Kosmo Online - Rencana Utama |
Generasi muda pewaris bahasa ibunda Posted: Generasi muda pewaris bahasa ibundaANDA kaum apa? Itu soalan lazim yang ditujukan kepada Nursyahirah Mohd. Aziz yang baru berusia 13 tahun memandangkan wajahnya yang tidak tumpah seperti gadis Asia Barat. Memiliki mata besar dan hidung yang mancung, gadis yang menuntut di Sekolah Menengah Seksyen 7, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu rupa-rupanya berketurunan Pakistan. Namun, peliknya walaupun ibu bapa Nursyahirah sememangnya berketurunan Pakistan, namun dia tidak fasih bertutur dalam bahasa ibunda mereka Punjabi atau Urdu. Akui Nursyahirah, sewaktu zaman kanak-kanak dahulu penguasaan bahasa Punjabinya lebih teruk. Dia hanya faham sedikit apa yang dituturkan oleh ahli keluarganya dan langsung tidak dapat membalas bicara dalam bahasa tersebut. "Bayangkan, apa yang disebut lain bunyi dan maknanya pun berbeza. Apabila itu berlaku, saya berasa malu untuk meneruskan perbualan," kata gadis itu yang akhirnya lebih senang berbahasa Melayu dengan ahli keluarga di rumah. Keselesaan berbahasa Melayu dan Inggeris di sekolah mungkin telah mengehadkan kemampuan Nursyahirah menguasai bahasa Punjabi. Pakistan celup Sewaktu berusia 8 tahun ketika di sekolah, rakan-rakan mula melabelkannya sebagai Pakistan celup. "Ramai kawan di sekolah yang gemar menonton filem Bollywood sehingga meminta saya menterjemahkan pelbagai jenis ayat dari bahasa Melayu ke bahasa Punjabi kepada mereka. Pada kebanyakan masa, memang saya terpaksa menghampakan permintaan tersebut kerana memang saya tidak tahu banyak perkataan Punjabi. Akhirnya, label Pakistan Celup memang sangat menghantui saya," tuturnya sambil mengakui gelaran tersebut ternyata memberi kesan mendalam pada dirinya, sehingga sejak itu dia nekad untuk mula menguasai bahasa Punjabi.
Sejak itu juga, gadis berkulit cerah itu mula menonton filem-filem Bollywood dan menjadi pencinta filem berkenaan, walaupun sebelum itu dia amat jarang menonton filem berkenaan. Selain itu, dia juga akan melayari laman web yang mempunyai rangkaian panduan bahasa Punjabi kerana kaedah itu banyak membantunya menguasai dengan kebih cepat bahasa tersebut. Pada masa yang sama, dia juga akan bertanya kepada ibunya mengenai perkataan-perkataan yang sukar difahami. "Saya melihat langkah-langkah itu memudahkan saya untuk belajar bahasa ibunda saya, malah membuatkan saya semakin berminat dengan bahasa tersebut. Jika dahulu saya kosong, kini semakin bertambah baik," ujarnya. Kemerosotan bahasa ibunda menurut bidang linguistik adalah kegagalan penutur aslinya untuk menguasai bahasa tersebut. Ia biasanya berlaku disebabkan oleh jumlah penuturnya yang makin berkurang atau perkembangan bahasa lain yang menghakis kepentingan bahasa ibunda itu. Biarpun Persatuan Linguistik Amerika Syarikat menyatakan terdapat antara 6,800 hingga 6,900 jenis bahasa di dunia ini, namun globalisasi hari ini menyebabkan hanya beberapa bahasa menjadi keutamaan. Ternyata, globalisasi yang dipacu oleh kemajuan internet begitu dekat dengan generasi muda. Lantaran itulah, kemerosotan penguasaan bahasa ibunda dalam kalangan generasi muda agak ketara. Percaya atau tidak, hampir 3,000 daripada 6,800 bahasa ibunda yang terdapat di dunia ini kemungkinan akan pupus menjelang tahun 2050. Perkara itu diakui pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Hashim Musa. Menurutnya, selain faktor tidak dipertuturkan dan tidak diajar lagi kepada generasi muda, ia juga disebabkan bahasa-bahasa ibunda yang tinggal kini terdiri daripada penutur yang kecil. GOLONGAN ibu bapa sanggup menghantar anak-anak mereka ke tuisyen untuk mempelajari bahasa lain. "Misalnya bahasa etnik Orang Asli dan Iban yang kini dilihat kian merosot kerana kebanyakan golongan yang berusia telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Mengulas mengenai perkara yang sama, beliau juga tidak menolak ia juga disebabkan bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris. "Kebanyakan masyarakat percaya bahawa bahasa Inggeris membuka peluang pekerjaan. Oleh itu, mereka lebih menitikberatkan bahasa asing daripada bahasa ibunda sendiri sehingga akhirnya bahasa ibunda mengalami kepupusan,"ujarnya lagi. Upah guru khas Situasi tersebut turut dirasai oleh seorang ibu dari Klang, Selangor, P. Ezhilarasi, 33. Disebabkan mahu memastikan anak-anaknya bukan sahaja dapat bertutur, malah menulis dan membaca tulisan Tamil, dia mendapatkan khidmat guru bahasa Tamil khas untuk anak-anaknya. Biarpun, guru di sekolah juga ada mengajar bahasa Tamil, tetapi dia masih mahu berbuat demikian supaya anaknya dapat memberi perhatian dan tumpuan 100 peratus kepada subjek itu tanpa sebarang gangguan. Kedua-dua anaknya yang masing-masing berusia 7 dan 8 tahun telah mula menghadiri kelas itu sejak tiga tahun lalu. Bagi kakitangan swasta itu, dia mula mendapat kesedaran untuk menghantar anaknya ke kelas tambahan apabila dia sendiri pernah mengalami kesukaran untuk membaca akhbar dalam bahasa Tamil.
Tidak mahu anak-anaknya mengalami nasib yang sama, seterusnya dia mendapatkan khidmat guru bahasa Tamil. "Kini saya akan meminta anak sulung, Aviraami membaca surat khabar jika ada gambar-gambar menarik di dalamnya," katanya sambil memberitahu dia akan membeli akhbar Tamil Nesan setiap hujung minggu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan