Jumaat, 28 Oktober 2011

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Norsiah mula tugas 6 pagi

Posted:

Norsiah mula tugas 6 pagi

Norsiah mula tugas 6 pagi

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

PARA penumpang mengakui berasa lebih selamat menaiki bas yang dipandu oleh wanita.


SEBAIK meletakkan motosikal di dalam kawasan depoh Sentul, Norsiah Salim, 46, pantas membuka topi keledar yang dipakai. Rambut hitamnya yang panjang mengurai dibiarkan lepas bebas. Sesekali jari-jemarinya mengelus helaian rambut yang terdapat di muka.

Lengkap memakai persalinan kemeja rona biru lembut yang dipadankan dengan seluar hitam, wanita itu berjalan pantas untuk mengemas kini alat perakam waktu atau punch card bagi tugasan pada hari tersebut.

Langkahnya terus diatur menuju ke sebuah bas mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) yang bernombor plat WVB 4123. Enjin kenderaan tersebut mula dihidupkan. Deruman kasar bergema memenuhi ruang di kawasan sekitarnya.

Sementara menunggu enjin bas panas, wanita berkulit cerah itu bertindak memeriksa kebersihan bas. Dari depan hingga ke bahagian belakang, dia teliti melakukan tugas berkenaan.

Selepas berpuas hati dengan keadaan dalam bas itu, barulah dia kembali ke posisi di bahagian tempat duduk pemandu dan membawa bas itu ke ruang mengisi minyak yang terdapat di dalam depoh tersebut.

Sejurus minyak memenuhi tangki bas, Norsiah mula memandu bas itu keluar dari depoh RapidKL yang terletak di Jalan Sentul Sehaluan, Sentul Pasar, Kuala Lumpur.

Gaya pemanduannya kelihatan bersahaja dan sesekali dia mencuri pandang ke arah cermin belakang bagi memastikan keadaan lalu lintas dari arah berkenaan.

Kerenah penumpang

Hari itu seperti biasa bas yang dipandu akan dibawa melalui Jalan Pekeliling ke KLCC dan Jalan Bukit Bintang. Sebaik sampai ke destinasi laluan yang dituju, dia berhenti untuk mengambil beberapa penumpang.

"Selamat pagi kak, cantik hari ni," tegur seorang penumpang lelaki yang kemudian dibalas Norsiah dengan senyuman tanpa sebarang jawapan.

Itu antara situasi yang sering dihadapi Norsiah dalam melayan pelbagai kerenah penumpang yang menaiki bas dipandunya. Malah, lebih teruk ada penumpang lelaki termasuk warga asing cuba mengurat dan meminta nombor telefonnya untuk dihubungi.

Namun, sebagai pemandu bas wanita yang berpengalaman selama dua dekad, dia menganggap gurauan itu sebagai 'makanan' hariannya di samping berpegang pada prinsip menjaga disiplin diri sewaktu melaksanakan tugas.


SEBAGAI pemandu bas wanita, Norsiah sentiasa memandu dengan cermat dan berhati-hati bagi memastikan keselamatan penumpang lebih terjamin.


"Usikan sedemikian dah biasa sangat saya dengar. Tapi, semua itu saya tak peduli kerana niat saya hanya mahu mencari rezeki untuk menyara keluarga," demikian ungkapan telus yang lahir di bibir Norsiah yang mula membawa bas sejak usia 26 tahun.

Sebelum membawa bas Rapid KL, dia pernah ditugaskan membawa bas mini yang begitu popular di ibu kota suatu ketika dahulu diikuti bas Intrakota. Malah, jika dahulu gaji yang diterima sekitar RM1,600 sebulan, tetapi kini Norsiah berpuas hati dengan pendapatan yang mencecah RM3,500 sebulan.

Apatah lagi sejak bergelar ibu tunggal kira-kira enam tahun lalu, Norsiah ternyata mampu berdikari untuk menampung kehidupan selepas ditinggalkan suami bersama empat orang anak.

Wanita itu mengakui dia sebenarnya langsung tidak berminat dengan kerjaya sebagai pemandu bas. Bagaimanapun menyedari tiada kemahiran lain dan tidak berpelajaran tinggi, Norsiah kuatkan hati untuk mencubanya.

"Sebagai wanita sudah tentu kita tidak mahu menceburi kerjaya yang rata-ratanya didominasi oleh golongan lelaki. Sebaliknya, pasti ramai yang suka dengan pekerjaan yang selesa seperti di pejabat berhawa dingin, menghadap komputer dan sebagainya.

"Namun, saya sedar tanpa sebarang kelulusan, impian memiliki kerjaya yang diminati tidak akan tercapai. Justeru, saya kuatkan semangat dan membuang rasa malu yang ada dalam diri untuk menjadi pemandu bas," jelas Norsiah mengimbau detik-detik awal penglibatannya dalam kerjaya tersebut.

Apakah pengalaman yang dirasai ketika memandu bas buat kali pertama? Norsiah mengakui perasaan gementar menguasai fikirannya.



"Memang sewaktu kali pertama memegang stereng bas, jantung saya berdebar-debar dan rasa gemuruh dalam hati. Malah, saya juga bimbang dan tertanya-tanya adakah saya mampu melakukan pekerjaan ini.

"Tetapi apabila memikirkan niat untuk bekerja mencari rezeki yang halal, perasaan takut yang bersarang di dada dibuang jauh-jauh. Sebaliknya saya tanamkan keyakinan dalam diri bahawa saya juga boleh memandu bas dengan baik," tutur Norsiah yang tidak pernah mengalami kemalangan sepanjang membawa kenderaan tersebut.

Dipandang sinis

Berbicara lanjut, anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu memberitahu sewaktu mula-mula bertugas sebagai pemandu bas, ramai sanak saudara yang memandang sinis kepadanya.

Tetapi, semua tanggapan negatif itu tidak dihiraukan kerana bagi Norsiah dia hanya mahu membantu keluarga mencari rezeki yang halal.

"Alhamdulillah, berkat kesabaran saya lama-kelamaan pandangan negatif sanak saudara tersebut lenyap kerana menyedari bahawa wanita juga sebenarnya mempunyai kemahiran tersendiri memandu kenderaan berat itu," ujar wanita itu sambil menghela nafas panjang tanda lega dengan situasi yang dilalui ketika itu.

Menyelami kehidupan Norsiah, tanpa sedar ia mampu menerbitkan rasa kagum di hati apabila melihat ketabahannya dalam melaksanakan tugas.

Seawal pukul 4 pagi, Norsiah sudah bangun untuk bersiap-siap ke tempat kerja. Dia dikehendaki berada di depoh sekitar pukul 5 pagi untuk memulakan tugas membawa bas pertama pada pukul 6 pagi.


MEMANDU kenderaan bersaiz besar seperti bas memerlukan kemahiran yang tinggi untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.


Jika ditugaskan pada sesi pagi, rutin kerjanya akan berakhir pada pukul3 petang. Bagaimanapun, jika khidmat diperlukan dia perlu menyambung tugas memandu bas sehingga pukul

8 malam.

Setiap hari, Norsiah akan berulang-alik mengambil penumpang di laluan yang telah ditetapkan sehingga 14 kali bergantung kepada lalu lintas di kawasan tersebut.

"Kalau jalan sesak, jumlah itu mungkin berkurang. Bayangkan saya pernah duduk sahaja di dalam bas yang hanya dapat bergerak seinci demi seinci selama hampir empat jam.

"Memang lenguh kaki dan badan. Tetapi, demi tugas semua perasaan letih dan penat yang dirasai dibuang jauh. Kesabaran juga perlu ditingkatkan semata-mata untuk menjaga keselamatan penumpang yang berada di dalam bas," tegas Norsiah sambil menyatakan dalam tempoh sebulan, laluan akan diubah sebanyak dua atau tiga kali mengikut tugasan yang diberikan pihak pengurusan.

Full content generated by Get Full RSS.

Ceria si cilik raikan Deepavali

Posted:

Ceria si cilik raikan Deepavali

Ceria si cilik raikan Deepavali

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my


AHLI Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan peribadi seorang pelajar sambil disaksikan oleh Pengurus Besar Kanan Jabatan Kewangan Perodua, Suresh Kumar (kanan).


SUASANA petang di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya baru-baru ini sentiasa sibuk dengan pengunjung yang datang silih berganti. Apatah lagi ketika itu kurang dua minggu menjelang sambutan Deepavali.

Justeru, sudah tentu ramai pengunjung yang terdiri daripada kaum India berpusu-pusu untuk membuat persiapan terakhir dalam meraikan Pesta Cahaya yang disambut saban tahun.

Di sebalik kemeriahan itu, kelihatan sekumpulan kanak-kanak berwajah ceria sedang asyik memilih kelengkapan untuk meraikan hari bahagia. Mereka turut dibantu oleh beberapa petugas jualan dalam memilih barangan yang diinginkan.

Ada yang mengambil kasut dan ada juga yang memilih baju baharu untuk dicuba. Masing-masing kelihatan begitu teruja sambil senyuman tidak lekang di bibir apabila mendapat layanan sedemikian rupa.

Itu yang dialami oleh sekumpulan kanak-kanak kurang bernasib baik yang diraikan Perodua melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena menyambut ketibaan Pesta Cahaya 2011 Rabu lalu.


SEBAHAGIAN kakitangan Perodua yang terlibat dalam program amal Deepavali gembira dapat menunaikan tanggungjawab sosial dalam penuh suasana perpaduan.


Seramai 50 orang kanak-kanak dari dua buah sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Choh dan SJKT Bukit Beruntung menerima sumbangan RM200 seorang untuk membeli kelengkapan Deepavali seperti baju, kasut dan seluar di samping dihadiahkan wang bernilai RM50.

Selepas penat membeli-belah selama dua jam bermula pada pukul empat petang, kumpulan kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Restoran Kenny Rogers di pusat beli-belah tersebut untuk mengisi perut dengan sajian enak yang dihidangkan.

Menurut Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, pihaknya rasa bertanggungjawab untuk berkongsi keseronokan dengan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

"Kami berbesar hati kerana dapat memenuhi keperluan mereka yang kurang berkemampuan dalam setiap perayaan utama seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

"Di samping menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan, Perodua percaya program CSR seumpama ini memberi makna yang besar kepada mereka yang menerimanya," ujar Aminar Rashid.

Tambah beliau, program CSR itu meliputi biasiswa melanjutkan pengajian, latihan teknikal untuk golongan belia, sumbangan dalam bentuk wang tunai dan tenaga kepada badan-badan kebajikan.


KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah kanak-kanak ini kerana berpeluang meraikan Hari Deepavali bersama kakitangan Perodua.


"Kesemua projek komuniti dan sumbangan ini selaras dengan tagline jenama kami Building Cars, People First," jelasnya.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan yang menyampaikan sumbangan peribadi termasuk biskut kepada kanak-kanak tersebut.

Dalam pada itu, selain meraikan 50 kanak-kanak yang kurang bernasib baik, Perodua juga tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan kepada tiga buah sekolah dan tiga rumah kebajikan.

Tiga buah sekolah yang terpilih itu adalah SJKT Changkat Asa, SJKT Ladang Escot dan SJKT Ladang Kerling, manakala rumah kebajikan pula terdiri daripada Divine Life Society Kuala Kubu Baru, Persatuan Penganut Satguru Sri Raghavendra dan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah.

Masing-masing menerima sumbangan bernilai RM3,000 untuk menjayakan program yang akan diatur kelak.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved