Jumaat, 8 Julai 2011

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Berlumba dengan setengah liter petrol

Posted:

Berlumba dengan setengah liter petrol

Berlumba dengan setengah liter petrol

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my



KALI ini mereka diberikan sebuah enjin bersesaran 660cc, transmisi manual lima kelajuan dan wang berjumlah RM17,500 untuk membina sebuah kereta lumba.

Tempoh masa yang diberikan adalah selama lima bulan. Hanya setengah liter minyak petrol Petronas Primax 95 diberikan untuk perlumbaan Perodua Eco-Challenge 2011 (PEC 2011).

Setiap pasukan perlu memerah otak dan tenaga bagi menghasilkan sebuah jentera yang lengkap sifatnya untuk berlumba. Binaan jentera perlu menepati standard teknikal dan piawaian oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua).

Senario itu nyata berbeza dengan dua kejohanan sama sebelum ini. PEC 2009 dan 2010 masing-masing menyaksikan setiap pasukan diberi sebuah Perodua Myvi 1.3L dan Perodua Viva 1.0L beserta wang berjumlah RM10,000. Ketika itu, satu liter petrol digunakan untuk perlumbaan.

Tahun ini, kejohanan diadakan di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC) di Air Keroh, Melaka. Litar sepanjang 1.7 kilometer (km) menyaksikan pasukan Politeknik Ungku Omar (PUO) muncul juara PEC 2011 bagi kategori Jarak Paling Jauh.

Catatan jarak rasmi ialah 24.07 km dengan setengah liter petrol Petronas Primax 95. Harus diingat, PUO sebenarnya merupakan juara bagi kategori manual Jarak Paling Jauh PEC 2009.

Ketua pasukannya, Mohd. Azmi Ibrahim berkata, keseluruhan projek menyiapkan jentera dilakukan dalam tempoh tiga bulan sahaja. Suntikan modal terpaksa diberikan sehingga kos menghasilkan jentera mencecah RM30,000.

"Teknik pemanduan yang bagus menyumbang peratusan terbesar untuk memenangi pertandingan kali ini. Nisbah kejayaan kereta dan pemandu ialah 40:60," katanya yang juga merupakan seorang pensyarah di politeknik berkenaan.

Kaedah momentum


PASUKAN PUO menjuarai PEC 2011.


Jujur saya katakan, jentera pasukan PUO bukanlah secantik mana. Warnanya kelabu. Rupa keretanya macam paruh burung penguin gergasi. Jauh berbeza jika dibandingkan dengan 13 pasukan lain.

Namun, kereta paruh penguin itulah yang membantu PUO membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan sebuah trofi. Ia mampu menewaskan pesaing lain. Jadi, cantik tidak semestinya hebat.

Pemandu pasukan PUO, Shahriman Che Rodi berkata, kaedah pergerakan momentum digunakan sewaktu perlumbaan. Apa yang dimaksudkannya ialah jentera digerakkan pada kelajuan ideal dan kemudian enjin kereta dimatikan.

"Apabila pergerakan kenderaan semakin perlahan, saya akan menghidupkan semula enjin dan memandu seperti biasa. Brek tidak digunakan sewaktu mengambil selekoh," katanya yang juga merupakan salah seorang pensyarah kejuruteraan sivil di PUO.

Juara kategori transmisi automatik tahun 2009, USM berjaya menempatkan diri di tempat ketiga dengan jarak 17.4 km. Mereka membawa pulang hadiah RM5,000. Selain itu, pasukan USM turut memenangi tempat kedua bagi kategori kejuruteraan PEC 2011 dengan hadiah RM10,000.

Tempat kedua kategori Jarak Paling Jauh menjadi milik Universiti Selangor (Unisel) dengan jarak 19.1 km. Pasukan dengan kenderaan putih oren itu antara rekaan jentera yang menarik. Mereka menerima hadiah RM10,000 dan sebuah trofi.

Cabaran PEC 2011


KERETA lumba UKM mirip model Lotus Elise.


Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, PEC kali ini mencabar penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi mengetengahkan idea inovatif, kejuruteraan, kerja berkumpulan dan organisasi serta amalan pemanduan baik.

"Perjanjian kami mengenai jentera perlumbaan ialah rekabentuk kereta terpulang pada pihak institut. Jika mereka mahu menjalin kerjasama dengan Perodua, kami mengalu-alukannya," katanya pada sidang media PEC 2011.

Rancangan PEC akan datang adalah untuk melibatkan fakulti lain, (selain fakulti kejuruteraan) dan mahu lebih banyak universiti mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyatakan hasrat mahu memasukkan PEC dalam kalendar Tourism Negeri Melaka.

Ketika para pemandu melintasi barisan penonton untuk ke jentera perlumbaan, mereka diiringi laungan semangat daripada pasukan dan para penonton. Paling mencuit hati ialah rata-rata penonton bersatu hati memberi sokongan kepada pemandu wanita dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Tinggi benar semangat kesukanan mereka yang hadir.

Sewaktu perlumbaan, jentera pasukan UTM menghadapi kesukaran menghidupkan enjin ekoran masalah teknikal. Jentera berjaya dihidupkan selepas pesaing lain sudah mendahului litar dengan kira-kira lima pusingan.

Sungguhpun begitu, mereka masih mampu menjadi juara kategori kejuruteraan dan pemenang tempat ketiga bagi kategori rekabentuk/penyertaan PEC 2011.

Pada hari perlumbaan, pelbagai aktiviti turut diadakan menerusi satu karnival mini. Antaranya, pameran model Myvi baharu, cabaran membuka tayar dan permainan snake & ladder. Bagi menghangatkan suasana, satu konsert kecil diadakan. Antara artis yang membuat persembahan ialah Ella dan Salma Mentor.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

UMW Toyota labur RM30j

Posted:

UMW Toyota labur RM30j

UMW Toyota labur RM30j


SISTEM Topas membolehkan alat-alat ganti di gudang dikendalikan dengan lebih cekap.


UMW Toyota Motor baru-baru ini melancarkan rancangan pengembangan kemudahan pusat pengedaran alat ganti yang terletak di Sungai Buloh, Selangor sebagai usaha menampung peningkatan permintaan alat ganti tulen Toyota dan produk minyak pelincir.

Presiden UMW Toyota Motor (UMW Toyota), Ismet Suki berkata, rancangan pengembangan tersebut membabitkan pelaburan berjumlah RM30 juta.

Langkah tersebut membolehkan pihaknya menyimpan lebih banyak komponen dan alat ganti, sekali gus memendekkan masa penghantaran barangan ke cawangan pusat servis Toyota serta para pengedar alat gantinya.

"Kemudahan ini mewarisi tujuh teknik penstoran efisien Toyota. Ia dilengkapi dengan sistem kod bar elektronik untuk mengendalikan barangan dengan lebih efisien dan tepat.

"Gudang ini juga mengguna pakai perisian Toyota Parts Automated System (Topas). Sistem sama yang digunakan di Toyota Motor Corporation bagi tujuan tempahan komponen, penerimaan, invois dan kawalan inventori," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Khidmat Pelanggan Kumpulan Toyota Motor Corporation Japan, Katsutada Masumoto, Naib Pengerusi UMW Toyota, Takashi Hibi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Datuk Syed Hisham Syed Wazir dan Naib Presiden Eksekutif Toyota Motor Asia Pacific, Shingo Sasaki.

Mengulas mengenai perniagaan alat ganti, Ismet memberitahu, portfolio perniagaan UMW Toyota itu merekodkan jualan sebanyak RM456 juta pada tahun 2010, peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Meskipun pengeluaran Toyota terjejas ekoran gempa bumi dan tsunami pada Mac lalu, penghantaran bekalan dari Jepun berjaya dipulihkan lebih awal daripada jangkaan asal. Kami optimis berupaya mencapai jangkaan jualan alat ganti kira-kira RM500 juta tahun ini," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dua model S-Class lebih berkuasa

Posted:

Dua model S-Class lebih berkuasa

Dua model S-Class lebih berkuasa



SELEPAS sukses menerusi pengeluaran dan penjualan siri S-Class V221 selama lima tahun di negara ini, Mercedes-Benz Malaysia kini memperkenalkan pula generasi terbaharu S 350 L dan S 500 L BlueEFFICIENCY, masing-masing dengan enjin BlueDIRECT V6 dan V8.

Model Mercedes Benz S350 L BlueEFFICIENCY mampu menjana kuasa kuda sebanyak 306 @ 6,500rpm dan kuasa kilas maksimum ialah 370Nm @ 3500-5250rpm. Ia berupaya memecut dari 0 km kepada 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 6.9 saat sahaja. Kelajuan maksimumnya ialah 250 km/j dan dihadkan secara elektronik.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Car, Mercedes-Benz Malaysia, Kai Schlickum berkata, model sebelum ini hanya berupaya menghasilkan sebanyak 272hp dan tork 350Nm.

"Enjin terbaharu S350 L BlueEFFICIENCY hanya menggunakan sebanyak 7.6 liter petrol untuk setiap 100 kilometer (km). Pengurangan sebanyak 2.4 liter berbanding model sebelumnya.

"Ini menjadikannya jentera paling ekonomikal dalam kelasnya. Kadar emisi karbon dioksida pula telah diturunkan sebanyak 23.5 peratus kepada 179 gram setiap km," katanya pada majlis pelancaran kedua-dua model itu baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Pengurusan Produk Mercedes-Benz Malaysia, Michael Chew.

Untuk model S 500 L BlueEFFICIENCY pula, ia didatangkan dengan enjin turbo kembar V8 yang dapat menghasilkan 435hp. Tork maksimum ialah 700Nm. Peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding model sebelumnya.

"Model ini menggunakan 9.3 liter petrol untuk 100 km. Pecutan dari 0 km kepada 100 km/j hanya mengambil masa lima saat. Kelajuan maksimum ditetapkan pada 250 km/j. Kadar emisi pula sebanyak 219 gram setiap km," jelas Schlickum.

Kamera infra merah


SKRIN lapan inci ini ditawarkan menerusi pakej hiburan barisan tempat duduk belakang.


Menyentuh mengenai aspek keselamatan, Schlickum memberitahu, model S-Class kini dilengkapi dengan kamera baru dan radar sistem pembantu pemandu, Speed Limit Assist, Attention Assist Drowsiness Detection dan Adaptive Highbeam Assist.

Kedua-dua model tersebut turut dilengkapi dengan ciri Night View Assist Plus menerusi kamera infra merah yang berupaya mengesan pejalan kaki pada waktu malam.

"Sejak diperkenalkan pada tahun 1951, Mercedes-Benz sudah menjual sebanyak 3.3 juta unit siri S-Class. Untuk pasaran tempatan, S-Class merupakan peneraju pasaran dengan mewakili 53 peratus pegangan dalam segmen tersebut.

"Pesaing terdekat kami ialah model 7 series BMW," akui Schlickum. Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya sudah menerima tempahan awal kira-kira 10 unit model S-Class, namun tidak memberikan pecahan model berkenaan.

Tahun lalu Mercedes-Benz Malaysia merekodkan jualan sebanyak 5,003 unit kenderaan, meliputi semua model dalam pasaran tempatan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 250 sehingga 300 unit merupakan model S-Class.

Sewaktu membentangkan produk S-Class, Chew menjelaskan semua model S 500 L BlueEFFICIENCY dilengkapi dengan pakej AMG Sport. Ia didatangkan sebagai pakej standard.

Antaranya termasuklah rim aloi bersaiz 20 inci, kit badan AMG, cakera depan lebih besar, pedal tahan karat sport dengan stad getah dan karpet lantai kereta AMG.

Kedua-dua model CKD berkenaan dipasang di kilang Mercedes-Benz yang terletak di Pekan, Pahang. Mercedes-Benz S 350 L BlueEFFICIENCY dan S 500 L BlueEFFICIENCY ditawarkan pada harga RM840,888 dan RM1,056,888 seunit.

Maklumat lanjut, sila layari laman www.mercedes-benz.com.my.

– SHAWKATH AZDE

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved