Rabu, 3 Oktober 2012

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Aksi berbahaya tetapi menyeronokkan

Posted:

Aksi berbahaya tetapi menyeronokkan

Oleh NASRI JAMALUDIN
nasri.jamaludin@kosmo.com.my

TERJUNAN BASE merupakan sukan ekstrem yang berbahaya, mudah mendatangkan kecederaan atau membunuh para pesertanya.

'Mereka yang berminat dinasihatkan untuk berfikir banyak kali sebelum menceburi sukan ekstrem ini. Kami tidak mencadangkan sukan ini kepada sesiapapun. Anda bertanggungjawab terhadap keselamatan diri sendiri.'

Itulah amaran laman web basejumper.com kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk menceburi sukan tersebut.

Terjunan BASE merupakan sukan yang menggunakan payung terjun untuk melompat dari ketinggian objek atau tebing tetap. BASE merupakan akronim bagi lokasi peserta untuk melompat atau terjun iaitu bangunan (building), antena (antenna), rentangan seperti jambatan (span) dan tebing bumi (earth).

Untuk menyertai sukan ekstrem itu bukanlah sesuatu yang senang dilakukan. Seseorang perlu terlebih dulu melakukan lebih 150 terjunan dari kapal terbang atau helikopter.

Selain itu, untuk mendapatkan jurulatih yang berpengalaman yang sudi meluangkan masa untuk mengajar juga tidak mudah.

Peserta juga kadangkala perlu memandu jauh, berjaga malam dan menunggu dalam kereta berjam-jam lamanya bagi menuju ke lokasi ideal. Semua itu demi mendapatkan keseronokan melakukan terjunan BASE.

Perasaan takut

Meskipun amaran tersebut agak keras dan nyawa menjadi taruhan, sukan ekstrem tersebut tetap mempunyai kelompok peminatnya.

Baru-baru ini bertempat di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, Selangor, seramai 27 peserta dari tujuh buah negara iaitu England, Australia, Jerman, New Zealand, Rusia, Amerika Syarikat, Britian dan Malaysia berkumpul di situ bagi melakukan terjunan dari ketinggian 96 meter.

Di bawah tebing lokasi terjunan itu, para peserta kelihatan bergurau senda dan bergelak tawa, namun segalanya berubah 100 peratus apabila mereka mula mendaki bukit untuk menuju ke tebing terjunan.

Di kedudukan itu, mereka menjadi begitu serius, memberi tumpuan sepenuhnya termasuk mengenal pasti keadaan angin sebelum membuat lonjakan nekad melepasi tebing tersebut.

PERASAAN takut menyelubungi para penerjun kerana sedikit kecuaian boleh mengundang maut atau cedera parah.


Ketika terjun dan payung telah terbuka dengan sempurna, segalanya seakan-akan indah buat mereka sekali gus mencuri tumpuan orang ramai yang menikmati keunikan sukan tersebut.

Peserta mengambil masa kira-kira 10 hingga 12 saat sebelum mendarat di kawasan yang ditetapkan bergantung kepada teknik yang digunakan.

Sejurus selamat mendarat, wajah ceria dan kepuasan terpancar pada wajah masing-masing.

Seorang peserta dari Sydney, Australia, Scott Hiscoe, 27, berkata, melakukan terjunan BASE merupakan aktiviti yang menakutkan tetapi mengujakan.

"Ketika hendak melakukan terjunan, sukar digambarkan perasaan takut tetapi selepas itu semuanya indah.

Hiscoe yang juga seorang jurulatih terjunan bebas terbabit dalam sukan terjunan BASE sejak empat tahun lalu dan kunjungannya ke negara ini merupakan kali kedua sejak kunjungan sulung pada tahun 2010.

Jelasnya, pembabitan dalam sukan ekstrem tersebut tidak dipengaruhi sesiapa tetapi atas inisiatif sendiri.

Kos tinggi

Untuk membabitkan diri dalam sukan ekstrem tersebut, kosnya bukanlah murah terutamanya bagi peminat di negara ini.

Peralatan-peralatan seperti payung terjun dan aksesori lain diimport dari luar negara yang membabitkan kos antara RM10,000 hingga RM15,000.

Jika payung koyak perlu dihantar ke luar negara kerana tukang jahit payung dikehendaki mempunyai lesen tertentu bagi membolehkan mereka memberikan khidmat tersebut.

Peserta negara, Azuan Taharudin, 41, berkata, peserta di Malaysia perlu membayar harga yang agak tinggi kerana semua peralatan tersebut diimport dari negara luar.

"Jika payung koyak, saya bukan sahaja kena membayar kos perkhidmatan menjahit malah kos penghantaran," katanya yang telah melakukan sebanyak 300 terjunan.

Menurutnya, bilangan mereka yang terbabit di negara ini adalah kira-kira 50 orang, namun mereka yang benar-benar aktif jumlahnya tidak ramai.

Sukan yang berbahaya itu, katanya memerlukan disiplin yang tinggi dan dia sendiri pernah beberapa kali tercedera.

Rentak tiupan angin adalah antara beberapa faktor yang perlu diambil kira ketika hendak melakukan terjunan.

"Bagi saya, payung yang terbuka saat menghadap tebing batu paling berbahaya kerana pelanggaran boleh terjadi sekali gus menyebabkan kecederaan," katanya yang sangat menyukai aktiviti itu kerana disifatkan boleh mengawal perasaan takut.

BEGINILAH pemandangan dari platform terjunan BASE di Taman Rekreasi Gua Damai.


Aktiviti terjunan BASE yang melibatkan peserta dari pelbagai negara merupakan salah satu cara menarik kedatangan pelancong ke negara ini.

Bagi peserta Rusia, Vadin Patrov, 25, dia telah pergi ke beberapa buah negara seperti China, Jepun dan beberapa negara lain semata-mata melakukan aktiviti terjunan sama ada di atas jambatan, bangunan dan lain-lain.

Pertama kali berkunjung ke negara ini, Patrov terpesona dengan keunikan Taman Ekstrem Gua Damai.

"Sudah lebih 200 terjunan saya lakukan tetapi di sini merupakan satu-satunya lokasi terjunan yang memerlukan peserta melalui gua. Ia nyata pengalaman yang menyeronokkan.

"Saya menggemari terjunan di tebing berbanding bangunan kerana persekitaran alamnya yang cantik," katanya yang sempat melakukan dua terjunan pada hari tersebut.

Patrov pernah melakukan terjunan pada aras terendah iaitu 42 meter, namun baginya ketinggian sesuatu terjunan tidak menjadi isu sekiranya seseorang itu mempunyai kemahiran dan berpengalaman.

Ketepatan pendaratan

Seorang peserta wanita dari Perancis, Justine Edde, 22, juga sempat melakukan terjunan di Sabah sebelum datang ke Kuala Lumpur.

Terjunan di lokasi Gua Damai itu lebih kepada aktiviti latihan santai sebelum menyertai acara terjunan BASE tahunan di Menara Kuala Lumpur pada tarikh 27 hingga 30 September lalu.

Selain itu, dia pernah menyertai dan memenangi beberapa pertandingan terjunan BASE yang diadakan di Istanbul dan Sepanyol.

"Dalam pertandingan terjunan BASE, saya menumpukan perhatian dalam ketepatan melakukan pendaratan," katanya.

Dalam pada itu, penganjur acara terjunan tersebut, Mustapha Al Bakri Omar memberitahu, Taman Ekstrem Gua Damai telah diwartakan Kementerian Pelancongan Malaysia sebagai lokasi terjunan BASE.

"Kita rasa berbangga kerana tempat ini merupakan satu-satunya lokasi terjunan yang terletak di tengah-tengah bandar raya di dunia dan dibuka 24 jam sehari.

"Justeru, kita menjemput peserta antarabangsa ini bagi menjalankan latihan di tempat ini sebelum melakukan terjunan di Menara Kuala Lumpur," katanya.

Liverpool bukan sekadar kota bola sepak

Posted:

Liverpool bukan sekadar kota bola sepak

NIKMATI alunan muzik The Beatles yang didendangkan oleh beberapa kumpulan di Cavern Club.


SECAWAN kopi yang dipesan sudah sedia terhidang di atas meja di kafe Costa. Ia memberikan semerbak aroma kopi yang segar pada awal pagi.

Walaupun sebelum itu, penulis perlu berjalan kaki hampir satu kilometer dari Hotel Radisson Blu ke Albert Dock, namun tiada yang lebih berbaloi pada saat kedinginan pagi di kota Liverpool, sambil meneguk secawan kopi panas, mata dihidangkan dengan panorama yang memukau.

Itulah kompleks pelabuhan kapal yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai Taman Warisan Dunia dikenali Bandar Maritim Ekonomi Liverpool.

Albert Dock terdiri daripada kompleks bangunan batu-bata merah yang direka berbentuk segi empat bagi mengepung kawasan pantai membentuk dok tertutup untuk kapal berlabuh.

Bangunan merah yang tersergam indah, kapal-kapal yang berlabuh di depan dok dan burung-burung camar yang berterbangan di pesisir laut memberikan panorama yang cukup mendamaikan jiwa.

Itulah hakikatnya untuk menggambarkan suasana sebenar Liverpool. Pernah mencapai kegemilangan pada abad ke-18 sebagai sebuah pelabuhan utama di England, hari ini ekonomi Liverpool lebih banyak dipacu oleh sektor perkhidmatan sekali gus memberikan gaya hidup lebih santai penghuninya.

Selain sektor perkhidmatan, satu lagi penggerak ekonomi Liverpool ialah pelancongan dan percutian rekreasi.

Di padang Anfield

Atas sebab itu jugalah penulis menjejakkan kaki ke bumi Liverpool Mei lalu. Penulis antara jutaan pelancong yang berkunjung ke Liverpool disebabkan pasukan bola sepaknya.

Bagaimanapun, penulis ke sana bukanlah untuk membuat laporan khusus pasukan Liverpool, sebaliknya dijemput syarikat perbankan Standard Chartered untuk membuat liputan Piala Standard Chartered 2012 yang dilangsungkan di Stadium Anfield.

Penulis turut ditemani Pengurus Kanan Bahagian Perhubungan Korporat Standard Chartered Malaysia, Ahmad Ridzuan Samsudin (Reed) selain enam pemain bola sepak yang juga kakitangan Standard Chartered Malaysia.

ZULEZWAN (kiri) bersama rakan serumahnya sempat menyediakan hidangan makan malam untuk penulis.


Masa selama empat hari sememangnya banyak masa kami habiskan di Akademi Liverpool dan Stadium Anfield.

Penulis dan rakan rombongan berpeluang dua kali berada di Anfield. Pertama semasa menyaksikan perlawanan Liverpool dengan Chelsea, manakala keduanya ketika kejohanan Piala Standard Chartered 2012 yang melibatkan 10 buah negara.

Tiada kata dapat penulis ucapkan semasa berada di Anfield. Apatah lagi saat dapat memijak rumput dan menendang bola di padang Anfield, sedangkan pada awalnya penulis dihalang berbuat demikian. Terima kasih Reed atas bantuan meloloskan penulis ke padang.

Dalam kesibukan tugas itu, penulis sempat juga mencuri masa terluang untuk menikmati sedikit sebanyak inti pati penting pelancongan Liverpool.

Ikon Liverpool

Selain Albert Dock dan kawasan sekitarnya yang menjadi lokasi wajib pelancong saat ke Liverpool, saat di kota itu, panjangkan kaki anda ke kawasan beli-belah dikenali Liverpool One.

Di Liverpool One keseronokan membeli-belah bagaikan tiada penghujungnya, apatah lagi sekiranya anda seorang pencinta pasukan bola sepak Liverpool dan Everton. Selain butik khas kedua-dua pasukan itu, percaya atau tidak kami menghabiskan masa hampir tiga jam di SportDirect.com untuk mencari jersi, barangan cenderamata sehinggalah beberapa biji bola.

Bagaimanapun, sekiranya anda ingin mencari cenderamata khas Liverpool seperti rantai kunci, baju T atau magnet peti sejuk lebih baik anda membeli-belah di kedai sekitar Albert Dock kerana harganya lebih murah.

Selain itu, mungkin ramai yang tidak mengetahui Liverpool adalah kota kelahiran kumpulan termasyhur dunia, The Beatles.

Atas sebab itulah, penulis dan Reed tidak melepaskan peluang memanjangkan kaki ke Mathew Street yang menempatkan Cavern Club iaitu sebuah kelab yang didedikasikan khas untuk The Beatles.

Di sana kami menikmati sepuas-puasnya muzik The Beatles.

ENAM kakitangan Standard Chartered Malaysia yang mewakili syarikat itu sedang memanaskan badan di Anfield.


Bercerita mengenai ikonik, satu lagi kisah yang tidak boleh dipisahkan dengan Liverpool ialah Titanic.

Walaupun Titanic berlepas dari pelabuhan di Southampton ke New York pada April 1912, namun kapal tersebut sebenarnya didaftarkan di Liverpool.

Malah, hampir kebanyakan kru kapal, jurutera sehinggalah pemuzik di atas Titanic berasal dari Liverpool.

Satu lagi tarikan terbaharu Liverpool yang diciptakan pada tahun 1998 dikenali sebagai Superlambanana. Ia merupakan arca seni yang dicipta oleh seorang artis Taro Cheizo menggabungkan buah pisang dengan biri-biri.

Ia simbolik kepada komoditi terpenting Liverpool semasa zaman perdagangan dahulu iaitu pisang dan biri-biri.

Arca Superlambana boleh dilihat di beberapa lokasi di sekitar Liverpool termasuk salah satu arca terbesarnya dengan ketinggian 17 kaki (5.2 meter) di depan Perpustakaan Universiti John Moores Liverpool.

Menambahkan lagi kemanisan saat menjadi tetamu di Liverpool apabila dapat bertemu dengan salah seorang sahabat baik penulis, Zulezwan Ab. Malik yang kini sedang melanjutkan pelajarannya dalam bidang Sains Sukan dan Senaman di Universiti John Moores Liverpool.

Bahkan, kesempatan melawat kediamannya dengan beberapa pelajar dari Malaysia di London Road sangat menyeronokkan.

Ternyata, empat hari bertugas di Liverpool sambil mencuri-curi masa menjelajah isi kota itu sememangnya tidak mencukupi. Liverpool yang sarat dengan bangunan penuh estetika seni bina pasti menggamit penulis untuk menjelajahnya lagi satu hari nanti.

Tenang di Pantai Paka

Posted:

Tenang di Pantai Paka

RASAI keenakan pelbagai hidangan yang ditawarkan di Gelombang Kafe.


TERLETAK kira-kira 100 kilometer ke selatan Kuala Terengganu, Pantai Paka merupakan antara pusat peranginan negeri itu yang sesuai bagi mereka yang ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Pantainya berpasir halus dan membias warna kuning keemasan. Deretan pokok kelapa dan rhu yang tinggi seumpama melambai kejernihan air Laut China Selatan yang berkilauan. Suasana itu menggamit perhatian pengunjung yang mahu menikmati hembusan udara laut yang menyegarkan.

Berlatarbelakangkan kawasan perkampungan nelayan, terdapat pelbagai resort boleh dikunjungi dan menawarkan kemudahan dan penginapan selesa, khususnya bagi mereka yang mahu membebaskan diri daripada kesibukan kota.

Salah satu daripadanya ialah Residence Resort Paka yang menawarkan kemudahan bertaraf empat bintang sesuai bagi aktiviti berbulan madu atau sekadar menghabiskan percutian bersama keluarga.

Sebaik melangkah masuk ke pekarangannya, pengunjung akan disambut oleh petugas-petugas hotel yang ramah dan murah dengan senyuman.

Ruang lobi tampak ringkas, namun ia sudah cukup memberi keselesaan sementara menunggu urusan daftar masuk dan ditunjukkan jalan ke unit penginapan.

Satu keistimewaan hotel ini ialah keindahan landskapnya yang terhias rapi. Dari kawasan luar hotel sehingga di luar pintu bilik, semuanya nampak hijau dengan rias taman yang meredupkan pandangan.

JIKA berkesempatan, jangan lupa manjakan diri di Paka Ledang Spa.


Klasik kontemporari

Mengetengahkan konsep ala Mediterranean, pengunjung boleh memilih penginapan jenis bilik, calet dan banglo yang ditawarkan.

Menggabungkan rekaan klasik kontemporari, setiap bilik dan calet tampil elegan dengan susur atur perabot dan hiasan dalaman yang menterjemah mood percutian santai.

Bagi keselesaan, kesemua bilik dan calet dilengkapi kemudahan seperti televisyen satelit, pendingin hawa, telefon IDD, dan peti sejuk mini.

Kunjungan ke Residence Resort Paka tidak lengkap sekiranya tidak merasai keenakan gastronomi yang ditawarkan di Gelombang Kafe.

Terletak berhampiran lobi utama, pengunjung boleh memilih untuk menjamu selera di ruang berhawa dingin atau ruang terbuka yang tersedia.

Menawarkan pelbagai hidangan tradisional tempatan dan antarabangsa dalam bentuk bufet aatu ala carte, kafe yang dibuka dari pukul 6.30 pagi hingga 11.30 malam itu pastinya tidak mengecewakan.

Sepanjang menginap di situ, pengunjung bebas melakukan pelbagai aktiviti pantai yang terletak hanya beberapa minit dengan berjalan kaki.

Pengunjung juga boleh mencuba pelbagai kemudahan dan aktiviti riadah yang disediakan di resort itu seperti bola sepak pantai, ping pong, bola tampar pantai, kolam renang dan gimnasium.

ELEMEN klasik kontemporari mendasari ruang bilik di resort ini.


Bagi yang mahu merasai pengalaman dimanjakan sambil merehatkan badan, jiwa dan minda boleh berkunjung ke Paka Ledang Spa yang menawarkan suasana rehat di dalam persekitaran yang tenang dan mendamaikan.

Dengan haruman bunga segar dan persekitaran yang menenangkan, terapi urutan Bali yang disediakan me redakan kelesuan badan selepas seharian beraktiviti.

Bagi kaki karaoke, mereka boleh berkunjung ke Paka Karaoke yang menawarkan ratusan lagu tempatan dan antarabangsa. Pelbagai permainan dalaman seperti catur, scrabble dan karom juga disediakan.

Residence Resort Paka juga pilihan ideal untuk penganjuran mesyuarat, seminar dan persidangan. Dalam aura kontemporari, penyediaan kelengkapan audio visual turut melancarkan tujuan tersebut.

Antaranya ialah Bayu I, Bayu II, Ombak, Samudera I, Samudera II yang mampu memuatkan kira-kira 40 hingga 130 tetamu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved