Rabu, 31 Oktober 2012

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Sinonim dengan festival layang-layang

Posted:

Sinonim dengan festival layang-layang

Oleh NASRI JAMALUDIN

SUATU ketika dahulu, Pasir Gudang, Johor merupakan sebuah perkampungan nelayan dengan jumlah penduduk yang tidaklah begitu besar populasinya. Mengikut sejarah pada tahun 1918, kawasan Pasir Gudang yang sebelum itu disebut Kampung Pasir Udang telah diterokai oleh Long Abu, dipercayai berasal dari Riau, Indonesia.

Sejak itu, kawasan berkenaan terus berkembang termasuk pembukaan lebih banyak kampung dan penempatan baharu.

Secara tidak langsung nama Pasir Udang mengalami perubahan menjadi Kampung Pasir Gudang. Nama tersebut dipercayai timbul kerana wujudnya kawasan perlombongan pasir dan terdapat timbunan pasir yang banyak. Pasir itu dieksport ke Singapura.

Hari ini, Pasir Gudang terus gah menjadi sebuah kawasan perindustrian termasuk dalam industri minyak dan gas. Seiring dengan pembangunan itu, Pasir Gudang turut menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara kerana keunikannya yang tersendiri.

Mewarnai langit

PEMANDANGAN dari atas Sarang Buaya yang terletak di kawasan paya bakau di Tanjung Langsat.


Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), On Jabbar berkata, antara lokasi tumpuan pelancong di Pasir Gudang termasuklah Muzium Layang-Layang Pasir Gudang, Sarang Buaya, Masjid Jamek Pasir Gudang, Litar Pasir Gudang dan perkampungan nelayan Pasir Putih, Tanjung Langsat serta Perigi Acheh.

Selain itu, penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia yang diadakan saban tahun juga memasyhurkan Pasir Gudang di mata dunia.

Menurutnya, Muzium Layang-Layang merupakan mercu tanda di Bukit Layang-Layang, di Taman Bandar. Bangunan muzium itu mudah dikenali kerana terdapat kincir angin di atas bumbungnya.

"Muzium yang menempatkan pelbagai saiz dan warna layang-layang itu dibina bertujuan untuk memelihara kegemilangan warisan budaya bangsa.

"Ia juga bagi meneruskan kesinambungan permainan rakyat berkenaan agar tidak dilupakan dan terus kekal diwarisi generasi akan datang," katanya.

Diiktiraf sebagai muzium layang-layang pertama di Malaysia, ia mempunyai koleksi lebih 500 layang-layang tempatan dan luar negara. Sejak dibuka pada tahun 2002, ia turut memaparkan sejarah permainan tradisional rakyat.

Layang-layang yang ditempatkan di situ juga datang dari pelbagai negara seperti Jepun, China, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Pada masa-masa lain, Taman Bandar Pasir Gudang berkeluasan 60 hektar itu turut menjadi tumpuan penduduk sekitar yang melakukan pelbagai aktiviti.

Kedudukannya di tengah-tengah pusat Bandar Pasir Gudang memudahkan penduduk tempatan dan juga pengunjung beriadah pada hujung minggu.

Taman Bandar Pasir Gudang sememangnya mempunyai ciri-ciri yang unik dan menarik sebagai pusat tumpuan rekreasi keluarga dan kegiatan sukan.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan termasuk berjoging, beristirehat di pondok-pondok yang disediakan, kawasan permainan kanak-kanak atau sekadar berjalan di sekeliling kolam atau taman.

PELBAGAI koleksi layang-layang dipamerkan di Muzium Layang-Layang Pasir Gudang.


Landskap cantik

Masjid Jamek Pasir Gudang yang terletak bersebelahan Bukit Layang-Layang bukan sahaja menjadi tumpuan umat Islam beribadat, malah pelbagai aktiviti lain.

Mula digunakan pada tahun 1989, ia telah beberapa kali memenangi anugerah Landskap Peringkat Kebangsaan bagi Kategori Masjid.

Kombinasi seni bina Islam dan landskap yang cantik buatan manusia menjadi mercu tanda di tengah-tengah kepesatan pembangunan Pasir Gudang.

Ia juga dijadikan sebagai lokasi bagi penganjuran beberapa aktiviti keagamaan seperti Sambutan Maulidur Rasul serta majlis perkahwinan beramai-ramai di Pasir Gudang.

Buaya tembaga

Bagi yang meminati hidupan liar, santuari buaya tembaga dikenali Sarang Buaya yang terletak berhampiran Pelabuhan Tanjung Langsat pasti mengujakan anda.

Kawasan seluas lapan hektar itu bukan sahaja berperanan sebagai pusat perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan malah pembiakan spesies buaya tembaga. Selain itu, ia juga bertujuan menangani masalah kepupusan reptilia tersebut.

Buaya tembaga dengan nama saintifiknya, Crocodylus Porosus adalah reptilia yang hidup dalam air masin dan tawar. Antara 23 spesies buaya di seluruh dunia, reptilia itu merupakan yang terbesar dan ganas. Buaya tembaga mempunyai nilai yang tinggi di pasaran terutama kulitnya.

Sarang Buaya itu beroperasi di bawah pentadbiran MPPG. Ia dibina dalam kawasan hutan paya bakau dan mempunyai sebanyak 12 kolam khas.

Ketika ini sebanyak 144 buaya tembaga pelbagai saiz dan umur ditempatkan di Sarang Buaya itu bagi dipelihara serta untuk tatapan pengunjung.

Selain menyaksikan buaya dari atas sangkarnya, pihak Sarang Buaya juga menyediakan slot khas untuk pengunjung bukan sahaja bergambar, malah memberi makan buaya tersebut.

Bagaimanapun slot tersebut diadakan pada waktu tertentu. Contohnya aktiviti memberi makanan kepada buaya hanya diadakan pada hujung minggu atau cuti am iaitu pada pukul 10.30 pagi, 12 tengah hari, 2 petang dan 4 petang.

Sementara aktiviti berfoto dengan anak-anak buaya pula diadakan pada setiap hari pada pukul 10 pagi dan 2.45 petang.

Kehidupan nelayan

MUZIUM Layang-Layang Pasir Gudang meneruskan kesinambungan permainan rakyat itu agar tidak dilupakan oleh generasi akan datang.


Meskipun dihimpit kemajuan pesat perindustrian, aktiviti penduduk sebagai nelayan masih boleh disaksikan oleh para pengunjung.

Kampung-kampung tradisional seperti Kampung Tanjung Langsat, Perigi Acheh dan Pasir Puteh menjadi tumpuan pengunjung yang meminati aktiviti memancing atau sekadar berehat.

Di beberapa kampung seperti di Kampung Tanjung Langsar dan Pasir Puteh pengunjung boleh menjamu selera terutama makanan laut.

Pengunjung juga dapat menyaksikan para nelayan mencari rezeki di laut, selain melawat kelong-kelong ikan milik persendirian.

Inap pengembara bisnes

Posted:

Inap pengembara bisnes

DEKORASI bilik yang mengutamakan elemen kontemporari dengan hiasan yang minimalis.


BERADA di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur, soal penginapan bukanlah sesuatu yang merunsingkan fikiran.

Terdapat puluhan, malah ratusan hotel-hotel bertaraf lima bintang hingga satu bintang yang menawarkan penginapan yang selesa dan berkualiti bergantung kepada penghuninya.

Bagi yang masih tercari-cari lokasi penginapan di tengah-tengah ibu kota, apa kata berkunjung ke Swiss Garden Hotel & Residences Kuala Lumpur.

Terletak di kawasan segi tiga emas di Jalan Pudu yang padat dengan pelbagai aktiviti hiburan dan perniagaan, ia merupakan lokasi terbaik bagi pengembara bisnes dan pelancong yang mahu melihat sisi Kuala Lumpur dengan lebih dekat.

Berlatarbelakangkan panorama dan landskap indah bangunan pencakar langit di sekitarnya, hotel itu tampak mewah dan selesa dengan penginapan bertaraf empat bintang yang ditawarkan.

Secara keseluruhan terdapat 310 bilik dan suites pelbagai pilihan yang ditawarkan termasuk Deluxe, Executive, Family Deluxe dan Juinor Suite.

Serba lengkap

Menggabungkan elemen harmoni dan kontemporari pada rekaan setiap bilik, pengunjung pasti selesa dengan pelbagai kemudahan yang disediakan. Antaranya, pendingin hawa, televisyen, peti deposit, peti ais mini, telefon, kemudahan membuat minuman dan surat khabar.

Sepanjang menginap di sini, pengunjung berpeluang merasai pelbagai hidangan enak dan lazat yang ditawarkan di beberapa kafe, restoran dan lounge.

Nikmati hidangan makan malam yang unik di Flavors Restaurant atau bagi yang mementingkan kesihatan makanan pula, bolehlah ke Green Treats Delicatessen.

Sementara itu, Pool Bar pula merupakan lokasi terbaik bagi pengunjung yang mahu menikmati minuman atau snek dalam suasana terbuka. Jika mahu melakukan perbincangan tidak formal sambil bersantai mendengar irama muzik, apa kata ke Blue Chip Lounge.

Tidak sekadar itu, pengunjung boleh mencuba pelbagai kemudahan dan aktiviti riadah yang disediakan di hotel itu termasuk gimnasium dan kolam renang.

Pengunjung juga boleh membelai tubuh di Samsara Spa.

SWISS Garden Hotel & Residence Kuala Lumpur sering menjadi pilihan pelancong saat bercuti di ibu kota.


Berkonsepkan gaya Bali klasik dan kontemporari, pengunjung pasti teruja menikmati urutan dalam suasana yang cukup menenangkan oleh tukang urut profesional.

Selain menjadi lokasi penginapan, Swiss Garden Hotel & Residences Kuala Lumpur juga sering berfungsi sebagai destinasi persidangan dan majlis-majlis rasmi.

Dewan utamanya, Grand Hibiscus Ballroom mampu memuatkan sehingga 800 pengunjung pada satu-satu masa. Ia juga mempunyai sembilan bilik pelbagai fungsi yang lengkap dengan kemudahan audio visual untuk acara persidangan, mesyuarat dan seminar.

Eksplorasi dunia maritim

Posted:

Eksplorasi dunia maritim

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

BAHAN pameran menunjukkan aktiviti perdagangan yang dijalan di Melaka.


KITA mungkin mengenali Christopher Columbus, Vasco da Gama atau Ferdinand De Magellan, tokoh-tokoh pelayaran terkenal dari Barat dan pelbagai kisah kejayaan mereka.

Namun, tidak ramai yang mengetahui tamadun Melayu juga turut melahirkan tokoh pelayaran ulung iaitu Panglima Awang Hitam yang juga dikenali Henry The Black atau Enrique di Malacca.

Mengikut sejarah, Panglima Awang dikatakan berjaya mengelilingi dunia pada abad ke-15 ketika mengikuti ekspedisi Magellan dalam meneroka laluan perdagangan rempah ke Asia Tenggara ketika itu.

Kisah kejayaan Panglima Awang itu boleh diketahui lanjut tatkala berkunjung ke Muzium Samudera di Melaka.

Terletak di Jalan Quayside, Bandar Hilir, muzium itu tampak unik kerana dibina di atas replika kapal terkenal Portugis, Flor de La Mar yang dikatakan karam di perairan Sungai Melaka satu ketika dahulu.

Pembinaan muzium itu bermula pada tahun 1990 sebelum ia dibuka kepada orang ramai selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan lapan meter lebar, muzium setinggi tiga tingkat itu memaparkan sejarah maritim Melaka bermula dari era Kesultanan Melayu Melaka, Portugis, Belanda dan Inggeris.

Di tingkat atas, pengunjung akan dibawa melihat sejarah perdagangan Melaka pada era kegemilangannya.

Ia digambarkan melalui replika patung pedagang dari Arab, China dan India yang menjual aneka tekstil, rempah dan sutera.

Di samping itu, terdapat pelbagai ilustrasi yang membuktikan kemajuan pelabuhan Melaka yang terkenal dengan aktiviti perdagangan.

Kedudukan Selat Melaka yang strategik menghubungkan bahagian Timur dan Barat menjadi tumpuan pedagang dari seluruh dunia.

Turut menjadi tumpuan adalah perkembangan agama Islam di Melaka dan kisah mengenai Hang Tuah serta lima saudaranya.

Di tingkat bawah pula, pengunjung akan dibawa melihat sejarah maritim ketika era penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris.

Di situ juga pengunjung berpeluang melihat pelbagai artifak seperti senjata, pakaian perang, peta lama, mata wang lama, tembikar dan ilustrasi mengenainya. Di ruang itu juga persoalan mengenai siapakah Panglima Awang bakal terjawab.

Di samping itu, turut dipamerkan pelbagai replika kapal perang dan kapal perdagangan dari setiap era.

Biarpun hanya replika, namun teknologi yang digunakan untuk menghasilkannya membuatkan sesiapa sahaja berasa kagum.

Apa yang pasti kunjungan ke Muzium Samudera membolehkan pengunjung mengenali sejarah Melaka dengan lebih mendalam. Jika masih belum berpuas hati, teruskan penerokaan ke Muzium Samudera Fasa 2, Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terletak bersebelahan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved