Khamis, 4 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


40 maut di bandar Syria

Posted:

40 maut di bandar Syria

GAMBAR menunjukkan lokasi letupan tiga bom kereta di Aleppo, Syria semalam.


ALEPPO, Syria - Tiga bom kereta menggegarkan bandar raya ini semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh manakala 90 lagi cedera dengan kebanyakan mereka ialah anggota tentera, kata Kumpulan Pemantau Syria Bagi Hak Asasi Manusia.

Kumpulan pemerhati berkenaan memberitahu, dua bom kereta itu meletup di sekitar Dataran Al-Jabiri berdekatan sebuah kelab dan hotel pegawai tentera di sini.

Menurutnya, bom ketiga pula meletup tidak lama kemudian di pintu masuk Bandar Lama dalam daerah Bab Jnein dekat sini.

"Saya mendengar dua letupan kuat seperti pintu neraka sedang dibuka," kata seorang lelaki berusia 30 tahun, Hassan yang bekerja di sebuah hotel berdekatan.

"Saya melihat asap tebal dan saya membantu seorang wanita di kaki lima berdekatan. Tangan dan kakinya terkehel," tambah lelaki itu.

Stesen televisyen rasmi Syria, Al-Ikhbariya melaporkan sekurang-kurangnya 31 terbunuh manakala puluhan yang lain cedera dalam 'tiga letupan pengganas' di bandar raya ini.

Pihak berkuasa Syria merujuk kepada pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA) sebagai pengganas.

Stesen televisyen itu turut menyiarkan kemusnahan besar di dataran berkenaan.

Rakaman tersebut menunjukkan sekurang-kurang dua bangunan runtuh sepenuhnya dengan mayat-mayat bergelimpangan di dalam timbunan runtuhan.

Bandar raya ini yang dihuni oleh 1.7 juta penduduk menjadi pusat pertempuran antara FSA dengan tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad sejak kebangkitan rakyat menentang pemimpin tersebut bermula pada Mac tahun lalu. - AFP

Filipina laksana undang-undang siber

Posted:

Filipina laksana undang-undang siber

SKRIN sebuah laman web pemerintah Filipina yang digodam dirakamkan seorang jurugambar di sebuah kafe internet di Manila semalam.


MANILA - Satu undang-undang baharu bagi membendung jenayah siber berkuatkuasa di Filipina semalam walaupun terdapat bantahan bahawa ia akan menyebabkan berlakunya penindasan terhadap kebebasan internet.

Beberapa penggodam daripada kumpulan yang dikenali sebagai Anonymous Philippines menyerang lebih 12 laman web pemerintah sejak hujung minggu lalu bagi menuntut undang-undang itu dirombak atau dibatalkan.

Bantahan terhadap undang-undang itu turut disertai oleh sejumlah pertubuhan hak asasi manusia, peguam, organisasi media dan penulis blog di negara ini.

Mereka telah mengemukakan sekurang-kurangnya lapan petisyen kepada Mahkamah Agung Filipina bagi membatalkan undang-undang tersebut yang didakwa bercanggah dengan perlembagaan.

Ramai pengguna Facebook dan Twitter di Filipina menggantikan gambar profil mereka dengan skrin hitam sebagai tanda bantahan terhadap undang-undang berkenaan.

Menurut pemerintah, undang-undang itu bertujuan untuk membendung gejala seks siber, pornografi kanak-kanak, kecurian identiti dan penipuan.

"Akta Pencegahan Jenayah Siber diluluskan Kongres bagi menangani kebimbangan berhubung perbuatan jenayah di internet dan kesannya," kata jurucakap presiden, Edwin Lacierda.

Beliau turut mengkritik penggodam-penggodam kerana merosakkan laman web pemerintah.

Menerusi undang-undang tersebut, para pengguna internet yang didapati bersalah melakukan fitnah di alam siber boleh dihukum penjara sehingga 12 tahun. - dpa

Psy buat konsert percuma

Posted:

Psy buat konsert percuma

PSY menari tarian kuda di sebuah stadium di Seoul kelmarin.


SEOUL - Lebih 8,000 orang peminat menyaksikan konsert percuma Psy yang terkenal dengan tarian kuda di sebuah stadium di sini kelmarin, lapor portal berita ITN semalam.

Psy atau nama sebenarnya Park Jai-sang menjadi fenomena global apabila muzik video Gangnam Style yang menunjukkan dia menari tarian kuda itu dilihat oleh lebih 300 juta kali di laman YouTube sejak dimuat naik pada 15 Julai lalu.

Portal hiburan KpopStarz melaporkan, konsert tersebut adalah yang pertama buat Psy dalam tempoh dua bulan.

Menurut Psy, sebelum ini dia banyak membuat persembahan di luar negara.

Konsert itu diadakan secara percuma bagi menghargai sokongan para peminatnya.

Sementara itu, Psy, 34, menyatakan darah beku berlaku pada kedua-dua kakinya selepas dia menari tarian kuda pada konsert yang berlangsung selama tiga jam.

Menurutnya, dia menggunakan rawatan akupunktur yang menggunakan 40 batang jarum yang cucuk di kakinya itu. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved