Rabu, 21 Disember 2011

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Halangan hebat ke Lubuk Kawah

Posted:

Halangan hebat ke Lubuk Kawah

Halangan hebat ke Lubuk Kawah

Oleh BASIR ABU BAKAR

DEDIKASI yang ditunjukkan oleh para peserta yang mengikuti rombongan anjuran Tourism Selangor, Fam Tour Kembara Selangor Shines (KSS) 2011 telah diberikan kejutan istimewa menjelang hari terakhir program tersebut awal Disember lalu.

Dihadiahkan dengan sebuah pengalaman mengujakan, para peserta kembara yang terdiri daripada kumpulan media, syarikat pelancongan dan blogger diajak menyertai ekspedisi kenderaan pacuan empat roda (4x4) ke Lubuk Kawah, Sungai Bernam, Ulu Bernam, Selangor.

Kumpulan peserta KSS yang berlepas dari Shah Alam menaiki dua buah bas pesiaran dan sebuah bas mini, menempuh perjalanan selama kira-kira tiga jam untuk tiba ke Hulu Selangor.

Jarak yang jauh itu membolehkan sebahagian peserta KSS sempat melelapkan mata bagi menghilangkan keletihan.

Setiba peserta di lokasi yang dituju, 16 buah kenderaan pacuan empat roda sedia menanti di pintu masuk jalan Sungai Bernam. Destinasi berikutnya adalah Teratak Riverview, Kampung Simpang Empat Dalam, Tanjung Malim yang telah beroperasi sejak dua tahun dahulu.

Turut menyambut mesra ketibaan kami ialah pemilik resort Teratak Riverview, Mohamad Noor Hakim Kassim, 55, bersama 32 pemandu dan pembantu kenderaan pacuan empat roda.

Para peserta ekspedisi masing-masing kelihatan teruja dan ceria untuk memulakan ekspedisi ke Lubuk Kawah yang tersembunyi jauh ke dalam hutan Gunung Semangkok.

Sebelum bertolak, Hakim yang juga merupakan pengelola ekspedisi memberi sedikit penerangan mengenai laluan perjalanan dan langkah-langkah keselamatan yang perlu dilakukan jika berlaku kecemasan.

Redah sungai

Kata Hakim, Sungai Bernam merupakan sempadan antara Selangor dan Perak serta terdapat banyak anak sungai yang berpunca dari rangkaian utama di sekitar Gunung Semangkok.


SITUASI kenderaan yang terperangkap dalam selut, lubang atau di kawasan sungai berbatu adalah sesuatu yang lazim.


"Sungai Lubuk Kawah adalah salah satu daripada beberapa sungai yang ada. Ia mengalir ke dalam Sungai Perah dan kemudian memasuki Sungai Bernam.

"Kedua-dua sungai itu mempunyai lokasi air terjun. Laluan masuk ke Lubuk Kawah akan menggunakan laluan jalan tar lama yang berlubang-lubang dan tidak kemas," ujar bekas pesara pegawai kerajaan itu.

Tambah Hakim lagi, peserta akan dibawa ke Teratak Riverview untuk bersarapan pagi dan melalui latihan laluan percubaan sebelum meneruskan ekspedisi ke Lubuk Kawah.

Ekspedisi kenderaan 4x4 ke air terjun Lubuk Kawah yang terletak kira-kira 13 kilometer (km) dari jalan utama Ulu Bernam-Tanjung Malim itu benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal 70 peserta KSS yang terlibat.

Tidak seperti Lata Berembun di Raub, Pahang. Lubuk Kawah dianggap sebagai kawasan air terjun yang terletak jauh di dalam hutan.

"Air Terjun Lubuk Kawah masih tidak digazet oleh kerajaan negeri atau persekutuan sebagai lokasi pelancongan, tetapi ia menjadi lokasi tumpuan bagi mereka yang meminati aktiviti ekstrem.

"Selain terpesona dengan keindahan flora dan air terjun di Lubuk Kawah, para pengunjung juga bakal teruja dengan cabaran perjalanan di laluan balak," kata Hakim.

Jarak dari Teratak Riverview ke Lubuk Kawah ialah 9 kilometer tetapi masa yang diambil peserta untuk sampai ke sana mungkin berbeza mengikut kenderaan dan pengalaman pemandu.

"Untuk sampai ke sana, perjalanannya tidak semudah yang disangka. Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini pasti akan berasa tercabar. Silap-silap boleh putus asa dan mengaku kalah kerana jentera yang dibawa mungkin rosak dan gagal melepasi halangan," katanya.

Curam dan berlumpur

Seorang pemandu kenderaan 4x4, Munasor Aliyasak, 58, berkata, laluan ke Lubuk Kawah adalah tidak rata, berlumpur dan curam selain terpaksa menyeberang sungai yang dipenuhi batu-batu besar.

"Peserta perlu melalui jalan kebun, dusun pokok getah, tanah merah dan landskap hutan," jelasnya.

Pada mulanya, keadaan perjalanan kelihatan biasa sahaja. Para peserta yang ada kelihatan bosan serta tiada perkara menarik untuk diperkata atau dicoretkan.

Bagaimanapun, semua itu mula berubah apabila jentera ekspedisi KSS mula menuruni bukit. Walaupun tidak banyak halangan lain, para pemandu dilihat amat berhati-hati kerana jalan yang digunakan masih basah.

Selepas melepasi cabaran pertama, para peserta ekspedisi berhenti seketika untuk makan tengah hari berhampiran sebatang sungai.

Sejurus perjalanan diteruskan selepas berehat seketika, peserta diberitahu tentang laluan peringkat hardcore. Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki peserta perlu merentasi sungai berbatu yang deras arus airnya.

Sejurus melepasi beberapa batang sungai pada kilometer ke-25, tahap cabaran mula bertambah apabila jalan balak yang dilalui mula menguji kesungguhan para tetamu dari luar belantara itu.

Dihimpit tebing

Beberapa buah jentera yang dinaiki para peserta terpaksa berhempas pulas untuk melepasi laluan berlumpur dan menaiki bukit yang curam 40 darjah.


PARA peserta program KSS 2011 bergambar kenangan sebagai tanda kepuasan mengikuti ekspedisi pacuan empat roda ke Lubuk Kawah.


Beberapa kali badan kenderaan terasa dihimpit apabila ia bergesel dengan tebing tanah.

Perjalanan tergendala seketika apabila salah sebuah kenderaan 4X4 yang dinaiki peserta terangkat pada kedua-dua tayar belakangnya. Seperti 'tertonggeng', ia terjadi kerana bahagian depan kenderaan terperosok ke dalam lubang lumpur sedalam satu meter. Tidak kurang pula kenderaan yang dinaiki mengalami masalah enjin dan patah bahagian lower arm pada tayar.

"Keadaan yang berlaku ini biasa dilalui peserta ekspedisi pacuan empat roda. Ia memang laluan hardcore.

"Selain itu, terdapat laluan kedua yang lebih mudah atau light and easy. Tujuannya untuk memberi pengalaman berbeza dan menarik buat peserta KSS," ujarnya.

Ketika jentera yang dinaiki penulis dan jurugambar 'gelojoh' membelah lopak air dan memanjat bukit, beberapa kenderaan terpaksa ditarik menggunakan winch selepas terbenam ke dalam becak dan gagal menaiki curam berlumpur.

Cabaran demi cabaran ditempuhi sepanjang laluan. Walaupun menghadapi ujian yang teruk, semuanya dilepasi dengan baik hasil kerjasama semangat berpasukan.

Selepas tiba di checkpoint terakhir di Lubuk Kawah, kesemua peserta ekspedisi tidak melepaskan peluang untuk berehat seketika bagi menghilangkan penat lalu membasahkan diri ke dalam air terjun Lubuk Kawah.

Pengalaman berharga

Salah seorang peserta ekspedisi, Md. Saad Mahshah, 35, berkata, ekspedisi ke Lubuk Kawah dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda sangat menarik dan pasti membuat setiap pengunjung teruja serta menjadi pengalaman yang amat berharga.

"Ekspedisi ke Lubuk Kawah ini sangat sesuai untuk semua peringkat umur dan menarik untuk dijadikan aktiviti seisi keluarga.

"Saya rasa sangat teruja dan berfikir untuk mengikutinya lagi pada masa akan datang. Selain pemandangan indah dan kesejukan air sungai Lubuk Kawah di tengah hutan, pengalaman mencabar ketika melalui jalan balak sangat menyeronokkan," kata Pengurus Perhubungan Awam dan Promosi Tourism Selangor Sdn. Bhd.

Tambahnya, dalam ekspedisi tersebut setiap peserta dan pengunjung dapat mempelajari erti kehidupan dan resam hidup bermasyarakat.

"Di dalam hutan, orang yang kita tidak kenal akan jadi sahabat kerana setiap masalah yang dihadapi perlu ditangani bersama.


Meredah sungai seperti ini memberi pengalaman unik kepada para peserta baharu.


"Prinsip kerjasama dan saling membantu itu menjadi perkara penting bagi setiap peserta ekspedisi agar sama-sama dapat tiba di destinasi," ulasnya.

Sesudah menikmati kesejukan air Lubuk Kawah dan keindahannya. Para peserta menaiki kenderaan 4x4 masing-masing untuk pulang ke Teratak Riverview semula.

Perjalanan pulang mengambil masa 40 minit dan lebih mudah berbanding perjalanan pergi yang mengambil masa selama 4 jam.

Kesemua peserta ekspedisi tiba ke tapak resort pada pukul 7.30 malam. Kesemua peserta ternyata sangat berpuas hati dengan ekspedisi yang dilalui walaupun setiap dari mereka tergambar wajah kepenatan.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web http://teratakriverview.blogspot.com/ atau hubungi 013-533 5033 (Hakim), 019-511 5033 (Hanah) atau 017-343 1346 (Haziq).

Full content generated by Get Full RSS.

Bagai Perancis dalam iklim tropika

Posted:

Bagai Perancis dalam iklim tropika

Bagai Perancis dalam iklim tropika


BANYAK bar santai beroperasi di kawasan marina untuk menarik minat para pelayar.


SUATU masa dahulu, seorang gadis yang berasal dari sebuah ladang tebu masih samar tentang masa depannya. Begitupun, Marie-Josephe-Rose Tascher de la Pagerie yang berhijrah ke kota Paris telah mengubah kehidupannya buat selama-lamanya.

"Kamu akan menjadi seorang ratu," seorang tukang tilik memberitahunya, seperti yang diceritakan dalam legenda tempatan.

Gadis telah meninggalkan bahagian tenggara Pulau Martinique di Laut Caribbean itu dan menjalani kehidupan baharu di Perancis.

Semuanya berlaku pada hari-hari terakhir pemerintahan beraja, selepas Revolusi Perancis, apabila beliau akhirnya berkahwin dengan Napoleon Bonaparte. Gadis itu akhirnya memakai gelaran Permaisuri Josephine.

Sekiranya berpeluang kembali semula ke Martinique pada hari ini, Josephine mungkin terpaksa mencari semula budaya asal Perancis yang kini digarap dengan ritma dan pengaruh elemen bukan Eropah. Sejak berkurun lalu, semua itu telah berakar-umbi dalam kalangan penduduk di kepulauan itu.

Kisah kehidupan Josephine di Martinique kini dipaparkan di muzium Domaine de la Pagerie, berhampiran sebuah resort di Les Trois-Ilets.

Ketika beliau menetap di situ sekitar pertengahan abad ke-18, Martinique masih diletakkan di bawah pentadbiran Perancis.

Keluarga wanita itu memiliki lebih 200 hamba abdi untuk bekerja di ladang-ladang milik mereka di bahagian selatan kota itu yang kini dikenali sebagai Fort-de-France.

Rumah asal Josephine yang terletak di atas bukit dengan menawarkan panorama lembah bagaimanapun telah musnah akibat taufan ketika beliau masih kecil. Rangka bangunan itu masih kekal dan menjadi bukti kedatangannya dari Perancis pada tahun 1779.

Pemuliharaan

Dinding kilang batu itu masih kekal berdiri di sebalik pokok-pokok berdaun. Sebuah bangunan yang telah dipulihkan menjadi astaka terbuka masih menyimpan beberapa peralatan dan mesin pemproses tebu yang telah berkarat.

Bahagian dapur yang dipisahkan daripada bangunan utama turut dibaik pulih sebagai muzium kecil. Ia menempatkan bilik Josephine, katil kanopi dan potret.


PANORAMA dunia pelayaran dapat disaksikan ketika berkunjung ke kawasan pelabuhan Fort-de-France.


Pelbagai cenderamata porselin yang memaparkan wajah Napolean dan dirinya juga dipamerkan, termasuk salinan surat perkahwinan dengan Napolean serta banyak lagi dokumen bersejarah lain.

Perhambaan ketika di era Napolean telah memberi faedah kepada keluarga Josephine dan golongan berada yang masih menguasai sebahagian besar tanah di kepulauan itu sehingga ke hari ini.

Sentimen Josephine

Disebabkan itu, tidak hairanlah wajah dan nama Josephine masih boleh dilihat di kebanyakan jalan-jalan sempit, bangunan berwarna-warni sehingga di kedai cenderamata di Pagerie, yang menjual poskad-poskad pemandangan Martinique.

Patung figura terkenal itu kini boleh dilihat di Fort-de-France. Bagaimanapun patung berwarna putih itu telah dirosakkan beberapa tahun lalu. Kepalanya dipancung, disimbah cat berwarna merah dan namanya turut ditanggalkan daripada tapaknya.

Umumnya, Martinique merupakan sebuah wilayah di Perancis. Bahasa Perancis dan mata wang Euro digunakan secara rasmi di situ.

Penduduk tempatan menggunakan kenderaan jenama Perancis seperti Renault dan Citroen. Mereka juga mengunjungi butik untuk mendapatkan fesyen-fesyen terkini dari Eropah.

Campuran budaya

Signatur hidangan Perancis di Martinique menggunakan rempah-ratus dan kari, makanan laut segar dan buah-buahan tropika hasil campuran budaya Afrika serta India. Tradisi kulinari itu telah sebati di pulau itu sejak sekian lama.

Pasar tertutup di tengah-tengah Fort-de-France pula sering sibuk dengan jualan menjual rempah-ratus, pewangi vanila dan alas meja buatan tangan yang khusus.


SUASANA harian di pasar basah Fort-de-France.


Ketika memerintah, Josephine cuba mencipta keindahan tropika Martinique di kediaman baharunya di Paris, Malmaison yang terkenal dengan kehijauan taman-tamannya. Idea itu juga berasal dari martinique.

Pengunjung ke Martinique boleh merasai pengalaman yang sama tatkala ke Jardin de Balata yang terletak di kawasan berbukit di Fort-de-France.

Laluan pejalan kaki berturap yang tersedia membawa pengunjung melihat spesies tumbuhan tropika seperti orkid, pokok-pokok berbunga dan bunga Balisier. Mekar dalam tarikan warna merah, bunga sepit ketam spesies heliconia menjadi identiti kepulauan Martinique.

Pengalaman melalui jambatan gantung di taman itu menawarkan pandangan yang lebih menarik di sebalik juntaian pepohon tropika.

Jauh di utara berhampiran Caribbean Martinique, terdapat pantai pasir hitam di sekitar bandar kecil Saint-Pierre. Bandar itu dibina di bawah runtuhan gunung berapi yang meletus pada tahun 1902.

Terdapat bahagian pantai di pulau itu yang mengadap ke Laut Atlantik yang digelar 'tempat mandi Josephine'. Air laut cetek berwarna biru kehijauan itu dipercayai menjadi tempat permaisuri itu bermandi-manda ketika zaman mudanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Api simbol perjuangan

Posted:

Api simbol perjuangan

Api simbol perjuangan

Penghayatan semangat kepahlawanan dan erti kemerdekaan Indonesia diabadikan di Tugu Monas, Jakarta.


SIRI peristiwa bersejarah diabadikan dalam bentuk ukiran diorama di tapak Tugu Monas, Jakarta.


BAGI rakyat Indonesia dan warga Jakarta khususnya, kelibat monumen yang seakan-akan menongkat langit ibu negaranya itu bukanlah sesuatu yang asing.

Terletak di tengah-tengah kepesatan bangunan pencakar langit di sekelilingnya, Monumen Nasional (Monas) atau lebih dikenali sebagai Tugu Monas merupakan antara tarikan utama tatkala berkunjung ke bandar raya yang dihuni lebih 10 juta penduduk itu.

Terletak di daerah Gambir, Jakarta Pusat, monumen setinggi 132 meter itu dibina di kawasan seluas 80 hektar bertujuan memperingati semangat kepahlawanan dan perjuangan bangsa Indonesia semasa Revolusi Kemerdekaan 1945.

Pembinaannya dimulakan pada tahun 1955, dengan tanggungjawab itu diberikan kepada arkitek R.M. Soedarsono dan Frederich Silaban dan dibantu oleh konsultan, Ir. Rooseno.

Kesuburan

Mengambil konsep lingga (alu atau penumbuk beras) dan yoni (lesung), ia merupakan cerminan kesuburan berdasarkan konsep Hindu. Konsep itu juga melambangkan simbol kesuburan muka bumi dan kemakmuran bangsa Indonesia.


SUASANA dalam Dewan Kemerdekaan.


Sejurus siap dibina pada 12 Julai 1975, ia seterusnya dirasmikan dan dibuka kepada orang awam. Tarikan utama terletak di bahagian atasnya yang dilengkapi sebuah pelantar dengan keluasan 55 meter persegi. Ruang itu dapat menampung kira-kira 50 pengunjung pada satu masa.

Dari pelantar itu, pengunjung berpeluang melihat seluruh penjuru kota Jakarta dengan lebih dekat - kepelbagaian bentuk muka bumi seperti Gunung Salak di Jawa Barat atau Laut Jawa dan Pulau Seribu.

Di puncak tugu tersebut terdapat simbol api yang dilapisi lembaran emas. Ia melambangkan semangat perjuangan rakyat Indonesia yang tidak pernah padam dalam meraih status kemerdekaan.

Proklamasi

Sementara itu, di bahagian bawah tugu pula menempatkan ruang pameran yang dikenali sebagai Dewan Kemerdekaan. Mampu memuatkan lebih 500 pengunjung, ruang itu boleh diakses melalui pintu masuk di bahagian utara dan selatan. Ia memaparkan simbol-simbol kemerdekaan Indonesia termasuk naskhah asal Proklamasi Kemerdekaan, senjata tradisional dan peta kepulauan republik itu.

Pada dinding sebelah selatan terdapat sebuah patung besar Garuda Pancasila bersalut gangsa dengan emas, yang menjadi lambang negara. Jika melangkah ke sebelah timur pula, pengunjung berpeluang melihat teks pengisytiharan kemerdekaan dalam tulisan gangsa dan menghayati makna bendera kebangsaan Indonesia, Sang Saka Merah.


PANORAMA sekitar Jakarta dapat disaksikan dari pelantar tinjau di bahagian atas tugu.


Pelbagai diorama yang menghiasi ruang itu membolehkan pengunjung melihat pelbagai sejarah silam dan kebudayaan Indonesia dengan lebih dekat.

Pengunjung juga pasti terpesona melihat kolam air pancut dan patung Pangeran Diponegoro yang sedang menunggang kuda di permukaan kolam itu.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved