Ahad, 28 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Telegram terpinggir dek kemajuan teknologi

Posted:

Telegram terpinggir dek kemajuan teknologi

GETARAN dada seorang wanita yang sedang menyapu daun-daun kering di halaman rumahnya semakin deras tatkala melihat seorang lelaki beruniform menaiki basikal memasuki pekarangan rumah. Desah nafasnya semakin kedengaran apabila lelaki tersebut menghulurkan sekeping sampul tertera perkataan telegram di hadapannya sambil berkata: "Telegram untuk puan."

Sebaik kiriman telegram yang tertulis, 'Ayah meninggal dunia, balik segera!' dibaca, mengalir manik-manik jernih daripada sepasang mata bundar wanita itu.

Itu antara adegan drama yang masih segar dalam ingatan penulis berhubung fungsi telegram iaitu menyampaikan mesej kecemasan terutamanya berita buruk dan sedih.

Jika ditebak soalan mengenai telegram kepada generasi muda kini yang medium komunikasinya berkiblatkan gajet-gajet canggih, pasti 90 peratus daripada mereka tidak tahu apa itu telegram.

Pernah sekali penulis menguji seorang remaja berusia 18 tahun mengenai telegram dan remaja tersebut bertanya kembali kepada penulis: "Apa itu telegram? Sukatan timbang terbaharu ke?"

Kenangan telegram

Kalau ada yang tahu pun, mungkin mereka hanya mendengarnya melalui pembacaan novel, cerita dan drama lama tanpa merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan tersebut.

Bagi seorang pesara kerajaan Rosly Mohamad, telegram punya nilai sentimental buat dirinya dan isteri, Zubaidah Omar, 58.

Lelaki berusia 58 tahun hanya tersenyum sambil ketawa kecil apabila persoalan mengenai telegram diutarakan, lantas ayah kepada empat orang anak itu menyingkap kembali cerita lama.

PERKHIDMATAN telegram sangat penting pada suatu ketika dahulu kerana ia dapat menyampaikan mesej dengan pantas berbanding medium komunikasi lain pada masa itu.


Ceritanya, apabila dia mahu menyunting anak dara orang, sudah menjadi adat ia dimulakan dengan merisik kemudian barulah bertunang, bernikah dan akhir sekali berkahwin.

"Pada ketika itu, keluarga saya merancang untuk datang merisik bakal isteri saya di Parit Baru, Sabak Bernam, Selangor. Tetapi saya tidak tahu bagi orang Jawa (keluarga sebelah isteri) merisik itu dikira bertunang.

"Kelam-kabut saya dibuatnya kerana tidak menyediakan apa-apa persiapan untuk majlis pertunangan. Yang ada hanya sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda merisik," katanya yang ketika itu tinggal di Tanjung Malim, Pera.

Tanpa berfikir panjang, dia terus memecut ke pejabat pos Tanjung Malim untuk menghantar telegram menyampaikan pesanan kepada keluarga bakal isteri bahawa pertunangan ditangguhkan bagi membolehkan keluarganya membuat segala persiapan.

"Mujur ada telegram, majlis pertunangan berlangsung seminggu kemudian. Kini, perkhidmatan telegram sudah ditamatkan dan segalanya hanya tinggal kenangan untuk diceritakan kepada anak dan cucu.

"Sayangnya, telegram itu tidak tahu ke mana," ujarnya.

Guna Kod Morse

Sejarah perkhidmatan telegram di Malaysia diperkenalkan di negara ini sejak tahun 1940-an.

Perkhidmatan telegram digunakan secara meluas oleh rakyat Malaysia pada ketika itu bagi menghantar pesanan termasuklah pesanan-pesanan segera.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Telekom Malaysia (TM), Datuk Rozalila Abdul Rahman, pada awal pengenalannya, perkhidmatan telegram telah diberikan melalui bantuan operator menggunakan Kod Morse.

Pada waktu itu, perkhidmatan telegram ditawarkan oleh Jabatan Telekom Malaysia (JTM). Apabila jabatan tersebut diswastakan menjadi Syarikat Telekom Malaysia (STM) pada tahun 1987, perkhidmatan itu terus kekal di bawah seliaan STM hinggalah evolusinya kepada Telekom Malaysia Berhad (TM) pada hari ini.


SEORANG kakitangan Muzium Telekom menunjukkan telegram yang pernah menjadi medium komunikasi yang penting suatu ketika dahulu.


"Perkhidmatan telegram yang ditawarkan sebelum ini oleh TM mengguna pakai sistem Automatic Message Switching dan menggunakan sebuah teleprinter bagi menghantar, menerima dan mencetak pesanan-pesanan pelanggan. Perkhidmatan ini hanya boleh diperoleh menerusi Pusat Khidmat Pelanggan TM di talian 100 dan juga di premis-premis TMpoint," katanya.

Tambahnya, Pos Malaysia bertanggungjawab memungut pesanan-pesanan yang dicetak dari Pusat Telegram TM di Kuala Pauh, Jalan Kuchai Lama, Selangor atau di premis TMpoint terpilih di seluruh negara untuk dihantar kepada penerima pesanan tersebut.

Bagaimanapun, kemajuan teknologi menyebabkan perkhidmatan telegram sejak beberapa tahun kebelakangan ini hanya digunakan kebanyakannya oleh bank dan institusi kewangan, khususnya bagi tujuan pungutan pembayaran.

"Akhirnya TM mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan ini atas beberapa faktor. Antaranya ketiadaan bantuan sokongan teknikal bagi peralatan yang dimiliki, selain wujudnya peranti-peranti serta saluran komunikasi baharu. Lebih banyak orang hari ini berkomunikasi menggunakan telefon talian tetap, telefon mudah alih, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan aplikasi pesanan segera," ujarnya.

Jelas Rozaliza lagi, berikutan peralatan yang digunakan untuk memberikan perkhidmatan telegram semakin usang dan alat gantian juga tidak lagi didapati, ia menjadi semakin sukar buat TM untuk terus menawarkan perkhidmatan itu.

TM telahpun memaklumkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengenai hasrat untuk menamatkan perkhidmatan telegram pada tahun 2004 dan kementerian akhirnya meluluskan permohonan tersebut pada bulan Mei 2012.

Tanggal 1 Julai lalu menjadi detik pernuh bersejarah apabila perkhidmatan telegram ditamatkan secara rasminya.

"Kami percaya industri telekomunikasi masa kini menghidangkan pelbagai medium komunikasi yang lebih bersesuaian dengan kemampuan dan cara hidup rakyat Malaysia.

"Kami juga memahami bahawa tidak semua golongan mampu untuk memiliki telefon bimbit atau komputer peribadi (PC) bagi menghantar e-mel, namun apabila Malaysia bergerak maju ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, negara kita dilengkapi dengan infrastruktur komunikasi yang berkembang dengan baik termasuklah telefon awam serta perkhidmatan pos," katanya.

INILAH salah satu tulang belakang perkhidmatan telegram yang bertanggungjawab memastikan telegram sampai dengan selamat kepada si penerima.


Pada detik-detik terakhir perkhidmatannya, Pengurus Besar TM Kelantan, Ab. Rashid Che Othman memberitahu, kira-kira 1,000 telegram dihantar melalui TM Point Kota Bharu berbanding hanya sekitar 500 pada hari-hari biasa.

Sejak tahun 2000 telegram dihantar melalui komputer dan tidak lagi menggunakan mesin teleks seperti zaman dahulu.

Bagi mereka yang mahu mendapatkan gambaran lebih jelas dan melihat sendiri mesin teleks yang digunakan suatu ketika dahulu anda boleh berkunjung ke Muzium Telekom, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Peningkatan jenayah bersenjata Bangkok

Posted:

Peningkatan jenayah bersenjata Bangkok

SEORANG lelaki menggilap senapang miliknya di sebuah kawasan luar bandar berdekatan bandar raya Bangkok untuk dijual kepada orang awam.


SERAMAI 20 orang murid sekolah berkumpul membuat bulatan di dalam sebuah bas henti-henti di tengah-tengah kota Bangkok. Di tengah-tengah mereka seorang pelajar sekolah lain yang berusia 16 tahun berada dalam ketakutan.

Selepas dimaki dan ditendang, salah seorang daripada 20 pelajar itu bertindak kejam apabila melepaskan tembakan ke kepala mangsa.

Kejadian jenayah seperti itu di kota Bangkok bukan lagi satu kejutan, malah insiden tembak-menembak dalam kalangan orang awam sudah menjadi satu perkara biasa.

Dalam satu insiden di stesen pertukaran bas yang sibuk, seorang mekanik komputer menembak mati dua orang awam dan mengambil seorang tebusan. Saksi berkata, ia menyerupai adegan daripada filem Hollywood.

Status destinasi syurga pelancongan selain pangkalan serantau bagi syarikat-syarikat multinasional, semakin tercalar dengan kontroversi itu.

Peningkatan kes jenayah seperti didakwa disumbang oleh peningkatan pemilikan senjata api dalam kalangan orang awam Thailand.

Statistik mendapati jumlah rakyat Thailand memiliki senjata, hampir empat kali ganda lebih tinggi daripada Filipina iaitu sebuah negara yang juga terkenal dengan jenayah senjata ganas.

Maka disebabkan itu, ada pihak yang menuding jari dengan mendakwa ketidakstabilan politik Thailand sejak rampasan kuasa 2006 akibat penolakan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra adalah punca kepada peningkatan kes jenayah bersenjata orang awam.

Ada sesetengah pihak pula mendakwa kekayaan Thailand yang tidak dibahagikan sama rata atau lebih mudah yang kaya terus kaya dan yang miskin terus miskin, mendorong orang awam mengambil undang-undang ke dalam tangan sendiri.

Penguatkuasaan lemah

"Thai telah menjadi bak sebuah filem Wild Wild West," kata ahli politik Chuwit Kamolvisit yang juga bekas hartawan pusat urut.

"Orang menarik keluar senjata mereka tanpa anda sedari kerana ia berlaku pada bila-bila masa dan di mana jua tempat."

Akui Chuwit, jenayah senjata yang semakin meningkat boleh merosakkan imej negara Gajah Putih yang berbangga dengan gelaran Tanah Dengan Senyuman.

Ia boleh menjejaskan kedatangan pelancong memandangkan Thailand menerima kunjungan 20 juta pelancongsetiap tahun.

Antara insiden terkini melibatkan jenayah senjata termasuklah seorang senator yang menembak mati bekas isterinya semasa makan malam.

Tidak ketinggalam insiden tembakan di sebuah kelab malam yang menyebabkan lima kematian.

Semua ini menunjukkan penguatkuasaan undang-undang yang sangat lemah oleh pihak berkuasa sejak rampasan kuasa pada 2006.

Jenayah bersenjata di Bangkok telah meningkat dua kali ganda sejak itu. malah yang lebih menakutkan ia melibatkan orang awam.

Thailand mempunyai kadar pembunuhan bersenjata tertinggi di Asia menurut www.gunpolicy.org iaitu laman web yang dihoskan oleh Pusat Pengajian Kesihatan Awam, Universiti Sydney di Australia.

Terdapat 5.3 pembunuh bersenjata bagi setiap 100,000 orang di Thailand pada tahun 2011, berbanding 0.2 di Filipina.

Undang-undang sendiri

Di bawah undang-undang Thailand, seseorang di bawah 20 tahun tidak boleh memiliki pistol, malah pemeriksaan latar belakang yang ketat dijalankan sebelum lesen boleh dikeluarkan.

Walaupun begitu, bilangan orang muda yang membawa senjata api telah meningkat kepada 32 peratus sejak sembilan tahun lepas, kata Kementerian Keadilan Thailand.

Terletak di antara lorong dan jalan sibuk di Chinatown, Bangkok Old Siam Plaza dikelilingi sekitar 80 kedai pistol beroperasi secara sah. Ada yang mengiklan senapang dengan nombor siri mereka dicalarkan.

Menurut rekod Kementerian Dalam Negeri, 6.2 juta lesen pemilikan senjata telah dikeluarkan di negara yang mempunyai populasi penduduk 69 juta orang itu.

Namun, jumlah itu belum dicampur dengan mereka yang memiliki pistol dan senapang secara haram.

"Pistol datang melalui semua sempadan Thailand iaitu di utara, timur dan barat negara," kata Komander Bahagian Penindasan Jenayah Thailand, Supisan Pakdinarunat.

Ahli politik Chuwit dengan tegas menyalahkan budaya atau amalan mengambil undang-undang dalam tangan sendiri sebagai punca.

"Jika seorang lelaki tidak boleh memakai pakaian seragam (penguat kuasa), memiliki pistol adalah perkara terbaik yang boleh dilakukan," katanya. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved