Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Rap Sosan bela nasib wanitaOleh SYALMIZI HAMID JIKA wanita-wanita Afghanistan lain selesa membiarkan seluruh tubuh dibaluti jubah biru dan burqa ketika berada di luar rumah, seorang gadis berumur 23 tahun di negara Asia Selatan itu memilih untuk menentang arus. Sosan Firooz selesa membiarkan rambut panjangnya mengurai melepasi bahu manakala kepalanya sekadar ditutupi dengan sehelai bandana bercorak tengkorak. Sehelai jaket berwarna terang dan jean lusuh pula menjadi penutup tubuhnya. Bagi masyarakat tempatan yang masih utuh dengan pemikiran konservatif, penampilan itu dianggap sebagai satu tindakan yang tidak bermaruah. Namun bagi Sosan, dia selesa memilih cara tersebut memandangkan kerjayanya sebagai seorang penyanyi rap. Sosan merupakan penyanyi hip hop wanita pertama Afghanistan. Namanya mungkin masih belum dikenali, tetapi semangatnya berjaya memecahkan tabu masyarakat tempatan. Dia menyanyi untuk menyampaikan mesej yang terbuku dalam hati tentang wanita dan semangat patriotik. Antara permulaan petikan bait lagunya yang berjudul Our Neighbours, berbunyi: "Dengarlah kisahku, dengarlah kesakitanku dan kesengsaraanku." Lirik tersebut merupakan sebahagian daripada luahan emosi Sosan tentang isi hatinya. Segalanya tentang iktibar daripada sejarah lampaunya yang suram. Dia memilih untuk menyanyi bukan kerana suka-suka. Sosan pernah melalui hidup yang menyedihkan. Sekurang-kurangnya cara itu merupakan ekspresi dirinya untuk merayu kepada sebuah keamanan di Afghanistan. Seluruh ahli keluarga Sosan terpaksa menjadi pelarian di Iran semasa dia masih kecil. Ketika itu perang saudara baru sahaja meletus dan kebangkitan rejim Taliban bermula pada 1996. Sepanjang lima tahun menetap di Iran pada 1990-an mereka sekeluarga dipandang rendah. Mereka dianggap sebagai manusia kelas bawahan oleh masyarakat tempatan. BUKAN sekadar menyampaikan mesej buat wanita, Sosan turut menyeru warga Afghanistan mencintai negara mereka dan bersatu melawan cabaran dalam lagu berentak rap yang berjudul Our Neighbours. Cium debu "Saya masih ingat ketika kami berada di sana. Kami digelar sebagai 'Afghan yang kotor' dan disuruh beratur di barisan belakang ketika berada di kedai roti," ujar Sosan. Bagaimanapun Sosan dan keluarganya pulang ke kampung halamannya di Afghanistan sejak tujuh tahun lalu. Ketika itu ketika usianya baru 16 tahun. Mesej yang disampaikan melalui lagu itu cukup mendalam. Ia tentang kata-kata semangat untuk seluruh warga Afghanistan. Katanya, walau apa pun yang berlaku, adalah lebih baik tinggal di negara sendiri. Jika tidak, mereka hanya boleh menjadi tukang cuci pinggan atau tukang cuci kereta. "Mereka akan merindui tanah air. Mereka pasti mahu mencium debu Afghanistan. Apa kesudahannya jika warga Afghanistan menjadi pelarian di Iran dan Pakistan? Separuh daripada mereka adalah penagih dan sebahagian lagi menjadi pengganas," dendang Sosan dalam nada hip hop. Lagu itu dinyanyikan dalam bahasa Dari, yang merupakan antara bahasa utama Afghanistan. Lagu tersebut dimuat naik di laman sosial YouTube untuk tontonan seluruh dunia. Biarpun bukan menjadi klip video rasmi, ia tetap memaparkan gambar-gambar Sosan yang berani berpakaian ala hip-hop. Selain itu, Sosan mahu menyampaikan isi hatinya tentang kehidupan wanita yang didakwa masih ditindas di negara dengan populasi 30 juta orang penduduk itu. "Keganasan terhadap wanita masih lagi berlaku di sini terutamanya di kawasan pedalaman. Masih ada wanita yang direjam dengan batu di tempat awam apabila ditangkap kerana mempunyai hubungan dengan lelaki. "Kami mahu keadilan yang sewajarnya kepada wanita dan kanak-kanak," kata Sosan menerusi lagu tersebut yang dirakamkan di sebuah studio di Kabul. Tidak ketinggalan, dia bercerita mengenai peperangan yang tidak sudah-sudah di negara yang berkeluasan 647,500 kilometer persegi itu. Dipulau jiran, keluarga "Apabila peperangan bermula di negara kami, peluru, roket dan meriam mula berguguran. Pokok-pokok kami semuanya terbakar. Perang juga memaksa kami meninggalkan kampung. "Kami meminta agar negara-negara jiran membiarkan kami hidup dengan aman," ungkap Sosan dalam studio tersebut. Kehidupan Sosan begitu daif. Dia menetap bersama keluarganya dalam sebuah rumah yang diperbuat daripada tanah liat di kawasan miskin di selatan Kabul Utara. Sebuah komputer lama digunakan untuk dia menulis nota muzik. Komputer tersebut sering tergendala. Mujurlah dia dihadiahkan dengan sebuah keyboard oleh seorang peminat. Sekurang-kurangnya mudah untuk dia berkarya. Sosan tidak mempunyai banyak sumber kewangan. Sebab itulah dia tidak mampu menghasilkan klip video rasmi apatah lagi memasarkan album dalam bentuk cakera digital (CD). Lagu tersebut merupakan ciptaan penyanyi dan komposer tempatan, Fared Rastagar. Dia juga merupakan pelarian perang yang baru sahaja pulang dari Jerman. "Saya mengagumi Sosan kerana keberaniannya dan menghargai sepenuh sokongan daripada keluarganya. "Budaya rap diperlukan di sini. Kita perlu membawa kelainan dalam hidup termasuklah dalam bidang muzik," kata Fared jujur. Pada awal bulan ini, Sosan telah membuat persembahan di sebuah festival muzik tiga hari di Kabul. Oleh kerana lelaki dan perempuan dilarang duduk bercampur di negara itu, Sosan terpaksa membuat persembahan sama selama dua hari. Hari pertama untuk penonton wanita, manakala hari kedua adalah persembahan khas untuk peminat lelaki. Bagaimanapun perjuangannya itu mendapat tentangan hebat. Hubungan saudara-maranya terputus manakala jiran tetangga bertindak memulaukan keluarganya. Bapa saudara Sosan turut memutuskan hubungan dengannya setelah melihat dia beraksi dan menyanyi di kaca televisyen. Bapanya, Abdul Ghafar pula terpaksa terpaksa berhenti kerja sebagai seorang juruteknik elektrik di jabatan kerajaan semata-mata memberi sokongan penuh kepada Sosan.
"Saya adalah pembantu peribadinya. Saya menjawab panggilan telefon dan saya juga menjadi pengawal keselamatannya di mana-mana sahaja. "Apabila dia melangkah keluar rumah, sayalah yang akan menjadi peneman. Sepatutnya sebagai ibu bapa kita perlu memberi sokongan penuh kepada anak kita agar membantu mereka berkembang," kata Abdul Ghafar. Ibunya pula yang aktif melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di sebahagian kawasan pedalaman di Selatan Afghanistan. Budaya rap dan hip-hop baru sahaja mula diterima oleh golongan muda di negara itu. selain Sosan, terdapat beberapa orang penyanyi rap lelaki. Antara yang popular termasuklah Bejan Zafarmal, 28, atau dikenali sebagai DJ Besho. | ||
Posted: Wajah cair bagai lilinOleh MAHFUZ MOHAMAD KEHIDUPAN Chandra Wisnu berubah apabila mula mendapat ketumbuhan pada muka dan badannya pada usia 19 tahun. MEMPUNYAI wajah yang seakan-akan cair seperti lilin, Mohammad Latif Khatana yang berasal dari Kashmir, India, menempuh masa sukar dalam hidupnya kerana wajah yang pelik. Lelaki berusia 32 tahun yang hidup di wilayah sangat daif itu menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan menelan semua sindiran dan cercaan orang ramai hanya kerana ketumbuhan di wajahnya. Latif dilahirkan dengan ketumbuhan kecil pada mukanya tetapi ia mulai membesar saban tahun sehingga akhirnya menutup muka dan pancainderanya. Anak bongsu daripada enam adik beradik itu merupakan satu-satunya anggota keluarga yang menghidap penyakit yang dipanggil neurofibromatosis itu. Bagi Latif, adik-beradiknya merupakan inspirasi kehidupan tatkala dia kesunyian akibat dipinggirkan masyarakat sekeliling. "Ibu masih menangis setiap kali melihat saya. Dia rasa bersalah dan tidak faham mengapa anak bongsunya ditimpa nasib sebegini. "Tidak ada orang yang mahu bermain dengan saya. Setiap hari saya dipukul dan diejek oleh kanak-kanak lain. Saya kehilangan mata kiri ketika berusia lapan tahun. Mereka memanggil saya si mata satu," katanya. Tidak sempurna Disebabkan wajahnya yang menakutkan, Latif tidak dapat mencari pekerjaan dan terpaksa mengemis untuk mencari sesuap nasi untuk kelangsungan hidup keluarganya. Hasil daripada simpati orang ramai, beliau mampu memperoleh 400 rupee (RM25) sehari. Kekurangan Latif juga menyebabkan dia sukar mencari jodoh. Ibu bapanya berusaha mencari isteri untuknya tetapi tidak ada wanita yang sudi berkahwin dengan Latif sehinggalah dia mendengar mengenai Salima. "Isteri saya hanya mempunyai sebelah kaki sahaja dan sudah lama dia berusaha untuk mendapatkan seorang suami. "Sebaik bertemu, kami sedar bahawa kami dicipta untuk satu sama lain. Kami berdua tidak sempurna anggota dan itu menjadikan kami pasangan yang sepadan," katanya. Kini dia gembira apabila mendapat berita wanita yang dikahwinnya itu hamil tetapi dia begitu bimbang, anak yang bakal dilahirkan itu akan berwajah sepertinya. "Saya tidak sabar untuk menjadi bapa dan memiliki sedikit kebahagiaan dalam kehidupan saya. Tetapi saya bimbang dan berdoa setiap hari supaya anak saya tidak dilahirkan seperti saya. Kesengsaraan Latif itu turut dirasai oleh Chandra Wisnu, 57. Lelaki separuh abad dari Indonesia itu menghidap penyakit sama seperti Latif, bagaimanapun wajah Chandra ditumbuhi ketulan seperti gelembung tumbuh. Ketulan kecil itu mula tumbuh di mukanya ketika dia berumur 19 tahun tetapi ia hanya merebak ke bahagian belakang badannya pada usia 24 tahun. Dalam tempoh lapan tahun, seluruh tubuh Chandra ditumbuhi gelembung. Keadaan tersebut adalah kerana faktor genetik dan mungkin disebabkan oleh kelainan pada sistem saraf yang menyebabkan tumor pada kulit atau tulang. Walaupun diberikan bermacam-macam jenis krim, namun ketulan tersebut terus merebak. Sangat aneh "Penyakit ini memberi kesan besar terhadap kehidupan saya, ketulan itu sangat gatal dan sakit ketika cuaca panas. Bagi mengelakkan daripada gatal dan menghentikan jelingan orang ramai, saya akan pakai jaket tiga lapis dan menutup kepala jika hendak keluar. "Orang tidak pernah mengolok-olok atau memperkecilkan saya secara langsung, tetapi mereka merenung dan mengelakkan saya, kebanyakan orang bertindak sangat aneh di sekeliling saya. "Ia membuatkan saya berasa amat tidak selamat dan marah apabila orang melayan saya dengan cara berbeza. Orang menjadi takut dengan muka saya yang mengerikan dan bimbang akan berjangkit kepada mereka. "Saya jarang keluar kecuali untuk mengambil anak perempuan saya dari sekolah dengan menutup kepala dan muka kerana tidak mahu anak saya dibuli kawan sekolahnya kerana mempunyai ayah seperti saya," kata bapa kepada empat orang anak itu. Kebimbangan Chandra makin bertambah apabila dua orang anaknya iaitu Martin Ananda dan Lis Chandra mempunyai ketumbuhan yang sama pada tubuh mereka. "Mereka hanya mempunyai beberapa ketulan kecil pada masa ini tetapi mereka bimbang akan datang ia akan menjadi lebih buruk. "Saya amat berbesar hati sekiranya ada pihak yang sanggup memberikan rawatan secara percuma. "Tetapi sekarang satu-satunya penawar yang saya ada ialah keluarga yang terus memberikan sokongan moral," ujarnya. | ||
Posted: Di sebalik tujuh syaratOleh MAHFUZ MOHAMAD KISAH legenda Puteri Gunung Ledang pernah difilemkan oleh Tiara Jacquelina yang juga peneraju filem epik itu. KISAH legenda Puteri Gunung Ledang pasti mengingatkan kita terhadap Sultan Mahmud Shah yang meminang puteri itu yang turut dikenali sebagai Gusti Putri Retno Dumillah. Pelbagai versi bercerita mengenai asal usul dan siapa sebenarnya Puteri Gunung Ledang. Versi cerita yang paling popular dan selalu diperkatakan mengenai asal-usul puteri itu adalah daripada Majapahit yang lari ke Gunung Ledang kerana dipaksa berkahwin dengan Putera Demak. Menurut buku lama Sulalatus Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu, Sultan Ahmad mengutuskan Hang Tuah, Tun Mamat dan beberapa pegawai istana untuk meminang Puteri Gunung Ledang. Pinangan itu bagaimanapun ditolak oleh Gusti Putri dengan menetapkan beberapa syarat yang mustahil. Antara permintaan Gusti Ratu ialah jambatan emas dan jambatan perak, tujuh dulang hati nyamuk, hati hama, satu tempayan air mata anak dara, satu tempayan air pinang muda dan semangkuk darah Sultan Ahmad. Di sebalik penolakan itu dan tujuh syarat yang ditetapkan, terdapat pelbagai spekulasi yang dibuat mengenai sebab pinangan ditolak dan syarat yang dikenakan. Seperti yang diceritakan dalam filem yang pernah diterbitkan pada 2004, penolakan tersebut adalah kerana cinta Puteri Gunung Ledang terhadap Laksamana Melaka, Hang Tuah. Versi lain yang disampaikan dari nenek moyang pula menyatakan Puteri Gunung Ledang telah bersuami. Namun, persoalannya bukanlah sebab mengapa Puteri Gunung Ledang menolak pinangan tersebut tetapi syarat yang diberi kepada Sultan Mahmud. Terdapat beberapa teori yang timbul dalam kisah ini antaranya syarat yang ditetapkan bukanlah dari Puteri Gunung Ledang sendiri tetapi ia adalah rekaan Tun Mamat dan Hang Tuah. Antara tujuan syarat-syarat tersebut direka bertujuan untuk membersihkan kota Melaka yang sedang pesat membangun sebagai bandar pelabuhan terkenal di seluruh dunia daripada serangga yang membawa penyakit melalui syarat tujuh dulang hati nyamuk dan hati hama. Selain itu, syarat semangkuk darah putera mahkota pula bertujuan untuk menyedarkan Sultan Ahmad tentang tanggungjawab utama baginda sebagai pemerintah Melaka. Sesetengah pendapat menyatakan legenda ini adalah rekaan semata-mata yang dicipta untuk menyindir sifat kaki perempuan Sultan Mahmud dan kezaliman baginda. Tujuh dulang hati kuman dan hati nyamuk menggambarkan sikap Sultan Mahmud yang sanggup menggadaikan hati-hati rakyat jelata semata-mata demi mencapai matlamat yang dihajatkan. Tujuh tempayan air mata dara pula sebagai perlambangan anak-anak gadis yang dipaksa menjadi gundik sultan dan berpisah dengan keluarga. Walau apa pun versi dan spekulasi yang wujud daripada kisah Puteri Gunung Ledang ini, ia haruslah dijadikan sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua supaya sentiasa beringat dalam melakukan sesuatu perkara. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan