Isnin, 14 November 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


KitaKita martabat kraf tempatan

Posted:

KitaKita martabat kraf tempatan

KitaKita martabat kraf tempatan

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

SEBENARNYA, sudah lama penulis merisik untuk menemu bual pengusaha Butik Kita Kita. Khabarnya KitaKita merupakan satu-satunya butik moden yang menjunjung seni kraf tempatan negara. Justeru, ia merupakan buah tangan yang menarik untuk ditatap oleh pembaca.

Isnin lalu, hasrat itu disambut baik oleh pemiliknya iaitu Nori Abdullah, 35. Pertemuan yang berlangsung lebih dua jam itu, beliau yang juga anak kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi galak bercerita tentang KitaKita yang dibangunkannya pada Disember tahun lalu.

Kata Nori, cetusan ilham menubuhkan butik yang terletak di Bukit Damansara bukan datang daripada dirinya seorang.

Wanita yang juga isteri kepada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berterus terang memberitahu KitaKita adalah gabungan idea bersama tiga saudaranya yang lain.

Mereka adalah Mona Jamaluddin, 46 dan Hana Jamaluddin, 44 yang juga kakak kepada Khairy, serta Yazwa Yahya@Pam Shahril, 35 (saudara Nori). Ketiga-tiganya turut hadir memperkenalkan Butik KitaKita kepada pihak media.

"KitaKita ditubuhkan atas dasar minat dan kasih yang mendalam terhadap seni dan kraf tangan. Sebenarnya ia bermula daripada hobi sahaja tetapi ia berkembang apabila kita mempunyai hubungan baik dengan penggiat kraf tempatan," kata Nori.

Penyambung legasi ibu


HANA (kiri) dan Pam menunjukkan sebuah produk kraf unik yang hanya boleh didapati secara eksklusif di Butik KitaKita.


Ibu kepada dua cahaya mata iaitu Jibreil Ali Jamaludin Abu Bakar, 4 dan Timor Abdullah, 3, mengakui, dia mengikut jejak langkah ibunya, Allahyarham Tun Endon Mahmood yang sememangnya terkenal dengan usaha dan begitu komited menjadikan batik sebagai ikon kebangsaan.

KitaKita ujar Nori, adalah salah satu pendekatan untuknya menyambung legasi dan warisan ibu kesayangan.

"Arwah ibu merupakan sumber inspirasi saya. Saya masih ingat, semasa kecil arwah sentiasa mengingatkan kami untuk menghargai kecantikan produk tempatan dan bukan hanya meletakkan nilai yang tinggi pada bara ngan import," katanya bersungguh.

Bagi Mona, Hana dan Yazwa pula mereka senada dengan berkata: "Kami berharap butik ini dapat meningkatkan kesedaran terhadap kreativiti dan kehalusan seni kerja tempatan, kami juga mahu orang ramai mempertimbangkan untuk membeli hadiah atau cenderamata, barangan kraf tangan akan menjadi pilihan utama mereka."

Pada petang itu, Nori dilihat bersemangat menceritakan tentang butiknya yang memartabatkan kraftangan buatan tempatan yang merupakan lambang tradisi kebanggaan negara itu.

"Penubuhan KitaKita bertu juan menyediakan ruang baharu kepada pengusaha-pengusaha selain menyimpan harapan dalam mengubah pan dangan umum terhadap kraf tradisi .

"Dalam erti kata lain, KitaKita menyediakan landasan yang lebih kontemporari kepada pengusaha kraf untuk menjual hasil kerja tangan mereka ke pasaran yang lebih luas. Kami bertekad untuk membantu tukang kraf dan penggiat seni," katanya panjang lebar.

Mona pula mengakui, KitaKita yang merupakan sebuah entiti perniagaan berasaskan sosial bukanlah mengejar keuntungan semata-mata.

Butik ini secara keseluruhannya memperuntukkan 10 peratus daripada keuntungan yang diperoleh disalurkan kepada artisan-artisan tempatan, tukang-tukang kraf dan pengeluar kraf yang berskala kecil.

Kraf unik


DEKORASI dalaman butik diminimumkan demi untuk menonjolkan kraf-kraf yang dibawa dari serata negeri.


Empat wanita yang juga usahawan baharu di negara ini, tidak semberono memilih produk. Kata mereka, produk yang dibawa masuk dipilih menepati keperluan pelanggan dan semestinya citarasanya lebih terkini.

Semasa berlegar-legar di Butik KitaKita yang didominasi dengan rona putih bersih, semua produk dibalut dengan penuh elegan dan dipersembahkan dengan stail lebih anggun.

Kata Nori, setakat ini terdapat lebih 40 item di sana. Antara jenama yang kelihatan ialah seperti Royal Pahang Tenun, Royal Selangor, Royal Terengganu Songket, Touch Of Clay, Khalid Batik, Galeri Seri Endon, Roshfin, The Nori Kebaya Range dan banyak lagi.

Harga produk serendah RM4 hingga RM6,000. Namun, barangan yang berharga RM100 hingga RM200 adalah yang paling banyak boleh didapati.

Antara yang mencuri perhatian lensa jurufoto, Rashid Mahfof ialah kraf tangan popular Sarawak, pua kumbu.

Pua kumbu merupakan kain kapas berpola pelbagai warna yang ditenun halus oleh wanita suku kaum Dayak. Ia digunakan dalam upacara dan peristiwa penting seperti kelahiran anak atau barangan perhiasan rumah.

Selain itu, barangan tembikar Nori Kebaya juga unik dan perlu dimiliki setiap pelanggan yang mengunjungi Butik KitaKita.

Ia berupa tembikar yang dilukis rekaan kebaya pelbagai warna dan sesuai untuk dijadikan hadiah atau dihias di rak atau di meja kediaman.

Menariknya lagi di butik itu, setiap produk akan dikepilkan satu kad kecil yang menerangkan asal-usul produk yang mempunyai cerita tersendiri.

Luar negara


SENI lukisan turut mengambil tempat di Butik KitaKita yang mempamerkan hasil kreatif seni tempatan.


Ditanya tentang respons yang diterima setelah hampir setahun beroperasi, Nori memberitahu, sambutannya amat menggalakkan.

"Baru-baru ini ada seorang pelanggan kami yang mahukan elemen tradisional pada naskhah al-Quran. Jadi setelah kami berbincang, lahirlah idea menghasilkan sarung songket untuk al-Quran itu," katanya.

Butik KitaKita berpotensi untuk berkembang di negara ini malah, untuk melewati pasaran antarabangsa juga menampakkan sisi cerah.

Manakan tidak, produk daripada butik itu pernah menjengah kota London dan Jeddah.

Mengakhiri bicara, Nori sekali lagi mengalu-alukan kerjasama dengan semua pengusaha kraf di negara ini agar bersama-sama dapat memenuhi permintaan masyarakat termasuk pelancong luar negara.

"Sesungguhnya, kami menyokong kuat hasil kerja pembuat kraf kecil-kecilan, sama ada dari kawasan desa mahu pun yang bekerja dari rumah di serata negara. Anda adalah penyumbang penting kepada kepelbagaian dan keindahan khazanah kraf tangan Malaysia," ujar Nori.

Full content generated by Get Full RSS.

Air RO YES 1968 ke pasaran luar negara

Posted:

Air RO YES 1968 ke pasaran luar negara

Air RO YES 1968 ke pasaran luar negara

Oleh NIZHA PERIASWAMY


SEBAHAGIAN daripada kakitangan syarikat Amshore yang menyumbang kepada kejayaan produk air RO 1968.


MENGILANG dan pengeluar ais osmosis berbalik (RO), Amshore yang terletak di Batu Pahat, Johor cukup istimewa dalam kalangan pelanggannya.

Kilang seluas 3,716 meter persegi itu bukan sekadar sebuah kilang yang memproses air RO. Sebaliknya, kilang yang mendapat kepercayaan daripada beberapa buah negara Asia seperti Singapura dan Thailand serta Asia Pasifik seperti Australia itu cukup menjaga kualiti dan standard produk yang dikeluarkannya.

"Bukan mudah untuk sesebuah syarikat pembuatan makanan dan minuman untuk memasuki pasaran luar khususnya Singapura kerana mereka meletakkan standard yang sangat tinggi. Tetapi kami bangga apabila dapat memanipulasi sebahagian pasaran air minuman botol RO ke luar negara.

"Ia membuktikan kemampuan kami menghasilkan produk berkualiti menepati standard antarabangsa," kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Sebastian Chang. Namun, Singapura bukan satu-satunya pasaran antarabangsa Amshore.

Memandangkan lokasi Amshore di Batu Pahat, Johor maka pengedar di Singapura berpeluang menyaksikan sendiri proses pembuatan air RO Amshore.

Selain pasaran Singapura, air RO Amshore turut menembusi pasaran di Thailand, Australia dan ke Jepun dalam masa terdekat. Bagaimanapun Singapura merupakan pasaran terbesar air RO Amshore.

"Kami hanya menggunakan trak-trak dan pengangkutan darat untuk memasarkan air dan ia lebih efisien untuk pengedaran di Singapura, Malaysia dan Thailand," katanya.

Menurut Sebastian, Amshore bukan saja pengeluar air RO, sebaliknya ia melibatkan setiap peringkat pemprosesan air tersebut. Ini termasuklah dari segi mendapatkan sumber air, proses pembuatan botol, penapisan air dan pembungkusan.

12 kali tapisan


PEKERJA memeriksa kualiti botol air sebelum air dimasukkan ke dalam botol tersebut.


Lazimnya, di kilang-kilang lain, proses penapisan air RO hanya melibatkan empat kali peringkat tapisan, sebaliknya di Amshore air ROnya ditapis tiga kali ganda iaitu 12 kali.

"Kami merupakan syarikat air yang pertama melakukan penapisan sebanyak itu. Selepas itu ia akan dirawat, diperiksa kandungannya sebelum dan diisi ke dalam botol," ujar Sebastian bahawa mereka memperoleh bekalan air paip Syarikat Air Johor.

Amshore juga turut membekalkan tenaga kerja profesional iaitu seorang ahli kimia bagi merekod dan menyimpan setiap siri pengeluaran air botol. Ahli kimia terbabit akan memilih sebotol air secara rawak daripada setiap siri nombor. Ia akan diperiksa untuk mengesan sebarang kandungan yang boleh mencemari air tersebut.

"Kami juga akan menyimpan air-air ini sehingga tamat tempoh. Ia akan dirujuk semula jika kami menerima sebarang aduan," katanya.

Bagi memastikan kualiti dan kebersihan air terbabit, Sebastian berkata, syarikat itu juga membuat sendiri botol dan penutupnya. Sambil mengambil beberapa biji penutup, Sebastian memberitahu, penutup yang sudah disentuh akan dihantar ke tong kitar semula bagi mengekalkan sanitasi.

Di kilang tersebut, setiap 32 penutup dihasilkan dalam masa 30 saat.

Dari lokasi pembuatan penutup botol, penulis dibawa ke sebuah lokasi yang menempatkan botol plastik yang berbentuk tabung uji. "Botol kecil dan besar yang berupa tabung uji ini akan diberi tekanan haba untuk membentuk botol air yang bersaiz 500ml atau 1,500 ml," jelas Sebastian.

Kepelbagaian bentuk juga boleh dibuat kerana pihak Amshore turut membekalkan botol airnya kepada label-label lain mengikut bentuk dan warna penutup yang berbeza.

Selepas proses tekanan haba, botol-botol akan berada dalam satu barisan berlitar sementara seorang kakitangan akan memeriksanya. Ia bertujuan mengelak air RO dimasukkan ke dalam botol yang rosak.


AIR RO yang sudah diproses akan disimpan sebelum dieksport.


Daripada proses sumber air disedut ke dalam paip penapisan hingga ia dimasukkan dalam botol, semuanya dilakukan secara tertutup dalam saluran khusus. Hanya selepas di masukkan dalam botol, barulah air tersebut dapat dilihat.

Namun, ini tidak bermakna proses pembuatan air itu sudah sempurna. Selepas air dimasukkan dalam botol mengikut saiz, ia diperiksa semula jika berlaku sebarang kesilapan. Botol-botol yang kemek, calar atau mempunyai masalah pelabelan akan ditarik semula.

Selepas semua prosedur itu selesai, sebuah mesin memasukkan botol-botol ke dalam kotak dengan kiraan 12 botol 1,500ml bagi setiap kotak. Kotak-kotak itu kemudian disusun sebanyak 48 kotak, dibungkus menggunakan plastik dan sedia diedar.

"Ia bukan satu kerja yang mudah seperti yang difikirkan ramai orang, ia bukan mengenai mengambil air dari paip dan dibotolkan. Ia satu proses yang panjang dan membabitkan pelbagai mesin serta tenaga kerja," kata Pengarah Eksekutif Bio Osmo Berhad, syarikat induk Amshore, Jimmy Yang.

Jimmy percaya setiap perniagaan ada cabaran tetapi demi memastikan kualiti produk khususnya produk berasas makanan dan minuman, pihaknya tidak akan berkompromi. Apatah lagi apabila Amshore memilih untuk terus berkembang dan mendominasi pasaran air botol RO serta minuman lain, kualiti dijadikan penanda arasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

12 menu baharu CPK

Posted:

12 menu baharu CPK

12 menu baharu CPK

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


WARM APPLE Pie Pizza yang harus dipesan jika anda bertandang ke restoran ini.


TIDAK keterlaluan untuk membuat rumusan bahawa restoran California Pizza Kitchen (CPK) merupakan lokasi terbaik untuk menikmati sajian piza dan pasta.

Bukan sahaja kerana kelazatannya tetapi pembaharuan demi pembaharuan pada menu yang dilakukan berjaya menarik minat penggemarnya bukan sahaja di negara ini malah, seantero dunia.

CPK sebenarnya mula bertapak di Beverly Hills, Amerika Syarikat (AS) sejak tahun 1985. Sehingga kini, rangkaian restoran makanan segera itu sudah mempunyai lebih 240 cawangan. Antaranya di Singapura, Jakarta dan Hong Kong.

Di Malaysia, lokasi CPK yang sebelum ini di Suria KLCC, berpindah ke kompleks beli-belah baharu di Jalan Bukit Bintang, Fahrenheit88.

Baru-baru ini, CPK mengundang pihak media untuk merasai 12 jenis menu termasuk inovasi piza, salad dan pencuci mulut baharu yang dihasilkan oleh tukang masak mereka yang terlatih.

Menu-menu ini kata Pengurus Restoran CPK di Fahrenheit88, Annie Lim, bukan sahaja menyihatkan tetapi sangat sesuai kepada mereka yang menjaga pemakanan.

Memahami selera pelanggan yang berbeza-beza, CPK kali ini menawarkan piza yang berunsurkan ayam sepenuhnya, makanan laut serta piza yang banyak disalut dengan sayur-sayuran segar.

Apa kata anda mencuba The Hawaiian BBQ Chicken Pizza yang merupakan hidangan signatur CPK yang telah direvolusi ramuan dan rasanya.

Tidak terlalu pedas, piza jenis itu mengandungi hirisan nanas dan bawang merah, ayam dan keju mozzarella yang pasti membangkitkan selera.

Seasons Pizza berintikan tomato yang diimport khas dari Itali, cendawan segar, keju mozzarella dan parmesan serta lain-lain ramuan juga tidak mengecewakan. Piza itu berharga RM40 dan boleh dinikmati seramai empat orang.


OLIVE OIL and Garlic Spaghetti.


Salad dan sup

Kepada penggemar salad pula, CPK menawarkan Roasted Vegetable Salad yang berharga antara RM27 hingga RM30.

Ia kaya dengan pelbagai bahan antaranya kepingan dada ayam yang dipanggang, lada benggala, asparagus, terung dan banyak lagi.

Namun, sebelum anda menjamu hidangan berat, apa kata anda memesan sup cendawan liar terlebih dulu.

Rasa sup yang menggabungkan tiga jenis cendawan iaitu portobello, shiitake dan cendawan putih yang dikisar bersama krim dan bawang putih sangat mengujakan.

Dalam limpahan menu yang dihidangkan, spageti yang dinamakan Olive Oil & Garlic Spaghetti paling menambat rasa. Jika tidak mahu dicampur dengan udang, anda boleh memesan kepingan ayam sahaja.

Sudahkan hidangan makan tengah hari atau malam anda di CPK dengan Warm Apple Pie Pizza. Pencuci mulut itu mengandungi epal hijau dibakar bersama gula merah dan mentega. Paling menarik di atasnya diletakkan ais krim vanila.

Untuk minuman, Kosmo! mencadangkan pelanggan mencuba Mango Strawberry Coloda, Strawberry Banana dan Electric Lemonade.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved