia banyak sebut nama Irwan jadi saya tahu dia sangat sayang anak tunggalnya itu," jelasnya mengakui sering menangis apabila mengingati kisah pahit Zaiton. Gincu tebal Mengakui proses menghidupkan watak Zaiton adalah sesuatu yang sukar dilakukan walaupun telah lima tahun berkecimpung dalam dunia lakonan. Nadia menganggap watak itu sebagai satu cabaran terhadap dirinya dan sememangnya dia menyukai cabaran sedemikian. "Ketika menjiwai watak itu, saya rasa tenang sangat bukan seperti pegang watak lain, biasanya akan ada tekanan untuk membawa sesuatu watak bukan untuk watak ini," tambahnya. Ujarnya, dia juga sering terbawa-bawa pembawaan Zaiton di luar set sehingga ditegur oleh beberapa artis senior lain yang turut berlakon dengannya. "Kalau di rumah pula, saya suka pakai gincu tebal seperti Zaiton hingga membuatkan adik tegur saya dan banyak lagi perkara lain yang membuatkan watak itu sudah sebati dengan diri saya," jelasnya. Nadia berkata, ketika bertemu dengan Zaiton beberapa kali dia mendapati wanita itu sering bercakap perkara yang sama berulang kali dan di situ dia tahu bahawa Zaiton menerima impak yang teruk terhadap kejadian yang berlaku ke atas dirinya. "Orang cakap macam-macam pasal dia tetapi sebenarnya, apabila dia tidak ingat sesuatu perkara telah membuatkan Zaiton tenang," jelasnya yang harap filem itu dapat menukar persepsi masyarakat terhadap Zaiton. Zaiton pula ketika ditemui di majlis itu meluahkan terkilannya apabila digambarkan seperti orang tidak normal dan terpaksa menyanyi untuk mendapat makan durian secara percuma. "Saya memang suka makan durian tetapi tidak lah sampai macam tu sekali untuk makan percuma," jelasnya yang turut menangis apabila melihat klip tayangan kemalangan yang meragut nyawa Irwan di akhir filem berkenaan. Dia juga yang menangis dan mahu mengungkit mengenai anaknya itu turut rasa tidak menyukai adegan filem berkenaan yang memaparkan seolah-olah ibunya, Kamariah meninggal disebabkan dirinya dalam bilik air ketika memandikannya duduk di kerusi roda. "Rasa tidak seronok tengok adegan itu tetapi hendak buat macam mana saya sudah tandatangani kontrak, keseluruhannya saya gembira dengan filem berkenaan kerana tidak sentuh tentang keluarga saya," jelasnya. | ||
Posted: Anak Madonna keluar rumahANAK perempuan Madonna, Lourdes, 15, mengambil keputusan untuk keluar daripada rumah ibunya dan tinggal bersama bapanya iaitu jurulatih peribadi, Carlos Leon. Dia bertindak sedemikian selepas beberapa episod pergaduhan dengan Madonna. Satu sumber memberitahu majalah Britain, Grazia: "Mereka bergaduh dengan begitu teruk, tetapi Madonna nampaknya sentiasa berusaha untuk menjernihkan keadaan. Dia tidak gembira dengan keputusan anaknya itu, tetapi Lourdes sudah membuat keputusan muktamad." Madonna yang juga mempunyai seorang anak lelaki Rocco, 12, melalui perkahwinannya bersama Guy Ritchie selain memiliki dua orang anak angkat iaitu Mercy James, 6, dan David Banda, 7, sanggup membatalkan konsert jelajahnya ke Australia dengan mengatakan: "Anak-anak saya adalah keutamaan." Perselisihan faham antara Madonna dan Lourdes dikhabarkan berpunca daripada hubungan sulit penyanyi berusia 54 tahun itu dengan seorang lelaki muda berusia 24 tahun, Brahim Zaibat. Selain itu, ketegasan Madonna dalam menghalang pergaulan Lourdes dengan kawan-kawannya juga antara yang menjadi puncanya. Selepas Lourdes ditangkap merokok awal tahun lalu, Madonna memberitahu: "Ia sangat sukar. Setiap hari ada sahaja rundingan yang akan dibuat dengan anak saya. Saya memang tidak suka orang merokok, lebih-lebih lagi anak saya." Sumber itu juga turut memberitahu, Lourdes tidak sabar lagi mahu meninggalkan rumah dan belajar di universiti. Semuanya sudah dirancangnya. Dia juga dikhabarkan sudah bosan mendapat begitu banyak perhatian media. | ||
Posted: Seni suara Imam MudaAlbum kompilasi lima buah lagu zikir ini menjurus kepada cita rasa halwa telinga anak-anak muda, penyampaian dan penghayatan zikir lebih segar dan disulami komposisi muzik lebih berani. KESINAMBUNGAN jenama Imam Muda musim ketiga diteruskan dalam bidang seni suara apabila sebuah album kompilasi lima buah lagu zikir dan berinspirasikan ketuhanan bakal menemui peminat tidak lama lagi. Lima buah lagu yang dinyanyikan oleh peserta-peserta Imam Muda musim ketiga berjudul Satu, Hasbi Rabbi, Subhanallah, Astaghfirullah dan gubahan semula lagu Allahyarham Datuk Ahmad Jais berjudul Takwa & Iman. Album tersebut merupakan kompilasi kedua dari jenama Imam Muda selepas album pertama, Imam Muda: Memecah Tradisi berjaya merangkul tempat kedua Asian Television Award di Singapura tahun lalu. Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, menariknya album kali ini akan ditampilkan bersama klip video lagu-lagu nyanyian sepuluh orang Imam Muda. "Album ini menjurus kepada citarasa halwa telinga anak-anak muda, penyampaian dan penghayatan zikir lebih segar dan disulami komposisi muzik lebih berani. "Pihak kami mahu melahirkan peserta yang serba boleh selaras dengan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin masyarakat. "Pendekatan dakwah yang sedikit berbeza disampaikan melalui nyanyian dipilih kali ini," katanya yang ditemui selepas sidang akhbar majlis pelancaran album, Imam Muda 3: Ada Imam Di Kalangan Kita, di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini. Lagu-lagu dalam album tersebut tambah Izelan diilhamkan oleh penggubah lagu yang sedang meningkat naik, Hezry Hafidz atau lebih dikenali AG Coco dari kumpulan Hujan. (Dari kiri), Imam Muda Syed, Imam Muda Faris, Imam Muda Omar, Imam Muda Hafiz dan Imam Muda Naufal yang merupakan sebahagian daripada 10 Imam Muda musim ketiga yang terlibat dalam album Imam Muda 3: Ada Imam Di Kalangan Kita. AG Coco pernah berkolaborasi bersama Astro untuk projek P. Ramlee... Dimana Kan Ku Cari Ganti: Satu Indiepretasi iaitu album kompilasi penghormatan buat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan album kompilasi, Aku Sudirman: Suatu Interpretasi. Selain juara Imam Muda musim ketiga iaitu IM Jabbar, turut terlibat dalam pembikinan album itu termasuklah sembilan Imam Muda lain iaitu Ramadhan, Fakhrulrazi, Omar, Syed, Hafiz, Megat, Azri, Nasir dan Rahman. Tidak pernah terfikir untuk diberi peluang menonjolkan bakat dalam bidang seni suara, kata Imam Muda Omar penghargaan ini amat besar nilainya. "Nyanyian merupakan salah satu medium menyalurkan dakwah dengan lagu-lagu berunsurkan nasihat dan puji-pujian kepada Allah, semoga album ini mendapat sambutan dalam kalangan peminat program Imam Muda khususnya," kata pemilik nama sebenar Omar Mohd. Mokhtar, 21. Hal yang sama dipersetujui oleh Imam Muda Hafiz atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Abdul Khodir, 28, yang baru melangsungkan perkahwinan usai program Imam Muda sebulan lalu. "Kenal dan lihat dari akar umbi masalah sebenar yang berlaku dalam masyarakat kita membantu memperbetulkan persepsi asal, begitulah peranan yang dibawa oleh bidang seni suara," ujarnya. Album terbitan Measat Broadcast Network System Sdn. Bhd. dan edaran Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd. itu boleh didapati di pasaran dengan harga RM12.90. - KHAIRUL AMRI HASSAN |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan