Sabtu, 24 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Macam masak dodol

Posted:

Macam masak dodol

Macam masak dodol

BERJALAN di dalam atmosfera panas terik dengan bahang matahari yang menyengat kulit, secara automatik tekak akan terasa kering.

Saat itu, terlintas di kepala, tiada minuman penghilang dahaga yang dapat menandingi keenakan semangkuk cendol.

Alangkah segarnya jika sagatan ais yang diperisakan dengan santan berkrim dan manisan gula melaka larut membasahi tekak.

Biasa dihidangkan di dalam mangkuk, antara campuran wajib pencuci mulut ini ialah doh seakan-akan mi yang berwarna hijau dipanggil cendol, santan kelapa dan gula melaka.

Untuk menambah kesegaran hidangan, ketulan besar ais yang telah dimesin halus dicampurkan sama.

Boleh dimakan begitu sahaja, cendol juga enak dinikmati bersama kacang merah, pulut, tapai, jagung, gula durian, buah enau, gula kundur dan pelbagai jenis jeli sebagai variasi.

Menurut pengamatan penulis, yang juga peminat cendol, antara lokasi terbaik untuk menikmati cendol di Lembah Klang ialah SS15 di Subang Jaya, Seksyen 17 dan Jalan Gasing di Petaling Jaya, Seksyen 16 di Shah Alam, Jalan Kolam Ayer di Ampang dan Jalan Bangsar.

Tidak ketinggalan, cendol Restoran Wahab yang popular di Setapak, Kuala Lumpur.

Berkesempatan berkunjung ke Restoran Wahab yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 1 pagi, penulis sempat mengorek resipi kelazatan cendol di situ.

Pekat


PELANGGAN tidak putus mengunjungi gerai Ishak yang terletak di Behrang Stesen, Tanjung Malim, Perak untuk menikmati cendol.


Mohd. Reza yang sudah tujuh tahun mengambil alih perniagaan daripada bapanya, Abdul Wahab Mohd. Ismail berkata, kepekatan gula melaka dan kesegaran santan menjadi kunci utama kesedapan cendol.

"Rasa cendol ditentukan oleh air gula yang pekat dan lemak manis santan yang diperoleh daripada kelapa muda," katanya.

Menarik tentang perniagaan cendolnya, Reza menjelaskan, ia dimulakan oleh bapanya kira-kira 25 tahun lalu.

"Daripada beca kepada van, kini kami memiliki lot perniagaan sendiri di sini.

"Ia memberi peluang kepada semua orang untuk menikmati cendol, bukan sahaja pada waktu siang, tetapi juga waktu malam," katanya.

Biarpun menawarkan pelbagai jenis cendol antaranya cendol pulut, jagung manis, kacang merah, tapai, cincau, bandung, sagu, barli dan aiskrim, cendol asli Wahab masih menjadi kegemaran ramai.

Baru-baru ini pula, Jurnal berkunjung ke Behrang, yang terletak di sempadan Selangor dan Perak untuk melihat sendiri proses cendol dihasilkan.

Di situ, kami menemui seorang pengusaha gerai makanan selera utara, Ishak Ahmad, 45.

Dia yang berniaga di gerai makanan di Behrang Stesen, Tanjung Malim, Perak, sudah 14 tahun berniaga cendol.


KEENAKAN cendol Wahab dipengaruhi resipi Pakistan.


Bermula dari bawah pokok mangga, sekarang dia mempunyai satu lot kedai yang tidak jauh dari tapak lama.

"Saya jual cendol yang dibuat sendiri di rumah. Dulu sebelum ada kuali dan mesin, saya hanya buat untuk dimakan sendiri.

"Kalau ada orang tempah untuk majlis keramaian, jarang saya ambil sebab kerjanya berat. Takut saya tidak mampu penuhi permintaan pelanggan," ujarnya.

Menggunakan sepenuhnya resipi milik arwah ibunya, Ishak memberitahu, proses menghasilkan cendol tidak sesukar mana.

"Apa yang penting, sukatan perlu betul dan tepung dimasak sehingga matang. Jika tidak cendol tidak akan menjadi.

"Kalau menjadi pun, ia tidak mampu bertahan lebih daripada dua hari," katanya yang sudah hampir tiga tahun menggunakan kaedah moden dalam menghasilkan mi cendol.

Sebelum ini, Ishak dibantu isteri, Raziah Mat Ali, 45, serta anak-anaknya memasak cendol.

"Membuat cendol sama seperti memasak dodol. Bahan adunan yang dicampur dan digaul sebati akan dimasak sehingga menjadi doh yang pekat dan berkilat.

"Kalau guna cara lama, saya perlu mengacau kawah cendol selama lebih kurang sejam dengan api sederhana.

"Kawah tidak boleh ditinggalkan dan adunan mesti sentiasa dikacau bagi mengelakkan kerak terhasil di bahagian bawah," jelasnya yang turut memberi kepercayaan kepada isteri dan anak-anaknya untuk memasak cendol sekiranya dia sibuk di gerai.

Tahan empat hari


AIR gula yang pekat sering dijadikan kayu ukur kesedapan cendol.


Menggunakan tepung beras sebagai asas doh, Ishak turut memasukkan tepung jagung ke dalam periuk serba guna yang disumbangkan oleh Jabatan Pertanian Hulu Selangor kepadanya pada tahun 2009.

"Tujuan tepung jagung digunakan ialah untuk mengilatkannya," kata anak kelahiran Sik, Kedah ini.

Selepas itu, Ishak mencampurkan satu jag air perahan daun pandan yang telah dibiarkan semalaman.

"Jangan gunakan air pandan yang baru diperah airnya untuk membuat cendol. Nanti baunya hilang ditelan kapur," beritahunya sambil memasukkan separuh bekas kapur masak ke dalam adunan sebagai fungsi pengentalan.

Setelah semua bahan siap dimasukkan, Ishak menambah sedikit air dan mengadun tepung sehingga sebati menggunakan sarung tangan getah bagi memastikan tiada tepung yang berketul.

Apabila dia sudah berpuas hati dengan kesebatian dan warna adunan, barulah Ishak memasak adunan selama sejam di dalam periuk yang sama.

Bilah-bilah kipas yang ada di tengah-tengah periuk mula mengacau adunan sehingga ia mengental sedikit demi sedikit.

"Memandangkan periuk ini boleh ditetapkan masanya, saya tidak perlu menunggunya seperti dulu.

"Biasanya selepas setengah jam, baru saya tinjau untuk memastikan sama ada perlu ditambah air atau tidak.

"Ibu saya pernah berpesan, jangan terus masukkan air yang banyak ke dalam adunan sebaliknya masukkan sedikit demi sedikit.

"Ini penting bagi mengelakkan cendol menjadi cair," katanya yang terkenal sebagai pembuat cendol di sekitar Hulu Selangor dan Tanjung Malim.


GULA enau dikatakan penambah sedap air gula.


Ditanya tentang ketahanan cendol yang dihasilkan, Ishak menjawab, ia boleh tahan selama empat hari sahaja.

"Saya tidak gunakan bahan pengawet. Siap dimasak perlu terus dimakan.

"Kalau disimpan di ruang sejuk dingin, ia boleh tahan empat hari tetapi jangan pula dimasukkan ke ruang sejuk beku, nanti cendol akan rasa seperti span apabila dikunyah," katanya yang turut membekalkan cendol mentah untuk pasaran sekitar Tanjung Malim.

Selepas sejam, adunan yang sudah mengental segera dialihkan ke mesin acuan cendol.

Dari atas, mesin tersebut akan menekan adunan nanti dan mengeluarkan rantaian mi cendol yang terus memasuki bekas berisi air di bawahnya.

"Proses ini perlu dilakukan segera, jika tidak tepung akan mengeras," kata Ishak yang sebelum ini menggunakan periuk yang ditebuk dengan paku sebagai acuan.

Siap mi cendol diproses, Ishak beralih pula ke periuk berisi air gula yang tersedia di sebelahnya.

Air gula yang menggunakan gula pasir dan gula melaka itu turut dicampur sedikit dengan gula enau untuk menambahkan kesedapannya.

"Air gula yang sedap adalah rahsia keenakan cendol. Saya lebih suka menyediakan air gula yang pekat dan tidak terlalu manis untuk pelanggan saya," katanya.

Ladam kaburi pencuri

Posted:

Ladam kaburi pencuri

Ladam kaburi pencuri

Oleh KUMARA SABAPATTY


LADAM yang berbentuk huruf U sering dipasang di pintu masuk kediaman sejak abad ke-16 lagi.


SEPATU kuda atau biasa disebut ladam dipercayai memiliki kuasa yang boleh menghalang kejahatan dan membawa kebaikan kepada pemilik kediaman. Malah, masyarakat Inggeris sering menggantung ladam berbentuk huruf U itu di pintu rumah mereka sejak abad ke-16 lagi.

Di Sumatera Barat, ladam kuda mempunyai lebih banyak kegunaan termasuk untuk melariskan perniagaan, menolak bala serta menghalau jin dan makhluk halus lain.

"Untuk tujuan pelarisan, ladam biasanya diletakkan di tempat menyimpan wang. Untuk menolak bala dan mengusir jin pula, ladam tadi dipakukan di belakang pintu masuk utama rumah," kata seorang penulis blog.

Bagaimanapun, tambah beliau, ada syarat tertentu bagi membolehkan ladam itu 'berfungsi'.

"Ladam itu sebaik-baiknya diperoleh secara tidak sengaja, paling bagus pada waktu pagi atau siang hari. Jangan mengambilnya terus daripada tukang besi kerana khasiatnya tidak ada sama sekali," tambahnya.

Pencuri

Di Malaysia, masih ada orang yang menggantung ladam di pintu masuk rumah mereka khususnya masyarakat India.

Malah, seorang pemilik kediaman di Kuala Lumpur memberitahu Jurnal, rumahnya tidak pernah dimasuki pencuri selepas ladam kuda digantung di pintu rumahnya sejak berpuluh tahun dahulu.

Sesetengah rakyat negara ini juga percaya kebolehan ladam kuda dalam menyekat kuasa jahat seperti sihir.

Seorang pembuat ladam di Selangor Turf Club (STC) di Seri Kembangan, S. Murugan, 38, berkata memang ada orang yang meminta ladam daripadanya untuk disimpan di rumah kerana percaya ia boleh membawa tuah.

"Saya tidak pasti sejauh mana benarnya dakwaan itu, tetapi saya pernah mendengar masyarakat India mempunyai kepercayaan sebegitu," katanya yang bekerja sebagai pembuat ladam sejak 18 tahun lalu.

Tambah Murugan, beliau tidak pernah menyimpan kasut kuda itu di rumahnya walaupun kehidupannya dikelilingi kira-kira 60 ekor kuda hampir setiap hari.

Bercerita mengenai ladam, Murugan berkata, setiap seekor kuda yang ada di bawah jagaannya mempunyai saiz kaki yang berbeza, jadi ladam yang digunakan juga berlainan.

"Ladam ada yang diperbuat daripada besi dan aluminium. Biasanya ladam aluminium dipasang pada kuda lumba kerana ia ringan dan tidak memberi beban pada kaki kuda berkenaan manakala kuda ekuestrian dipasang ladam besi," ujar beliau.

Sebelum memasangnya, Murugan akan membelai kuda terbabit dari atas kepala diikuti bahu, badan dan akhirnya kaki.

Sensitif

Tambahnya, kuda adalah haiwan yang sensitif. Sama ada dipegang secara sengaja atau tidak, haiwan itu akan mengalami perasaan takut dan boleh menendang petugas yang ingin memasang ladam.

Murugan menyertai STC pada awal tahun 1990-an sebagai pembersih kuda selain menjadi pelatih haiwan berkenaan.

Beliau berminat dengan kerja meladam kuda selepas melihat beberapa orang master atau penjaga kuda melakukan kerja itu.

"Sebelum memasang ladam, kuda itu hendaklah dipastikan sihat dan selamat. Kakinya mesti dilindungi ketika ladam dipasang supaya tidak cedera. Kuku kaki kuda pula akan dipotong dan digosok supaya tidak terlalu panjang," ujarnya.

"Kemudian barulah ladam yang siap dibentuk itu dipanaskan dan diketuk menggunakan tukul bagi mengemaskan pemasangan ladam pada kaki kuda berkenaan.

"Ladam itu dipasang semasa ia masih panas dan diketatkan dengan paku sepanjang dua inci," katanya.

Peralatan yang digunakan untuk memasang ladam biasanya berharga melebihi RM1,000. Kata beliau lagi, penukul berkuku dua sahaja mencecah harga RM600.

Tambah Murugan, kerja pemasangan ladam mengambil masa kira-kira 45 minit dan beliau boleh memasang ladam untuk 10 ekor kuda sehari.

Lelaki ini berkata, bekerja sebagai penjaga kuda dan pemasang ladam bukanlah mudah lebih-lebih lagi kuda itu dimiliki orang luar dan ia bernilai tinggi.

"Saya perlu menghadiri kursus dan latihan khas selama empat tahun bagi mempelajari cara penjagaan kuda dan pemasangan ladam di samping mengenal pasti tahap kesihatan kuda.

"Biasanya kuda yang dipasang ladam harus dipantau setiap masa. Ladam itu perlu diganti setiap dua minggu sekali kerana ia mungkin sudah menipis atau rosak," katanya.

Ladam yang tidak boleh digunakan lagi akan dikumpul sebelum dihantar kepada kedai besi buruk.

"Kadang-kadang ada orang datang meminta ladam kuda daripada saya untuk digantung di depan rumah kononnya ia membawa tuah. Ada juga yang kata mereka mahu menghalang daripada diganggu hantu atau kuasa ghaib.

"Memang ramai yang minta pada saya dan kebanyakannya adalah kaum India," katanya.

Fenomena manusia bertanduk

Posted:

Fenomena manusia bertanduk

Fenomena manusia bertanduk


ZHANG RUIFANG


TANDUK sering dikaitkan dengan haiwan yang meragut rumput seperti kambing dan rusa. Namun begitu, hanya haiwan jantan yang memiliki tanduk.

Bagaimanapun, seorang wanita China telah ditumbuhi sebatang tanduk menyerupai tanduk kambing di tepi kiri kepalanya.

Tanduk wanita berusia 101 tahun dari Kampung Linlou, Wilayah Henan itu, Zhang Ruifang, bermula sebagai benjolan kecil di dahinya dua tahun lalu. Tanduk itu sudah tumbuh sehingga enam sentimeter panjang.

"Tanduk ini bermula daripada sebuah bentuk yang tebal, kulit kasar di tepi kiri dahinya. Kami tidak perasan mengenainya pada awalnya, tapi kemudian ia terus tumbuh.

"Sekarang ada sesuatu yang tumbuh di sisi kanan dahinya. Ia mungkin satu lagi tanduk yang lain," kata anak bongsunya, Zhang Guozheng, 60.

Tanduk itu menyebabkan sakit pada kepalanya. Wanita bertanduk itu memiliki tujuh orang anak, enam lelaki dan perempuan dengan anak paling tua berusia 82 tahun.

Tinggal di daerah pedalaman dan hidup terlalu miskin untuk membayar kos rawatan hospital, anak-anaknya bimbang tentang keadaan ibu mereka tetapi terhibur oleh kenyataan bahawa dia tidak mengalami kesakitan.

Implan


XIOU LING dengan tanduk di depan dahi.


Keadaan ini dikenali sebagai tanduk kulit yang jarang berlaku. Terdiri daripada keratin, tanduk ini biasanya berkembang pada orang dewasa yang lanjut usia, terutama mereka yang mempunyai sejarah berjemur di bawah sinar matahari.

Pada tahun 2003, seorang wanita dari Zhanjiang, selatan China, didapati tumbuh tanduk sepanjang 12 sentimeter (sm) di dahinya. Para doktor bingung dengan keadaannya itu dan sekadar mengandaikan Xiou Ling menghidap masalah ketidakseimbangan hormon.

Sesetengah pakar berpendapat pencemaran radiasi turut menyebabkan manusia ditumbuhi benjolan seperti tanduk.

Seorang lagi rakyat China, Huang Yuanfan, tumbuh tanduk kecil berukuran 7 sentimeter di belakang kepalanya. Tanduk tersebut tumbuh dua tahun lepas dan ia semakin membesar.


(A)MENURUT ibunya, rupa George seperti syaitan selepas dibedah. (B)WAJAH George sekarang.


"Saya sudah cuba beberapa kali untuk memendek dan mencabut tanduk tersebut tetapi masih tiada perubahan berlaku, malahan semakin membesar," katanya.

Menurut lelaki itu lagi, tanduk tersebut belum menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti tumbuh.

"Saya sudah berjumpa dengan banyak doktor tetapi punca kepada ketumbuhan ini belum diketahui. Mereka pernah beberapa kali mencabut tanduk tersebut tetapi ia tetap tumbuh semula," kenang beliau.

Walaupun manusia bertanduk dianggap aneh, masih ada pengikut fahaman tertentu khususnya yang berkaitan penyembahan syaitan membuat implan tanduk. Ini termasuk seorang lelaki dari Tulsa, Amerika Syarikat, Jesse Thornhill, 28, yang mengaku diri pengikut syaitan.


JESSE sengaja melakukan implan benjolan berbentuk tanduk di dahinya.


Manakala cerita manusia bertanduk sentiasa mendapat tempat di dada akhbar berpengaruh dunia termasuk di Amerika Syarikat dan Britain.

Minggu ini, akhbar-akhbar melaporkan bagaimana seorang budak lelaki berusia lima tahun, George Ashman, mendapat benjolan berbentuk tanduk di kiri dan kanan dahinya selepas melakukan pembedahan membuang tanda lahir di Hospital Great Ormond, London.

Ibunya, Karen, membuang tanda lahir itu kerana khuatir anaknya akan menjadi bahan ejekan rakan-rakannya.

Ketika George berusia empat tahun, dia menjalani pembedahan untuk meregangkan kulit dahinya sehingga tanda lahir tersebut dapat dihilangkan dan ditutupi dengan jaringan kulit baharu.

Doktor turut menyisipkan dua jaringan peregang di bawah kulitnya, yang akan membesar secara bertahap sehingga terlihat seperti dua tanduk besar.

Selama empat bulan, gumpalan tersebut mengembang dan meregangkan kulit dahinya. Karen sangat terkejut.

"Tanduk itu lebih besar daripada yang saya sangkakan. Ia nampak seperti syaitan," ujarnya. Mujurlah alat itu dikeluarkan empat bulan kemudian iaitu April lalu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved