Sabtu, 15 September 2012

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Penampilan lebih maskulin

Posted:

Penampilan lebih maskulin

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

NAMA Beetle sudah cukup gah sebenarnya. Boleh dikatakan semua peringkat umur tahu mengenainya. Maka, tidak hairanlah jika model terkini Beetle yang kini berada dalam generasi ketiga itu sangat ditunggu-tunggu. Malah, bukan sedikit yang menempahnya (dengar kata lebih 200 orang), walaupun harga sebenar masih belum diketahui.

Begitulah kuasa yang dimiliki oleh sebuah jentera ikonik. Tidak perlu cakap banyak-banyak pun orang berbaris mahu membelinya. Menyelidik asal-usulnya, Beetle mula diperkenalkan di pasaran dunia pada tahun 1938. Sejak itu, lebih 22.5 juta unit sudah berjaya dijual.

Di Malaysia, Beetle mula dihidupkan enjinnya pada tahun 1950-an. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa jentera itu pernah dipasang dalam negara pada tahun 1968. Kemudian, semua itu tinggal sejarah sahaja.

Sebagai sebuah model ikon, Volkswagen (VW) mengambil masa yang lama untuk menukar generasinya. Dalam tempoh 67 tahun, hanya tiga generasi yang dihasilkan. Malah reka bentuk kumbang yang tidak dimakan masa itu juga tidak banyak berubah.

Perubahan dimensi tubuh

Generasi ketiga yang membuat kemunculan pertama secara serentak di Shanghai, China; Berlin, Jerman dan New York, Amerika Syarikat (AS) sekitar April 2011 lalu dikenali sebagai Beetle Abad Ke-21.

Ketika hendak membangunkan Beetle baharu, dua orang Ketua Pereka Bentuk VW iaitu Walter de Silva (Volkswagen Group) dan Klaus Bischoff (Volkswagen Brand) sedar mengenai perlunya menghasilkan satu rekaan klasik moden.

Hasilnya, siluet bentuk Beetle asal dikekalkan. Perkadaran tubuhnya juga direka agar semakin dinamik. Sekilas pandang, anda sudah boleh melihat perbezaannya berbanding generasi terdahulu. Model terbaharu itu nyata kelihatan lebih maskulin dan sporty. Penampilan itu banyak disumbang oleh dimensi tubuhnya yang sudah berubah.

PELANCARAN model ini diadakan dalam satu majlis yang cukup eksklusif dan bertaraf antarabangsa.


Jentera itu bukan sahaja lebih rendah, malah lebih lebar, panjang dan cermin hadapannya lebih 'curam'. Lebih tepat lagi, Beetle itu mempunyai lebar 1,808mm (84mm lebih lebar berbanding model terdahulu), tinggi 1,486mm (12mm lebih rendah) dan 4,278mm lebih panjang (bertambah sebanyak 152mm). Malah bahagian hadapannya juga lebih lebar iaitu 1,578mm, selain 1,544mm untuk ukuran belakang.

Kalau dilihat di pasaran lain yang lebih besar seperti China, Eropah dan Amerika Syarikat (AS), Beetle dipasang dengan pelbagai varian enjin. Misalnya 1.4L TSI, 2.0L TSI dan 2.5L, selain enjin diesel bersesaran 1.6L TDI serta 2.0L TDI. Enjin-enjin itu kemudian dipadankan dengan pilihan transmisi (manual dan automatik) seperti lima dan enam kelajuan, serta kotak gear Direct Shift Gearbox (DSG).

Biarpun begitu, buat permulaan Volkswagen Group Malaysia (VGM) membawa masuk model yang dikilangkan di Mexico ini dengan enjin 1.2 liter TSI untuk pengguna tempatan. Ia merupakan enjin sama yang dipasang pada model kompak Polo.

Enjin empat silinder dengan sistem pengecas turbo itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 105PS dan tork 175Nm bermula daripada 1,550 hingga 4,100rpm. Padanannya ialah kotak gear DSG tujuh kelajuan yang menjanjikan pemanduan lancar serta menjimatkan. VW mendakwa gabungan tersebut menawarkan penggunaan bahan api cuma 5.9 liter untuk setiap 100 kilometer.

Bagi menambah keunikannya, VGM mendatangkan Beetle dengan pakej Design Line. Maksudnya, ia hadir dengan rim aloi bersaiz 16 inci, warna papan pemuka yang sama dengan warna luaran badan dan banyak lagi.

Jika anda rasakan enjin itu tidak cukup berkuasa, jadi tunggu sahaja model yang dipasang dengan enjin 2.0 liter, enjin sama yang ada pada Golf GTi. Tetapi, masih belum dapat dipastikan bilakah ia akan menjenguk bilik-bilik pameran VW di Malaysia memandangkan kilang VW di Mexico mengalami masalah memenuhi permintaan sedia ada.

RUANG kabin dengan kemasan papan pemuka yang sama dengan warna luaran kereta menyerlahkan gabungan elemen klasik dan moden.


Menyentuh tentang ruang kabin, selain semakin luas, papan pemukanya turut diberi sentuhan unik. Ia menampilkan gabungan rekaan klasik dan moden, nyata cukup menarik perhatian. Tidak dilupa ialah ruang penyimpanan barang yang dikenali sebagai Beetle Box. Terletak di hadapan penumpang hadapan, ia mempunyai dua ruang yang dibuka pada bahagian atas dan bawah.

Baiklah, kalau berminat, Beetle ditawarkan pada harga bermula RM139,888 seunit. Anda boleh memilih daripada tujuh warna iaitu putih, merah, kuning, perak, hitam, kelabu dan coklat.

"Beetle merupakan kereta yang merentas gender, kasta masyarakat dan latar belakang individu. Sebagai sebuah ikon kepada budaya popular, Beetle adalah paksi kepada falsafah jenama Volkswagen," kata Pengarah Urusan VGM, Ricky Tay.

Pelancaran model itu dibuat sempena pameran Volkswagen.Das Auto. Show 2012 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) hujung minggu lalu. Boleh dianggap sebagai pameran satu jenama paling besar di Malaysia, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ia jauh lebih baik berbanding acara pemotoran yang didakwa bertaraf antarabangsa sebelum ini.

Volkswagen.Das Auto. Show 2012 menjadi platform buat jenama dari Jerman itu meluaskan capaian kesedaran produknya kepada rakyat Malaysia. Pendek kata, VW memang agresif untuk bersaing dengan jenama Eropah lain yang sudah lama berada di sini.

Pameran yang lengkap dengan pelbagai aktiviti ineteraktif untuk para pengunjung itu turut menampilkan beberapa model yang mungkin akan memasuki pasaran Malaysia pada masa depan. Jadi, orang ramai bolehlah melihat secara dekat model-model seperti trak pikap Amarok, Multivan dan banyak lagi.

RUANG kargo seluas 310 liter. Ia boleh menjadi sehingga 910 liter jika tempat duduk belakang dilipat.


Penganjurnya, VGM menyasarkan seramai lebih 10,000 orang mengunjungi Volkswagen.Das Auto. Show 2012. Mengambil iktibar daripada acara sama tahun lalu yang diadakan di Bukit Jalil, kali ini pengunjung perlu mendaftar terlebih dulu secara dalam talian sebelum boleh masuk ke ruang pameran.

Servis percuma Toyota Prius dilanjutkan

Posted:

Servis percuma Toyota Prius dilanjutkan

UMW Toyota memberi nilai tambah kepada pembeli Prius baharu pada bulan ini.


UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota) baru-baru ini mengumumkan tawaran lanjutan pakej servis percuma untuk jarak perbatuan 10,000 kilometer (km) pertama atau pemilikan enam bulan untuk semua rangkaian Toyota Prius bagi bulan September ini.

Inisiatif yang diumumkan UMW Toyota itu pernah ditawarkan untuk model Prius c pada bulan Ogos lalu. Prius kini berjaya menembusi lebih 70 pasaran di seluruh dunia dengan catatan jualan melepasi paras empat juta unit.

Maklumat lanjut, sila hubungi talian bebas tol Toyota di talian 1800-8-869682.

Renault Twizy bantu raih dana

Posted:

Renault Twizy bantu raih dana


PENAMPILAN jentera ini lebih menyerlah dengan penggunaan warna kuning dan pelekat misai yang ada padanya.


SEBAGAI sebuah kenderaan yang sering mendapat perhatian, Renault Twizy baru-baru ini digunakan untuk menarih dana bagi satu majlis amal dikenali sebagai Freddie For A Day.

Tampil dengan warna putih dan kuning, lengkap bersama sekeping pelekat 'misai' di bawah logonya, Twizy tersebut direka untuk memberi penghormatan kepada penyanyi kumpulan rock terkenal, Queen iaitu Freddie Mercury.

Jentera kompak dua pintu itu didermakan kepada badan kebajikan, Mercury Phoenix Trust dalam satu majlis khas yang kemudiannya berjaya mengumpul dana lebih £7,000 (RM34,735).

"Kami sangat berbangga kerana dapat menyokong inisiatif Freddie For A Day dan menyumbang sebuah Twizy kepada Mercury Phoenix Trust. Badan kebajikan ini sememangnya banyak membantu dalam mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai HIV dan AIDS," kata Pengarah Urusan Renault UK, Thierry Sybord.

Acara Freddie For A Day kini sudah memasuki tahun ketiga. Tahun lalu, acara itu berjaya mengumpul dana sebanyak £250,000 (RM1.2 juta). - Newspress

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved