Isnin, 27 Jun 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Seronok berperang di Galactic Laser

Posted:

Seronok berperang di Galactic Laser

Seronok berperang di Galactic Laser

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my


LASER Tag menawarkan konsep peperangan indoor yang menggabungkan permainan video dan paintball.


LALUAN gelap dan suram di sekitar Planet Galactic itu kelihatan agak menggerunkan. Bagaimanapun Jolene Teh Xin Yuan dan pasukannya tetap meneruskan kemaraan mereka.

Lengkap bersenjatakan pistol, kesemua mereka mengatur langkah dengan berhati-hati. Misi mereka adalah membebaskan kembali planet itu yang kini dikuasai pasukan musuh.

Dalam kesamaran, matanya menangkap kelibat cahaya di kawasan kubu yang menjadi tempat persembunyian musuh.

Jolene mengarahkan pasukannya berpecah dan mengambil kedudukan masing-masing. Dia bertekad melakukan serang hendap.

"Serang!" katanya memberi arahan. Jeritan itu, disusuli bidikan laser berwarna hijau yang dilepaskan bertubi-tubi ke arah pasukan musuh.

Pasukan musuh yang panik cuba membalas serangan yang dilakukan. Kilauan cahaya laser berwarna merah dan hijau daripada muncung senjata kedua-dua pasukan memenuhi sekitar medan pertempuran.

Dalam keasyikan memburu musuh-musuhnya, Jolene tidak menyedari dia turut terkena tembakan. Secara automatik, sistem automatik pada baju elektronik dan pistolnya tidak berfungsi selama beberapa saat.

"Ala...kan dah kena tembak. Macam mana boleh tidak perasan tadi," ujarnya sambil menunggu sistem berkenaan dihidupkan semula.

Bagaimanapun, bunyi siren yang tiba-tiba berkumandang, mematikan langkahnya. Rupa-rupanya, tempoh 30 minit permainan yang dikenali sebagai Laser Tag itu sudah pun tamat.

Biarpun agak kepenatan, kepuasan jelas tergambar di wajah kanak-kanak berusia 10 tahun itu tatkala meninggalkan kawasan medan pertempuran.

"Saya seronok mencubanya, biarpun permainannya tampak mudah, namun ia tetap menguji kekuatan mental dan fizikal.

"Ia bukan sekadar aksi bertempur atau tembak-menembak sahaja, malah peserta juga belajar bagaimana mengatur strategi dan menyelesaikan misi-misi tertentu bagi menewaskan pasukan musuh," katanya yang menetap di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Berkonsepkan peperangan berorientasikan alam futuristik, Laser Tag merupakan antara tarikan utama pengunjung ke Galactic Laser yang terletak di Tingkat Tiga, Mid Valley Megamall di sini.

Ruang seluas 510 meter persegi (5,500 kaki persegi) setinggi tiga tingkat itu sengaja direka dengan pelbagai halangan umpama sebuah medan peperangan bagi membolehkan peserta bersembunyi, melakukan serangan, bertahan di kubu dan sebagainya.

Permainan video dan paintball


BARISAN kakitangan Galactic Laser yang sentiasa ramah menyambut kehadiran pengunjung..


Menurut Pengarahnya, Nick Yau, permainan indoor yang semakin popular dalam kalangan warga kota itu menggunakan teknologi laser yang diimport dari Australia.

"Cahaya infra merah jalur lebar yang digunakan lazim digunakan di dalam alat kawalan jauh peranti rumah, pastinya ia selamat dan tidak membahayakan," katanya.

Katanya, Laser Tag menggabungkan dua konsep berbeza iaitu permainan video dan sukan paintball dalam satu permainan.

"Inilah tarikan utama permainan ini, ia boleh dimainkan secara individu atau berpasukan. Biarpun agak lasak, namun ia tetap menghiburkan melalui elemen interaktif yang dipaparkan dan sesuai untuk semua peringkat usia dan jantina," katanya.

Tambah Nick, sebelum sesi permainan dimulakan, setiap peserta akan dibawa melihat tayangan video yang menerangkan arahan dan peraturan permainan.

"Selepas itu mereka akan diberikan baju elektronik dan pistol laser sebelum dibahagikan kepada pasukan masing-masing mengikut warna lampu yang tertera bahu dan badan mereka.

"Setiap siri permainan memberikan pengalaman yang berbeza kerana setiapnya telah diprogramkan untuk memberikan cabaran pada peserta dengan tahap tertentu," jelasnya.

Seperti bermain permainan video, setiap pasukan akan bertempur sesama sendiri bagi mencapai objektif dan misi yang ditetapkan pada awal permainan.

Ujar Nick, sistem pada baju elektronik yang dipakai peserta akan dihubungkan dengan signal khas untuk merekodkan data permainan terus ke dalam komputer.

Data berkenaan akan merekodkan jumlah mata yang berjaya dikutip sepanjang permainan dan akan dipaparkan sebaik sahaja ia tamat.

Pasukan yang menang akan dikira melalui jumlah tembakan terhadap lawan.

"Daripada situ peserta berpeluang menilai sejauh mana prestasi mereka. Menariknya, jumlah mata yang dikutip boleh disimpan dalam kad khas untuk mendapatkan meningkatkan keupayaan dan persenjataan mereka dalam permainan pada masa hadapan," jelas Nick.

Di samping tarikan permainan laser, Nick memberitahu Galactic Laser juga menawarkan pelbagai hiburan kepada pengunjung seperti meja pool, foosball dan permainan arked.

"Malah ia juga dilengkapi kafe yang mampu memuatkan sehingga 100 pengunjung di samping dua bilik serbaguna memuatkan antara 30 hingga 50 pengunjung," katanya.

Bagi Mohd. Izwan Alias, 16, biarpun sering bermain sukan paintball sebelum ini dia tetap teruja dengan tarikan dan keunikan yang ditawarkan di dalam Laser Tag.


GALACTIC Laser turut menawarkan pelbagai permainan arked yang terkini dan menghiburkan.


"Konsep indoor serta futuristik yang diterapkan masih baru di negara ini, namun ia tetap mencabar daripada segi halangan dan pelbagai misi yang tawarkan.

"Apa yang lebih penting katanya, permainan itu juga lebih selamat, memerlukan masa yang singkat di samping tidak mengotorkan pakaian," katanya.

Jelas pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah, Kuala Lumpur itu, Laser Tag tampak lebih santai tanpa sarat dengan pelbagai peralatan keselamatan, senjata dan peluru seperti dalam paintball.

"Tidak hairanlah ia boleh dimainkan sesiapa sahaja sekadar menghabiskan masa lapang mereka. Selepas puas bermain mereka boleh meneruskan aktiviti lain seperti membeli-belah atau menonton wayang di sekitarnya," ujarnya.

Sementara itu, Madhavi Johsi, 40, pula berkata, Galactic Laser merupakan pusat hiburan yang sesuai untuk aktiviti keluarga.

Wanita yang berasal dari Mumbai, India itu memberitahu, kehadiran keluarganya ke situ ialah bagi meraikan sambutan majlis hari jadi anaknya, Nidhi Jothi, 10.

"Kami selesa memilih lokasi ini kerana ia lengkap dengan pelbagai kemudahan yang ditawarkan dengan kadar pakej yang berpatutan.

"Di samping meraikan sambutan hari jadi, anak-anak dapat saya dapat bergembira bersama rakan-rakannya dengan pelbagai permainan hiburan yang disediakan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Gerbang perkahwinan di Hotel Permai

Posted:

Gerbang perkahwinan di Hotel Permai

Gerbang perkahwinan di Hotel Permai

Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my


MOHD. FAEIZ dan Siti Maliani menunaikan impian mereka untuk menaiki kuda semasa majlis resepsi mereka.


CINTA miss call. Itu mungkin rangkap yang paling sesuai digambarkan untuk kisah perkenalan pasangan pengantin baru Mohd. Faeiz Che Johari, 28, dan Siti Maliani Abdullah, 28, kira-kira tujuh tahun lalu.

Sekalipun dipisahkan oleh jarak kira-kira 360 kilometer, namun jodoh mereka telah ditakdirkan berakhir di jenjang pelamin.

Kisahnya bermula apabila rakan baik pasangan itu menggunakan telefon bimbit Mohd. Faeiz yang ketika itu berlajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor dan membuat satu miss call kepada Siti Maliani.

Namun, reaksi Siti Maliani yang ketika itu belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menghubungi semula nombor Mohd. Faeiz telah memulakan episod cinta mereka.

Bermula dengan memarahi Mohd. Faeiz, pasangan itu akhirnya dipanjangkan melalui sapaan demi sapaan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS). Perkenalan menjurus kepada persahabatan dilanjutkan dengan pertemuan beberapa bulan kemudian sebelum hati masing-masing mula bertaut.

Enggan terlalu lama berkawan, mereka kemudian bersetuju untuk serius dalam perhubungan dua tahun kemudian.

Penamat hubungan sebagai pasangan kekasih merpati dua sejoli itu berakhir melalui satu lafaz akad nikah di Masjid Hadhari, Jerteh, Terengganu pada 4 Jun lalu dengan restu keluarga kedua-dua belah pihak.

Namun, kedua-dua mempelai mempunyai impian sama pada hari persandingan iaitu untuk diarak dengan kereta kuda. Hasrat itu direalisasikan Hotel Permai, Kuala Terengganu melalui satu pakej perkahwinan yang istimewa.

Dengan tema biru laut dan krim, pasangan sedondon itu disambut di perkarangan hotel dengan paluan kompang dan majlis dimulakan dengan bacaan doa dan selawat sebelum kedua-dua mempelai disandingkan di atas pelamin gah.

Menurut Mohd. Faeiz, walaupun isterinya agak garang namun, di sebalik ketegasan tersebut pegawai tadbir sebuah institusi pengajian tinggi awam itu sebenarnya mempunyai sifat keibuan dan manja.


PELAMIN yang ditata rias penuh indah oleh Hotel Permai.


"Saya pula menyenangi suami sebab dia seorang yang bertanggungjawab dan patuh kepada orang tua. Tetapi ingat, dia bukan 'anak emak'," ujar Siti Maliani pada majlis persandingan mereka di Hotel Permai pada 10 Jun lalu.

Pakej Perdana Sari

Sementara itu, menurut Mohd. Faeiz yang juga seorang pengusaha sebuah stesen minyak di Kuala Terengganu, beliau memilih lokasi itu kerana sudah lama bekerjasama dengan hotel berkenaan.

"Servis yang diberikan baik dan kami berpuas hati dengan majlis yang diadakan di sini kerana impian terbesar kami untuk diarak dengan kereta kuda dapat dipenuhi.

"Konsep yang kami ingini juga dapat dilakukan oleh perancang perkahwinan di sini dan kerjasama yang diberikan oleh pihak hotel sangat memuaskan," katanya.

Jelasnya lagi, melalui pakej Perdana Sari yang ditawarkan hotel itu, dia hanya membelanjakan kira-kira RM50,000 dengan tambahan nilai suite pengantin, kompang serta pilihan makanan yang enak.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Hotel Permai, Azman Ali memberitahu, pakej Perdana Sari ialah salah satu pakej yang baru diperkenalkan hotel berkenaan untuk majlis perkahwinan.

Katanya, harga bagi pakej tersebut ialah RM95 untuk satu kepala.

Dua lagi pakej yang turut ditawarkan ialah pakej Cempaka Sari pada harga RM75 seorang tetamu dan pakej Intan Sari pada harga RM65 untuk satu tetamu.

"Bagi kesemua pakej ini, kita akan sediakan juga secara percuma penanggah, suite pengantin dan juga pasukan kompang. Kereta kuda pula hanya akan disediakan untuk pakej Perdana Sari," katanya.

Tambahnya, pilihan lain akan turut diberikan kepada pengantin termasuk mengadakan majlis perkahwinan berhampiran kolam renang dan restoran yang boleh memuatkan kira-kira 300 tetamu.



Di kawasan kolam renang kita ada hiasan landskap terdiri daripada tanaman untuk menambahkan seri majlis perkahwinan yang ada di sini.

Menurut Azman, Hotel Permai bersedia mengikut kemahuan pelanggannya dan tidak terlalu terikat dengan pakej.

"Kita fleksibel dengan kemahuan pelanggan dan mereka boleh mengimpikan dan merealisasikan majlis yang diingini di sini," katanya.

Satu lagi tawaran menarik menurut Azman, rombongan pengantin juga boleh menginap di hotel berkenaan pada harga potongan 50 peratus.

"Seberapa ramai pun rombongan yang ingin menginap di sini kita akan beri separuh harga, tetapi ia bergantung kepada kekosongan bilik yang ada di sini," katanya.

Katanya, mereka yang berminat untuk mengetahui mengenai pakej perkahwinan yang disediakan Hotel Permai boleh hubungi talian 09-6222 122 atau melayari laman web www.permaihotelkt.com.my.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Gourment istimewa Urban

Posted:

Gourment istimewa Urban

Gourment istimewa Urban


RUANG dalam Restoran Urban Hotel Istana yang kontemporari dan selesa untuk menyambut tetamunya.


KELAZATAN saat menikmati souffle panas yang baru dikeluarkan dari ketuhar sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Ditambah dengan hidangan beri dan aiskrim mapel dalam pinggan yang sama, pengalaman sajian pencuci mulut itu memang sungguh luar biasa.

Jadi bukanlah menghairankan apabila Chef De Cuisine Restoran Urban Hotel Istana Kuala Lumpur, Sharumizal Salleh memberitahu, kebanyakan pengunjung wanita yang datang ke restoran itu kerana mahu menikmati keenakan pencuci mulut.

"Selain souffle dengan beri dan aiskrim mapel, antara pencuci mulut yang menjadi kegemaran di sini termasuklah chocolate lava gateaux dengan aiskrim coklat, strawberi millefeuille dengan vanila kastard dan epal crumble dengan vanila aiskrim Madagascan, kacang tanah dan serbuk badam," ujar beliau dalam sesi reviu sajian di Restoran Urban di hotel itu baru-baru ini.

Ditemani rakannya, Chef Al Fitri Shah Al Bakri, 'penghulu' dapur Restoran Urban tersebut sebenarnya menawarkan lebih daripada sajian pencuci mulut yang ekstravaganza.

Ini kerana terdapat 15 jenis seleksi sajian pembuka selera yang pasti membuat anda rambang mata memilihnya.

Tidak cukup dengan itu, sajian utamanya pula membariskan 13 menu yang direka cipta hasil kreativiti kedua-dua chef berkenaan. Menambahkan lagi kehebatan sajian dari dapur Restoran Urban ialah empat sajian gourmet istimewa.

Sekadar menyebut beberapa hidangan pembuka selera yang wajib dicuba termasuklah salmon bersama avocado lenyek, rusuk kambing Australia dan kekapis dengan creamy tagliatelle leek foundue serta chervil nage.


STRAWBERI MILLEFEUILLE DENGAN VANILA KASTARD


Meja media tengah hari itu dilimpahi dengan beberapa sajian utama, satu sajian gourmet istimewa dan enam sajian pencuci mulut yang dicadangkan kedua-dua chef.

Antara yang hidangan yang menarik deria rasa penulis termasuklah sajian utama tuna stik, dada ayam diperap dengan balsamic shallots, black morels dan orange cinnamon jus, daging batang pinang dengan vanila, keju ravioli, rosti dan sos thyme segar.

Merasa sajian udang karang yang mencair dalam mulut juga pasti membuatkan sesiapa ingin menikmatinya tanpa henti.

Kesemua sajian di Restoran Urban Hotel Istana ditawarkan dalam dua set istimewa. Bagi set pertama anda boleh menikmati pembuka selera, sajian utama dan pencuci mulut pada harga RM135, manakala untuk set kedua anda boleh mendapatkan hidangan pembuka selera, gourmet istimewa dan pencuci mulut pada harga RM175.

Semua hidangan itu turut merangkumi kopi dan teh. Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi talian 03-2141 9988 sambungan 3691 atau e-mel urban@hotelistana.com.my.

– ZAMRI RAMBLI

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved