Rabu, 5 Oktober 2011

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Destinasi percutian eksotik

Posted:

Destinasi percutian eksotik

Destinasi percutian eksotik

Oleh HAMDAN OTHMAN

MENYAKSIKAN matahari terbenam dan pancaran mega merah di pantai Tanah Lot, Bali, Indonesia merupakan detik yang harus dinikmati oleh semua pengunjung ke kepulauan yang dihuni oleh hampir 90 peratus penganut agama Hindu itu.

Sesiapa pun yang menyaksikan keindahan saat tersebut pasti tidak akan berhenti untuk merakamkan foto kerana setiap saat yang berlalu ketika mega merah memancarkan cahayanya adalah antara detik yang menggambarkan kebesaran pencipta alam! Sungguh indah.

Sukar dijelaskan dengan kata-kata namun, itulah antara keistimewaan bumi Bali yang sering menjadi tumpuan pelancong dan ejen pelancongan. Walaupun cuma beberapa hari berada di sini tetapi, setiap orang wajar menghabiskan waktu selama beberapa jam di pantai Tanah Lot hanya untuk menyaksikan momen itu.

Di sebalik keindahan senja nan merah, pantai Tanah Lot (lot dalam bahasa Bali adalah laut) atau nama asalnya Tanah Laut banyak menyimpan rahsia tersendiri.

Menurut sejarah, batu yang terbentuk indah di pantai Tanah Lot telah wujud sejak tahun 1500 dan ditemui oleh seorang pelaut yang akhirnya menjadikan kawasan batu tersebut sebagai kuil.

Pada tahun 1980, kuil atau sering disebut sebagai pura itu diancam hakisan. Namun, atas ihsan kerajaan negara Jepun yang mahukan kawasan tersebut dipelihara atas dasar hubungan dua hala, sebanyak AS$130 juta telah disalurkan oleh negara matahari terbit itu ke Indonesia bagi menjaga struktur asal batu itu sehingga hari ini.


ANDA boleh menikmati secawan teh di Tenggalang, sambil menyaksikan keindahan pemandangan padi teresnya.


Kata pemandu pelancong yang mesra disapa Ngurah, pengunjung tidak pernah putus ke sini bermula seawal pukul 6 pagi hinggalah ke pukul 12 tengah malam. Mereka datang bukan hanya untuk menikmati keindahan lautnya tetapi, juga untuk berkunjung ke kuil lama.

Di kuil itu jugalah kebanyakan ular laut yang didakwa datang membina sarang sehingga penduduk menganggap ular-ular tersebut sebagai utusan Tuhan untuk terus menjaga keindahan pantai dan keutuhan kuil.

Di samping memuji keindahan ciptaan Tuhan, Bali sering dikaitkan dengan konsep hiasan dalaman hingga menjadi ikutan ramai. Konsep Bali telah lama menjadi kebanggaan dalam membuat hiasan baik untuk rumah mahupun hotel di negara kita.

Konsep Bali macam mi Bandung

Tetapi ramai yang tidak tahu, tidak ada yang khusus untuk dikaitkan dengan konsep tersebut kerana hiasan Bali banyak dipengaruhi unsur-unsur Hindu Majapahit selain tumbuh-tumbuhan liar.

"Konsep Bali itu sebenarnya diilhamkan oleh seorang lelaki British yang menjadi rakyat di sini menggunakan nama Made Wijaya setelah berkahwin dengan seorang wanita tempatan. Idea Made Wijaya itulah yang telah diguna pakai sebagai konsep Bali sehingga hari ini. Sebenarnya, tidak semua yang peka dengan konsep itu kerana setiap orang ada cita rasa tersendiri dalam menyiapkan hiasan rumah," jelas Ngurah.

Kalau di Malaysia, setiap negeri ada identitinya terutama rumah-rumah lama, namun di Bali tidak ada yang khusus kerana idea tersebut datangnya daripada Made Wijaya yang asalnya bukan rakyat tempatan.

Cuma yang menghairankan, konsep Bali tetap menjadi sebutan dan pilihan kebanyakan penduduk di Malaysia. Apa pun, bak kata seorang teman, Danial Rayyan, mi Bandung atau sirap Bandung hanya terdapat di Malaysia dan tidak akan pernah ada di Bandung, begitulah juga dengan konsep Bali.

Lupakan tentang konsep yang menjadi sebutan kebanyakan penduduk Malaysia kerana keindahan pantai Kuta yang pernah menjadi mangsa tsunami pada Disember 2004 memang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa jua yang berkunjung ke situ.

Bukan kerana ombaknya yang besar setinggi 10 kaki yang sesuai untuk peminat papan luncur dan bukan juga kerana tukang urut-tukang urut yang bersedia memberi khidmat terbaik.


KEHADIRAN peniaga-peniaga kecil mencari rezeki antara pemandangan biasa yang boleh dilihat di Bali.


Sebaliknya, kebersihan pantai yang dijaga membuatkan kita leka kerana ia dijaga sebaik mungkin tanpa dapat terlihat walau sehelai daun pun di atas pasir yang memutih sepanjang pantai sejauh tujuh kilometer itu.

Kata Ngurah, setiap 20 kaki persegi ruang pantai Kuta ada pemiliknya dan setiap pemilik diberi lesen untuk menjalankan perniagaan mengikut kemampuan masing-masing.

"Ada yang menjual makanan, ada yang menunggu pelanggan untuk diurut, ada yang menyewa papan luncur malah, tidak kurang yang mengambil kesempatan menjadi guru untuk mengajar meluncur.

"Apa yang penting, mereka diwajibkan menjaga kebersihan kawasan masing-masing. Jika tidak pihak berkuasa boleh menarik kembali lesen aktiviti mereka tanpa sebarang amaran.

"Kelihatan kejam tetapi, itulah perjanjian yang telah dibuat sejak awal," kata Ngurah.

Jangan lupa cuba kopi Luwak

Bercerita tentang makanan, ramai yang pernah berkunjung ke sini terutama yang beragama Islam mengatakan cukup susah untuk mendapatkan makanan halal. Cerita begini mempengaruhi minda sehingga memaksa sesetengah pelancong Islam membawa bekalan makanan halal untuk dimakan sepanjang bercuti di Bali.

Hakikatnya, walaupun 90 peratus penduduk Bali menganut agama Hindu dan terdapat begitu banyak restoran babi guling atau babi panggang, masih ada banyak lagi kedai makanan halal yang boleh ditemui.

Malah, boleh dikatakan kebanyakan gerai di tepi jalan di sini diusahakan oleh orang Islam Indonesia yang datang dari daerah luar Bali seperti Bandung, Jogjakarta dan Surabaya.

Empat hari di Bali seperti tidak cukup untuk merasai nikmat sebenar kawasan peranginan yang terkenal di seluruh dunia ini.

"Banyak tempat yang boleh diteroka termasuk gunung-ganangnya tetapi, masa terasa begitu cepat berlalu ketika menikmati keindahan pantai Kuta, tanah Lot dan kota Denpasar sendiri," katanya.

Sebelum terlupa, tambah Danial, satu lagi yang perlu dicuba ialah kopi luwak yang dihasilkan melalui najis musang. Luwak yang membawa maksud musang hanya akan memakan buah kopi terbaik yang gugur ke bumi dan kemudian dikeluarkan bijinya melalui najis.

Biji kopi yang tidak dihadam itu kemudiannya akan dikutip semula dan dicuci sehingga bersih untuk diproses sehingga menjadi serbuk kopi.

"Rasanya memang enak sekali dan hanya terdapat di daerah Bali dan beberapa tempat di Surabaya dan Bandung.

"Harganya agak mahal kerana penghasilannya begitu terhad.


PUNCAK Uluwatu menawarkan pemandangan luar biasa.


"Dari sudut agama pula, pihak Majlis Agama Islam Indonesia telah mengeluarkan fatwa menghalalkan kopi ini dan ia boleh diminum oleh umat Islam," ujarnya sambil menghirup secawan kopi luwak penuh nikmat.

Tepuk dada, tanya selera. Jika ada yang was-was, rujuklah dahulu kepada yang lebih arif. Apa pun, bagi mereka yang gemar melancong, Bali tetap menarik untuk dikunjungi pada bila-bila masa.

"Kalau ingin datang ke sini, jangan lupa untuk menghubungi saya di www.buy2u.com.my, saya sedia membantu untuk berlibur di sini. Banyak lagi yang boleh diteroka," kata Danial sambil tersenyum.

Berghof simpan sejarah Hitler

Posted:

Berghof simpan sejarah Hitler

Berghof simpan sejarah Hitler


BERGHOF sering menjadi medan pertemuan Hitler (tiga dari kiri) dan pemimpin-pemimpin kanan Nazi bertemu dan membincangkan strategi ketenteraan.


SEORANG pelumba melintasi kawasan hutan pain Bavaria dengan basikal gunung miliknya. Kayuhannya diteruskan di sepanjang trek Alpine yang lasak terus ke lokasi yang pernah menjadi kediaman Adolf Hitler di pergunungan Kehlstein itu suatu ketika dahulu.

Dia tidak berhenti berkayuh walaupun untuk sepintas lalu ketika melintasi bangunan batu berdinding kelabu di lereng bukit yang pernah menjadi tempat persembunyian Hitler dikenali sebagai Berghof.

Berghof merupakan kawasan persembunyian Hitler yang dibangunkan oleh setiausaha parti Nazi Martin Bormann pada tahun 1939 sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50.

Ia merupakan lokasi kediaman diktator itu selama lebih sedekad sehinggalah dia membunuh diri di sebuah kubu di Berlin pada tahun 1945.

Berghof yang terletak separuh perjalanan di gunung Bavarian hampir musnah akibat dibom pada penghujung Perang Dunia Kedua. Malah, kesan pengeboman tentera Amerika Syarikat itu masih boleh dilihat sehingga kini.

Tiada papan tanda khusus bagi menunjukkan lokasinya. Bagaimanapun, terdapat papan kenyataan yang memberitahu pengunjung mengenai kawasan yang pernah menjadi medan pertikaian pada era Nazi dahulu.

Rumah persinggahan milik Hitler, Tea House dikenali sebagai Eagle's Nest terletak di laluan terpencil di atas kawasan pergunungan itu.

Sebelum ini, puluhan ribu pengunjung terpaksa melalui jalan yang menggayatkan untuk tiba di puncaknya semata-mata mahu melihat panorama di kawasan yang terletak di sempadan antara Jerman dan Austria itu.

Terletak pada ketinggian 1,800 meter, Eagle Nest kini dijadikan restoran, kafe dan kedai menjual buku-buku seperti buku Hitler's Mountain yang dihadiahkan kepada Hitler oleh parti Nazi sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50.

Terdapat kisah menyatakan Hitler jarang berada di rumah persinggahan itu kerana gayat pada ketinggian.

Pakar sejarah mahu keseluruhan kawasan itu dipelihara untuk tatapan generasi akan datang, tetapi ada pihak yang bimbang popularitinya yang mempunyai kaitan rapat dengan perjuangan Hitler akan menggalakkan kehadiran penyokong neo-Nazi atau mengubahnya menjadi Disneyland Nazi. "Kami mesti berhati-hati agar pengunjung tidak menjadi terlalu taksub terhadap Hitler," kata Axel Drecoll, 36, seorang sejarawan yang berusia 36 tahun.


PELBAGAI bahan pameran yang dipamerkan di Berghof memaparkan kehidupan Hitler di kawasan pergunungan Kehlstein itu suatu ketika dahulu.


Kehidupan Hitler

Lelaki itu bertanggungjawab dalam menjaga pusat dokumentasi dalam pameran yang dilawati kira-kira 160,000 orang setahun.

Bahan pameran yang dipamerkan menggambarkan dua kehidupan Hitler di kawasan pergunungan Obersaltzberg iaitu pemerintah di Berchtesgaden di samping jenayah yang dilakukan bersama Nazi.

"Kami perlu memastikan pelancong berpuas hati dengan apa yang mereka ingin ketahui tanpa mensensasikannya," katanya.

Penduduk tempatan sebelum ini dikejutkan dengan laporan akhbar menyatakan sebuah syarikat British menawarkan percutian Hitler di Berchtesgaden bersama beberapa laman web lain yang mempunyai kaitan dengan Fuhrer.

"Ia telah menimbulkan gelombang besar," kata pengarah pelancongan tempatan, Michael Griesser ketika mengimbas kembali bagaimana pihak berkuasa Bavaria cuba untuk menghentikan rancangan Face of Evil Tour apabila menyedari mereka berurusan dengan pelancong biasa dan bukannya penyokong neo-Nazi.

Bagaimanapun, masih ada segelintir pihak yang terus melakukannya.

Ada segelintir yang secara sembunyi-sembunyi meletakkan kalungan bunga dan lilin di Berghof pada ulang tahun kelahiran Hitler atau melakukan perkara yang sama pada tarikh kematiannya.

Bagaimanapun, kakitangan pusat dokumentasi yang terletak berhampiran menyedari perkara itu dan dengan pantas melupuskannya, kata Drecoll.

Tambah Drecoll, masalah utama bukan berpunca daripada tindakan radikal puak sayap kanan, tetapi disebabkan perubahan zaman menyebabkan manusia mula melupakan kekejaman Nazi. "Kisah sejarah dan seni komersial menyebabkan ia semakin kabur."

"Saya tidak mahu melihat Obersalzberg sebagai sesuatu tarikan yang menakutkan," katanya.

Ingrid Scharfenberg, 80, yang mengendalikan Zum Tuerken sebuah rumah rehat, antara bangunan asal yang masih kekal berhampiran Berghof, berkata, dia sendiri merasai layanan seperti seorang pengikut Nazi.

"Ada yang berkata gunung ini milik Nazi dan semua orang yang menetap di sini juga berasal daripada golongan sama.

"Namun, kamu tidak boleh meletakkan kesalahan yang pernah dilakukan Hitler terhadap generasi-generasi seterusnya hanya kerana dia pernah menetap di sini satu ketika dahulu," kata wanita itu.

Selama bertahun-tahun tentera AS telah menutup kawasan itu kepada orang awam dan menjadikannya kawasan rekreasi tentera sebelum ia diserahkan kepada kerajaan Bavaria pada tahun 1995.


SELAIN pengunjung, Berghof turut dikunjungi penyokong neo-Nazi yang memuja perjuangan Hitler dan Nazi.


Sejak itu, semua runtuhan termasuk kira-kira 12 kilometer terowong dan kubu bawah tanah telah ditutup kepada orang ramai, dijadikan kawasan larangan secara rasmi dan dirahsiakan bagi tujuan pemuliharaan.

Namun, arahan itu akhirnya ditarik balik disebabkan faktor politik, kata Ketua Pemuliharaan Monumen Bersejarah Bavaria, Egon Johannes Greipl.

Sejak itu, pihak berkuasa mula mencari sisa yang masih tertinggal di dalam runtuhan.

Disebabkan itu, Greipl mahu arahan pemuliharaan bangunan itu dikekalkan.

"Lagipun, tiada sesiapa pun yang pernah terfikir untuk merobohkan runtuhan Olympia dan berpendapat ia wajar dikekalkan sebagai sebuah pusat dokumentasi.

"Ia merupakan bukti sejarah asal yang terdapat di Obersalzberg," katanya.

Mereka yang menentang idea berkenaan bimbang kehadiran penyokong neo-Nazi akan menjejaskan industri pelancongan setempat melalui hubungan rapat persatuan itu dengan sejarah Nazi, kata Greipl.

Bukti sejarah

Seorang pemimpin persatuan Yahudi di Munich, Charlotte Knobloch bersetuju sekiranya penyokong neo-Nazi tidak dibenarkan melawat kawasan itu kerana semua bukti-bukti sejarah yang ada di luar pusat dokumentasi telah musnah.

"Tapak itu perlu mempunyai fokus dan bukan hanya dilihat melalui satu aspek sahaja," luah Knobloch menyatakan tentangannya terhadap mana-mana arahan bagi tujuan pemuliharaan.

Pendapat itu turut dipersetujui oleh ketua pemerintah serantau yang juga pemimpin kedua dalam kementerian keadilan Bavarian, Walter Schoen.

Katanya, pemuliharaan terhadap runtuhan itu akan menyebabkan ia tidak lagi asli, tidak memberi makna dan memberikan hasil yang memuaskan tentang apa yang terdapat di sana.

"Mengangkat keistimewaan status budaya terhadap Berghof dan rumah-rumah ladang Nazi di sekitarnya hanya akan menggalakkan golongan nasionalis dan sosialis menjejakkan kaki ke atas gunung itu," katanya.

Idea itu tampak berhasil kerana ia adalah Berchtesgaden, seperti Jerman, yang kini mempunyai kesukaran mencari keseimbangan sewajarnya apabila berurusan dengan sejarah sedemikian.

Baru-baru ini terdapat sebuah hotel lima bintang dibina berhampiran kawasan runtuhan di Berghof milik pemimpin Nazi, Hermann Goering. Menariknya, beliau memastikan setiap bilik hotel mempunyai salinan tentang buku sejarah jenayah-jenayah Hitler.

Bagaimanapun, disebabkan amalan membaca buku sebelum tidur adakalanya mengganggu tetamu, buku-buku itu kini disimpan di perpustakaan di hotel. - AFP

Destinasi percutian eksotik

Posted:

[unable to retrieve full-text content]MENYAKSIKAN matahari terbenam dan pancaran mega merah di pantai Tanah Lot, Bali, Indonesia merupakan detik yang harus dinikmati oleh semua pengunjung ke kepulauan yang dihuni oleh hampir 90 peratus penganut agama Hindu itu.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved