Sabtu, 29 September 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Lesung air 'menjelma' semula

Posted:

Lesung air 'menjelma' semula

Oleh RIZAM ZAKARIYA

MOHD. SAUFI menunjukkan sisa besi yang pernah dijadikan struktur dalam binaan lesung air.


KINCIR air biasanya dikaitkan dengan teknologi zaman lampau yang banyak digunakan dalam sektor pertanian bagi mengalirkan air dari sungai ke kawasan-kawasan tanaman.

Bukan sahaja di Eropah, teknik penggunaan kincir air juga sudah lama digunakan pakai di negara ini terutama ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Sejak beratus-ratus tahun dahulu, orang Melayu juga sudah mempelbagaikan peranan kincir air dalam kehidupan seharian mereka dan bukan sekadar bagi tujuan penyaliran air.

Di Mukim Mahang, Kulim, Kedah misalnya, kincir air telah digunakan menggerakkan lesung air untuk menumbuk padi bagi mengasingkan beras daripada hampasnya sekitar tahun 1940-an.

Seorang anak jati Kampung Hulu Mahang, Hussin Shamsudin, 76, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini berkata, lesung air berkenaan merupakan alat yang diciptakan oleh arwah datuknya, Md. Daud Idris yang ketika itu bertugas sebagai Penghulu Mukim Mahang sejak awal tahun 1900.

"Ketika datuk saya jadi penghulu, dia telah mencipta lesung air bagi memudahkan penduduk di beberapa buah kampung di sekitar Mukim Mahang untuk menumbuk padi selepas musim menuai.

"Lesung air yang dicipta itu bukan sahaja mampu mempercepatkan proses menumbuk padi, malah dapat menjimatkan tenaga manusia ketika proses tersebut dijalankan," katanya dengan memberitahu alat tersebut diberi nama lesung air kerana ia digerakkan dengan menggunakan aliran air yang memusingkan kincir.

Ceritanya lagi, lesung air berkenaan mempunyai empat lesung sebesar kawah berdiameter hampir satu meter yang diperbuat daripada kayu berangan, manakala empat batang alu yang bertindak sebagai penumbuk juga diperbuat daripada kayu yang sama.

Kayu Cengal

Kayu cengal pula digunakan untuk membuat kincir yang berdiameter kira-kira dua meter, manakala lengan alu pula diperbuat daripada kayu merbau.

"Dahulu nak dapat minyak gris (pelincir) susah, jadi orang dulu-dulu guna lemak kerbau untuk menggantikan gris bagi melicinkan putaran lengan kayu yang bersambung dengan kincir," tambahnya.

Jelas Hussin lagi, kesemua peralatan tersebut termasuk kincir dan lesung ditempatkan di bawah sebuah bangsal besar yang beratapkan daun nipah dan rumbia.

REPLIKA lesung air yang pernah digunakan untuk menumbuk padi sekitar tahun 40-an.


Air bukit pula ditadah di dalam satu kolam khas berhampiran bangsal tersebut dan air dari kolam itu hanya akan dibuka sekiranya ada petani yang ingin menggunakan lesung air tersebut untuk menumbuk padi.

Menurut Hussin, walaupun peralatan tersebut dicipta oleh datuknya, namun para petani dari beberapa kampung berhampiran dibenarkan menggunakan lesung air tersebut secara percuma.

Ini kerana lesung air berkenaan merupakan satu-satunya peralatan moden ketika itu yang dapat digunakan oleh petani untuk menumbuk padi mereka selain kaedah tradisional lain termasuklah mengangin padi.

Ditinggalkan dan mereput

Hussin memberitahu, selepas digunakan kira-kira 20 tahun, lesung air itu mula ditinggalkan oleh para petani selepas mereka menemui kaedah lain yang lebih moden bagi menumbuk padi.

Akibat tiada penjagaan yang rapi selain semakin jarang digunakan, lesung air yang telah banyak memberi khidmat kepada penduduk setempat itu akhirnya ditinggalkan begitu sahaja dan kayunya juga semakin mereput.

Bagi mengembalikan nostalgia dan sejarah penggunaan lesung air itu, anaknya, Mohd. Saufi, 45, telah mengambil inisiatif untuk mencipta semula lesung air tersebut.

Hasil kajian selama beberapa tahun berdasarkan cerita-cerita lama yang diperoleh daripada orang tua-tua di sekitar mukim itu, akhirnya Mohd. Saufi berjaya melakar gambar rajah seterusnya mencipta replika lesung air berkenaan untuk dijadikan tatapan umum.

Menurut Mohd. Saufi, dengan bantuan seorang tukang kayu yang juga kenalannya, replika lesung air itu akhirnya berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan.

"Saya pernah menceritakan mengenai kewujudan lesung air ini kepada Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah, Datuk Wan Samsudin Mohd. Yusof dan beliau amat berminat dengannya.

"Malah, beliaulah yang memberi saranan kepada saya untuk membina replika lesung air ini," katanya.

Jelas Mohd. Saufi, berdasarkan kata-kata Wan Samsudin kepadanya, replika lesung air itu bakal ditempatkan di Muzium Padi untuk dijadikan bahan sejarah.

Tambahnya, walaupun tapak bangsal lesung air itu sudah hilang daripada pandangan, namun dia tetap berbangga kerana nama moyangnya itu bakal terpahat dalam sejarah negara sebagai seorang pencipta peralatan pertanian dalam kehidupan orang Melayu zaman dahulu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved