Sabtu, 8 September 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Sultan batal projek Laguna Mersing

Posted:

Sultan batal projek Laguna Mersing

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

MERSING - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar semalam menitahkan bahawa projek pusat peranginan mega Laguna Mersing yang bernilai RM22 bilion telah terbatal dengan sendirinya berikutan kegagalan pihak pemaju memenuhi syarat asas perjanjian.

Dalam titahnya, baginda menegaskan, projek terbabit terbatal selepas pihak pemaju induk, Radiant Starfish Development Bhd. gagal meningkatkan modal berbayar sebanyak RM200 juta dalam masa enam bulan.

Syarat itu terkandung dalam perjanjian antara syarikat terbabit dengan Kerajaan Negeri Johor pada 25 Februari lalu.

"Namun sehingga hari ini, setelah tamat tempoh enam bulan, pihak pemaju masih gagal untuk memenuhi syarat asas tersebut. Ekoran kegagalan tersebut, maka projek ini dengan sendirinya adalah terbatal," titah baginda pada majlis Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-47 di Kem Iskandar Mersing di sini semalam.

Majlis pecah tanah projek Laguna Mersing itu yang berlangsung pada 14 April lalu dirasmikan sendiri oleh baginda.

Serentak dengan itu juga, Sultan Johor menasihatkan kerajaan agar sentiasa berhati-hati apabila menerima cadangan pembangunan dan menilainya dengan teliti agar pemaju yang benar-benar komited dan berkemampuan sahaja diberi kelulusan melaksanakan projek.

"Sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mencari jalan mudah untuk mengaut keuntungan, maka pergilah ke tempat lain kerana tiada tempat untuk orang seperti ini di negeri Johor," titahnya.

Laguna Mersing yang dijadual siap pada tahun 2019 meliputi kawasan seluas 809 hektar yang dipecahkan kepada 22 lot dan dijual kepada pemaju dari luar negara untuk dibangunkan dengan hotel atau taman tema.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kelengkapan Gerak Khas tidak bermutu

Posted:

Kelengkapan Gerak Khas tidak bermutu

MERSING - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dukacita kerana kelengkapan ketenteraan yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak bermutu dan tidak menepati spesifikasi.

Baginda turut meluahkan rasa kecewa kerana permintaan untuk mempertingkat kelengkapan kor itu tidak diendahkan seolah-olah Kor Gerak Khas dianaktirikan.

"Beta amat menghargai nilai nyawa anggota Gerak Khas kerana ia modal insan yang terlatih, namun jika anggota itu dilengkapkan dengan peralatan yang tidak bermutu dan tidak menepati standard spesifikasi, maka peluang untuk mereka terbunuh adalah amat tinggi.

"Sekiranya perkara ini berterusan yang mana cara pembelian peralatan tidak menepati kehendak Gerak Khas dan dengan harga yang tidak berpatutan, maka beta rasa lebih baik beta sahaja yang mengambil alih pembelian peralatan tersebut," titah baginda.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas bertitah pada majlis Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-47 di Kem Iskandar di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkefli Zainal Abidin.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Jenazah 2 pelajar maut di Rusia selamat dikebumi

Posted:

Jenazah 2 pelajar maut di Rusia selamat dikebumi

Oleh NOR IDAYU BOSRO dan MANIRAH OTHMAN
berita@kosmo.com.my

DIMYATI MOHAMAD menyiram air mawar di pusara anaknya, Adzreen sambil diperhatikan oleh ahli keluarganya di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Jenazah pelajar Malaysia, Adzreen Dimyati, 22, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Vladimirskaya, Rusia pada Isnin lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini semalam.

Jenazah pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 9.45 malam kelmarin menerusi pesawat Emirates Airlines dari Dubai.

Jenazah kemudian dibawa ke Surau Al-Iman Presint 9 untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan kira-kira pukul 1.40 pagi semalam.

Ibu saudara mangsa, Datuk Rabeahtul A. Abbas yang mewakili keluarga mangsa menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang terlibat mengendalikan urusan membawa pulang jenazah.

"Maaf, ibu bapa arwah belum bersedia untuk bertemu media kerana mereka masih terkejut dengan kejadian itu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 3 pagi Isnin lalu (11 malam Ahad waktu Rusia), Adzreen bersama enam lagi pelajar Malaysia dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Moscow ke kampus mereka di Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod.

Malangnya, bas yang mereka naiki terbabit dengan kemalangan di wilayah Vladimirskaya, 120 kilometer dari wilayah Nizhny ekoran kegagalan pemandu mengawal kenderaan kerana dipercayai terlelap.

Adzreen meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala seorang lagi mangsa, Hanisah Muhd. Shah, 22, yang merupakan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat maut di tempat kejadian.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved