Selasa, 11 Oktober 2011

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Seruan glamor cintai alam sekitar

Posted:

Seruan glamor cintai alam sekitar

Seruan glamor cintai alam sekitar

Oleh ADLAN JAAFAR

AISHAH menggunakan populariti dengan cara positif dalam mempromosi gaya hidup mesra alam kepada orang ramai.


AISHAH SINCLAIR merupakan salah seorang daripada selebriti yang sangat peka kepada alam sekitar. Mula melibatkan diri dalam aktiviti pemuliharaan flora dan fauna seawal usia lapan tahun, ketika itu, dia hanya memahami bahawa aktiviti tersebut adalah saat berharga menghabiskan masa bersama keluarga.

Waktu itu, dia pasti berada bersama ibu bapanya yang juga pengasas Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) dan adik-beradiknya untuk menikmati keindahan alam.

Menurut ibu yang berusia 31 tahun itu, secara semula jadi kanak-kanak sangat suka mendampingi ahli keluarga terutama ibu bapanya dan sangat mudah diasuh serta diterap nilai-nilai positif.

Oleh sebab itu, tidak pelik apabila melihat semangat cintakan alam sekitar begitu menebal dalam diri Aishah terutama ketika dia meniti usia dewasa. Kini, dia dan abangnya, Ashraf Sinclair merupakan antara ahli lembaga pemegang amanah YAWA.

Tanam pokok

Sama seperti ibu bapa lain, Aishah mempunyai matlamat untuk memberikan yang terbaik kepada anaknya, Suraya Ann dari segi pendidikan, kehidupan dan masa hadapan.

"Namun, tanpa kita disedari sebenarnya kita telah memberikan dunia yang tidak pasti keselamatannya dengan cara tidak menjaga alam sekitar," ujarnya ketika ditemui di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr, Ismail, Kuala Lumpur.

Sebagai tanda menyambut kelahiran puteri sulungnya, Aishah telah menanam sebatang pokok bunga melor ditempat uri anaknya ditanam.

Selain itu, dua batang pokok lagi turut ditanam oleh ibunya dan sebatang lagi di sebuah taman yang terletak di Bukit Kiara.

"Walaupun ia kedengaran seperti orang dahulu kala tetapi, cuba bayangkan jika setiap ibu bapa melakukan perkara tersebut apabila ada kelahiran.

"Sudah pasti, pokok-pokok di hutan yang telah ditebang sebagai sumber bumi dapat diganti semula sebagai mengimbangi ekosistem," ujarnya yang turut mengakui bahawa aktiviti teknologi seperti cari gali minyak perlu dilakukan untuk keselesaan.

Diri sendiri

Mendidik melalui perilaku juga adalah salah satu cara menerapkan nilai menjaga alam sekitar. Aishah sendiri sentiasa mengamalkan kehidupan ke arah itu.

Ketika mandi, Aishah pasti menutup pili air jika mahu mencuci rambut atau memberus gigi dan sentiasa memastikan plug barang elektrik dicabut apabila tidak mahu digunakan.

"Standby light pada plug tersebut akan mengambil lima peratus daripada kos penggunaan elektrik sepanjang tahun," katanya berkongsi maklumat.

Mengasingkan sampah kertas dan plastik untuk dikitar semula pula telah menjadi rutin biasa sejak Aishah sejak kecil lagi.

Meningkatkan lagi semangat cintai flora dan fauna, pada akhir bulan Mei lalu, Aishah atau nama sebenarnya, Aishah Jennifer Mohamed Sinclair telah dilantik sebagai duta Earthkeepers Malaysia yang merupakan sebuah khidmat sosial oleh Timberland.

Pada bulan Jun lalu, Aishah menyertai kumpulan sukarelawan Timberland terbang ke padang pasir Horqin, China untuk menanam pokok di sana selain membuat kerja-kerja mencantas dahan pokok.


AISHAH sedang mencantas dahan pokok dalam program di Horqin, China.


Peluang tersebut memberi kesempatan kepada Aishah untuk menyampaikan kesedaran dan mesej kepada orang ramai betapa pentingnya menjaga dunia ini.

Menurutnya, Malaysia merupakan negara yang boleh dikatakan sangat menitikberat alam sekitar. Ia boleh dilihat dengan kewujudan banyak badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkannya.

Pihak kerajaan juga banyak mengeluarkan polisi dan kempen-kempen yang bertujuan menjaga alam sekitar namun, baginya seperti ada yang tidak kena.

Melalui pemerhatian Aishah, masalah sampah sarap amat ketara dan paling menjanggalkan adalah apabila papan tanda amaran dilarang membuang sampah diolok-olok dengan menjadi tempat longgokan sampah.

"Barangkali sikap rakyat Malaysia yang tidak kisah dan sentiasa mengganggap akan ada individu yang membersihkannya.

"Penguatkuasaan juga memainkan peranan penting kerana setiap undang-undang dan polisi yang dibuat akan terlaksana dengan berkesan jika ada ketegasan," ulasnya mengenai tahap kesedaran rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, tegas Aishah, rasa tanggungjawab dalam diri perlu ada dan ia perlu dipupuk dari rumah lagi oleh ibu bapa.

Lampin kain

Sementara itu, seorang lagi selebriti yang terkenal sebagai pencinta alam sekitar, Sazzy Falak turut berusaha mengamalkan gaya hidup mesra alam sekitar.

"Lebih kurang 98 peratus barang-barang yang saya gunakan akan dikitar semula atau bersifat mesra alam," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Baru sahaja dikurnia sepasang anak kembar, Sazzy turut mengaplikasi kitar semula dalam mengurus anak-anaknya.

Jika tiada aktiviti dan sentiasa berada di rumah, menurut wanita berusia 30 tahun itu, dia akan menggunakan lampin jenis kain supaya boleh digunakan semula selepas dibasuh.

Selain itu, dia juga menggalakkan rakan-rakannya menggunakan botol minuman yang diperbuat daripada aluminium kerana ia lebih tahan lama.

"Ketika menjalani sesi penggambaran, saya pastikan tidak mengambil minuman yang disediakan dalam botol air mineral, manakala skrip-skrip yang diterima tidak akan dibuang begitu sahaja.

"Saya akan menggunakan kertas-kertas tersebut pada bahagian yang belum dicetak seperti menulis nota atau cetak pula pada bahagian tersebut," terangnya.

Walaupun hanya menjadi duta Earth Hour pada tahun 2009, Sazzy tetap memastikan dia dan rakan-rakannya yang lain menyambut hari alam sekitar itu dengan menutup suis lampu selama sejam setiap tahun.

Ujarnya, penjimatan hasil daripada kempen Earth Hour itu sangat banyak meskipun dilakukan dalam tempoh yang boleh dikatakan singkat iaitu sejam.

Cukup hanya sekadar sejuta buah rumah tidak menggunakan bekalan tenaga elektrik maka, tenaga yang diperlukan dibekalkan selama sejuta jam sudah dapat dijimatkan.

Full content generated by Get Full RSS.

Periuk kera bertelinga di Taman Negara

Posted:

Periuk kera bertelinga di Taman Negara

Periuk kera bertelinga di Taman Negara


PERIUK kera yang mempunyai bentuk fizikal tambahan seakan-akan telinga ini memiliki sifat boleh bervariasi.


DALAM tempoh dua tahun, Norsiah Bahari, pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia yang berasal dari Melaka berulang-alik kira-kira 14 kali ke Taman Negara Endau Rompin, Pahang.

Atas rasa cinta wanita berusia 37 tahun itu kepada alam sekitar dan sebagai sebahagian daripada kajian tesis, dia bersama ahli kumpulannya yang lain seramai tujuh orang telah menempuh perjalanan sukar untuk mengumpul spesimen yang terdapat di situ.

Ekspedisi kali pertama Norsiah pada 13 Mac 2009 bermula dengan mudah iaitu pendakian pada permukaan yang agak mendatar. Namun, tidak lama selepas itu mereka berdepan pula dengan permukaan berbukit yang curam setinggi 50 meter. Mujur terdapat laluan bertangga sepanjang pendakian tersebut.

Perjalanannya diteruskan dengan permukaan mendatar yang dipenuhi dengan struktur batu-batu pula. Disebabkan cuaca di situ agak lembap dan sejuk, tumbuh-tumbuhan seperti lumut dan paku-pakis tumbuh merata.

Pokok-pokok herba seperti kacip fatimah dan durian turut melatari pemandangan di kawasan tersebut yang Norsiah percayai, ia pernah menjadi kawasan laluan sungai suatu masa dulu.

Ujarnya, kawasan tersebut mempunyai aroma yang sangat menyenangkan kerana secara kebetulan tumbuh-tumbuhan di situ sedang berbunga.

Sekali lagi, Norsiah terpaksa memanjat permukaan bercuram tetapi kali ini dengan perubahan pemandangan flora yang sangat berbeza.

"Pada awal pendakian, kami dapat melihat banyak pokok-pokok tinggi termasuk pokok bertam. Kemudian, pokok-pokok palma pula mendominasi kawasan tersebut," ujar Norsiah.

Tambahnya, paling unik di kawasan tersebut adalah terdapat sebuah hutan edafik (pengaruh ciri-ciri tanah pada tanaman) bukit yang ditumbuhi pokok-pokok palma kipas. Pokok-pokok tersebut hidup secara berkelompok dan berumpun sahaja.


SEBAHAGIAN penyelidik bersantai di tapak perkhemahan sebelum memulakan ekspedisi.


"Ia adalah spesies endemik di Semenanjung Malaysia dan hanya boleh ditemui di Taman Negara Endau Rompin dan Hutan Simpan Bukit Bauk, Terengganu," ujar Norsiah mengenai tumbuhan yang telah disenarai sebagai spesies terancam dalam Buku Data Merah Persekutuan Pemuliharaan Antarabangsa (IUCN).

Fakta menarik mengenai pokok yang dikenali sebagai pokok sabun itu adalah nama saintifiknya, Livistona endauensis diambil sempena nama tempat asalnya, Endau.

Pendakian Norsiah berakhir apabila dia sampai ke kawasan dataran tinggi pada ketinggian 399 meter yang dipanggil sebagai Padang Tujuh. Ia dilitupi hutan padang atau dikenali juga sebagai hutan rawa.

Melengkap kajian

"Keseluruhan hutan padang itu ditumbuhi pokok-pokok renek, paku-pakis dan pokok periuk kera manakala cuacanya agak panas dan kering berbanding kawasan lain," terangnya mengenai keunikan hutan yang terdapat di kawasan tanah tinggi.


NORSIAH (tiga dari kanan) bersama pasukan penyelidiknya.


Keunikan dan kelainan yang ketara pada ketinggian yang berbeza sepanjang perjalanan dari pintu masuk Taman Negara, Guntung Keriung ke Padang Tujuh adalah penyebab Norsiah begitu berminat untuk mengkaji seterusnya melengkapkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Biologi.

Kajian pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu meliputi hubung kait antara faktor ketinggian dan tumbuh-tumbuhan selain daripada penelitian tekstur tanah yang boleh mempengaruhi jenis flora yang hidup di persekitarannya.

Di Padang Tujuh, pasukan Norsiah yang terdiri daripada renjer perhutanan, potter, Orang Asli dan pembantunya berkhemah dan mengumpul spesimen.

Proses mencari dan mengumpul sampel bermula dari pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang dan kadangkala pasukan Norsiah perlu bermalam di situ selama seminggu.

"Spesimen daun yang diambil perlu dipetik dari atas pokok dengan bantuan Orang Asli bagi memastikan kesegaran dan jenis pokoknya. Daun-daun di atas permukaan tanah kebanyakannya telah kering dan bercampur.

"Ia akan diawet menggunakan cara anestetik basah. Sampel direndam dalam cecair alkohol bagi memastikan daun tidak luruh daripada cabang," terang Norsiah mengenai kaedah spesimen diproses dan ia sering dilakukan pada waktu malam.


PENYUSUNAN spesimen dilakukan penuh berhati-hati di tapak perkhemahan.


Kemudian, sampel-sampel tersebut dibawa ke makmal di UKM untuk dikaji dengan melihat corak urat daun dan cara percambahan spesimen tersebut.

Ulas Norsiah, penemuan yang menarik sepanjang kajiannya adalah dua jenis sampel yang pada mulanya didakwa sebagai spesies tumbuh-tumbuhan baharu iaitu pokok durian dan periuk kera.

"Daripada penelitian terhadap urat-urat spesimen daun durian tersebut, ia adalah spesies baharu tetapi kajian mendalam perlu dilakukan kerana sampel yang lengkap seperti bunga dan putik daun perlu ada," jelasnya lagi.

Menurut Norsiah, di Padang Tujuh pula terdapat banyak pokok periuk kera. Paling mencuri tumpuan pasukannya adalah tumbuhan tersebut mempunyai bentuk fizikal tambahan seakan-akan telinga pada tumbuhan itu.

Bertandang ke Padang Tujuh

Selepas sesi konsultasi dengan pensyarah, Prof. Datuk Dr. Abdul Latif Mohamad dan pakar periuk kera lain, kesimpulan yang dibuat adalah ia berkemungkinan spesies baharu.

Pada bulan Ogos lalu, Norsiah bertandang semula ke Padang Tujuh untuk kajian yang lebih terperinci terhadap hidupan tersebut.

Kali ini, Norsiah mendapati bahawa periuk kera tersebut adalah tumbuhan variasi. Walaupun ia bukan spesies baharu, namun sifat boleh bervariasi itu merupakan penemuan terkini bagi tumbuh-tumbuhan jenis tersebut yang pernah direkodkan.

Bagaimanapun, ujarnya, kedua-dua penemuan tersebut masih belum disahkan lagi kerana ia perlu diterbitkan dalam penerbitan jurnal terlebih dahulu.

Untuk tujuan itu, sampel lengkap perlu ada dan prosesnya sangat panjang iaitu daripada membuat kajian sehingga persidangan membincangkan penemuan baharu perlu dibuat.

Buat sementara waktu, kedua-dua spesies yang masih belum disahkan itu dikenali dengan nama saintifik Durio razakii ined bagi pokok durian manakala tumbuhan periuk kera pula adalah Nephenthes rafflesiana.

Full content generated by Get Full RSS.

Ultrabook pertama Acer

Posted:

Ultrabook pertama Acer

Ultrabook pertama Acer

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM


ASPIRE S3 turut dilengkapi dengan sistem audio bunyi keliling Dolby Home Theater v4.


KOMPUTER tablet dan telefon pintar bagaikan sudah menjadi salah satu peranti mesti dimiliki dalam kehidupan pengguna hari ini. Ia bagaikan tidak lekang daripada pandangan mereka sama ada untuk berkomunikasi ataupun melayari internet apabila berada di mana-mana sahaja.

Sungguhpun begitu, komputer riba masih menjadi pilihan pengguna apabila memerlukan peranti yang mempunyai kapasiti penstoran lebih besar.

Ia amat penting untuk melaksanakan tugasan mereka dengan lebih lancar dan pantas apatah lagi, apabila tidak berada di pejabat.

Dalam memberi pilihan kepada pengguna, Acer Sales & Services Sdn. Bhd. memperkenalkan ultrabook pertama Acer iaitu Aspire S3.

Model terbaharu itu, menggabungkan kuasa dan produktiviti sebuah komputer buku dengan ciri-ciri penting telefon pintar serta komputer tablet untuk memberi kepuasan kepada pengguna.

Reka bentuk aerodinamik ultra nipis yang menampilkan kerangka aluminium dan aloi magnesium menjadikan peranti terbaharu ini amat ringan.

Dengan hanya seberat 1.35 kilogram (kg) dan ketebalan 1.3 sentimeter (sm), ia boleh dibawa ke mana-mana sahaja tanpa perlu berfikir panjang.

Di samping itu, ultrabook tersebut turut didatangkan bersama pelindung kemasan logam untuk memastikan tiada kesan cap jari ditinggalkan pada permukaan licin kerangka peranti tersebut.


ACER tidak mahu ketinggalan dalam persaingan komputer riba melalui inovasi Aspire S3.


Aspire S3 turut menampilkan dua inovasi baharu iaitu Acer Green Instant On dan Acer Instant Connect dalam menawarkan penggunaan komputer dengan lebih pantas, jimat tenaga serta efisien.

Dengan dua mod Sleep dan Deep Sleep ditawarkan pada teknologi Acer Green Instant On, ultrabook terbaharu berkenaan dapat memastikan ketahanan bateri dengan lebih lama agar pengguna tidak kecewa kehabisan bateri apabila menggunakan peranti tersebut.

Acer Instant Connect pula membolehkan pengguna untuk mengakses internet dalam masa hanya 2.5 saat, empat kali lebih laju berbanding menggunakan sambungan internet konvensional.

Ia sekali gus dapat memastikan pengguna mengakses dengan lebih cepat dan produktif apabila menikmati keseronokan berhibur di alam maya.

Bagi mereka yang sentiasa mencari hiburan melalui internet, Aspire S3 dilengkapi Dolby Home Theater v4 memberikan bunyi keliling bertenaga dan meningkatkan kualiti suara untuk pengalaman mendengar pada tahap optimum.

Acer Aspire S3 ditawarkan pada harga RM2,599 di semua penjual sah utama Acer di seluruh negara.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved