Ahad, 30 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Melindungi kaki daripada luka

Posted:

Melindungi kaki daripada luka

TERDAPAT pelbagai jenis rekaan kasut untuk pesakit diabetes dengan kebanyakannya tertutup di bahagian depan.


BERBENTUK bulat di depan, nampak tebal dan bahagian depannya tertutup, sepatu yang disarung Joice Madeline, 40, nampak seperti kebanyakan kasut biasa lain. Tetapi pada harga RM1,000 untuk sepasang sepatu tersebut, ternyata kasut yang disarung di kaki Joice bukanlah sebarangan kasut.

Namun, dengan rupa ringkas dan tampak biasa, walaupun pada harga lebih RM1,000 sudah tentulah kasut tersebut bukanlah keluaran Jimmy Choo atau Stuar Weitzman yang pasti nampak lebih elegan serta mewah.

Lantas, apakah hebatnya sepatu yang tampak biasa di mata kebanyakan orang tetapi, Joice sanggup membayarnya pada harga RM1,000.

Joice berbuat demikian kerana kasut itu antara faktor penting yang boleh memanjangkan umurnya atau setidak-tidaknya memastikan dia tidak berdepan dengan komplikasi kesihatan lebih buruk.

Menghidap penyakit diabetes sejak hampir 10 tahun, Joice antara jutaan pesakit tersebut di seluruh dunia yang perlu berhati-hati mengatur langkah setiap hari.

Hal ini kerana sekiranya dia tidak berwaspada, sebarang kecederaan atau luka pada kakinya boleh menyebabkan dia berdepan dengan risiko lebih parah termasuk amputasi atau kehilangan nyawa.

Kira-kira 5.6 juta daripada 28 juta penduduk Malaysia menghidap penyakit diabetes dan daripada jumlah itu, 1.4 juta pesakit diabetes mengalami komplikasi kaki yang serius.

Malah, lebih teruk lagi, tanpa tindakan bersepadu menentangnya, jumlah tersebut dijangka meningkat sebanyak 72 peratus menjelang 2025.

Penjagaan kaki

Senario itu bukan sahaja memberi komplikasi besar terhadap kesihatan, tetapi juga menimbulkan beban kepada perkhidmatan kesihatan.

Penjagaan kaki menjadi satu elemen penting bagi pesakit diabetes untuk mencegah komplikasi yang lebih serius daripada berlaku.

Mengimbas kembali pengalaman lalu, anak jati Klang, Selangor itu mengakui segala-galanya berlaku disebabkan tabiatnya yang gemar makan makanan yang manis dan tidak pernah mempunyai pantang-larang dalam soal pemakanan.


HANYA selepas mendapat kelulusan doktor, seseorang pesakit dibenarkan memakai kasut khas diabetes itu.


Dia yang gemar makan kek dan jus buah-buahan mengakui apa sahaja yang berada di depan mata, dia akan makan tanpa melihat kesan akan datang.

Ketika diajak menceritakan semula kisah lalunya, Joice memberitahu, dia hanya menyedari menghidap penyakit itu setelah menjalani pemeriksaan kesihatan kerana mendapat tawaran bekerja sebagai guru.

Selepas beberapa hari menjalani ujian kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang barulah dia mengetahui dia menghidap penyakit diabetes.

Namun, perkara itu tidak mengejutkannya lebih-lebih lagi kedua-dua ibu bapanya yang turut mempunyai penyakit sama.

Pada masa itu, dia mengakui memang tidak langsung memikirkan sangat tentang penyakit diabetes dihidapi.

Kasut khas

Malah, dia tidak mengubah corak pemakanannya kerana sibuk dengan pembelajaran di peringkat sarjana dalam jurusan bahasa Inggeris.

Justeru, dia langsung tidak menitikberatkan soal pemakanan kerana sibuk membuat persediaan untuk menghadapi pemeriksaan.

Namun demikian, apabila dia menyedari terdapat lubang di bahagian kaki kanannya pada awal tahun 2009, Joice mula bimbang.

Menyedari keadaan bertambah parah, dia terpaksa menjalani pembedahan yang menelan belanja hampir RM20,000 untuk membersihkan luka tersebut.

Bertitik tolak dari situ Joice mengakui, dia bukan sahaja bergantung kepada ubat-ubatan, tetapi perlu memakai kasut khas bagi mengelakkan luka kakinya bertambah parah.

Atas nasihat doktor ortopedik, dia akhirnya akur untuk mendapatkan khidmat pembuatan kasut khas berdasarkan ukuran kakinya biarpun perkhidmatan itu menuntut perbelanjaan yang besar.

Mengulas lanjut mengenai kasut khas tersebut, dia memperuntukkan hampir RM1,000 hanya untuk sepasang kasut.

Tambah guru yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Klang itu, dengan memakai kasut khas itu ia sememangnya selesa, malahan lebih selamat.

Kasut yang menutup kawasan kakinya itu dikatakan sangat lembut.

"Tiada langsung rasa fabrik atau benang kasut itu, ia sedap dipakai," katanya sambil memberitahu kini dia mempunyai tiga pasang kasut khas itu.

Bagi Lee Teoh Yung, 47, pula yang telah memakai kasut tersebut sejak tiga tahun lalu, dia berpendapat kasut tersebut sememangnya sangat sesuai untuk pesakit diabetes.

"Saya rasa lebih ringan ketika berjalan, malah pelapiknya yang tebal tidak menyebabkan rasa sakit pada bahagian yang terdapat luka.

"Biarpun, harganya mencecah ribuan ringgit, tetapi saya amat berpuas hati kerana kualiti kasut itu mampu melindungi kaki sehingga satu tempoh yang lama," ujarnya yang hanya mempunyai sepasang kasut yang berharga RM1,200.

Sementara itu, Pengarah Urusan MyOrtho, Edmund Lee memberitahu, kasut diabetes tersebut sememangnya mempunyai perbezaaan berbanding dengan kasut biasa.

Antaranya, pelapik dalaman kasut tersebut tidak mempunyai jahitan sekali gus mengurangkan risiko kecederaan pada kaki pesakit yang terdapat luka.

Tambahan pula, ia dilengkapi dengan ruang dalaman yang lebar dan ia memberi keselesaan kepada pesakit ketika berjalan.

Menurutnya, kasut yang dihasilkan dari Amerika Syarikat (AS) itu mempunyai ruang dalaman yang lebih besar banding kasut orang normal.

Material getah

Beliau yang berkecimpung dalam bidang ortopedik sejak dua tahun lalu memberitahu, kasut yang diperbuat daripada bahan etleyl vinyl acetat (EVA) sangat sesuai untuk pesakit diabetes kerana material berkenaan sangat lembut.

EVA merupakan sejenis getah yang biasanya digunakan untuk pelapik dalam kasut sukan seperti hoki, tinju dan luncur ais.

Menggunakan material itu sebenarnya dapat mengurangkan risiko kaki diabetik daripada mudah terluka selain menurunkan risiko jangka panjang.

Mengulas lanjut mengenai keistimewaan kasut itu, beliau berkata, ia ditempah khas mengikut saiz kaki pesakit. Oleh kerana itulah, kasut MyOrto lebih mahal berbanding kasut biasa.

Pada kebiasaannya, selepas mengambil ukuran saiz selain melihat keadaan kesihatan kaki, pihaknya akan menghantar ukuran tersebut ke AS dan ia akan dibuat oleh pakar-pakar ortopedik di sana.

Sepasang kasut akan mengambil masa kira-kira tiga atau empat minggu untuk siap.

Dalam pada itu, beliau menyarankan kepada pesakit supaya mengelakkan kasut itu terkena cahaya matahari untuk menjaga kualitinya.

"Pesakit juga boleh mencuci kasut itu dan ia boleh bertahan antara dua hingga tiga tahun bergantung kepada aktiviti dan berat badan pesakit," jelasnya sambil memberitahu harga kasut dijual dari harga RM600 sehingga RM2,000 sepasang.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai reka bentuk dan kasut itu, beliau berkata, kebiasaannya untuk pesakit kencing manis, kebanyakan kasut itu tertutup di bahagian hadapan kerana mahu mengelakkan risiko kecederaan.

Walaubagaimanapun, para pesakit yang mahu memakai kasut itu perlu mendapatkan perakuan daripada doktor terlebih dahulu.

"Kita di sini bukan sewenang-wenangnya menawarkan kasut kepada pesakit, tetapi mereka perlu mendapat kebenaran daripada doktor.

"Selepas itu, pesakit akan menjalani beberapa ujian sebelum ukuran kasut kaki pesakit dihantar kepada pengusaha di AS," jelasnya lagi.

Antologi cerpen Nadia Khan

Posted:

Antologi cerpen Nadia Khan

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
ayman.ghaffa@kosmo.com.my


NADIA menggabungkan antologi cerpen dan skrip filem dalam karya terbaharunya iaitu Cerpen.


TANPA diduga percubaan pertamanya dengan novel bertajuk Kelabu ternyata berjaya menarik minat pembaca-pembaca novel tanah air.

Walaupun tidak sampai setahun berada di pasaran, novel tersebut telah diulang cetak sebanyak empat kali.

Menerusi karya tersebut, Nadia Mohamad Hatta, 28, atau nama penanya, Nadia Khan juga berjaya mengumpul peminatnya tersendiri.

Mengatur langkah seterusnya, Nadia Khan kini tampil dengan sebuah buku antologi Cerpen diterbitkan Buku Fixi yang telah berada di pasaran pada bulan September lalu.

Buku yang menghimpunkan 17 buah cerpen dan tiga skrip filem pendek karya tutor Fakulti Perubatan, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) itu turut diserikan dengan muka hadapan yang mampu menarik perhatian pembaca.

Bagi Nadia, dia mengklasifikasikan buku tersebut sebagai salah satu himpunan cerita rakyat yang menceritakan tentang kehidupan seharian manusia tanpa mengira darjat.

"Melalui antologi Cerpen ini, pembaca dapat melihat dan mengenal pasti perbezaan gaya bahasa dan penulisan saya dengan novel Kelabu. Penulisan cerpen membawa saya untuk lebih mempelbagaikan gaya penulisan dan berharap ia diterima oleh pembaca.

"Tidak hanya tertumpu pada cerpen, saya juga mahu berkongsi karya skrip filem pendek menerusi tiga skrip filem pendek iaitu Cili, Kopi Tiga Suku dan Budak Baru kepada pembaca," ujarnya yang turut mempunyai syarikat produksinya sendiri iaitu Idebewe Productions.

CERPEN mendapat sambutan pembaca apabila menjadi buku terbitan Buku Fixi yang terlaris di pasaran untuk bulan lalu.


Antara cerpen yang dimuatkan dalam buku tersebut ialah Mana Dia Pergi?, Cikgu Din, Epilog Damak, Kopi Kola dan Nakahari. Keseluruhan cerpen tersebut dihasilkan sekitar tahun 2009 hingga 2012 kecuali cerpen Cinta Sekeping Tisu yang dihasilkan pada tahun 2003.

Buku antologi Cerpen itu juga mengandungi sebuah cerpen bertajuk Puaka Pak Jaha yang telah memenangi hadiah utama kategori cerpen remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) ke-25 sekali gus menguatkan portfolionya dalam arena seni penulisan tanah air.

Tambah Nadia lagi, tiga skrip filem pendek yang terkandung dalam buku antologi cerpen itu juga diharap mampu memberi idea baharu kepada industri perfileman tempatan, malah tidak menolak sekiranya menerima tawaran daripada syarikat produksi yang berminat untuk menerbitkan karyanya itu.

Penerbit Buku Fixi, Amir Muhammad pula beranggapan buku antologi cerpen tersebut merupakan cara Nadia menyampaikan falsafah setiap manusia dengan gaya penulisan yang ringkas dan padat.

"Bahasa yang santai dalam buku ini dikuatkan lagi dengan jalan cerita yang kuat. Pembaca harus membaca skrip pendek yang bertajuk Cili kerana ia menggambarkan sisi sebenar karya penulisan Nadia Khan," ujarnya.

Skrip filem pendek Cili telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama untuk Pertandingan Menulis Skrip kategori Filem Pendek anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada tahun 2009.

Mengulas lanjut mengenai penjualan buku antologi Cerpen di pasaran buku tempatan, Amir memberitahu, setakat bulan September, Cerpen mencatatkan jualan terlaris berbanding 20 buku keluaran Buku Fixi lain yang berada pasaran.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved