Jumaat, 22 Julai 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Suwaibah mahu terus berlari

Posted:

Suwaibah mahu terus berlari

Suwaibah mahu terus berlari

Oleh NURUL IZZA ROSLY



BAKATNYA dalam larian mula disedari oleh guru-guru ketika di bangku sekolah. Sejak itu bekas pelari jarak jauh negara, Suwaibah Mohammad Nasir terus berlari hingga hari ini.

Wanita yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-38 pada 2 Julai lalu tidak pernah jemu berlari lebih-lebih lagi atas tiket amal.

Suwaibah bukan calang-calang wanita. Anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu pernah melakar sejarah sebagai wanita pertama yang berjaya mendaki Menara Kuala Lumpur pada tahun 1998, malah dia merupakan pemegang rekod sebagai wanita terpantas mendaki Batu Caves pada tahun 2000 hingga 2002 yang belum digugat sesiapa sehingga ke hari ini.

Bukan itu sahaja, pada tahun 2004, dia membuat larian amal berlari sejauh 2,004 kilometer (km) selama 47 hari mengelilingi Semenanjung Malaysia dan berjaya mengumpul RM2 juta untuk mengisi tabung Majlis Kanser Nasional.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu pernah mewakili negara ke pertandingan mendaki Bangunan Empire States, New York dan meraih tempat ke-12 selain pernah berlari di Itali, Indonesia dan Singapura.

Bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu mahu terus berlari bagi mengumpul dana membantu golongan kurang bernasib baik.

Anak kedua daripada lapan beradik itu sedang sibuk mempersiapkan diri bagi merealisasikan hasratnya menawan Gurun Sahara dengan membuat larian solo sejauh 1,111 kilometer (km) merentas gurun tersebut yang akan bermula pada 11 November 2011 ini.

"Tidak pasti bila tercetus minat dalam larian, tetapi apa yang pasti saya mula aktif berlari sejak di bangku sekolah.

"Di sekolah, saya memang seorang pelajar yang aktif dalam sukan, dicop sebagai budak nakal, tidak boleh duduk diam, berkawan dengan budak-budak lelaki dan memanjat itu dan ini," katanya yang mula berjinak dalam larian ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tanah Merah, Kelantan.


TIMBALAN Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir (kiri) menyatakan sesuatu kepada Suwaibah Mohammad Nasir dan kedua-dua ibu bapanya, Muhammad Nasir (dua dari kanan), dan Siti Fatimah Derahman pada majlis prapelancaran Larian Sahara di Seri Kembangan, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tambahnya, pada usia 12 tahun dia sudah mengalahkan pelajar yang lebih senior daripadanya dalam acara merentas desa.

"Kebolehan yang ada pada diri saya membuatkan guru-guru di sekolah memanggil saya untuk menyertai latihan dan mula mewakili sekolah dalam pelbagai acara larian. Antaranya acara lari 100 meter, lari jarak jauh, lari berganti-ganti dan terus aktif berlari ketika melanjutkan persekolahan di Sekolah Menengah Sains Pahang.

Sokongan ibu bapa

"Larian ini sudah menjadi darah daging saya. Apa yang lebih istimewa, minat saya ini disokong oleh kedua-dua ibu bapa saya, Muhammad Nasir Awang Kecik, 70, dan Siti Fatimah Derahman, 62, yang sanggup turun padang memberi sokongan dari dalam van sepanjang larian berlangsung," ujarnya ketika ditemui di Pusat Latihan Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Suwaibah, ayahnya amat mengambil berat dan memberikan sokongan tidak berbelah- bahagi sejak di bangku sekolah.

"Dulu ketika masih bersekolah, ayah akan siapkan sarapan pagi dan ikut saya menjalani latihan dengan menaiki motosikal. Memori itu masih segar di kotak ingatan saya.

"Kini, walaupun saya sudah dewasa ayah tetap memberikan sokongan yang membakar semangat saya untuk terus berlari," katanya yang gemar membaca dan berjoging.

Berkongsi rahsia kekal sihat dan cergas, Suwaibah memberitahu seseorang individu itu perlu sentiasa memotivasikan diri, perlu memantau tahap kesihatan diri selain menjaga pemakanan.

Jiwanya yang begitu sebati dengan sukan membuatkan Suwaibah menghabiskan masa lapangnya menjalani latihan, senaman, beriadah, menguruskan dua buah kedai peralatan sukan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan di TUDM, Kuala Lumpur.

Dimasukkan ke hospital


SUWAIBAH (kanan) tidak lokek berkongsi pengalamannya kepada para pelajar sekolah untuk menimbulkan minat mereka dalam acara larian.


Walaupun sudah bergelar otai dalam larian jarak jauh, Suwaibah juga pernah tumbang. Beliau dimasukkan ke hospital kerana mengalami dehidrasi atau kekurangan air ketika menyertai Larian Jambatan Pulau Pinang beberapa tahun dulu.

"Akibat dehidrasi yang teruk, doktor memberikan titisan air (drip) sebanyak 13 botol dan menyuruh saya berehat selama seminggu tetapi selepas tiga hari, saya sudah menyertai larian di Larkin, Johor sejauh tujuh kilometer dan berjaya mendapat tempat kedua.

"Tidak lama selepas itu, saya mengalami kekejangan otot yang teruk satu badan ketika menyertai larian Putrajaya. Ketika itu, seluruh badan sakit sangat. Apa yang saya fikirkan ketika itu ialah mati," ceritanya.

Sejak insiden tersebut, Suwaibah selalu bersedia jika mahu menyertai mana-mana larian.

Katanya, seseorang itu perlu tahu apa yang perlu dilakukan sebelum melakukan larian iaitu berfikiran positif, buat persediaan rapi seminggu sebelum larian, rehat dan tidur yang mencukupi.

Ditebak soalan kemungkinan ada cakap-cakap yang melabelkannya mahu mencari populariti dengan membuat larian untuk mencipta rekod dan nama, Suwaibah dengan tenang hanya mampu menggeleng kepala dan tersenyum.

"Tidak kisah apa orang nak cakap. Saya tahu apa yang saya lakukan. Cakap-cakap sedemikian tidak akan mematahkan semangat saya. Hanya yang Maha Esa tahu niat saya.

"Ini cara saya untuk menyumbang kepada mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan," katanya yang memiliki sifat simpati dan empati yang tinggi dalam diri.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved