Jumaat, 19 Oktober 2012

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Art On Glass ilham Salmiah

Posted:

Art On Glass ilham Salmiah

Oleh NURUL IZZA ROSLY

JARI-JEMARINYA memegang lembut berus sambil mengoles warna-warna terang pada lukisan yang sedia ada di atas permukaan kepingan kaca lutsinar.

Tidak sampai 10 minit, 'wajah' kepingan kaca kosong tadi sudah menjadi naskhah seni yang mampu menyuntik perasaan bangga dan membuatkan sang pengkarya tersenyum puas.

Sudah menjadi rutin wanita berusia 45 tahun itu melihat pancaran ekspresi wajah penuh keterujaan daripada wanita-wanita yang datang menuntut ilmu seni dan kraf di premisnya, Art On Glass Biz di Jalan Dataran Selayang 2, Selangor.

Setiap kali melihat keceriaan di wajah anak-anak didiknya itu, semakin menggebu hasrat Salmiah Mohd. Norin untuk berkongsi ilmu seni lukisan kaca yang dipelajarinya empat tahun lalu.

Minatnya terhadap seni tersebut hanya terbit empat tahun lalu saat ibu kepada empat orang cahaya mata itu terbaca sebuah artikel mengenai seni tersebut di dada akhbar.

Bagai cinta pandang pertama, keunikan seni lukisan kaca telah menyunting hatinya untuk mendekati dan mendalami seni tersebut. Salmiah lantas mencari 'sifu' bagi membolehkan hasratnya menjadi kenyataan.

"Selama setahun saya belajar mendalami seni ini, sudah sampai masanya untuk berkongsi ilmu yang ada kepada wanita-wanita di luar sana terutamanya dalam kalangan suri rumah dan ibu-ibu tunggal.

"Berbeza dengan kelas-kelas seni dan kraf lain, Art On Glass Biz bukan sahaja mengetengahkan kelas lukisan kaca, malah turut menawarkan kelas sulaman reben, sulaman manik, decoupage, anyaman surat khabar dan gubahan bunga di bawah satu bumbung bermula Januari lalu," katanya yang tidak mempunyai sebarang pendidikan formal berkaitan seni itu sebelum ini.

DENGAN bayaran RM30 satu jam, segala peralatan keperluan untuk mempelajari seni kraf kaca akan disediakan, malah pelajar boleh membawa pulang hasil seni mereka.


Tambahnya, idea menghimpunkan kelas kraf di bawah satu bumbung adalah bagi memudahkan orang ramai untuk mempelajari pelbagai seni kraf tanpa perlu pergi ke merata tempat.

Salmiah juga pernah berhadapan dengan kesulitan tersebut, jadi dia mahu memudahkan wanita-wanita pencinta kraf di luar sana dengan menghimpunkan kelas kraf di bawah satu bumbung.

"Bagi seni lukisan kaca, saya sendiri akan turun padang menjadi tenaga pengajar tetapi untuk seni sulaman reben, manik dan lain-lain, khidmat tenaga pengajar luar disediakan.

"Saya mengambil khidmat salah seorang tenaga pengajar di Kolej Komuniti Selayang iaitu Rosnah Mamat, 56, apabila ada permintaan daripada orang ramai yang mahu mempelajari kraf tangan lain selain daripada lukisan kaca," ujarnya yang turut menerima tempahan cenderamata dan hadiah korporat.

Isi masa terluang

Sesiapa yang menjejakkan kaki ke Art On Glass Biz pasti terkesima dengan hasil tangan seni coretan kreativiti Salmiah.

Mungkin sesetengah orang melihatnya menganggap seni lukisan kaca sesuatu yang mudah, tetapi tak kenal maka tak cinta. Ia tidak semudah yang disangka, namun dengan latihan berulang kali, anda mampu menghasilkan sesuatu persis kerja tangan profesional.

"Jujur saya katakan, saya bukan tangan seni dan tidak minat seni pun sejak kecil.

"Apabila anak-anak sudah besar, saya tidak mempunyai aktiviti ketika mereka ke sekolah. Jadi, saya ingin lakukan sesuatu untuk diri sendiri," katanya yang pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama lapan tahun sebelum berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak dan keluarga.

Sejak melibatkan diri dalam seni lukisan kaca, Salmiah tidak dapat melupakan momen indah ketika membuka gerai pada Perhimpunan Agung UMNO 2010.

"Ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad terus melangkah ke gerai saya walaupun peniaga-peniaga lain memanggil-manggil beliau ke gerai masing-masing.

"Ia satu penghormatan buat saya apabila Tun membeli sebuah pasu bunga hasil kerja tangan saya," katanya yang turut mendapat undangan syarikat-syarikat swasta untuk turut serta dalam program anjuran mereka.

Tidak seperti kelas kraf lain, Art On Glass Biz mengenakan bayaran RM30 untuk satu jam. Salmiah akan menyediakan segala keperluan belajar dan mereka yang berminat hanya perlu menghadirkan diri.

"Hasil kreativiti yang telah disiapkan boleh dibawa pulang. Kelas ini juga dibuka kepada para pelajar semasa cuti sekolah," ujarnya sambil memberitahu diskaun akan diberikan jika hadir dalam kumpulan 15 hingga 30 orang.

Tiada had umur atau kriteria tertentu diperlukan untuk seseorang itu menuntut seni kraf di Art On Glass Biz. Cukup sekadar minat dan tidak perlu ada latar belakang seni.

Sulaman reben


ART On Glass Biz bukan sahaja menjadi lokasi menimba ilmu kraf, malah pada masa yang sama dapat menjadi terapi meredakan stres.


Jika orang ramai tidak mahu melalui jalan-jalan yang sesak, Salmiah pula sebaliknya. Dia sanggup memandu kereta kancil anaknya yang mempunyai paparan mengenai Art On Glass Biz pada cermin belakang meredah kesesakan jalan raya semata-mata untuk tujuan promosi.

Dalam pada itu, salah seorang pelajar yang pernah mengikuti kelas sulaman reben, Nur Zaiton Mohd. Salji, 45, memberitahu selepas menghadiri kelas selama lima jam, dia sudah mampu menguasai asas sulaman reben.

"Saya sangat meminati sulaman reben, tetapi tidak tahu di mana tempat yang menawarkan kelas sebegini.

"Kerana minat, saya cuba mempelajarinya secara dalam talian melalui YouTube, namun agak sukar untuk berbuat demikian kerana tidak dapat melihat secara langsung," katanya.

Selepas mengetahui Art On Glass Biz ada menawarkan kelas sulaman reben, Nur Zaiton tidak melepaskan peluang tersebut dan mula mengikuti kelas pada Julai lalu.

Apabila sudah mempelajari asas dan menguasai beberapa teknik sulaman reben, ibu kepada tiga cahaya mata itu sanggup bersengkang mata sehingga jam 2 pagi untuk memberikan nafas baharu pada sarung-sarung kusyen lama miliknya.

"Selain sarung-sarung kusyen, saya juga menjahit sulaman reben pada bekas botol kuih raya.

"Tidak lama untuk menguasai sulaman ini. Apabila sudah faham asasnya, kita sudah boleh mencipta macam-macam mengikut kreativiti masing-masing," ujarnya yang turut mengajar kenalan terdekat.

Bantuan melawan kelaparan

Posted:

Bantuan melawan kelaparan

Oleh SUHANA VERU

BEKALAN air bersih turut disalurkan kepada kanak-kanak di Vietnam.


MENGIKUT kajian Organisasi Bantuan Kelaparan dan Menghadapi Masa Depan Amerika Syarikat sehingga bulan Mac lalu, setiap tiga saat berlaku satu kematian akibat kebuluran di seluruh dunia.

Hasil kajian itu juga mendapati, setiap tahun seramai lima juta kanak-kanak mati disebabkan faktor yang sama iaitu kebuluran.

Malah, lebih 925 juta orang dikatakan sedang berdepan konflik kelaparan di seluruh dunia.

Menyedari hakikat itu, pusat penjagaan dan rawatan rambut, 101 Hair Care bekerjasama dengan sebuah badan amal antarabangsa, World Vision untuk membantu kanak-kanak di Asia yang mengalami kebuluran.

Komited dengan tanggungjawab sosial yang perlu dicurahkan kepada golongan yang kurang bernasib baik, 101 Hair Care mengambil inisiatif untuk menaja seramai 101 kanak-kanak miskin dari Kemboja, China, India, Indonesia, Lubnan, Myanmar, Thailand dan Vietnam.

Malah sejak tahun 1997, 101 Hair Care telah mengumpulkan sejumlah RM211,800 untuk membantu kanak-kanak miskin di bawah program tahunan tajaan World Vision.

Pakej amal 101 Hair Care

Pada tahun ini, pusat tersebut telah menyerahkan sumbangan RM60,600 menerusi jualan set penjagaan rambut amal.

Justeru, melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan, pusat tersebut melaksanakan projek yang sama pada suku kedua tahun ini berasaskan siapa cepat didahulukan.

101 Hair Care dan World Vision menganjurkan lawatan ke Thailand dan Vietnam dan mereka yang berminat boleh membeli mana-mana pakej amal 101 untuk berpeluang menyertai Program Pembangunan Kawasan World Vision.

Para pelanggan yang telah membeli salah satu pakej amal itu akan mendapat bayaran minimum untuk pakej lawatan lima hari empat malam ke Thailand termasuk tiket penerbangan, penginapan dan makan berjumlah RM2,700, manakala lawatan ke Vietnam lima hari empat malam berjumlah RM2,600.

Kesemua hasil jualan tersebut sebahagian besarnya akan disumbangkan kepada World Vision nanti.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif 101 Hair Care, Ricky Thye berkata, pihaknya juga menawarkan edisi terhad set penjagaan rambut kepada orang ramai.

"Anda boleh menjaga rambut dengan rawatan yang berkualiti daripada 101 Hair Care di samping menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan.

"Oleh itu, kita berharap orang ramai jangan melepaskan peluang ini untuk bertemu dengan kanak-kanak istimewa tersebut," katanya sambil memberitahu set penjagaan rambut mengandungi pek penyenggaraan, nutrisi, antipenuaan kulit kepala dan nutri folikel yang dijual pada harga istimewa.

Sementara itu, melihat kepada peningkatan angka penduduk dunia yang berdepan konflik kelaparan, 101 Hair Care juga menyokong kempen 30 Jam Kelaparan sebagai langkah susulan menyokong transformasi dalam kehidupan kanak-kanak dan komuniti mereka.

101 Hair Care telah menganjurkan kempen itu di ibu pejabatnya di USJ, Subang, Selangor baru-baru ini yang disertai lebih 50 kakitangan.

Dalam program itu, pelbagai aktiviti disusun bagi membolehkan peserta menyelami penderitaan kanak-kanak di negara kurang membangun.

Antaranya membina sendiri rumah daripada kotak dan surat khabar, mengemudi belon dan bola ping pong. Mereka melakukan semua tugasan itu seolah-olah sedang berada di kawasan gempa bumi.

Menerusi aktiviti-aktiviti itu, kakitangan dapat melihat sendiri cabaran dihadapi kanak-kanak dan merasai keperitan yang dilalui mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti amal 101 Hair Care layari laman www.101hair.com.my.

Agihan daging akikah dan korban

Posted:

Agihan daging akikah dan korban

DAGING korban dan akikah haram diberikan kepada orang bukan Islam kerana tujuan penyembelihannya kerana ibadah kepada Allah.


SAYA ada kemusykilan mengenai akikah. Benarkah daging akikah tidak boleh dimakan oleh orang yang melakukan akikah? Adakah daging akikah ini boleh dimakan oleh mereka yang bukan Islam?

JAWAPAN:

Akikah adalah penyembelihan haiwan ternakan yang dilakukan untuk anak yang baru lahir sebagai tanda bersyukur kepada Allah.

Perkataan akikah daripada kata al-Iqqah bererti rambut makhluk yang baru dilahirkan, baik manusia atau binatang.

Akikah afdal dilakukan dalam tempoh seminggu selepas kelahiran. Daging akikah dan korban haram diberikan kepada bukan Islam kerana korban dan akikah merupakan amal ibadah kepada Allah.

Ia bertujuan untuk bertaqarrub kepada Allah. Ini ada disebut dalam Fatwa Syeikh Ahmad al-Fatthani.

Namun begitu, kalau bukan Islam hendak membeli satu bahagian daripada daging lembu itu untuk kegunaan peribadi, bukannya untuk korban, maka harus hukumnya menurut Syeikh Daud al-Fatthani dalam Furu'ul masaa'il.

Asalnya daging korban atau akikah adalah untuk sedekah yang mana diniatkan pahala. Maka pemberiannya perlu diberikan kepada orang yang berhak.

Dalam hadis ada menyebut bahawa elok dibahagikan daging-daging tersebut kepada tiga bahagian. Bahagian pertama dimakan oleh tuan punya akikah dan keluarganya. Bahagian kedua dihadiahkan kepada tetangga dan sahabat handai, manakala yang ketiga hendaklah disedekahkan kepada orang miskin dan memerlukan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved