Selasa, 30 Ogos 2011

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Laman web persiapan Aidilfitri

Posted:

Laman web persiapan Aidilfitri

Laman web persiapan Aidilfitri

Oleh ADLAN JAAFAR
adlan.jaafar@kosmo.com.my

SABAN tahun, sambutan dan persediaan menyambut hari raya semakin berubah seiring dengan kemajuan teknologi dan infrastruktur negara.

Dahulu, semua kelengkapan raya seperti biskut, lauk-pauk dan pakaian baru disediakan sendiri oleh ibu bapa.

Namun, apabila Malaysia melangkah ke dekad 90-an, orang ramai mula membeli biskut dan baju raya yang sudah siap sedia. Ia kesan daripada pembangunan yang pesat sehingga menuntut kaum ibu turut bekerja.

Sejak beberapa tahun lalu, kaedah membeli barang-barang persediaan untuk hari raya semakin mudah dan pantas apabila ibu bapa atau orang muda hanya perlu melayari Internet.

Bagi tujuan itu, sebuah laman web perdagangan yang baru beroperasi pada bulan Jun lalu, disini.my memperkenalkan sebuah ikon untuk festival.

Ikon tersebut dibuat khas untuk pembeli dalam talian melihat semua barang persediaan hari raya serta memberi publisiti kepada penjual memperkenalkan produk mereka secukupnya.

Menurut Pengurus Kanan, Juasa Holdings Sdn. Bhd., Faisal Mokhtar, 44, ikon tersebut direka untuk memudahkan pembeli dalam talian mencari barang-barang perayaan 'di hujung jari mereka'.

"Urusan perniagaan masih sama. Cuma, pengenalan ikon tersebut memudahkan pelanggan selain memberi promosi tambahan kepada pihak penjual dalam tempoh yang singkat," ujar Faisal ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara barang-barang yang tersenarai ialah baju Melayu, baju kurung, kebaya, biskut raya, hamper dan kasut. Malah, lampu hiasan turut berada dalam senarai.

Ikon tersebut akan diubah berdasarkan kepada perayaan yang disambut termasuk menjual barang-barang untuk pelajar ke sekolah pada bulan Disember.

Sistem


DENGAN hanya melayari Internet di ruang tamu rumah, pelanggan boleh membeli baju raya, kuih raya atau hamper raya dengan menekan satu klik.


Kata Faisal, sistem untuk ikon festival itu dapat direka kerana ia adalah standard aturcara yang diguna pakai oleh laman web perdagangan www.disini.my.

Setiap barang akan mendapat paparan laman yang menunjukkan pelbagai maklumat mengenainya termasuk gambar produk berkenaan.

Selepas 30 hari, satu e-mel pemberitahuan akan dihantar sebagai peringatan bahawa paparan iklan barang jualan akan dipadamkan.

"Penjual boleh memberi maklum balas dalam tempoh tujuh hari bagi membolehkan iklan itu terus berada dalam laman web disini.my.

"Proses tersebut akan berterusan sehingga penjual tidak mahu barang mereka diiklankan," terang Faisal yang merupakan individu yang menjadi perancang laman web tersebut.

Mengulas mengenai pemilihan barang-barang, ujarnya, sistem yang terdapat pada disini.my akan mengesan setiap perkataan yang berkait dengan sesuatu perayaan menerusi maklumat yang diberi penjual.

Sebagai contoh, bagi perayaan hari raya, semua perkataan yang berkaitan seperti raya, Aidilfitri, kurma, Ramadan dan puasa akan ditarik masuk ke dalam senarai ikon untuk festival.

"Jadi, penjual akan mendapat iklan tambahan bagi barangan yang dijual secara bermusim itu," kata Faisal lagi.

Kira-kira 400 patah perkataan boleh ditaip oleh penjual bagi mempromosi barangan mereka selain gambar-gambar yang oleh dimuat naik sehingga lima keping.

Laman web urus niaga itu telah dibangunkan bermula awal tahun 2011 dan merupakan sebuah platform kepada peniaga dengan menyediakan tapak untuk mengiklankan produk.

Ujar Faisal, disini.my merupakan laman web termurah dengan bayaran keahlian RM30 untuk enam bulan, manakala RM60 bagi langganan selama setahun.

Keahlian atau lebih dikenali sebagai e-kedai membolehkan penjual menjual lebih barang berbanding dua buah item yang dibenarkan bagi bukan ahli.

Banyak pilihan

Sementara itu, salah seorang pembeli dalam talian yang aktif, Sharifah Ivy Nor Adila Syed Azmi, 33, mengakui ikon festival yang berada dalam laman sesawang disini.my memudahkan pembelian.


SELAIN ke kedai atau bazar jualan, pengguna kini boleh mendapatkan pelbagai jenis biskut raya melalui Internet. – Gambar hiasan


Katanya, kebanyakan laman perdagangan yang ada susah untuk dilayari kerana satu laman hanya boleh melihat satu barang yang dijual.

Jika mahu melihat barang lain, pelayar Internet perlu melakukan beberapa langkah daripada menutup laman sedia ada sehingga membuka kembali laman yang baharu.

"Jadi, pengenalan ikon untuk festival tersebut sangat memudahkan pelayar-pelayar Internet untuk melihat barang yang boleh dibeli sempena sambutan raya," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia yang sudah lebih dua tahun menggunakan medium Internet sebagai 'pasar raya' berpendapat laman sosial dan blog lebih mudah dilayari.

"Secara peribadi, saya lebih suka membeli-belah menggunakan Facebook kerana setiap kemaskini oleh pekedai boleh dilihat dengan senang apabila melayari Internet," ujar ibu kepada dua orang anak itu.

Namun begitu, menurut Ivy Nor Adila, laman perdagangan amat berguna apabila melibatkan perniagaan hartanah kerana pelbagai maklumat yang terpapar dalam laman tersebut.

Info-info seperti harga dan lokasi hartanah memainkan peranan penting kerana harganya sentiasa berubah mengikut masa dan tempat.

"Tahun lalu, saya dan suami baru sahaja membeli sebidang tanah selepas melakukan perbandingan hartanah melalui laman perdagangan," kata Ivy Nor Adila berkongsi tip.

Tambahnya, suaminya lebih suka membeli-belah di laman perdagangan berbanding dirinya kerana pelbagai barang boleh diperoleh menerusi kaedah tersebut.

Rindu Aidilfirti anak Palestin

Posted:

Rindu Aidilfirti anak Palestin

Rindu Aidilfirti anak Palestin


ANTARA juadah tradisi Arab dan Palestin yang dihidangkan semasa majlis iftar.


WARGA Palestin yang berada di negara ini sama ada bekerja atau menuntut ilmu dilihat mudah menyesuaikan diri bersama masyarakat majmuk Malaysia. Sebagai orang Islam, mereka juga berkongsi banyak persamaan dengan ummah di sini.

Oleh itu bagi kira-kira 1,000 anggota masyarakat Palestin di Malaysia, yang kebanyakannya penuntut dan berkhidmat dalam jurusan akademik, berpuasa semasa Ramadan dan meraikan 1 Syawal tidak menjadi masalah kepada mereka.

Muslim Abu-Umar, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia, berkongsi cerita bahawa mereka juga mempunyai bazar Ramadan yang menjual pelbagai jenis juadah dan keperluan lain bagi Syawal di Palestin.

"Seperti di Palestin, kami mempunyai pilihan juadah yang banyak dan kami suka dengan juadah-juadah yang terdapat di bazar Ramadan di Malaysia," katanya.

Rakyat Palestin juga lazim berbuka puasa secara berkumpulan. Sebab itulah, keakraban dengan rakan-rakan di Malaysia sewaktu iftar membuatkan mereka berasa selesa walaupun berada di negara asing.

Muslim memberitahu, selain Aidilfitri, rakyat Palestin juga menyambut Hari Raya Aidiladha dengan lebih meriah.

"Dalam kedua-dua perayaan itu, kami tiada ketupat dan rendang seperti di Malaysia tetapi menghidangkan juadah tradisi sendiri seperti mahashi," katanya.

Mahashi adalah hidangan roti yang berintikan sayur-sayuran seperti terung, labu kecil, kentang dan lobak merah dan dedaun seperti daun anggur serta kubis.

Ia memerlukan masa dan kesabaran untuk disediakan dan lazimnya disediakan sehari lebih awal sebelum dimasak dan dihidangkan dalam acara makan besar.

"Kami juga mengunjungi sabahat handai dan keluarga semasa sambutan. Tetapi, tidak banyak rumah terbuka seperti di sini. Di Malaysia, kami warga Palestin akan menganjurkan majlis rumah terbuka pertubuhan kebudayaan ini semasa 1 Syawal," ujarnya.

Begitupun merindui kampung halamannya, Muslim menyedari hakikat dan takdirnya. Dia tidak dapat pulang ke tanah air sempena Syawal ini berikutan keadaan yang tidak menentu di Palestin.

Pulang ke tanah air

Bagi Saad Adeeb, 26, walaupun berada jauh daripada keluarganya, dia mempunyai rakan-rakan Palestin di sini dan rakyat Malaysia yang mesra untuk menemaninya.

"Saya mempunyai ramai rakan Melayu yang menjemput saya ke rumah-rumah terbuka mereka sempena Aidilfitri," katanya yang menggemari nasi goreng ayam.

Saad juga menyatakan kekagumannya selepas melawat beberapa negeri seperti Pahang, Kedah, Kelantan dan Johor yang menyebabkannya lebih tertarik kepada negara ini.

Walaupun perbezaan budaya wujud antara warga Malaysia dan Palestin, Saad menunjukkan bahawa persaudaraan menerusi Islam telah membantunya mengatasi jurang itu.

Sebagai penuntut dalam bidang komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Saad tiba di Malaysia pada tahun 2006 dan sejak itu dia belum pernah pulang ke Palestin.

"Saya mahu pulang, tetapi ia bukan mudah kerana larangan perjalanan yang dikenakan oleh pihak Israel. Tugas saya di sini adalah belajar dengan gigih demi masa depan keluarga dan maruah negara saya," katanya.

Terkenang abang

Arafat Shabana, 27, seorang penuntut kejuruteraan di IIUM pula berharap dapat bersua semula dengan abangnya yang meringkok di penjara Israel selama lebih 20 tahun kerana dikatakan berjuang bagi Palestin.

"Saya sangat merinduinya. Dia dipenjarakan sejak saya berusia tujuh tahun," kata Arafat.

Arafat yang kematian ayahnya lapan tahun lalu percaya bahawa abangnya tidak bersalah dan berharap dia segera dibebaskan dan seterusnya bersatu semula dengan keluarga.

Apabila beliau menjejakkan kaki di Malaysia buat pertama kali empat tahun lepas, Arafat mengakui berasa seperti orang asing. Namun, perlahan-lahan dia dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara baharu.

Setiap Ramadan, Arafat berdoa kepada Allah agar abangnya dibebaskan, dan semua warga Palestin dan ummah di seluruh dunia dapat hidup aman serta harmoni.

Sementara itu, bagi Hassan Imran, 20, sepucuk surat tawaran daripada UIAM untuk pengajian ijazah berkembar sains politik dan ekonomi pada 2009 telah membawa beliau ke Malaysia.

UIAM mempunyai masyarakat penuntut Palestin yang aktif memainkan peranan dalam menyebarkan kisah kesengsaraan yang diharungi masyarakat Palestin akibat kekejaman regim Israel.

Hassan yang menyukai nasi goreng kampung dan nasi goreng kunyit berharap untuk belajar setinggi yang mungkin dan kembali ke tanah airnya dengan segulung ijazah.

Bagi seorang penuntut lain, Yassar Al-Shareef, 17, keinginan untuk belajar bahasa Inggeris di Elite Language Centre di Kuala Lumpur telah membawanya ke Malaysia dua bulan lalu.

"Saya mahu belajar bahasa Inggeris di sini kerana Malaysia adalah negara Islam yang membuka pintu dengan ikhlas kepada kami," ujarnya.

Walaupun ini kali pertama dia berada jauh dari tanah air, namun azam yang kuat dan sokongan daripada keluarganya menjadi azimat untuk menamatkan pengajiannya.

Beliau mengakui amat merindui keluarganya di kampung halaman. Pada masa yang sama, Yassar berbangga berpeluang belajar di Malaysia yang maju dan kaya dengan kepelbagaian budaya. – Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved