Isnin, 25 Julai 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Tumpuan pecinta makanan Morocco

Posted:

Tumpuan pecinta makanan Morocco

Tumpuan pecinta makanan Morocco

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID



UMPAMA sebuah istana. Itu kata-kata pertama yang terlintas dalam fikiran saat tiba di pekarangan Restoran Tajine di Jalan Delima yang terletak di segi tiga emas Kuala Lumpur. Bukan sekadar berasa dihargai dengan sapaan mesra pelayan restoran yang setia menunggu di pintu masuk, malah kami terpikat dengan pesona restoran yang mewah dengan penataan gaya ala Maghribi. Lokasinya juga dianggap strategik ekoran jauh daripada kesesakan lalu lintas.

Tidak keterlaluan juga untuk dirumuskan bahawa Restoran Tajine ini ibarat sebuah istana di zaman silam. Sebelum menghayati gaya hiasan dalaman dan pengalaman kulinari dengan lebih lanjut, Kosmo! diperkenalkan dengan tajine iaitu periuk leper yang diperbuat daripada tanah liat dan mempunyai penutup berbentuk kon yang menjadi simbolik kepada nama restoran ini.


RUANG balkoni di restoran dua tingkat ini tidak dibiarkan kosong sebaliknya dimuatkan dengan meja makan untuk dua orang.


"Inilah asal-usul nama restoran ini," kata Pegawai Pemasarannya, Azie Nurazrin Aziz. Menurutnya, Restoran Tajine itu sebenarnya merupakan cawangan kedua yang dibuka selepas restoran pertamanya di Jalan Bukit Bintang mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan dari serata dunia. "Di lokasi baharu ini, kita memberi pilihan kepada pencinta makanan Maghribi dan Arab untuk bersantap dalam suasana yang lebih tenang dan santai.

"Restoran dua tingkat ini juga berkapasiti lebih luas dan kepada mereka yang mahukan kelainan, barangkali majlis pertunangan bahkan perkahwinan eksklusif boleh diadakan di sini," katanya. Menjelaskan lebih lanjut tentang konsep rekaan restoran, Azie memberitahu, ilham itu sebenarnya datang daripada sepasang suami isteri yang berasal dari Maghribi yang juga pemilik Restoran Tajine ini. "Mereka melihat Kuala Lumpur adalah destinasi terbaik untuk mereka memperkenalkan seni dan tradisi termasuk daripada aspek prinsip seni bina mahupun makanan negara kelahiran mereka," ujarnya.

Sentuhan tulen


TINGKAT atas restoran ini hanya untuk tetamu khas atau untuk meraikan majlis keraian seperti perkahwinan.


Pesona penataan Maghribi yang menakluk setiap sudut bangunan dua tingkat membuatkan restoran itu tampak begitu eksklusif. Perabot unik buatan negara itu yang mendapat sentuhan seni terbaik mendominasi ruang bawah dan atas restoran. Begitupun, setiap ruang mempunyai keindahan yang berbeza-beza. Hakikatnya apabila bertandang ke Restoran Tajine ini, para pengunjung mempunyai pelbagai pilihan. Untuk bersandar dan bersembang lama, apa kata anda memilih untuk duduk di perabot empuk dengan bantal yang berwarna pastel.

Jika tidak, anda mungkin mahu melabuhkan punggung di bahagian meja kopi bercorak geometri berwarna-warni ataupun meja teh tradisional sambil lagu-lagu Asia Barat diperdengarkan sebagai halwa telinga. Seni tata rias restoran itu disempurnakan lagi dengan ruang tertutup yang sesuai untuk pasangan yang mahukan privasi. Pesona gemersik air terjun berdekatan pastinya lebih membangkitkan bunga-bunga cinta. Kata Azie, aspek penataan cahaya turut diberikan penekanan kerana ia mempengaruhi kesan refleks daripada kemasan mozek pada meja. Seri ruang restoran itu dimeriahkan lagi dengan hiasan tembaga dan lukisan dinding yang menonjolkan identiti Maghribi.

Ruang eksklusif


BAGAIKAN sebuah istana. Restoran Tajine turut menawarkan sajian istimewa pada bulan Ramadan.


Impak penjajahan Perancis di negara yang terletak di pinggir Lautan Atlantik itu juga terserlah di premis tersebut. Ia boleh dilihat melalui beberapa sofa baldu dengan corak yang unik berunsurkan art-deco yang diletakkan di tingkat atas restoran. Di aras tersebut, Restoran Tajine menyambut kedatangan tetamu-tetamu dalam kumpulan berskala besar bagi meraikan majlis tertentu. 'Penerokaan' Kosmo! di ruang tersebut itu membangkitkan keterujaan. Seiring suhu pendingin hawa yang dilaras ideal, dekorasi perabot yang disusun seimbang dan harmoni serta alunan muzik yang sayup-sayup mampu membuatkan sesiapa sahaja tidak mahu berganjak dari situ. Tidak cukup dengan itu, anjung kecil di tingkat atas tidak dibiarkan kosong. Pengusaha restoran ini sememangnya memaksimunkannya dengan meletak kerusi dan meja kayu yang dicat dengan warna lebih eksotik.

Chef Tanah Arab


MENIKMATI makanan di atas sofa empuk adalah keistimewaan yang sukar didapati di lokasi lain.


Selain seni perabotnya, sajian Maghribi juga dikatakan antara yang terbaik di dunia. Di sini segala jenis masakan tersedia. Lebih menarik, Restoran Tajine membawakan dua chef yang berasal dari Yemen iaitu Salah Salem, 26, dan Chef Mohd. Mohd. Tajidin Al-Ezi, 30. "Kita mahu pelanggan kita dapat merasai keaslian masakan dengan ramuan-ramuan rempah yang berkualiti," kata Azie. Bercerita tentang bahan asas yang digunakan dalam dapur Maghribi, antara rempah ratus yang digunakan adalah jintan, kulit kayu manis dan kunyit sementara buah-buahan kering pula adalah seperti zaitun, oren dan kekacang.

Daripada ratusan menu seperti kebab dan beriani pelbagai pilihan, anda dicadangkan untuk merasa makanan popular Maghribi iaitu tajine dan couscous. Tajine (sama seperti periuk tanah liat) merupakan stu daging yang dimasak dengan api perlahan. Ia disertakan buah-buahan kering, kekacang, sayuran seperti kentang dan lobak yang lazimnya dihidangkan dalam dalam bekas tajine.


SAJIAN Mediterranean yang dihidangkan di sini pasti membangkitkan selera anda.


Selain daging, bahan utama tajine boleh ditukar dengan ayam atau makanan laut mengikut selera masing-masing. Kebiasaannya, tajine akan dimakan bersama roti. Couscous pula adalah makanan ruji masyarakat Maghribi pada waktu tengah hari. Makanan ini boleh disamakan dengan pasta yang dihidangkan bersama daging dan buah kering. Sama seperti tajine, couscous akan dihidang bersama roti. Mengikut adat dan budaya masyarakat Maghribi, mereka akan menikmati kesemua makanan dengan menggunakan hanya tiga jari - ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu.

Pelanggan turut dicadangkan untuk memesan menu mandi lamb dan haneed chicken. Untuk minuman, iced morocco dan green dirasakan sesuai untuk menghadam makanan. Sempena bulan Ramadan, Restoran Tajine di semua cawangan di negara ini akan menyediakan makanan istimewa yang dipanggil harira. Harira adalah sejenis sup yang menggunakan bahan asas seperti kacang kuda, kacang dal dan sayur-sayuran lain. Jika pelanggan sudah bosan dengan ayam, anda boleh memilih makanan laut sebagai alternatif. Sepanjang bulan puasa ini, Restoran Tajine juga menyediakan bufet untuk Ramadan yang pastinya berupaya memenuhi selera pengunjung.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Mood Aidilfitri warnai Plaza Shah Alam

Posted:

Mood Aidilfitri warnai Plaza Shah Alam

Mood Aidilfitri warnai Plaza Shah Alam

Oleh NURUL IZZA ROSLY


CHEF LIZA (kanan) sempat bergambar bersama juara kek Cabaran Daisy Sehebat Chef, Faisal Baharom.


AROMA kek dan biskut yang dibakar dalam oven memenuhi ruang legar pentas Plaza Shah Alam sekitar pukul 3 petang ketika Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 yang berlangsung pada 17 Julai lalu membangkitkan selera pengunjung pada hari tersebut. Ramai pengunjung memenuhi kawasan ruang legar melihat aksi para peserta akhir Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 dari seluruh negara secara langsung.


TIGA kakitangan Utusan Media Sales Sdn. Bhd. (UMES), Noor Azlin Badrim (dari kiri) Mohd. Nizam Baharudin dan Johan Nordin bertungkus-lumus bagi memastikan program berjalan lancar.


Acara yang julung-julung kalinya diadakan hasil kerjasama antara Kosmo!, Minyak Jagung Daisy dan rakan strategik Tupperware itu berlangsung dengan penuh meriah. Ramai pembaca setia Kosmo! berbaris panjang seawal pagi sambil membawa dua kepala akhbar Kosmo! untuk menebus Minyak Jagung Daisy 500 gram percuma. Malah, ada juga yang kecewa kerana terlepas peluang keemasan tersebut namun kekecewaan terubat apabila mendapat akhbar kesayangan mereka, Kosmo! secara percuma.

Ramai pengunjung tertunggu-tunggu kemunculan Chef Liza Zainol untuk demonstrasi membuat kek buah-buahan kurma dan tat nanas Daisy. Pada hari tersebut pengunjung juga dapat merasa kek dan biskut air tangan Duta Minyak Jagung Daisy itu. Sedang pengunjung sibuk menjawab kuiz bagi merebut hadiah misteri, gelagat lapan peserta akhir mencuri perhatian penulis sebelum cabaran bermula.


TAZNEEM FAISAL MEERAKUTTY (tiga dari kanan) bertanya sesuatu kepada para peserta yang menyertai pertandingan menghias kek cawan.


Ada yang gemuruh dan gementar, tidak kurang pula yang tidak senang duduk berjalan ke hulu ke hilir mungkin mahu menghilangkan rasa gemuruh kerana pertama kali beraksi di khalayak ramai. Sementara menunggu kek dan biskut dibakar, hadirin dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh Adira Akademi Fantasia (AF8), Johan Bintang Kecil RTM Selangor tahun 2007, Jamilah Abu Bakar, 16 dan persembahan daripada artis realiti TV, Mentor, Black.

Hias kek cawan


LAGU Ilusi dendangan Adira berjaya memikat orang ramai.


Ketika para peserta akhir sibuk membuat dekorasi bertemakan Hari Raya Aidilfitri, seramai 40 pengunjung terawal menunjukkan kemahiran mereka menghias kek cawan. Dekorasi oleh peserta yang bertanding sangat hebat dan mengagumkan. Walaupun pertandingan itu berkisar mengenai kek dan biskut, namun penggunaan ketupat, ketupat palas, lemang, rendang, serunding, dodol, mercun dan sebagainya benar-benar menaikkan mood raya ditambah pula dengan kemeriahan lagu-lagu raya yang berkumandang.


JAMILAH memukau penonton dengan lagu Jepun paling digemari, Ribaibaru.


Komitmen tidak berbelah-bahagi yang ditunjukkan oleh para peserta akhir membuatkan Chef Liza sebak sehingga menitiskan air mata. Kesungguhan yang ditunjukkan para peserta membuatkan Chef Liza mengumumkan hadiah tambahan iaitu juara bagi kedua-dua kategori kek dan biskut secara automatik menjadi peserta dalam rancangan realiti TV Akademi Seni Kulinari Chef Liza (ASKCL) di RTM 1 yang akan memulakan penggambaran pada bulan September ini.


MENYELERAKAN. Hidangan pulut kuning berbentuk ketupat yang disediakan oleh juara biskut, Norulsakinah Mohamad Hanan untuk tema Hari Raya Aidilfitri.


"Para peserta dinilai berdasarkan ketulenan resipi, inovatif dan kreativiti menghias sajian. Semua dekorasi menepati tema Hari Raya Aidilfitri menyebabkan markah kesemua peserta hampir sama dan sukar untuk dinilai. "Bagi menentukan juara, keterampilan, kebolehan dan jati diri peserta dinilai dari kelas mentor yang diadakan dua hari sebelum cabaran akhir ini," katanya.


TEMPAT duduk untuk penonton penuh dengan orang ramai yang berkunjung ke Plaza Shah Alam.


Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 melibatkan empat zon iaitu Zon Timur yang berlangsung di Giant Kuala Terengganu pada 18 Jun 2011, pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur (Zon Tengah) pada 26 Jun, Star Parade, Alor Setar (Zon Utara) pada 2 Julai, Giant, Tampoi (Zon Selatan) pada 10 Julai dan peringkat akhir yang berlangsung di Plaza Shah Alam, Selangor 17 Julai lalu melabuhkan tirainya dengan mengangkat Faisal Baharom, 36, dan Norulsakinah Mohammad Hanan, 27, sebagai juara kategori kek dan biskut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Ikan masin dari Tawau

Posted:

Ikan masin dari Tawau

Ikan masin dari Tawau

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


PASAR Ikan Masin di ibu negeri Sabah ini menjadi tumpuan orang ramai sejak dibuka pada awal pagi.


SEAWAL pukul 7.30 pagi, sebuah deretan kedai di pinggir laut bandar raya Kota Kinabalu sudah dikerumuni ramai orang. Bagi mereka yang tidak biasa dengan senario itu, pasti tertanya-tanya akan kehebatan barangan jualan di sebalik premis yang berkunci rapi itu. Tepat pukul 8 pagi, satu persatu pintu papan kedai dibuka. Melihatkan susunan dan gantungan produk jualannya, para peminat ikan kering atau ikan masin tentunya tersenyum lebar.

Pasar Ikan Masin terdiri daripada lebih 20 buah pintu kedai itu terletak bersebelahan dengan Pasar Kraftangan Kota Kinabalu atau lebih dikenali dengan nama Pasar Filipina. "Sudah lama saya berniaga di sini dan sememangnya pasar ini menjadi tumpuan ramai terutama mereka yang datang dari luar Sabah," kata salah seorang peniaga, Jennifer Muamin, 35, yang sibuk melayan pelanggan. Jennifer memberitahu, pasar itu dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 8 malam. Namun, pada hujung minggu kadangkala dia terpaksa melanjutkan waktu operasinya.


JANGAN terus membeli kerana anda boleh menikmati harga lebih murah jika bijak menawar harga.


Seperti di lot-lot kedai yang lain, kedai wanita itu menjual lebih daripada 20 jenis ikan masin dan makanan kering. Antaranya adalah kerapu, kurau, talang, gelama, tenggiri dan pari yang kesemuanya dijual pada harga bermula RM8 sehingga RM50 sekilogram. Bukan hanya ikan, udang dan sotong yang dikeringkan, malah tumbuhan laut serta gamat kering juga ada di jual di pasar itu.

Keropok amplang

"Cuba beli rumpai laut ini, rendam dengan air panas dan kemudian buat sup, ia bagus untuk kesihatan sendi," pelawa Jennifer. Katanya, terdapat beberapa produk yang dijual terutama hasil daripada tumbuhan laut sesuai dijadikan ubat untuk penjagaan kesihatan tubuh badan. Rakan wanita itu, Najar Jamdan, 30, pula kemudiannya mempelawa penulis dan rakan-rakan merasai signatur makanan ringan Sabah iaitu keropok amplang yang cuma berharga RM5 sepaket. Keropok tersebut merupakan antara makanan yang sangat terkenal di negeri itu terutamanya di daerah Tawau. Ia diperbuat daripada ikan tenggiri dan ketam.

Bijak tawar harga


SELAIN variasi jenis ikan masin, pasar ini turut menawarkan udang dan sotong kering pada harga murah.


Sebenarnya, kata penduduk tempatan yang dikenali sebagai Ahmad Mujahid Hamzah, 31, harga yang dipamerkan itu sebenarnya dijual pada pelancong asing. "Kalau orang Malaysia, mereka akan beri harga jauh lebih rendah, tapi kita kena pandai tawar, jika kena pada gayanya, boleh dapat harga yang sangat murah dan berpatutan sangat," katanya. Memang benar. Harga sekilogram ikan talang (pada tanda harga) ialah RM20 namun setelah dipujuk, penulis diberikan separuh daripada harga asal.

Begitu juga dengan keropok amplang. Walaupun label harganya RM5 sebungkus, Najar menawarkan RM20 untuk lima bungkus keropok rangup itu. Seperkara yang menarik perhatian dalam kalangan peniaga ikan masin itu adalah kemahiran membungkus produk yang dibeli. Seorang peniaga yang lebih senang disapa Dodo, 18, dengan mudah membungkus kesemua barangan yang dibeli pengunjung dalam beberapa kotak terpakai yang dibungkus semula. Setiap lidah kotak ditampal dengan pita pelekat lalu menjadikannya kedap dan seterusnya diikat kemas dengan tali. "Jadi ia mudah untuk dijinjing dan dibawa masuk terus ke dalam kapal terbang," kata Dodo.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved