Sabtu, 15 September 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Nabila, antara kembara dan karier

Posted:

Nabila, antara kembara dan karier

INI memang bukan catatan pertama tentang kembara solonya ke Afrika, tetapi Nabila Huda punya sebab untuk berasa bangga dengan kembara yang ditempuhinya baru-baru ini.

Pertama, dia mengaku tidak menyangka kunjungan ke negara yang jauh berbeza dari segi sosio dan budaya serta ekonominya itu berbanding Malaysia lebih daripada sekadar berbaloi.

Kedua, pelakon yang mesra disapa Abil itu menyatakan memilih Afrika, lebih khusus ke Kenya merupakan pilihan yang tepat biar pemergiannya ke sana hanya berbekalkan mimpi yang kabur.

Ketiga, dia menggali banyak pengalaman berguna sebagai seorang pengembara wanita solo dan begitu teruja untuk meneruskan misi kembara secara solo selepas ini setelah mampu bertahan di bumi yang cukup asing bagi dirinya. Banyak lagi yang disenaraikan oleh Abil tentang kembara tersebut.

Momen itu masih basah dalam kotak memori Abil. Jauh dia terbang meninggalkan bumi Malaysia menuju Afrika hanya berbekalkan bacaan dan keinginan untuk menyelam ke dasar laut Pulau Watamu, Kenya.

"Malangnya, apabila sampai di sana, cuaca buruk dan saya dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti pantai, termasuk menyelam," ujarnya.

Justeru dia memilih alternatif aktiviti yang tidak kurang menarik. "Saya pilih ke safari, satu aktiviti pelancongan wajib buat bila kita ke Afrika dan ternyata ia merupakan pengalaman yang tidak kurang mengujakan," jelas Abil.

MENURUT Nabila, karier dan kembara ibarat satu item yang tidak dapat dipisahkan daripadanya. Dia terlalu mencintai kedua-dua perkara tersebut.


Namun hal yang paling mengesankan dirinya sepanjang berada di bumi asing tersebut adalah tentang kelangsungan hidup masyarakat pribumi yang begitu kuat terikat dengan tradisi, terutama bagi masyarakat Masai yang dikunjunginya di sebuah kampung.

Modenisasi jauh ketinggalan dalam kehidupan dan mereka hidup seadanya. Itu satu pemandangan asing yang tidak mungkin dia perolehi jika tidak memilih Kenya sebagai lokasi kembara 'gilanya' serta membuat dia berasa cukup bersyukur dan bertuah kerana menjadi anak Malaysia yang hidup dalam sebuah negara hampir lengkap semuanya.

"Saya kira pengalaman kembara ke Kenya merupakan pengalaman paling bernilai dalam hidup saya. Lebih-lebih lagi apabila saya dapat mendekati masyarakat Masai yang hidup dalam keadaan dan budaya kuno mereka.

"Rata-rata mereka masih memakai pakaian tradisional, tinggal di dalam rumah yang diperbuat daripada lumpur, memakan hasil tanaman sendiri dan paling penting, masih mengamalkan ritual meminum darah kambing yang menjadi tradisi masyarakat Masai," ujarnya yang juga memberitahu terpegun dengan sikap sopan santun kaum wanitanya.

Mendefinisikan Kenya sebagai antara negara termiskin yang pernah dilawatinya, namun kata Abil, kemiskinan tersebut telah membuat masyarakat di sana bekerja keras dan lebih menghargai setiap kehidupan mereka.

Ujarnya: "Walaupun hidup daif, tapi mereka ada kekayaan dari segi lain, terutama hasil bumi dan bagaimana mereka begitu kreatif menghasilkan seni. Paling penting, kehidupan mereka yang masih dalam ruang tradisional membuat saya jatuh cinta."

Bagaimanapun kata Abil, jangan terkejut apabila bercakap tentang bahasa yang digunakan penduduk di sana. Biar mempunyai banyak dialek tersendiri, namun hampir semua masyarakat menggunakan bahasa Itali sebagai bahasa utama untuk berkomunikasi.

Malah oleh kerana pengaruh Itali begitu kuat di sana, terdapat banyak restoran Itali dibuka dan hampir banyak perniagaan dikuasai oleh orang Itali.


SEMENTARA kembali hidup solo, Nabila mahu mengembara dan berlakon sebanyak mungkin tanpa terikat komitmen lain.


Program travelog

Mahu bercerita tentang kembaranya ke Kenya, barangkali ia lebih mengujakan apabila dibuat dalam bentuk visual berbanding penulisan.

Berbekal sebuah telefon pintar iPhone, kamera serta sebuah kamera video, Abil merakam kembaranya agar dia mampu berkongsi kisah dengan peminat.

Menariknya, ada pihak yang berminat dengan kembara solo yang dilakukan anak rockers Amy Search ini. Dia telah ditawarkan untuk membuat dokumentari atau travelog tentang kembara ke Kenya tersebut.

"Ya, ada yang mahu membuat travelog untuk saya. Sebab itu, untuk pertama kali juga saya telah membawa kamera video untuk merakam momen-momen saya di sana.

"Bagaimanapun, suka untuk saya maklumkan, sebagai seorang amatur merakamkan pengalaman dalam bentuk visual, mungkin rakaman saya tidak begitu bagus," ujarnya.

Malah jika diberi peluang, dia begitu teruja untuk membikin lebih banyak dokumentari tentang kembaranya selepas ini.

Korea Selatan

Kurang 24 jam berada di Malaysia sebaik pulang dari Afrika, Abil terbang ke Korea Selatan pula. Kali ini, dia ke Korea atas tuntutan kerja.

Kini sedang berada di sana untuk tempoh 10 hari, Abil giat menjalani penggambaran drama Julia untuk slot Akasia bersama Fizo Omar, Izreen Azminda dan ramai lagi. Dalam masa yang sama, dia turut menjalani sebuah lagi produk untuk terbitan TV9.

Memuat naik banyak gambarnya di Korea menerusi laman sosial Instagram miliknya, ia ternyata menarik perhatian banyak pihak. Sementelah gambar-gambar yang dimuat naik tampak begitu cantik.

Mengulas tentang hal tersebut, kata Abil: "Saya amat sayangkan karier saya. Karier saya telah membawa saya ke merata dunia. Bukan sekadar menerusi lakonan, tetapi duit yang saya kumpul dari hasil titik peluh berlakon ini juga saya gunakan untuk mengembara.

"Bagi saya, sementara saya kini sudah kembali hidup solo dan masih muda, saya mahu pergi mengembara ke sebanyak mungkin destinasi yang saya ingin. Mengembara adalah impian saya sejak dulu dan kini saya sedang merealisasikannya satu persatu."

Malah untuk mengatur kerjanya dengan lebih baik, Abil kini buat pertama kalinya telah bernaung di bawah payung syarikat pengurusan Kartellohello.

KLASIK. Antara gambar menarik sewaktu penggambaran drama yang dimuat naik Nabila menerusi Instagram miliknya.


Menjadi pelakon pertama yang bernaung di bawah syarikat tersebut, dia percaya Kartellohello mampu membantunya melebarkan sayap dengan lebih besar selain menguruskan kariernya dengan lebih teratur.

Adda trauma dengan lelaki

Posted:

Adda trauma dengan lelaki

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


TUKAR imej. Jika sebelum ini Adda sempat memakai tudung, dia akhirnya mengambil keputusan hanya menggayakan turban yang dilihat lebih sesuai dengan dirinya.


TEMPOH perkahwinan yang sekadar bertahan selama 17 hari pastinya memberikan pengalaman yang cukup pahit buat vokalis Butterfly, Nur Syuhadah Baharuddin atau lebih popular dengan panggilan Adda.

Menganggap semua yang berlaku sebagai pengajaran untuk menempuhi kehidupan yang mendatang, Adda bertekad untuk tidak terlalu memikirkan lagi peristiwa lampau. Dia kini mahu meneruskan kehidupan seperti biasa.

Ketika ditemui sewaktu sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, adik gitaris kumpulan Kristal, Rodi ini mahu memberi fokus kepada bidang yang diceburi sekarang iaitu sebagai penyanyi dan pelakon.

Bakal tampil menerusi filem sulung berjudul Sofazr The Movie: Jiwa Kacau pada 27 September ini, Adda menyatakan dia belum terfikir untuk mencari pengganti kerana selesa dengan keadaan sekarang.

Kosmo!: Bagaimana kehidupan Adda selepas kontroversi dahulu?

ADDA: Saya menganggap biar sehebat mana pun dugaan yang pernah melanda diri saya, tetapi kehidupan mesti diteruskan dan kalau boleh saya tidak mahu mengenang lagi segala kejadian yang berlaku.

Adakah anda sudah bersedia untuk mencari pengganti?

Buat masa ini saya belum bersedia untuk kembali mendirikan rumah tangga. Saya akui agak trauma dan susah untuk mempercayai lelaki sekarang setelah apa yang berlaku terhadap diri saya.

Mengenai status saya pula, sehingga kini saya masih lagi solo dan tidak mempunyai teman istimewa. Saya akui memang ada rapat dengan beberapa lelaki, tetapi hubungan yang terjalin tidak lebih daripada sekadar kawan.

Jadi, sekarang anda sudah serik untuk berkahwin?

Saya bukanlah serik berkahwin lagi, cuma buat masa sekarang tidak terlintas di hati saya untuk mendirikan rumah tangga. Apa pun saya percaya pintu hati saya akan terbuka untuk bergelar isteri, tetapi bukan dalam tempoh terdekat ini.

Sebelum ini anda dilihat sudah tampil bertudung sepenuhnya, tetapi kini penampilan anda ternyata sudah berubah?

Memang pada mulanya saya sudah berusaha mengubah penampilan untuk bertudung, namun lama-kelamaan saya rasa masih lagi belum bersedia ke arah itu. Kemudian, saya ambil keputusan tampil dengan imej memakai turban.

Saya membuat tindakan sedemikian kerana ia merupakan imej yang paling sesuai sekarang sebagai seorang vokalis kumpulan Butterfly yang menjurus kepada muzik Pop Rock.

Bagaimana pula dengan perkembangan kumpulan Butterfly sekarang?

Buat masa sekarang Butterfly masih lagi aktif dan sering membuat persembahan. Malah, kami baru sahaja melahirkan sebuah album berjudul Lelaki Pilihan pada Ogos lalu.

Adakah kontroversi yang berlaku telah menjejaskan karier anda sebagai penyanyi dan pelakon?

Saya melihat segala kontroversi yang melanda terutamanya berkaitan cinta dan perkahwinan tidak menjejaskan kerjaya saya sekarang termasuk nama Butterfly. Lagipun saya percaya peminat lebih menilai diri saya berdasarkan kerjaya berbanding perkara peribadi mengenai diri saya.

Dia bukan suami orang! - Rossa

Posted:

Dia bukan suami orang! - Rossa

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


ROSSA dan Joe Flizzow berduet untuk lagu One Night Lover.


TIGA tahun selepas menoktahkan pelayaran bahtera perkahwinan dengan anggota kumpulan Padi, Yoyo, figura popular Indonesia yang turut disenangi auranya di Malaysia, Rossa, kini kembali membuka serelung ruang di hatinya untuk menerima cinta daripada seorang usahawan yang enggan didedahkan namanya.

Dedah Rossa, 33, lelaki yang berusia sekitar 30-an itu dirasakan sangai bersesuaian dengan dirinya dan dia malah pernah membawa usahawan itu bertemu dengan keluarganya beberapa kali sebelum ini.

"Memang sekarang sudah ada seseorang yang sedang saya kenali hatinya tetapi saya tidak pernah beritahu siapa dia. Dia lebih tua daripada saya dan yang penting bukan suami orang. Tempoh perkenalan kami saya sifatkan dalam erti kata cukup saling mengenali, dia secocok dengan saya dan kami ada persefahaman," luahnya yang masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga buat masa sekarang.

Rossa yang ditemui ketika majlis pelancaran album terbaharunya The Best Of Rossa di The Venue Pavilion petang Khamis lalu menegaskan pendedahan tentang perkembangan terbaharu kisah peribadinya itu dibuat bagi menjawab tanda tanya yang timbul ekoran laporan sebuah portal Malaysia yang menyatakan Rossa pernah membawa kekasihnya untuk berjumpa dengan keluarganya.

Sehubungan itu, tambah Rossa lagi tindakannya menemukan individu yang didakwa kekasih itu bukan bertujuan menjalinkan hubungan lebih serius apatah lagi dia langsung tidak terfikir untuk berkahwin sekali lagi dalam masa terdekat ini.

"Kalau saya ada membawa beberapa teman (lelaki) ke rumah untuk bertemu dengan orang tua saya bukan bermaksud apa-apa atau kerana dia istimewa, bukan sama sekali. Kadang-kadang bapa saya juga ada bertanyakan yang mana satu pacar saya.

"Bukan istimewa kalau bawa berjumpa keluarga. Kalau benar hubungan itu serius maka saya akan uar-uarkan. Buat masa sekarang saya free (tidak terikat), single (solo) dan seksi!" ujarnya berseloroh.

Projek hartanah

Dalam pada itu, Rossa juga kini sedang berjinak-jinak menceburi bidang pelaburan projek hartanah di Indonesia dan ujarnya dia turut mendapat galakan daripada teman lelakinya itu untuk serius berkecimpung dalam bidang tersebut.

"Projek itu baru berjalan dan Insya-Allah saya semakin serius mengusahakan projek kondotel itu. Selain itu bisnes Diva Family Karaoke juga semakin pesat berkembang dan kini sudah ada 18 cawangan seluruh Indonesia. Istimewanya kerana pusat karaoke itu didekorasi khas untuk golongan wanita," tambah ibu kepada seorang cahaya mata berusia enam tahun, Rizky Langit Ramadan.

Dalam perkembangan lain, Rossa akan mengerjakan ibadah haji pada 12 Oktober ini bersama sekumpulan jemaah menerusi sebuah agensi haji dan umrah di Indonesia. Kata Rossa, dia telah merancang untuk mengerjakan ibadat rukun Islam itu sejak tahun lalu dan bersyukur kali ini diberikan peluang dan kesempatan.

Dia bagaimanapun menegaskan akan terus aktif dalam bidang nyanyian sepulangnya dari Tanah Suci Mekah kelak namun dari segi berpakaian dia akan lebih menjaga adabnya untuk tidak terlalu seksi berbanding sebelum ini.

"Saya akan ubah cara berpakaian untuk tidak terlalu terbuka dan akan lebih sopan selepas ini. Doakan saya beroleh hidayah ketika mengerjakan haji nanti dan mendapat haji yang mabrur," jelasnya.

Sedikit info mengenai album terbaharunya yang sudah mula dipasarkan sejak bulan Mac lalu dan sudah 1.5 juta naskhah terjual di Indonesia setakat ini. Album itu kata Rossa istimewa kerana menghimpunkan semua lagu hits dirinya sepanjang bergelar penyanyi termasuk lima buah lagu baharu.

Antara lagu yang dimuatkan seperti Pudar, Aku Bukan Untukmu, Ayat-Ayat Cinta, Hati Yang Kau Sakiti, Tegar, Kini, Atas Nama Cinta dan Ku Menunggu. Lima lagu baharu yang dimaksudkan Ku Pinang Kau Dengan Bismillah (duet Pasha Ungu), Aku Bersahaja (duet Taufik Batisah), One Night Lover (duet Joe Flizzow), Jangan Ada Dusta Antara Kita (duet Broery Marantika) serta Tak Sanggup Lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved