Rabu, 3 Ogos 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Bukan hanya bisnes kaaum wanita

Posted:

Bukan hanya bisnes kaaum wanita

Bukan hanya bisnes kaaum wanita

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF



ABDUL MAJID SAMAD, 58, kelihatan agak sibuk menguruskan stok-stok Tupperware yang baru diambil dari pejabat stokis. Tiga kotak bersaiz besar itu dibuka dengan berhati-hati agar produk di dalamnya tidak rosak. Kemudian, satu persatu produk Tupperware disusun mengikut senarai tempahan pelanggan.

"Inilah rutin mingguan saya. Sentiasa sibuk dengan pengambilan dan penghantaran barangan Tupperware. Jadual kerja perlu sistematik dan efektif kerana saya tidak mahu pelanggan terpaksa menunggu lama stok barangan mereka.

"Apatah lagi tempahan stok semakin banyak pada bulan Ramadan dan menjelang hari raya," tutur Abdul Majid mengenai bisnes Tupperware Brands yang diusahakan sejak tahun 2004 bersama isteri, Rohaya Abdul Rahman, 55.

Mengulas mengenai cintanya pada bisnes Tupperware yang dimonopoli oleh golongan wanita, anak kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan, itu memberitahu semuanya tersemai ketika dia berusia 22 tahun. Pada waktu itu, Abdul Majid hanyalah pengguna setia Tupperware dan sentiasa membeli produk berkenaan daripada kakak iparnya yang merupakan ahli tetap Tupperware Brands.

"Saya tak pernah terfikir untuk menjadi ahli Tupperware kerana sudah mempunyai pekerjaan tetap di salah sebuah syarikat perumahan dan pemaju. Lagipun membeli barang Tupperware untuk kegunaan peribadi bukan untuk berniaga.

"Namun semuanya berubah ketika mengunjungi pejabat stokis Tupperware Brands di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, untuk membeli botol minuman. Kebetulan pada waktu itu, saya telah bertemu ahli senior, Norlia Ismail, yang beria-ria mengajak saya menjadi ahli supaya menikmati potongan diskaun 30 peratus bagi setiap pembelian barangan Tupperware," jelas Abdul Majid kepada Kosmo! ketika ditemui di Gombak baru-baru ini.

Peluang berniaga


ORANG ramai kini berpeluang membuat piza dalam tempoh kurang 20 minit dengan menggunakan set piza jenama Tupperware Brands.


Bertitik tolak daripada episod itulah Abdul Majid mula berjinak-jinak menjual Tupperware dalam kalangan teman-teman dan jiran. Pada hujung minggu dia mengambil kesempatan mengadakan parti Tupperware bagi mempromosi produk Tupperware kepada para pelanggan baharu.

Jelas Abdul Majid, dia tidak malu mengendalikan bisnes Tupperware meskipun perniagaan itu sinonim dengan golongan wanita. Lebih mengujakan, bisnes Tupperware mendapat kepercayaan dan sambutan daripada orang ramai kerana produknya yang berkualiti dan tahan lasak.

Dalam pada itu, Salleh Fadhil Abdullah, yang sudah 13 tahun berniaga Tupperware menyifatkannya sebuah peluang perniagaan yang berbaloi dan mendatangkan manfaat kepada orang ramai. Tupperware yang diperkenalkan sejak tahun 1946 oleh Earl Tupper di Florida, Amerikat Syarikat (AS) bukan saja menjanjikan peluang perniagaan yang cerah malah koleksi produk tersebut selamat digunakan oleh semua lapisan masyarakat.

"Orang ramai cenderung membeli botol air dan bekas makanan plastik kerana harganya murah berbanding produk Tupperware yang berharga RM10 ke atas. Tetapi, tahukah anda bekas Tupperware lebih tahan lama kerana diperbuat daripada material tidak bertoksik dan tiada unsur karsinogenik? Lagipun produk Tupperware diiktiraf oleh Food & Drug Administration & Japan Polyolefin Hygienic Assocoation Standart (FDA).

"Penggunaan produk plastik boleh menjejaskan kesihatan terutamanya pada botol atau bekas makanan yang terdedah pada cuaca panas. Tindak balas haba itu akan menghasilkan bahan kimia tertentu yang memberi kesan buruk pada kesihatan," jelas Salleh sambil menunjukkan botol air Eco Tupperware yang hadir dalam enam warna menarik.

Salleh yang membahagi masa antara karier sebagai akauntan dan bisnes Tupperware menjelaskan, produk terbaharu itu selamat digunakan meskipun ia terdedah pada cuaca panas atau sejuk. Selain koleksi botol Eco Tupperware, Salleh turut menyarankan orang ramai menggunakan set Tapau untuk membungkus makanan berbanding menggunakan polisterin.

Berhenti kerja


LAZIMNYA para pelanggan membuat tempahan Tupperware berdasarkan produk-produk yang dipamerkan dalam katalog.


Sementara itu, Iffa Ismail, 28, yang baru enam tahun melibatkan diri dalam bisnes Tupperware bersyukur dengan rezeki yang dikecapi pada hari ini. Ibu kepada sepasang cahaya mata itu tidak menyangka keputusannya melepaskan jawatan sebagai pegawai bank di salah sebuah bank terkemuka telah membuka laluan rezeki yang lebih lumayan.

Sebelum ini, anak kelahiran Selangor itu kurang yakin pada bisnes Tupperware meskipun ibunya, Norlia Ismail, 52, merupakan salah seorang pengedar Tupperware.

"Pada mulanya saya enggan melibatkan diri dalam perniagaan ini kerana bimbang dengan risiko pasang dan surut berniaga. Sebab itu, saya mengambil keputusan bekerja apatah lagi setiap bulan saya memperoleh gaji tetap.

"Namun, semuanya berubah selepas melihat kejayaan ibu berjaya memperoleh komisen yang tinggi setiap bulan, hasil jualan Tupperware. Selepas berbincang dengan ibu dan mempelajari pelan perniagaan Tupperware, setiap hujung minggu saya ke pasar raya Giant Teluk Intan, Perak untuk membuka kios mini Tupperware dan mencari pelanggan baharu," jelas Iffa yang kini mempunyai ahli Tupperware dari Perak dan Kuantan, Pahang.

Lebih membanggakan, pada fasa pertama jualan Tupperware, Iffa berjaya mencatat hasil jualan sebanyak RM6,000 dalam masa kurang tiga jam.

Sehubungan itu, bagi memberi tumpuan sepenuhnya pada perniagaan Tupperware dan memudahkannya berulang-alik antara Kuala Lumpur, Perak dan Pahang, maka dia mengambil keputusan berhenti kerja. Lebih meyakinkan Iffa apabila dia memperoleh pendapatannya menjual Tupperware yang mencecah sehingga RM4,000, sebulan.

Parti Tupperware

Tambah Iffa: "Rezeki tidak datang bergolek sebaliknya ia memerlukan daya usaha yang tinggi. Sebab itu, saya menyarankan kelompok ibu tunggal ataupun suri rumah berkecimpung dalam bisnes ini untuk mendapatkan pendapatan sampingan.


PARTI Tupperware telah dipraktikkan selama enam dekad sebagai corak promosi barangan tersebut.


"Bagi mereka yang ingin memahami dengan lebih terperinci mengenai keistimewaan perniagaan Tupperware, bolehlah berjumpa dengan pengedar utama kami dan kami akan menerangkannya di parti Tupperware.

Berbicara mengenai parti Tupperware, Norlia Ismail, 52, memberitahu parti tersebut cukup sinonim dengan jenama Tupperware Brands di serata negara termasuklah di Malaysia.

Sejak pelan berkenaan diperkenalkan oleh Brownie Wise, jurujual wanita legenda dari Florida, Amerika Syarikat yang juga merangkap Timbalan Presiden Tupperware Brands sejak enam dekad lalu populariti produk tersebut semakin meningkat.

"Kewujudan parti Tupperware menambah kepelbagaian pada corak promosi produk ini. Secara tidak langsung pada acara tersebut, mereka yang menghadirinya bukan sekadar membelek katalog malah berpeluang melihat produk dengan lebih dekat dan memahami cara penggunaannya dengan betul.

"Lazimnya, seminggu sebelum parti berlangsung kami terlebih dahulu mengadakan perbincangan bersama tuan rumah atau penganjur parti Tupperware. Dalam diskusi itu, kami menyarankan pihak penganjur memilih set produk untuk dipromosi dan bersesuaian dengan sasaran para tetamu," terang Norlia yang kini berada pada tahap Pengarah Eksekutif Tupperware ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Norlia yang ditemui di kediamannya di Taman Sri Gombak, Selangor yang pernah mengungguli Anugerah Wanita Inspira Tupperware Brands berkata, pemilihan set produk wajar dititikberatkan bagi mengelakkan tetamu tepu kerana menerima informasi produk yang terlalu banyak.

"Koleksi produk Tupperware terbahagi pada beberapa set. Selain set piza yang membolehkan individu menghasilkan piza dalam tempoh 20 minit dan menyimpan ramuan dalam bekas tertentu, Tupperware Brands turut menampilkan set yang ideal disusun dalam peti sejuk, kabinet dapur ataupun ketika menjalani aktiviti berkelah," tutur Norlia sambil menguli tepung di dalam bekas Tupperware khas.

Dalam pada itu, jelas Norlia sekiranya pada parti Tupperware berkenaan jualan produk mencecah RM880 maka tuan rumah layak menerima hadiah istimewa daripada pihak Tupperware Brands.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Ledakan IT di sekolah Korea

Posted:

Ledakan IT di sekolah Korea

Ledakan IT di sekolah Korea


GURU perlu memantau penggunaan internet dalam kalangan pelajar kerana bimbang remaja menjadi ketagih kepada internet.


TATKALA musim panas menjengah, suasana luar bilik darjah cukup terasa bahangnya. Bagaimanapun, murid-murid tahun empat, kelas guru Yeon Eun Jung, terpaku memerhatikan paparan tablet di depan mereka yang menayangkan animasi mengenai seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan bertengkar mengenai sama ada air lebih berat apabila ia beku atau semasa mencair.

Senario luar bandar tersebut merupakan sekelumit transformasi besar yang bakal dialami Korea Selatan.

Negara berkenaan sedang melaburkan kira-kira AS$2 bilion (RM5.9 bilion) dalam menggantikan buku teks konvensional kepada komputer tablet sebagai persediaan memperluas rangkaian akademik digital.

Negara lain seperti Perancis, Singapura dan Jepun sedang berlumba-lumba dalam membangunkan bilik darjah dilengkapi paparan skrin sentuh agar dapat mengakses jutaan informasi dengan mudah.

Korea Selatan yang merupakan negara Asia keempat terbesar dari segi ekonomi percaya ia mendapat kelebihan daripada senario itu apabila kanak-kanaknya dianggap pelayar paling celik dalam dunia digital.

Ia terbukti apabila satu kajian dilakukan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan yang berpangkalan di Paris, Perancis pada tahun 2009 mendapati remaja Korea Selatan berusia 15 tahun mencatatkan markah tertinggi keupayaan menyerap informasi melalui peranti digital.

Masa hadapan

Di Sekolah Rendah Sosu, Goesan, Pengetua, Jo Yong deuk membicarakan mengenai masa hadapan apabila pelajar-pelajarnya berinteraksi bersama Ludwig van Beethoven dan Abraham Lincoln dalam dunia realiti maya.

Dalam bilik darjah berkenaan, murid-murid sedang asyik menconteng jawapan pada peranti tablet mereka menggunakan pen sentuh skrin sambil menyaksikan klip video menerangkan tentang sifat saintifik air beku.

"Saya sangat menyukai bab ini tetapi, klip yang paling digemari merupakan bagaimana bunga-bungaan mekar dan pokok menuai buah pada musim bunga," kata Jeong Ho-seok, 11, sambil mengukir senyuman.

Menurut Perkhidmatan Maklumat Pelajaran dan Penyelidikan Korea yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan sokongan teknikal kepada program berkenaan, terdapat lebih 60 sekolah rendah, pertengahan dan menengah menggunakan buku teks digital sebagai salah satu kokurikulum mereka.

Seoul yakin dapat menyiapkan program yang menelan belanja berbilion ringgit itu dalam penyediaan satu rangkaian komputer dengan kandungan digital berkualiti menjelang 2015.

Bahkan, ia akan mengambil suku daripada perbelanjaan tersebut untuk menggantikan buku teks kepada tablet.


SEORANG remaja Korea asyik melayari komputernya yang kini menggantikan buku teks dalam kelas.


Bagaimanapun, pegawai Korea Selatan yang mengetuai projek tersebut, Kim Doo-yean, berkata negaranya tidak akan berdepan sebarang masalah bersaing dalam penggunaan tablet.

Syarikat pengehosan web AS, Akamai berkata, pada awal tahun ini, Korea Selatan menikmati sambungan internet paling laju di dunia.

Negara berkenaan juga menduduki tangga teratas dalam langganan jalur lebar tanpa wayar.

Seorang murid Sekolah Rendah Sosu, Lee Sang-hyeob menghabiskan banyak masa bermain permainan dalam talian dan berkomunikasi bersama teman sekolah melalui internet.

Jang Woo-dam pula, selalu melayari laman web sekolahnya untuk melihat mesej-mesej daripada pihak sekolah dan rakan sebaya.

Kim yang mengetuai projek tablet berkenaan berkata, negara tersebut menjangkakan pembangunan rangkaian akademik pelajar-pelajar akan melangkaui penggunaan buku teks digital dan sempadan negara.

"Pada masa hadapan, semua pelajar kami akan disambungkan kepada rangkaian komputer tunggal yang membenarkan mereka mempelajari daripada guru-guru negara lain," ujarnya lagi.

Menurut Kementerian Keselamatan dan Pentadbiran Awam, bilangan pelajar-pelajar yang ketagih kepada internet telah meningkat kepada 782,000 atau 12 peratus.

Kerajaan sangat bimbang mengenai isu berkenaan dan merancang untuk meningkatkan kaunselor dalam menangani ketagihan internet sehingga 5,500 orang pada tahun hadapan.

"Keperluan dalam pembelajaran digital adalah mempromosi sebanyak mungkin interaksi antara guru-guru dan pelajar-pelajar berbanding meninggalkan mereka bersendirian," kata Penyelidik Kanan Agensi Informasi Kemasyarakatan Kebangsaan, Kwon Jung-eun.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved