Sabtu, 29 September 2012

Kosmo Online


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Lelaki miliki heroin dan pedang bertindak ganas elak polis

Posted:

Lelaki miliki heroin dan pedang bertindak ganas elak polis

29/09/2012 5:20pm

KUANTAN — Seorang lelaki yang memiliki heroin dan pedang di dalam kenderaannya bertindak ganas dengan memandu secara melawan arus ketika cuba ditahan polis di Jalan Besar berhadapan Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini petang semalam.

Lelaki berusia 40 tahun itu yang memandu pacuan empat roda bersama anak lelakinya yang berusia tiga tahun turut melanggar tiga buah kenderaan lain dalam aksinya itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt. Yap Thoon Khuan berkata, bagi menghalang tindakannya itu, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan yang mengenai tayar belakang sebelah kanan kenderaannya.

"Dalam kejadian 6 petang itu, suspek akhirnya berjaya ditahan dan pihak polis polis menemui sebilah pedang di tempat duduk belakang kenderaan itu dan tiga tiub straw yang mengandungi serbuk putih dipercayai heroin di lantai kenderaan di bahagian pemandu," katanya kepada pemberita hari ini.

Thoon Khuan berkata, lelaki itu kini ditahan reman di Lokap Balai Polis Kuantan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta kesalahan trafik. — BERNAMA

Restoran dipantau berikutan pengurangan subsidi gula

Posted:

Restoran dipantau berikutan pengurangan subsidi gula

29/09/2012 5:17pm

KUALA LUMPUR — Seramai 1,900 pegawai penguat kuasa dan 1,300 pegawai pemantau harga akan meninjau restoran di seluruh negara bagi mengelak kenaikan harga makanan dan minuman berikutan pengurangan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2013.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata berikutan pengurangan subsidi itu, pihak pembekal makanan dan restoran sepatutnya mengurangkan kandungan gula di dalam proses penyediaan sajian mereka dan bukannya mengambil kesempatan menaikkan harga makanan.

"Langkah kerajaan mengurangkan subsidi gula sepatutnya dilihat dari segi kesihatan yang mana kerajaan ingin mengubah pengambilan gula berlebihan oleh rakyat di negara ini.

"Kerajaan bukan sengaja kurangkan subsidi, sebaliknya ia dilakukan ekoran statistik rakyat di negara ini yang kerap mempunyai penyakit disebabkan pengambilan gula berlebihan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 mengumumkan pengurangan subsidi gula sebanyak RM0.20 sen sekilogram berkuat kuasa hari ini.

Berdasarkan rekod, gula sebagai barangan kawalan telah mengalami kenaikan harga sebanyak empat kali sejak 1 Jan 2010 iaitu sebanyak RM0.20 sekilogram, RM0.25 sekilogram (18 Julai 2010), RM0.20 sekilogram (4 Dis 2010) dan kali terakhir pada 10 Mei 2011 (RM0.20 sekilogram) menjadikan harga runcit gula RM2.30 sekilogram sehingga kini.

Lian Hoe berkata, rakyat sebagai pengguna perlu membantu kerajaan dalam memantau harga makanan ekoran pengurangan subsidi tersebut dengan melaporkannya kepada pejabat kementerian.

"Rakyat adalah mata dan telinga kerajaan dan laporkanlah sekiranya berlaku kenaikan harga makanan yang tidak relevan kepada pihak kementerian," katanya. — BERNAMA

Pertandingan video IMAGINOVASI Skillsmalaysia 2012

Posted:

Pertandingan video IMAGINOVASI Skillsmalaysia 2012

29/09/2012 5:16pm

KUALA LUMPUR — Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama CandidSyndrome Sdn. Bhd. sedang menganjurkan Pertandingan Video Pendek IMAGINOVASI SkillsMalaysia bagi tahun 2012.

Pertandingan ini telah dibuka penyertaannya kepada seluruh rakyat Malaysia mulai dari 16 September 2012 hingga 31 Oktober 2012.

Penganjuran Pertandingan Video Pendek IMAGINOVASI SkillsMalaysia ini adalah sebahagian daripada aktiviti Kempen Promosi SkillsMalaysia yang dilancarkan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan latihan kemahiran dalam usaha Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Pertandingan video pendek yang dianjurkan ini bertemakan "kemahiran" di mana peserta yang berminat bebas memilih tema kemahiran yang sesuai.

Selain itu, pihak penganjur juga turut menyediakan satu video promosi bertajuk "Man Pomen" yang boleh ditonton melalui laman YouTube SkillsMalaysia di alamat youtube.com/skillsmalaysia.

Hadiah keseluruhan bagi pertandingan ini berjumlah lebih RM10,000.00. Pemenang tempat pertama bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000.00 berserta sijil.

Hadiah kedua pula merupakan wang tunai bernilai RM3,000.00, tempat ketiga menerima wang tunai bernilai RM1,500.00. Tempat ke empat hingga ke sepuluh menerima wang saguhati bernilai RM500.00. —Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved