Isnin, 21 November 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Sedia bimbing latihan fisio

Posted:

Sedia bimbing latihan fisio

Sedia bimbing latihan fisio

Oleh NIZHA PERIASWAMY

AMALAN kecergasan dengan meluangkan masa bersenam di pusat-pusat gim sudah menjadi sebahagian daripada rutin mingguan sesetengah lelaki urban.

Bagi mereka yang adakalanya kerap ke pusat tersebut, kesihatan dapat dicapai dengan latihan kardiovaskular dan mengangkat beban. Antara motivasinya adalah untuk mendapatkan bentuk fizikal yang diidamkan.

Trend itu dapat dilihat menerusi pembukaan dan pertumbuhan pusat-pusat gim yang semakin pesat, seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Lazimnya, operasi gim menyasarkan lokasi bandar-bandar membangun, kawasan perumahan elit dan sederhana serta di lokasi-lokasi terpilih yang menepati permintaan pasaran.

Kelab-kelab sosial juga tidak ketinggalan dalam menyediakan ruang khas kepada ahli kelab untuk turut menggunakan fasiliti gim. Ia seolah-olah sudah menjadi satu kemestian untuk kelab-kelab sosial kerana mereka mahu menyediakan pakej lengkap.

Mengambil kira kepentingan yang sama, kelab sosial K-Klub yang bertempat di Taman Melawati, Kuala Lumpur, turut menyediakan ruang yang sama kepada para pelanggan ahli mahupun yang bukan ahli.

"Kami datang sini untuk bersenam. Ia sebahagian daripada rutin mingguan kami. Tidak kiralah berapa hari seminggu, tetapi kami akan cuba membuat latihan di sini hampir setiap hari.

"Kami berasa selesa di sini kerana sebagai ahli, ia umpama satu lagi pakej lengkap," demikian kata adik-beradik yang sibuk bersenam di K Body Fitness, Arun Chandrakumar, 21, dan Arjun Chandrakumar, 18.

"Kami melakukan senaman sendiri tanpa pelatih peribadi. Kami juga boleh memilih masa mengikut kesesuaian masing-masing," ujar Arun yang kemudian memilih untuk menumpu pada sesi senam dan latihan.

Platform terbaik


HALIM, pelatih bina badan yang komited untuk memberikan latihan mengikut keperluan pelanggan.


Penyelia K Body Fitness, Asrul Rizal, 33, yang berkecimpung dalam industri pusat gim sejak tujuh tahun lalu mengakui mahu menyediakan platform latihan senaman yang terbaik kepada pelanggan dan ahli K-Klub.

Tambahnya, dengan bantuan pelatih peribadi dan pengurus K Body Fitness, Halim Beduwali, 30, dia yakin ia memberi nilai tambah.

Halim bukan sekadar pelatih peribadi biasa, kerana dia sendiri merupakan pemenang gelaran Mr. Kuala Lumpur/Selangor dan bekas Mr. Malaysia yang berpengalaman luas dalam bidang kecergasan dan bina badan.

"Saya mahu memastikan pelanggan di sini bukan sahaja ditawarkan dengan perkhidmatan terbaik malah menjadikan kami sebagai model yang terbaik buat mereka," ujar Halim.

Menurut Asrul, pusat gim itu turut dikendalikan oleh rakan niaganya, Ravichandran Damalingam, 35, yang ketika itu sibuk memantau operasi sebuah lagi pusat gim milik mereka di Kota Kemuning, Shah Alam.

Antara kelebihan di pusat K Body Fitness adalah panduan dan bimbingan yang ditawarkan oleh pelatih dari segi latihan mengurangkan berat badan, membina otot, mengekalkan kecergasan tubuh dan mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia gim.

Bimbingan khusus


ARJUN (kiri) sedang mendapatkan nasihat Halim mengenai kelajuan mesindan stamina mereka.


Misalnya, bagi mereka yang mengambil latihan untuk mengurangkan berat badan, Asrul memberitahu, pihaknya akan menyarankan cara pemakanan yang sihat dan diikuti senaman tertentu yang boleh membantu mereka mengurangkan berat.

"Tentu sekali kami bukan doktor yang boleh memberikan pelan diet yang tepat tetapi bimbingan yang kami sampaikan berkonsep umum. Dengan pengalaman kukuh, kami mampu menyediakan bimbingan yang berhasil," katanya yakin.

Bagi membina otot dan bina badan pula, Halim, adalah orangnya.

"Saya sedia berkongsi tip-tip dan rahsia bina badan. Selain itu cadangan pengambilan makanan termasuk suplemen dan senaman yang konsisten juga akan diberikan," katanya.

Walaupun K Body Fitness menjadi tempat ideal untuk para pengunjung gim mengurangkan berat badan dan membina otot, Asrul mengakui pusat gim mereka memiliki satu lagi kelebihan.

"Kami menyediakan latihan fisio yang dikhususkan kepada pelanggan dengan sakit tertentu. Lazimnya ia berkaitan sakit belakang dan artritis. Kami boleh membantu untuk memberikan senaman ringan berbentuk fisio yang tidak membebankan dalam masa yang sama boleh membantu mereka bergerak fleksibel," terangnya.

Dalam pada itu, mereka juga menjamin akan sentiasa peka dan sedia memberikan bimbingan yang sewajarnya jika berlaku apa-apa kecederaan ringan sewaktu sesi senaman.

Usia muda

Saat ditanya mengenai usia yang terbaik untuk memulakan latihan senaman di pusat gim, Asrul memberitahu bahawa usia bukan halangan, lebih-lebih lagi dengan masalah obesiti yang kian meruncing dalam kalangan kanak-kanak.


SESEORANG digalakkan melakukan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.


"Apabila seseorang remaja itu sudah bersedia, mereka boleh mula 'diperkenalkan' kepada pusat kecergasan sekitar usia 14 tahun. Saya percaya pelatih seperti kami tahu kaedah untuk melatih dan menawarkan jenis latihan yang betul. Ia bukan sekadar untuk masalah obesiti tetapi juga bagi mengelakkan masalah kesihatan kelak," tambah Asrul.

Walaupun mempunyai peralatan yang terhad, bagi Asrul dan Halim, pusat K Body Fitness tetap menawarkan latihan senaman yang menyeluruh. Setiap satu peralatan mampu menawarkan pelbagai jenis senaman.

"Kami juga sedia mengajar mereka untuk membuat pelbagai jenis dan langkah senaman yang berbeza menggunakan peralatan di sini.

"Khususnya bagi mereka yang memilih untuk membuat senaman sasaran, mereka tidak memerlukan peralatan yang sofistikated. Di K Body Fitness, segalanya adalah mengenai pilihan pengguna dan bimbingan kami," ujar mereka.

Bercakap mengenai kekerapan menghadiri gim, Asrul berkata amnya seseorang itu digalakkan untuk melakukan senaman tiga kali seminggu selama 45 minit hingga satu jam pada setiap sesi kunjungan. Walaupun ia satu standard umum, Asrul berkata ia mampu membuahkan hasil jika dituruti secara konsisten.

"Kami di sini membuka pusat gim setiap hari kerana mahu menawarkan jangka masa latihan yang fleksibel. Kami juga mempelawa pengguna menggunakan gim ini pada bila-bila masa sehingga pukul 10 malam," katanya Asrul lagi.

Full content generated by Get Full RSS.

Berhibur ikut landasan agama

Posted:

Berhibur ikut landasan agama

Berhibur ikut landasan agama



APABILA Karnival Buat Elok Saja Tau (BEST) diumumkan, khalayak berpendapat, ia sesuatu yang unik. Tidak kurang pula yang beranggapan, penganjuran program sebegini tepat pada waktunya lantaran masalah sosial dalam kalangan remaja semakin sukar ditangani.

Karnival yang dilangsungkan pada 28 hingga 30 Oktober lalu antara lain bermatlamat untuk mempraktikkan dan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai garis panduan untuk berhibur mengikut syariat Islam seperti yang diperkenalkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kira-kira enam tahun lalu.

Antara garis panduan hiburan yang dilaksanakan sepanjang karnival yang dijalankan di Laman 1Malaysia, Presint 2, Putrajaya lalu adalah penyanyi perlu menyanyikan lagu yang berteraskan keagamaan selain para penonton diasingkan antara lelaki dan perempuan.

Di samping itu, setiap aktiviti diselitkan dengan tazkirah agama yang membina.


AKTIVITI berbentuk sukan turut menghiasi dan memeriahkan Karnival Best.


Memetik kenyataan Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Saimah Mokhtar: "Masyarakat perlu tahu bahawa tidak salah berhibur, tetapi biarlah ia dilakukan dengan cara yang tidak bercanggah dengan hukum agama."

Karnival yang julung-julung kalinya diadakan mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis AIDS Malaysia.

Selain Pertandingan Juara Nasyid BEST, Pertandingan Battle Of The Band, Konsert Artis Tempatan, karnival itu turut memuatkan acara-acara seperti senamrobik, pertandingan mewarna dan Pertandingan Spell-It-Right yang mengetengahkan tulisan jawi dalam mengeja perkataan yang diberikan.

Acara lain yang turut diadakan ialah Forum Perdana Hal Ehwal Islam dan aktiviti pameran serta jualan melalui gerai-gerai yang disediakan di tapak karnival.

Penanda aras


ANDA perlu berhati-hati kerana tidak semua ubat-ubatan yang terdapat di pasaran menepati standard halal seperti yang digariskan oleh Jakim. - Gambar hiasan


Pertandingan Battle Of The Band yang disertai lapan kumpulan dalam Karnival BEST telah dijadikan sebagai penanda aras bagi pertandingan yang serupa pada masa hadapan.

Ia berikutan syarat pertandingan yang digunakan tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Battle Of The Band mewajibkan para peserta mengguna pakai lirik yang berunsurkan ketuhanan dengan harapan mengekang remaja daripada terjebak dengan gejala negatif.

"Garis panduan itu tidak bermasalah untuk diikuti," kata Pegawai Perhubungan Korporat Nasyeed Edutainment Sdn. Bhd., Muhamad Razin Che Mud.

Dalam pada itu, Karnival BEST tersebut turut menjadi platform kepada usahawan-usahawan untuk memperkenalkan produk masing-masing.

Antaranya ialah NBH Golden Sdn Bhd (NBH Golden) iaitu syarikat pengedar eksklusif al-Quran digital, al-Quran Mushaf Tajwid.

Pengurusnya, Haizul Fakarudin Mohamed Redzuan berkata, pihaknya membawa 50 unit produk pen digital al-Quran untuk dijual kepada umum.


KANAK-KANAK tidak dipinggirkan apabila beberapa aktiviti permainan uji minda diadakan.


CCM Usaha Kimia (M) Sdn. Bhd. pula membawa sejumlah produk farmaseutikal yang disahkan halal untuk diperkenalkan kepada umum.

Jenama Ana Muslim yang popular menerusi beberapa karakter kartun Islam dalam siri majalah dan merupakan pengeluar pakaian untuk kanak-kanak turut tidak ketinggalan.

"Kami berusaha mempopularkan lagi jenama kami di mata masyarakat," kata Pegawai Pemasarannya, Sasyiella Abd. Rahman.

Melihat reaksi yang memberangsangkan daripada orang ramai termasuk para usahawan, Jakim memutuskan untuk menjadikan Karnival BEST itu sebagai aktiviti tahunan.

Malah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menyarankan supaya karnival itu diperhebatkan lagi bagi membentuk masyarakat berperibadi mulia. - MAZLINA ABDUL MAJID

Full content generated by Get Full RSS.

Reka dapur sendiri Reka dapur sendiri

Posted:

Reka dapur sendiri Reka dapur sendiri

Reka dapur sendiri Reka dapur sendiri


ANTARA lakaran kabinet sebenar dan Ezikit Kubiq.


MEMAHAMI kehendak generasi muda yang mahu menjadi pereka dalaman untuk kediaman ataupun mempamerkan kreativiti dalam rumah sendiri, jenama Kubiq menawarkan peluang itu.

Kubiq menawarkan khidmat memilih dan memasang kabinet dapur dengan aksesori yang lengkap. Namun, tawaran Kubiq agak berbeza, sama ada dari segi pilihan kabinet, harga dan peralatan aksesori.

Apa yang dimaksudkan berbeza dalam istilah Kubiq ialah pemilik boleh memilih sendiri reka bentuk kabinet dapur dan mengatur cara ikut suka selain memilih sendiri semua aksesori tambahan pada harga kos menggunakan Ezikit.

"Ezikit ialah kit yang menawarkan blok-blok kecil umpama kabinet pada skala yang kecil. Selain blok kabinet ia juga menawarkan blok tempat basuh, penyerap asap dapur, tingkap dan lain-lain untuk memudahkan pelanggan bermain dengan Ezikit dan mengatur sendiri pilihan mereka," kata Pengurus Besar Kubiq Sdn. Bhd., Clement Low.


KABINET dapur pintu melamine ini dijual pada harga RM2,250 tanpa aksesori dan peralatan.


Tambahnya, apa yang cuba disampaikan oleh Kubiq ialah mengenai penglibatan pengguna yang membolehkan mereka, memasang dan mengubah suai dapur sekali gus menjanjikan penjimatkan kos berganda.

"Kami yakin, dengan cara ini pelanggan bukan sahaja dapat kepuasan mereka kabinet dapur sendiri tetapi juga penjimatan yang banyak," katanya.

Menyasarkan golongan sederhana dan rendah, rumah pangsa, apartmen, kondo dan rumah teres dengan ruang dapur yang kecil, Kubiq dikatakan mampu menepati kehendak pelanggan sasaran.

Salah satunya ialah demonstrasi memasang kabinet dapur dengan pintu putih berkilat UV, bentuk L bersaiz 7 X 11 kaki pada harga RM4,690. Pengalas atas jenama Dupont Montelli bernilai RM810 menjadikan nilai kabinet sepenuhnya tanpa aksesori hanya RM5,500.

Clement berkata, pelanggan boleh memilih bagaimana untuk membawa dan siapa yang mahu memasangnya. Bagaimanapun, mereka mempunyai senarai yang boleh disyorkan bagi memudahkan pelanggan.


KABINET ini sahaja hanya memakan kos RM5,500 tanpa peralatan dan kasesori.


Konsep membuat sendiri atau DIY amat popular di negara-negara Barat dan semakin diterapkan oleh generasi semasa.

Kubiq yang bernaung di bawah Signatur International Berhad turut membuka ruang kepada usahawan yang berminat membuka kiosk Kubiq.

Dengan pelaburan sekitar RM20,000 hingga RM40,000 seseorang itu boleh memiliki sendiri kios atau bilik pameran Kubiq yang menawarkan pelbagai insentif serta stok.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Kubiq di talian 010-231 8929 atau layari laman info@kubiq.com.my. - NIZHA PERIASWAMY

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved