Jumaat, 28 Oktober 2011

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Bukan buatan India

Posted:

Bukan buatan India

Bukan buatan India

Oleh SHAWKATH AZDE

SEJARAH motosikal Indian ternyata suatu yang cukup menarik untuk dikaji. Riwayat perjalanannya penuh dengan suka duka. Malah ia pernah beberapa kali terkubur dan dihidupkan semula.

Jika dibandingkan dengan motosikal buatan Itali atau Jerman, nama Indian jarang sekali didengar oleh pengguna di Malaysia. Maka, tidak hairanlah jika ada yang beranggapan bahawa motosikal dengan gaya easy rider ini berasal dari negara India.

Sedangkan, Indian ialah motosikal pertama Amerika Syarikat (AS). Usianya sudah mencecah 110 tahun. Dua individu di sebalik kelahiran motosikal itu ialah George Hendee dan Carl Oscar Hedstrom.

Hendee merupakan seorang pelumba dan pengeluar basikal, sementara Hedstrom pula seorang jurutera. Satu perjanjian rakan kongsi dimeterai di antara mereka pada 1901 dengan produk pertama diperkenalkan pada tahun sama. Indian dikeluarkan oleh Hendee Manufacturing Company (Hendee Manufacturing).

Hedstrom bertanggungjawab terhadap semua aspek pengeluaran dan pengembangan perniagaan. Hendee, sebagai presiden dan pengurus besar pula memikul tugas membuka rangkaian pengedaran dan menguruskan pembiayaan.

Kejatuhan Indian


PAKEJ enjim krom sepenuhnya didatangkan bersama varian Chief Classic.


Pengeluaran motosikal Indian mencapai 32,000 unit pada 1913 dan 41,000 unit pada 1916. Dua tahun tersebut juga menyaksikan pengunduran kedua-dua individu itu daripada syarikat. Hedstrom meletak jawatan pada 1913 kerana 'tidak sehaluan' dengan Lembaga Pengarah berhubung isu meningkatkan nilai saham. Tiga tahun kemudian, Hendee pula mengambil langkah sama.

Indian menjadi motosikal ketenteraan apabila menawarkan model buatan tahun 1917 dan 1918 kepada AS sewaktu Perang Dunia Pertama.

Meskipun perniagaan Hendee Manufacturing memuncak sekitar tahun 1920-an, penguasaan kedudukan motosikal nombor satu di AS sudah terlepas ke tangan pesaing utamanya, Harley-Davidson.

Nama Hendee Manufacturing ditukar kepada Indian Motocycle Co. pada 1923. Selepas itu, pemilikan syarikat beberapa kali bertukar tangan sehingga ia diisytihar muflis pada tahun 1998 (tahun sama nama syarikat berubah kepada Indian Motorcycle Company).

Kebangkitan semula

Usaha menghidupkan semula jenama tersebut cuba dilakukan menerusi penggabungan sembilan syarikat termasuk California Motorcycle Company dan IMCOA Licensing America Inc. pada tahun 1998. Ia tidak kekal lama apabila sekali lagi diisytiharkan muflis pada tahun 2003.

Indian Motorcycle Company dihidupkan semula oleh sebuah firma ekuiti berpangkalan di London, England iaitu Stellican Limited pada tahun 2006.


SISTEM brek jenis Brembo diberi kepercayaan untuk memberhentikan jentera ikonik AS.


Pada April 2011, Polaris Industries Inc. (Polaris) mengambil alih Indian Motorcycle. Polaris merupakan syarikat rekaan, kejuruteraan, pengeluar dan pemasar kenderaan off-road seperti kenderaan semua laluan (all-terrain vehicle, ATV), snowmobile dan motosikal Victory.

Lima varian

Baru-baru ini, Kumpulan Naza menerusi anak syarikatnya, Harmony Fabulous Sdn. Bhd. (Harmony Fabulous) mendapat hak pengedaran motosikal Indian untuk pasaran Malaysia dan Singapura.

Buat permulaan, empat model iaitu Chief Blackhawk dan Chief Blackhawk Dark (edisi khas), Chief Vintage, Chief Classic dan Chief Dark Horse diperkenalkan. Harga ditawarkan bermula RM225,000 sehingga RM275,000 (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan caj-caj lain).

Semua varian itu menggunakan kerangka keluli regangan konkrit, enjin Power Plus 105 sejukan udara rod bersesaran 1,721 cc. Enjin besar itu dipadankan dengan kotak transmisi enam kelajuan.


PENGENAAN warna krom pada komponen-komponen motosikal menyerlahkan lagi aspek kemewahannya.


Khidmat sistem brek jenama Brembo digunakan untuk menghentikan jentera itu. Kapasiti tangki bahan apinya pula kira-kira 20.8 liter. Tipikal bagi sebuah motosikal jenis easy rider, meter laju analog dan skrin paparan pelbagai guna diletakkan di atas tangki minyak.

Pengurus Besar Naza Two Wheel Division, Nik Danial Nik Mahmood berkata, pihaknya berhasrat menjual 16 unit peruntukan motosikal Indian yang telah diterima pada tahun ini. Ketika artikel ini ditulis, tempahan empat unit sudah diterima . Pada tahun hadapan, pihaknya akan menerima peruntukan di antara 48 unit sehingga 60 unit motosikal Indian.

"Kami akan membuka sebuah bilik pameran di kawasan Naza Auto Mall di Petaling Jaya, Selangor untuk Indian. Jumlah pelaburan ialah sebanyak RM5 juta," katanya pada majlis pelancaran motosikal itu di Shah Alam, Selangor.

Meskipun Indian dan Harley-Davidson memiliki sejarah persaingan yang lama, beliau optimis bahawa kedua-dua jenama tersebut tidak akan menjejaskan pasaran antara satu sama lain. Ini kerana masing-masing menawarkan kelas serta gaya hidup yang tersendiri buat setiap pemiliknya.

Full content generated by Get Full RSS.

Ford S-Max

Posted:

Ford S-Max

Ford S-Max

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN


BAHAGIAN hadapan S-Max yang kemas dan maskulin.


PANTAS sungguh masa berlalu. Terasa seperti baru minggu lepas kita memasang azam untuk tahun baharu. Pejam celik, helaian kalendar di atas meja sudah tinggal dua helai. Satu untuk bulan November dan satu lagi Disember.

Masa juga membuatkan kita menilai semula segala perubahan yang berlaku di sekeliling. Hampir semua benda sudah berubah. Kalau dulu orang suka minum kopi di kedai kopi Pak Mat, orang sekarang menikmati sarapan di kopitiam-kopitiam yang lengkap dengan sambungan internet, walaupun WiFi itu kadangkala langsung tidak boleh diharap.

Industri pemotoran turut mengalami revolusi yang pesat. Bukan sekadar teknologi, malah reka bentuk dan segmen kenderaan juga semakin canggih. Semua benda hendak disumbatkan ke dalam satu model, semuanya demi memenuhi kehendak bakal pembeli yang semakin kompleks.

Antara segmen yang menerima perubahan drastik ialah van. Kenderaan berkapasiti tiga baris tempat duduk itu dibina untuk membolehkan ramai penumpang diangkut sekali gus.

Ia dilihat cukup sesuai bagi mereka yang berkeluarga besar atau menjalankan perniagaan membawa budak-budak sekolah. Tidak kiralah sama ada berpermit atau sebaliknya.

Bagi anda yang pernah memandu van, banyak karekter utama van yang tidak dapat dilupakan. Antaranya, ia kurang stabil ketika mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi dan tempat duduk yang panas. Sebabnya, enjin van diletakkan di bahagian bawah tempat duduk. Silap-silap terasa seperti berada dalam bilik sauna.

Bagi penumpang pula, paling kasihan ialah mereka yang terpaksa duduk di baris paling belakang. Jangan harap udara sejuk dari corong pendingin hawa boleh sampai ke tempat mereka. Jadi, berpanaslah hingga sampai ke destinasi yang dituju.

Pemanduan seperti sedan

Zaman van sudah hampir pupus sekarang. Sebaliknya kenderaan yang kini dijual lebih untuk tujuan komersial itu sudah diganti oleh kenderaan pelbagai guna atau MPV.

MPV menawarkan kualiti pemanduan seperti sebuah sedan dan tetap boleh membawa sehingga tujuh orang penumpang. Malah, semua orang boleh duduk di dalam kabin dengan lebih selesa

Disebabkan oleh praktikalitinya, MPV menjadi antara segmen yang paling pantas berkembang. Sebab itulah hampir semua pengeluar kenderaan ada menawarkan MPV dalam rangkaian produk mereka.


RUANG tengah papan pemuka yang dihuni oleh unit audio jenama Sony, lubang pendingin hawa dan butang Start/Stop.


Ford tidak terkecuali. Pernah menawarkan van seperti Econovan dan Spectron pada lewat tahun 1990-an, Ford sekali lagi tampil dengan model yang jauh lebih baik dan menarik, Ford S-Max.

S-Max diperkenalkan ke pasaran tempatan bersama model sedan Mondeo pada Jun lalu. Berpaksikan kepada hala tuju rekaan Ford yang dikenali sebagai Kinetic Design, para jurutera Ford berjaya membuatkan S-Max cukup bergaya. Lihat dari mana-mana sudut sekali pun, MPV itu sememangnya menarik perhatian.

Rekaan bahagian hadapannya jelas garang dengan rekaan gril radiator lebar, sepasang lampu LED DRL (Day Running Lights) dan lampu tama yang berbucu tajam. Mahu tampil lebih sporty berbanding MPV lain di pasaran, S-Max turut dipasang dengan 'sirip' pada sisi arca roda hadapannya. Memang bergaya.

Bahagian belakang S-Max menyerlah dengan lampu belakang yang dihuni oleh jaluran LED. Nampak moden dan elegan berbanding MPV yang lain.

Kuasa yang menggiurkan

Walaupun besar, S-Max cuba sedaya upaya meminimumkan titik buta dengan meletakkan cermin yang agak besar pada tiang A. Anda juga tidak perlu bimbang ketika hendak memarkir atau membelok di ruang kecil kerana setiap sudut MPV itu dipasang dengan alat pengesan. Ia akan berbunyi sekiranya kenderaan hampir melanggar halangan di hadapan.

Tagline enjin EcoBoost bersesaran 2.0 liter yang berbunyi "More power, less fuel" memang tidak menipu. Sepanjang pandu uji selama tiga hari, hanya suku minyak dihabiskan. Sedangkan, banyak juga tempat yang sempat saya pergi.



Lebih menarik lagi, kuasa yang ditawarkan oleh unit enjin itu memang menggiurkan. Memandu S-Max sedikit laju memang mengasyikkan. Ditambah pula dengan karekter pemanduannya yang tidak jauh beza seperti sebuah sedan.

Kawalan sterengnya tepat dan responsif. Pengagihan kuasa menerusi kotak gear enam kelajuannya juga lancar. Jarang sekali anda akan berasa MPV itu berat. Keadaan itu membuatkan saya langsung tidak mencuba ciri penukaran gear secara manual yang tersedia.

Mahu berpindah rumah? Ruang kargo S-Max yang luas itu akan sangat membantu. Tempat duduk baris kedua dan ketiganya yang boleh dilipat sepenuhnya membolehkan barang bersaiz besar disumbat tanpa banyak masalah.

Sebenarnya, banyak perkara yang saya suka tentang S-Max. Secara jujurnya juga, tidak apa yang boleh saya rungutkan. Semuanya bagus dan memuaskan. Untuk makluman, saya tidak dibelanja makan oleh Ford kerana menulis perkara-perkara positif mengenai S-Max.

Di pasaran Malaysia, MPV itu bersaing secara langsung dengan Peugeot 5008. Cuma, harga 5008 lebih murah iaitu sekitar RM160,000 seunit. Biarpun begitu, S-Max yang ditawarkankan pada harga RM185,888 seunit (di atas jalan dengan insurans) pasti membuatkan anda tersenyum setiap kali memandunya. Percayalah.

Full content generated by Get Full RSS.

Lexus CT200h Siri F-Sport

Posted:

Lexus CT200h Siri F-Sport

Lexus CT200h Siri F-Sport

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


MODEL ini dibina untuk bersaing dengan varian lebih berkuasa yang dikeluarkan oleh BMW dan Mercedes-Benz.




KIRI: Ruang dalaman Siri F-Sport ini lebih sporty berbanding varian CT200 biasa.




LENCANA yang menjelaskan lagi perbezaannya.


SEBELUM ini, saya pernah berikrar dengan seorang rakan bahawa saya tidak akan membeli kenderaan Toyota moden kecuali Lexus. Walaupun jenama itu asal-usulnya daripada Toyota, namun Lexus difungsikan sebagai kemuncak kesempurnaan Toyota.

Jika rekaan Toyota boleh dikatakan sebagai biasa-biasa sahaja, Lexus pula lebih elegan. Rekaannya bersahaja tetapi tajam dan segak. Istilah Inggeris yang biasa digunakan ialah sharp.

Harus tahu, mereka yang bekerja di Lexus bukan calang-calang orang. Mereka sangat mahir dan teliti dalam bidang masing-masing. Sehinggakan enjin diuji dengan telinga melalui steteskop bagi memeriksa jika ada bunyi yang berbeza daripada kebiasaan.

Mereka yang mahir ini dipanggil sebagai Master Craftsmen atau gambaran lebih jelasnya ialah seperti pengukir kayu di negara kita. Hasil ukiran yang halus datang daripada pengukir mahir serta berpengalaman yang sememangnya boleh membuatkan kita kagum dengan hasil kerja mereka.

Semakin halus ukiran, maka lebih tinggi nilainya. Begitulah juga dengan Lexus. Proses praproduksinya pun sudah cukup meletihkan. Ini sekali gus meletakkan harganya dalam kategori premium, walaupun hakikatnya nadi atau platformnya adalah sama dengan kenderaan Toyota.

Lexus sebenarnya disasarkan untuk pasaran mewah yang sudah sinonim dengan jenama dari Jerman seperti BMW dan Mercedes-Benz. Oleh sebab itu, setiap model BMW dan Mercedes-Benz pasti akan ada pencabar serupa daripada Lexus selaku pesaing dari Asia.

Model CT200h keluaran Lexus boleh dilihat sebagai pencabar BMW 1 Series atau Mercedes B-Class. Saiz CT200h tidaklah besar mana. Malah, ia kelihatan seperti model IS250 yang dipendekkan. Namun, ruang storan belakangnya tidaklah sempit atau menampilkan rekaan yang sekadar cukup makan.

Apa yang paling menarik tentang CT200h di pasaran tempatan ialah harganya yang murah. Lebih tepat lagi, paling murah antara model-model Lexus lain. Dengan harga kira-kira RM173,000 anda boleh memiliki CT200h yang menggunakan sistem hibrid sama seperti Prius. Kereta mewah yang ekonomikal. Oleh kerana memakai jenama Lexus, maka harganya lebih mahal berbanding Prius yang berharga sekitar RM140,000 seunit.

Tidak cukup dengan bertarung secara berdepan dengan variasi Mercedes-Benz dan BMW, Lexus turut mempunyai pesaing bagi model berprestasi kedua-dua jenama itu, misalnya AMG untuk Mercedes.

F-Sport adalah gred sporty bagi kenderaan Lexus. Ia dapat dilihat dengan jelas melalui penggayaan baharu seperti spoiler belakang yang lebih besar, skirt sisi kembang, gril hadapan dan bampar yang aerodinamik.

Pada keempat-empat rodanya, dipasang rim aloi 17 inci dengan warna gelap. Di dalam kabin, apa yang membezakan model F-Sport dengan model biasa ialah sterengnya yang rata pada bahagian bawah, selain pedal dan scuff plates yang diperbuat daripada aluminium.

CT200h F-Sport dilengkapi dengan cruise control, tempat duduk disalut kulit dan boleh dilaras secara automatik, selain sistem pemanas (pada tempat duduk hadapan). Ia turut dipasang dengan cermin sisi dengan electrochromatic dan kamera parkir dengan visual pada cermin pandang belakang.

Jika itu masih tidak memadai, pembeli boleh menambah lagi resipi kemewahan dengan beberapa perkakasan seperti sistem navigasi HDD yang digabungkan dengan kawalan Remote Touch Lexus.

Selain cermin pandang belakang dengan tahap cahaya boleh laras, model mewah itu turut dilengkapi monitor panduan belakang dan pakej sepuluh unit pembesar suara. Alat pengesan parkir hadapan dan belakang serta cermin suria juga ada sebagai opsyen pembelian.

Demi kualiti pengendalian dan pemanduan yang lebih mantap, Lexus telah menala suspensi model itu agar lebih 'berhubung' dengan pemandu. Standard untuk F-Sport ialah teknologi lateral damping. Sementara kadar kekenyalan pegas gegelungnya telah ditukar. Penyerap hentak standard Showa pula telah digantikan dengan set jenama Kayaba yang lebih berorientasikan pemanduan sporty.

Sistem lateral damping yang dilihat unik dalam kelas CT200h berjaya mengurangkan gegaran badan kereta. Ia kemudian menyumbang kepada rasa stereng yang lebih linear, seterusnya menjadikan pemanduan lebih asyik dan selesa untuk semua penumpangnya.

Dengan pelanjutan pengecualian cukai terhadap kenderaan hibrid, tidak mustahil model F-Sport akan dibawa masuk ke dalam pasaran negara. Suatu ketika dulu, dengan cukai yang tinggi memang agak mustahil untuk rakyat merasa teknologi termaju automotif. Tetapi kini, dengan insentif cukai hibrid itu apa yang ditawarkan di pasaran global dapat kita beli.

Biarpun sudah ketinggalan jauh dalam industri kereta massa, Malaysia tetap mempunyai peluang yang luas dalam bidang teknologi hijau. Malah, jika pasaran kenderaan diliberalisasikan dalam masa beberapa tahun akan datang, kenderaan hibrid dijangka kalis penurunan harga kerana faktor harganya yang realistik dengan sedikit cukai.

Di United Kingdom (UK), Lexus CT 200h F-Sport ditawarkan pada harga bermula €27,850 iaitu kira-kira RM137,000. Secara relatifnya, harga model tersebut di UK berada pada paras harga Toyota Prius di sini.

Saya yakin Lexus Malaysia, UMW Toyota dan kerajaan mempunyai kira-kira tersendiri mengapa harga kenderaan hibrid di sini berbeza dengan di UK. Mungkin juga spesifikasinya berbeza dengan pasaran lain.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved