Sabtu, 8 September 2012

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Penghasilan Almera

Posted:

Penghasilan Almera

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

JIKA satu ketika dahulu rakyat negara ini begitu meminati dan teruja dengan kehadiran Nissan Sunny 130Y, nostalgia itu dikembalikan oleh pengedar kenderaan Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) menerusi model Almera.

Sudah boleh ditempah dan dilihat secara dekat di bilik-bilik pameran Nissan di seluruh negara, Almera diberi tanggungjawab menjadi model pilihan pengguna Malaysia selain sedan segmen B jenama Jepun lain seperti Honda City dan Toyota Vios.

Memang betul, itu bukan tugas yang mudah. Tetapi, jika kena strategi dan tawarannya, tidak mustahil Almera mampu menggugat. Apatah lagi Almera kini didatangkan dengan pelbagai ciri yang biasanya ada pada model sedan lebih mahal.

Misalnya, sistem kemasukan tanpa kunci (keyless entry), paparan meter Multi-information Display (MID) iluminasi sendiri (self-illuminated), kawalan suhu automatik dengan paparan digital LCD, butang penghidup enjin Start/Stop serta banyak lagi.

Sedan mampu Nissan sebelum ini ditawarkan menerusi model Sentra dan Latio. Walaupun Almera diperkenalkan, ETCM mengakui bahawa pihaknya masih mengeluarkan Sentra, tetapi pastinya dalam volum yang lebih rendah. Pengeluaran model yang sudah berada di pasaran selama 12 tahun itu hanya akan diberhentikan sepenuhnya jika Almera mampu memainkan peranan sama seperti Sentra.

Harus tahu bahawa Almera ialah sedan global paling laris Nissan. Ia mula menjenguk pasaran China pada tahun 2010 dengan nama Sunny. Sementara di pasaran Amerika Syarikat (AS) pula, pengguna di sana mengenalinya sebagai Versa.

Sebagai sebuah kereta global, Almera hadir dengan pelbagai varian berbeza mengikut keunikan pasaran yang dimasukinya. Sebagai contoh, Almera di Thailand menggunakan enjin tiga silinder bersesaran 1.2 liter, sesuai dengan insentif 'kereta eco' yang diperkenalkan oleh kerajaan Thailand. Di China pula, enjin Almera dipadankan dengan kotak gear CVT.

Bagi pasaran Malaysia, ETCM mengambil keputusan untuk memperkenalkan Almera dengan enjin bersesaran 1.5 liter. Enjin HR15DE itu kemudian dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan.

Kotak gear automatik baharu

Ia bukan transmisi automatik yang lama, tetapi dibangunkan khas untuk Almera dengan banyak penambahbaikan. Transmisi itu memiliki pengubah daya kilas (torque converter) ultra nipis, kurang komponen, bentangan gear yang disusun semula serta kawalan terus solenoid lebih linear.

INILAH papan pemuka untuk varian Almera VL yang lengkap dengan pendingin hawa automatik bersama paparan LCD dan butang Start/Stop.


Hasilnya, transmisi tersebut adalah 11 peratus lebih kompak, 32 peratus kurang geseran dan 15 peratus lebih ringan iaitu cuma 58 kilogram (kg) berbanding transmisi sekarang (68kg). Malah penggunaan minyak juga mampu dijimatkan kepada 14.9 km bagi setiap liter petrol.

Konsep rekaan menjadikan Almera sebuah sedan entry level yang istimewa. Sedan itu direka agar memiliki pakej yang efisien, mengoptimumkan ruang dalaman dan meminimumkan kawasan mekanikal.

ETCM memang bersungguh untuk mencipta kesedaran orang ramai terhadap kehadiran Almera. Buktinya, buat pertama kali sekumpulan media diberi peluang secara eksklusif untuk melihat sendiri proses pembuatan Almera di kilang milik Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Serendah Selangor.

Tidak pernah dibuat sebelum ini, TCMA turut membenarkan media memandu uji Almera di litar ujiannya. Walaupun pandu uji itu hanya melibatkan perjalanan sejauh 1.5km dan kurang 20 minit, ia cukup untuk memberi persepsi awal bagaimana potensi sebuah Almera apabila dipandu di atas pelbagai bentuk permukaan jalan raya.

Pandu uji itu dimulakan dengan pemandu membuat pusingan nombor 8 sebanyak dua kali untuk menguji maklum balas sterengnya. Kemudian, sistem suspensi Almera pula diuji di atas pemukaan trek yang sememangnya direka mengikut standard dan spesifikasi Nissan Motor Co. Ltd. Jepun.

PAPARAN MID iluminasi sendiri yang menyerlahkan kemewahan sedan entry level ini.


Saya boleh katakan bahawa suspensi yang 15 peratus lebih panjang berbanding suspensi pada model Latio mampu menyerap segala ketidaksempurnaan jalan raya itu dengan baik.

Laluan lurus membolehkan ujian pecutan dibuat. Sebaik sahaja pedal minyak ditekan keras, bunyi ngauman enjin jelas kedengaran dari dalam kabin.

Respon enjinnya bagaimanapun boleh dianggap bagus, cuma tipikal kotak gear automatik konvensional, ia memerlukan sedikit masa untuk membolehkan kedudukan gear ditukar. Namun, penukaran gearnya masih lancar dan memuaskan.

Apa yang paling saya perasan adalah ruang kaki tempat duduk belakang. Memang luas. Anda perlu duduk sendiri untuk mempercayainya. Nissan mendakwa ruang kaki itu adalah yang terbaik dalam kelasnya (636mm).

Sebagai mana yang diuar-uarkan sebelum ini, Almera akan dipasang dalam negara (CKD). Keputusan untuk memasang Almera di kilang TCMA dibuat kerana Nissan belajar daripada bencana banjir besar yang melanda Thailand, selain tsunami dan gempa bumi di Jepun pada Mac 2011. Kedua-dua bencana alam itu nyata memberi impak besar kepada pengeluar kenderaan dari Jepun.

Lagi pun, apabila dipasang dalam negara, ETCM boleh menghasilkan Almera yang benar-benar menepati citarasa dan kehendak pengguna tempatan.

Kepada yang berminat, Almera dijangka dijual mulai suku keempat tahun ini pada harga bermula RM70,000 hingga RM85,000 seunit. Ia ditawarkan dalam tiga gred berbeza iaitu E, V dan VL.

E merupakan gred paling asas dan anda boleh memilih sama ada transmisi manual atau automatik. Seperti biasa, apa yang ada padanya juga terdiri daripada ciri-ciri asas seperti kunci dengan penggera kecemasan, rim bersaiz 15 inci bersama penutup roda dan satu beg udara. Ya, anda tidak salah baca. Cuma ada satu beg udara.

HENDAL pintu dengan reka bentuk unik dan kemasan krom.


ETCM memberi alasan varian itu hanya memerlukan satu beg udara berikutan kerangkanya yang cukup tegar, sekali gus cukup untuk menahan impak pelanggan pada bahagian hadapan dan sisi. Lagi pun, langkah itu dapat mengurangkan lagi harganya.

Varian V pula memiliki dua beg udara, lampu kabus, kemasan krom di dalam kabin, rim aloi bersaiz 15 inci dan paparan meter MID iluminasi sendiri. VL menjadi varian tertinggi dengan penambahan ciri termasuklah sistem kunci pintar, butang Start/Stop, pendingin hawa automatik dengan paparan LCD serta banyak lagi.

Hyundai Sonata Sport

Posted:

Hyundai Sonata Sport

VARIAN ini dipasang dengan bodykit dan ekzos yang lebih sporty.


SEDAN segmen D popular Hyundai Sonata kini tampil dengan lebih sporty menerusi Sonata Sport yang baharu. Sudah boleh ditempah di semua bilik pameran sah Hyundai di seluruh negara, ia ditawarkan dalam dua varian iaitu Auto Sport dengan sesaran enjin 2.0 liter dan 2.4 liter.

Harga di atas jalan bagi model Auto Sport 2.0L adalah RM151,388 seunit sementara varian Auto Sport 2.4L boleh anda miliki pada harga RM169,888 sebuah. Apa yang membezakan Sonata Sport dengan model biasa ialah bodykit dan ekzos lebih bergaya yang dipasang padanya.

Sonata Sport 2.4L dilengkapi paddle shifter yang membolehkan kedudukan gear ditukar dengan lebih pantas dan mengikut kemahuan pemandu. Ciri itu juga terdapat pada model Sonata Executive bersesaran 2.4 liter.

Dengan Sonata Sport, ia menambah varian Sonata sedia ada iaitu 2.0L Elegance, 2.0L Executive, 2.0L Executive Plus dan 2.4L Executive. Keenam-enam varian tersebut memiliki ciri-ciri standard seperti lampu automatik, butang penghidup enjin Start/Stop bersama kunci pintar dan Amplitude Selective Damper (ASD) yang memberikan pengendalian terbaik.

Selain itu, Sonata juga dipasang dengan Electronic Stability Programme (ESP) yang hadir bersama ciri Hill Start Assist Control (HAC). ESP terdiri daripada satu unit kawalan enjin yang menerima maklumat daripada setiap alat pengesan kelajuan pada roda, alat pengesan sudut stereng dan olengan.

Ia akan mengaplikasikan brek ke atas roda secara berasingan bagi membolehkan kenderaan dikawal dengan lebih mudah jika berdepan suasana yang mencemaskan. HAC pula menawarkan pemandu kawalan yang baik ketika memandu di laluan curam. HAC berfungsi menghalang kenderaan daripada mengundur jika anda berhenti di tengah-tengah laluan berbukit. ESP dan HAC dipadang pada semua varian kecuali 2.0L Elegance.

RUANG kabin tetap sama kecuali penambahan ciri paddle shifter pada Sonata Sport 2.4L dan Sonata Executive 2.4L.


Kepada mereka yang ingin membeli Sonata sekarang, ada berita baik untuk anda. Hyundai-Sime Darby Motor kini menawarkan kadar faedah istimewa serendah 1.88 peratus hingga 30 September 2012 untuk semua varian Sonata.

Range Rover 2012

Posted:

Range Rover 2012

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN

REKAAN luaran Range Rover terbaharu ini seakan-akan tidak jauh beza dengan model terdahulu.


RANGE ROVER generasi keempat merupakan buah tangan baharu syarikat Land Rover. Ia disifatkan sebagai model paling mewah dan berkeupayaan dalam senarai produk syarikat daripada United Kingdom (UK) itu. Model baharu tersebut lebih ringan, kuat dan memiliki perincian yang lebih tinggi demi mengukuhkan lagi posisinya sebagai SUV mewah dunia.

Fizikalnya nampak lebih kurang sama sahaja dengan model sebelum ini. Seolah-olah ditukar lampu depan dan belakang sahaja. Namun model itu sebenarnya dibangunkan daripada 'ground up' sempena semangat inovatif dan rekabentuk ikonik generasi pertama yang menggegar industri automotif sewaktu ia dilancarkan lebih dari 40 tahun lalu.

Memetik sumber agensi berita Newspress, Range Rover baharu mencatat rekod apabila menjadi SUV pertama di dunia menggunakan badan monocoque yang diperbuat daripada aluminium. Hasilnya, berat badan 39 peratus lebih ringan berbanding badan besi model sebelum ini dengan angka yang sangat signifikan iaitu sebanyak 420 kilogram.

Platform aluminium yang ringan menyumbang kepada prestasi serta pemanduan yang lebih baik. Di samping penjimatan minyak dan emisi karbon dioksida (C02).

Penggunaan aluminium tidak terhenti setakat badan sahaja. Malah rekaan casis hadapan dan belakang yang menggunakan aluminium turut dibangunkan bersama suspensi udara yang direka bentuk semula.

Keselesaan SUV itu dikekalkan. Pengendalian dan kelincahannya pula bertambah baik hasil semakan semula sistem suspensi. Rekaan sistem suspensi tersebut menjadikan Range Rover lebih meyakinkan sewaktu melalui selekoh dengan rasa stereng yang lebih natural dan intuitif.

Interprestasi: identiti

Pengarah Penjenamaan Global Land Rover, John Edwards berkata. "Range Rover baharu masih lagi mengekalkan karakter utama dan keunikannya iaitu gabungan antara kemewahan, prestasi dan keupayaan untuk bergerak di pelbagai permukaan bumi.

"Reka bentuk baharu serta penggunaan material yang ringan berjaya menjadikan model mewah ini lebih baik dari aspek keselesaan, perincian dan pengendalian."

Range Rover baharu mempunyai reka bentuk kemas dan elegan yang dicetuskan daripada interpretasi terkini identiti Range Rover. Memang saling tak tumpah dengan model lama, Range Rover baharu merupakan evolusi kepada reka bentuk ikonik gaya model tersebut.

RUANG kabin disalut material kulit dan kemasan kayu yang mewah.


"Mereka bentuk model gantian Range Rover selepas legasi kejayaan selama lebih daripada 40 tahun adalah tanggung jawab yang besar bagi melindungi DNA ikon tersebut.

"Pasukan pereka perlu bekerja keras untuk mendapatkan perkadaran (proportion) yang elegan dan permukaan asal yang merupakan elemen terbaik reka bentuk Range Rover," kata Pengarah Rekaan dan Ketua Pegawai Kreatif Land Rover, Gerry McGovern.

Range Rover baharu menggunakan teknologi Terrain Response® system terkini daripada Land Rover. Sistem itu mampu menganalisis keadaan pemanduan dan secara automatik memilih talaan yang bersesuaian untuk pemanduan di atas pelbagai permukaan jalan.

Bagi memastikan kelasakan dan ketahanannya, ia diuji di atas permukaan jalan biasa dan off-road secara ekstrem. Proses pembangunannya melibatkan ujian sejauh lebih sejuta kilometer, mengambil masa lebih 18 bulan di lebih 20 buah negara dengan cuaca dan permukaan jalan yang ekstrem.

Ruang kabin Range Rover baharu menawarkan ambien yang aman sebagai syarat untuk menjadi SUV mewah. Antara kaedahnya adalah penggunaan struktur badan yang kuat, selain lapisan akustik pada cermin hadapan dan cermin pintu yang berjaya mengurangkan bunyi dari luar kenderaan.

Sistem suspensi baharu pula membolehkan jurutera menghasilkan pemanduan yang lebih mewah dari aspek keselesaan dan perinciannya. Ruang dalaman yang mewah diinspirasikan daripada gaya rekaan Range Rover terdahulu.

Tetapi ia disegarkan oleh elemen kontemporari dengan permukaan yang kemas dan elegan menerusi aplikasi material kulit serta kayu terbaik.

Sudah namanya SUV mewah, Range Rover perlu mempunyai kuasa yang sepadan. Pelanggan diberi tiga opsyen enjin iaitu V8 petrol supercharge, TDV6 dan SDV8 diesel yang menggabungkan prestasi responsif dengan emisi C02 cemerlang.

Direka bentuk dan dijuruterakan di pusat pembangunan Land Rover di UK, model itu bakal diproduksi di kilang canggih yang baru di Solihull, UK. Tempahan untuk pasaran UK bermula pada September 2012.

Range Rover itu merupakan produk global yang bakal menyaksikannya dijual di lebih 160 buah negara seluruh dunia. Besar kemungkinan Malaysia adalah salah satu daripadanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved