Sabtu, 10 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Bak bunga di padang tandus

Posted:

Bak bunga di padang tandus

Bak bunga di padang tandus

SEJAK kecil lagi Fatima Siad, 25, melalui kehidupan dalam suasana yang cukup getir di bandar kelahirannya di Mogadishu, Somalia.

Dia bukan sahaja dibesarkan dalam persekitaran kehidupan yang bergolak, kebahagiaan zaman kanak-kanaknya juga bagaikan direntap apabila ibu dan bapanya bercerai ketika usianya begitu muda.

"Selepas berpisah, ibu sendirian membesarkan kami yang masih kecil.

"Pada masa itu kekacauan ada di mana-mana dan kami sentiasa dibayangi ketakutan," kata anak sulung daripada tiga adik-beradik yang kesemuanya perempuan itu.

Hidup dalam keadaan serba kekurangan di kawasan yang tidak pernah aman, Fatima mengakui keluarganya tidak pernah mengecapi suasana tenteram.

"Keadaan lebih buruk selepas tahun 1991. Waktu itu semua orang susah.

"Peperangan menyukarkan golongan dewasa keluar bekerja dan harga barang makanan menjadi sangat mahal.

"Lantaran itu, kami sering keputusan bekalan makanan, apatah lagi yang berzat.

"Kadang-kadang dari pagi sampai ke malam, kami hanya mengalas perut dengan sekeping canjeero (makanan seperti pankek tetapi sedikit tebal) dan minum air putih," katanya yang menganggap dirinya bernasib baik jika dibandingkan dengan puluhan rakan sepermainannya yang mati kebuluran.

Lapan tahun hidup dalam keadaan tidak menentu, ibu Fatima nekad membawa dia dan dua adiknya melarikan diri dari Somalia.

"Bagaimanapun, sedang ibu sibuk berkemas, tentera kerajaan telah menggempur kediaman kami dan menembak mati kedua-dua adik saya yang ketika itu hanya berusia lapan dan 10 tahun.


PERGOLAKAN di Somalia bukan sahaja menjadikan negara itu mundur malah turut menyebabkan penduduknya hidup dalam kedaifan.


Ditembak

"Mereka rebah di hadapan mata kami. Saya hanya mampu menangis ketakutan di belakang badan ibu sambil merayu kami tidak diapa-apakan," imbas Fatima yang berusia 13 tahun ketika kejadian itu berlaku.

Enggan bertahan lebih lama di Somalia, pada tahun yang sama, Fatima bersama ibunya terbang ke Boston, Amerika Syarikat (AS) atas tiket pelarian perang.

"AS adalah dunia yang cukup asing dan mencabar untuk saya.

"Di sana, saya terus dimasukkan ke gred tujuh ESL (Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) tetapi sepatah perkataan Inggeris pun saya tidak tahu.

"Kerana itu, saya tidak ada kawan dan tiada keyakinan diri. Namun, saya tidak mahu membiarkan diri saya ketinggalan.

"Saya mula belajar bahasa Inggeris dan tekun ketika di kelas.

"Walaupun terpaksa bersaing dengan pelajar sebaya dari AS, saya berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaaan dan diterima masuk ke Universiti New York dalam bidang Praperubatan dan Sains Politik," jelas pemilik figura hitam manis yang terkenal selepas menyertai pertandingan supermodel, America's Next Top Model musim ke-10 pada tahun 2008.

Pemberontak

Dalam pertandingan realiti itu, Fatima mendapat tempat ketiga daripada 14 peserta yang mengambil bahagian.

Kini, dia bergiat aktif dalam dunia peragaan pentas di AS.

"Saya mula menceburi bidang peragaan ketika di kolej. Saya nekad untuk keluar dari kolej dan serius dalam dunia peragaan.

"Ketika saya beritahu ibu saya, dia sangat terkejut dan marah kerana dia memang mahu saya menjadi doktor, rupa-rupanya dia marah kerana saya tidak memberitahunya terlebih awal," katanya yang mendapat sokongan penuh daripada ibunya.


FATIMA kehilangan dua adik perempuannya akibat ditembak tentera Somalia 12 tahun lalu.


Selain Fatima, terdapat ramai lagi model kelahiran Somalia yang berjaya menempa nama di pentas peragaan antarabangsa.

Antaranya, Iman Mohamed Abdulmajid atau Iman, Waris Dirie, Urbah Hassan dan Yasmin Warsame.

Iman yang diangkat sebagai ikon fesyen kelahiran Somalia bukan sahaja berjaya sebagai peragawati terkenal malah dia juga mempunyai empayar perniagaan kosmetik di bawah jenama Iman.

Aktivis kebajikan yang petah bertutur dalam bahasa Inggeris, Somalia, Arab, Itali dan Perancis ini turut aktif dalam dunia lakonan. Baru-baru ini, Iman turut merayu bantuan dunia bagi membantu masyarakat Somalia yang dilanda kebuluran dan peperangan.

Dalam satu temu bual bersama stesen televisyen Al-Jazeera, Iman merayu bantuan kemanusiaan segera dihulur kepada jutaan rakyat Somalia yang sedang menunggu ajal akibat kebuluran disebabkan kemarau panjang.

Dia yang dilahirkan di Mogadishu juga pernah membuat liputan mengenai krisis makanan pada tahun 1992 bersama British Broadcasting Corporation (BBC).

"Walaupun pernah melihat sendiri kemelaratan rakyat Somalia akibat kebuluran 19 tahun yang lalu, saya percaya krisis kali ini jauh lebih buruk.

"Apa yang lebih menyayat hati, banyak bantuan yang dihulur dari seluruh dunia tetapi tidak sampai ke tangan rakyat disebabkan sekatan oleh puak pemberontak.

"Dalam situasi genting seperti ini, tindakan tersebut hanya memburukkan keadaan malah secara peribadi, saya melihatnya sebagai pelenyap kepada generasi masa depan Somalia," katanya.

Terpisah

Melihat kepada kemelut kebuluran dan perang saudara yang semakin mendesak, Iman merayu puak pemberontak supaya mengetepikan krisis politik demi kelangsungan hidup 10.7 juta rakyat negara itu.

Selain Iman, Urbah, seorang model yang membesar di Baidoa yang terletak di selatan Somalia, ialah antara mangsa pelarian perang yang menempa nama di arena peragaan antarabangsa.

Kegawatan politik yang melanda negara Tanduk Afrika itu menyebabkan dia dan keluarganya terpaksa berpisah selama 10 tahun.


URBAH


"Kami tidak mampu bertahan di Somalia kerana setiap hari kami melihat orang awam dibunuh.

"Ibu dan adik saya lari menyelamatkan diri ke Kanada manakala saya, bapa dan adik lelaki menjadi pelarian di Kenya.

"Selepas menjalani kehidupan sukar, keluarga kami hanya dapat bersatu pada 2001 di Vancouver, Kanada selepas sedekad terpisah," kata Urbah yang bakat peragaannya dicungkil oleh seorang jurugambar profesional yang menyapanya di sebuah taman ketika berusia 17 tahun.

Menurut Urbah, situasi menjadi lebih teruk apabila puak pemberontak mula menindas golongan Muslim di sana.

"Kaum lelaki yang beragama Islam adalah sasaran mereka.

"Keadaan lebih teruk jika lelaki tersebut adalah golongan terpelajar yang turut sama membantah keganasan.

"Akibatnya, bukan sahaja lelaki itu yang dibunuh, semua ahli keluarganya mungkin menjadi mangsa kekejamaan puak pemberontak," ujar Urbah.

Laut obsesi Norlela

Posted:

Laut obsesi Norlela

Laut obsesi Norlela

Oleh KUMARA SABAPATTY


NORLELA (lima dari kiri) bersama rakan-rakan tentera laut di KD Sri Sandakan, Sabah.


MENJADI tentera laut merupakan cita-cita wanita ini semasa kecil. "Ketika itu saya berusia enam tahun. Setiap kali orang bertanya saya mahu jadi apa bila besar nanti, saya pasti akan jawab tentera laut," kenang Norlela Ismail, 35.

Laskar Kanan di Jabatan Perundangan dan Tatatertib, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Sandakan di Sandakan, Sabah ini mempunyai sebab untuk memilih tentera laut dan bukan tentera udara atau darat.

"Uniform tentera laut yang berwarna putih itu kelihatan cantik dan kemas selain melambangkan nilai disiplin yang tinggi.

"Kapal perang pula sering menjadi simbol kedaulatan dan kebanggaan mana-mana negara," ujar beliau.

Norlela mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab, Pahang sebelum diterima memasuki Kolej Tentera Laut KD Pelandok di Lumut, Perak.

Pendatang

"Sebaik sahaja menamatkan pengajian dan menyertai tentera laut, saya terus diarah melaporkan diri Woodlands, Singapura," ujar beliau.

Satu-satunya wanita dalam enam adik-beradik, kerjaya lasak seperti tentera laut sememangnya menjadi kegemaran Norlela.

Beliau merupakan ahli kelab skuba KD Sri Sandakan serta mahir berkayak dan berakit.

Selama 16 tahun menjadi tentera laut, banyak pengalaman telah diraih Norlela.

Salah satu kenangan yang sukar dilupakan ialah peristiwa beliau belayar ke Pulau Langkawi pada tahun 2007.

Pada masa itu, beliau bertugas di KD Seri Manjung TLDM Lumut dan beliau diberi amanat menaiki kapal Mahsuri untuk membawa pelatih dari Lumut ke Pulau Langkawi.

"Perjalanan dari Lumut ke Langkawi itu mengambil masa selama empat hari," kata beliau yang berpeluang melawat kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman di Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar, dekat Kota Kinabalu.

Norlela turut berkongsi pengalaman beliau ketika terlibat dalam proses penghantaran pulang pendatang asing tanpa Izin (PATI) Indonesia menggunakan kapal TLDM dari Lumut ke Indonesia beberapa tahun lalu.

"Saya dan beberapa anggota serta pegawai TLDM lain perlu menguruskan beratus-ratus orang pendatang Indonesia.

"Dalam perjalanan banyak kemungkinan boleh berlaku lebih-lebih lagi jika ada penumpang yang buat kecoh.

"Maklumlah sebahagian daripada penumpang itu sudah lama menetap di Malaysia. Malah, sebelum menaiki kapal lagi mereka sudah buat macam-macam kerenah," ujar Norlela.

Menurut Norlela, beliau masih teringat wajah seorang wanita yang merayu supaya tidak dihantar pulang kerana kononnya dia terpaksa menanggung perbelanjaan anak-anaknya di negara seberang manakala pasportnya didakwa dicuri orang.

Namun, demi menegakkan undang-undang, kerenah seperti itu tidak dilayan oleh petugas seperti Norlela.

"Memang ramai yang enggan dihantar pulang dengan memberikan bermacam-macam alasan tetapi kami tidak terpedaya dengan lakonan mereka itu," katanya.

Cerita Norlela lagi, tugas anggota wanita di atas kapal tiada bezanya berbanding pegawai atau anggota lelaki. Kedua-duanya berisiko dan memerlukan semangat yang tinggi.


MENJADI tentera laut dianggap Norlela sebagai kerjaya yang sukar dilepaskan.


Disiplin

Menurutnya, memang ada wanita yang ditempat di atas kapal untuk satu tempoh tertentu namun tugas beliau lebih banyak bertumpu pada hal berkaitan disiplin dan undang-undang.

Banyak kes pelanggaran disiplin oleh anggota tentera laut yang pernah beliau kendalikan tetapi atas faktor kerahsiaan dan keselamatan, perkara itu tidak boleh didedahkan kepada umum.

Ibu kepada empat cahaya mata yang berumur di antara dua hingga 11 tahun ini boleh dikatakan bersemangat kental apatah lagi suaminya juga merupakan seorang anggota tentera laut.

"Suami saya berkhidmat di Kem Bagai Budi di Sabah sebagai Ketua Bahagian Tatatertib TLDM.

"Kerjaya kami yang sama membolehkan kami saling berkongsi pendapat serta berbincang mengenai perkara berkaitan tugas masing-masing," kata beliau yang menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini di Sabah.

Tambah beliau, menyambut lebaran di tempat orang tidak menjejaskan semangatnya untuk terus berkhidmat.

"Saya sangat menyukai kerjaya ini dan ia sukar untuk dilepaskan begitu sahaja.

"Sesetengah orang memikirkan mahu menamatkan perkhidmatan lebih awal tetapi saya adalah sebaliknya," kata Norlela.

Ujar beliau lagi, menjadi tentera laut bukan sekadar mengenai baju yang cantik dan bersih yang dipakai.

"Ia adalah tanggungjawab dan amanah buat negara kita tercinta yang tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit," katanya.

Lelaki takut kucing

Posted:

Lelaki takut kucing

Lelaki takut kucing

Oleh SYALMIZI HAMID


TAKUT melampau terhadap kucing hakikatnya satu derita yang ditanggung oleh golongan ailurofobia.


MANUSIA takut kepada kucing mungkin kedengaran agak pelik. Tetapi sejarah membuktikan banyak lelaki yang dianggap ganas seperti Napoleon Bonaparte, Julius Caesar dan Hitler menderita akibat fobia terhadap kucing.

Bagi mereka, haiwan kesayangan itu boleh bertukar menjadi mimpi ngeri.

Perasaan yang sama turut dialami oleh seorang lelaki di Kuala Lumpur yang hanya ingin dikenali sebagai Anan, 28.

Anan pernah membenci haiwan kesayangan Rasulullah s.a.w itu. Dia juga tidak menaruh rasa simpati tatkala berdepan dengan seekor kucing yang memerlukan bantuannya.

Baginya, kucing adalah binatang yang jahat dan menakutkan. Semua itu disebabkan peristiwa semasa kecil yang membuatkan dia trauma.

"Sejak kecil lagi saya tidak menyukai kucing kerana ada insiden yang menakutkan saya," tuturnya kepada Jurnal.

Menurut Anan, tiada kucing yang dibela di rumahnya. Dia hanya mengenali haiwan itu buat pertama kali sewaktu pulang ke rumah neneknya di kampung.

Pada mulanya Anan tidak gentar bermain-main dengan kucing neneknya sehinggalah pada hari dia berkongsi makanan ringan dengan haiwan itu.

"Saya memberinya makan makanan ringan itu tetapi ia seolah-olah tidak puas walaupun makanan itu sudah habis. Ia sebaliknya terus mengekori saya.

"Saya yang pada masa itu berumur kira-kira empat tahun mula berasa takut. Saiz kucing itu besar iaitu sehingga ke paras pinggang saya. Saya cuma terbayangkan kucing itu boleh menjadi ganas dengan menerkam dan membaham tubuh saya yang kecil," kata Anan ketawa.

Fobia

Selepas peristiwa itu, Anan menjadi takut dengan kucing. Apabila ternampak sahaja haiwan itu, dia pasti cuba menjauhkan diri.

Dia merasakan haiwan itu ingin menyerangnya dengan gigi dan kukunya yang tajam. Melihat anak kucing bermain-main pada kaki orang dewasa pula boleh menyebabkan tubuh Anan menggigil kerana geli dan ketakutan.

Biarpun dia telah berusaha sedaya upaya untuk tidak terserempak dengan haiwan itu, ketenangan Anan sering juga diganggu ketika dia makan di warung.

"Sebenarnya saya tidak selesa makan di warung kerana di situ selalu ada kucing berkeliaran mencari makanan.

"Mereka sering merayu-rayu minta makanan hingga membuatkan saya naik geram. Saya rasa puas jika tidak memberinya makan.

"Saya juga akan marah melihat orang yang bukan saja memberinya makan bahkan menggosok-gosok tubuh kucing yang kotor itu seperti bermain dengan anak patung," ujar Anan lagi yang menyifatkan dirinya sebagai ailurofobia iaitu fobia kepada kucing.

Bagaimanapun, beberapa kejadian telah menyebabkan dia berasa kesal sehingga ke hari ini.

Menurut Anan, dia pernah berlaku kejam terhadap haiwan itu. Dia menceritakan bagaimana dia hanya menyaksikan sahaja seekor anak kucing yang lemah kesejukan sewaktu hujan lebat.

"Ketika itu saya hendak pulang ke bilik hostel. Tiba-tiba saya ternampak seekor anak kucing berwarna kelabu yang kesejukan dalam hujan.

"Saya tidak berusaha langsung untuk menyelamatkannya bahkan membiarkannya terseksa begitu," katanya. Ada nada penyesalan di sebalik getar suaranya.

Namun, persepsi Anan terhadap kucing berubah tatkala dia menikmati hidangan makan malam bersendirian di sebuah gerai di pinggir ibu kota.

Seperti biasa, gerai makanan yang dikunjungi Anan sentiasa dipenuhi kucing liar yang kurus dan kotor.

Ketika menikmati hidangan itu, seekor kucing jalanan telah melompat ke atas kerusi di sebelah tempat duduk Anan sambil mengiau dengan suara yang lembut meminta makanan.

"Pada mulanya saya tidak mengendahkan kucing itu sehinggalah mata saya memandang tepat pada raut wajahnya.

"Ketika bertentang mata dengan kucing hitam itu saya seperti dapat merasakan apa yang sedang ditanggung olehnya.

"Matanya yang bulat itu menyampaikan bahawa ia benar-benar memerlukan makanan dan itu yang membuatkan saya begitu kasihan.

"Saya tidak faham mengapa hati saya tersentuh. Mungkin Tuhan hendak memberi hidayah agar saya menyayangi sesama makhluk," ujarnya.

Kata Anan, malam itu adalah kali pertama dia memberi makan kepada seekor kucing.

Malah, dia sempat menggelarkan kucing itu sebagai Itam kerana bulu kucing itu berwarna hitam.


KEKEJAMAN terhadap haiwan seperti kucing tidak seharusnya berlaku kini.


Anak kucing

Sewaktu dalam perjalanan pulang, fikirannya tidak keruan. Anan mula sedar bahawa dia tidak seharusnya membenci haiwan itu walaupun dia begitu fobia terhadapnya sebelum ini.

Semenjak hari itu, Anan akan berasa kasihan jika ternampak kucing jalanan.

Baru-baru ini, dia terserempak dengan sebuah kotak yang berisi empat ekor anak kucing yang dibuang orang.

"Saya bawa kucing itu balik ke rumah. Walaupun masih geli dan takut untuk menyentuhnya, saya percaya haiwan itu tidak akan menyerang saya.

"Saya bawa balik dan memberinya makan nasi berlaukkan ikan. Dengan bantuan adik saya, anak-anak kucing itu dibiarkan bermain-main di halaman rumah," ujar Anan.

Namun, hayat kucing itu tidak panjang. Semua kucing itu didapati mati pada hari raya keempat yang baru lalu iaitu kira-kira seminggu selepas dia mengutip haiwan itu.

Jelas Anan, dia tidak mengetahui punca kucing tersebut mati serentak. Dia cuma mengandaikan ia mungkin disebabkan oleh keracunan kerana dibiarkan bermain di laman.

"Saya sempat merakamkan gambar kucing-kucing tersebut pada Aidilfitri lalu ketika mereka bermain-main di halaman rumah," tuturnya.

Anan kini sedar bahawa dia tidak seharusnya membenci sesama makhluk. Biarpun takut dengan haiwan itu, dia tidak seharusnya berlaku zalim terhadapnya sebaliknya harus saling menyayangi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved