Kosmo Online - Infiniti |
- Barang dihantar ke depan pintu rumah
- Kaviar jadi buruan, sturgeon hampir pupus
- Kisaran ais halus sempurna
Barang dihantar ke depan pintu rumah Posted: Barang dihantar ke depan pintu rumahOleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM SENARIO seperti kekangan masa kerana sibuk bekerja, menguruskan keluarga dan tuntutan harian yang memenatkan sudah menjadi asam garam kehidupan masyarakat kota hari ini. Itu belum ditambah lagi dengan masalah kesesakan jalan raya, kesukaran mencari parkir atau barisan di kaunter yang terlalu panjang. Kerana itu, bukanlah menghairankan apabila budaya beli-belah barangan runcit warga kota hari ini semakin berubah. Sambil duduk di rumah melayan anak-anak atau menonton TV, dengan satu klik di internet sahaja selepas beberapa jam barangan yang dibeli akan tiba di depan pintu rumah. Itulah antara perubahan gaya hidup dan budaya beli-belah yang dibawakan Doorstep Retails Sdn. Bhd. Syarikat itu telah membangunkan laman web www.doorstep.com.my dalam menawarkan dan menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan keperluan harian rumah sehingga ke pintu pengguna. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ragavan P. Nair berkata, laman web berkenaan dibangunkan untuk memberi platform alternatif kepada pengguna bagi mendapatkan barangan keperluan harian rumah mereka. "Kebanyakan masyarakat hari ini mempunyai gaya hidup yang agak sibuk dan tidak mempunyai masa berkualiti untuk membeli barangan keperluan harian rumah mereka. "Justeru itu, laman web ini akan dapat membantu memudahkan pengguna kerana mereka tidak perlu lagi keluar rumah mendapatkan produk sebaliknya hanya melayari alam maya dan produk akan dihantar ke rumah atau pun pejabat," katanya kepada Kosmo!. Pada mulanya, Ragavan menambah, laman web tersebut hanya menawarkan produk barangan korporat terutamanya dalam industri hotel, institusi kewangan, hospital, syarikat telekomunikasi dan televisyen. Bagaimanapun, melihat sambutan yang diberikan segmen tersebut amat positif, ia telah dikembangkan kepada pasaran pengguna pada tahun lalu. RAGAVAN (kiri) dan Shiamala memerhatikan laman web doorstep.com.my yang menjadi salah satu platform budaya beli-belah baru di alam maya. "Terdapat 5,000 produk pengguna manakala lebih 1,000 produk korporat pada harga kompetitif yang boleh dipilih pengguna apabila melayari laman web ini. "Antara kategori produk yang ditawarkan kepada pengguna termasuk makanan sejuk beku, sayur-sayuran, buah-buahan, penjagaan diri, barangan runcit dan banyak lagi," katanya. Selain daripada itu, dia memberitahu, terdapat juga kategori produk import daripada negara Jepun, Korea, India, Eropah dan Timur Tengah. Katanya, produk-produk yang terdapat dalam laman web tersebut akan sentiasa dikemaskini secara berperingkat-peringkat untuk memenuhi permintaan pengguna. "Saya juga berharap pembangunan laman web ini dapat membantu pengusaha industri kecil sederhana (IKS) tempatan. "Ini kerana melalui laman web produk yang dihasilkan mereka dapat diperluaskan dengan lebih mudah dan berkesan," ujarnya. Penghantaran setiap hari Dalam pada itu, Ragavan menambah, pengguna hanya perlu membuat pembelian minimum sebanyak RM100 sahaja, manakala caj penghantaran pula dikenakan dari RM1 sehingga RM5. Apa yang menarik tentang laman web itu katanya, pengguna boleh mendapatkan produk-produk tersebut setiap hari. Buat masa ini, Ragavan memberitahu, penghantaran barangan hanya dilakukan di Lembah Klang. Katanya, pengguna boleh menentukan slot masa penghantaran ataupun mengikut jadual dikeluarkan untuk memudahkan lagi pengguna dalam pembelian barangan secara dalam talian. "Penghantaran akan dibuat dari pukul 10 pagi hingga 10 malam bagi produk barangan pengguna. Penghantaran barangan korporat pula dilakukan dari pukul 9 hingga 6 petang. "Pengguna boleh membuat bayaran menggunakan beberapa kaedah termasuk pembayaran secara tunai, kad kredit, kad debit atau melalui perbankan internet," ujarnya. Laman web yang mesra pengguna itu hanya memerlukan mereka mendaftar secara percuma dan memilih produk serta masa penghantaran yang diingini. Setiap kali tempahan dan penghantaran produk dilakukan, e-mel akan dihantar secara automatik untuk memudahkan semakan dilakukan mereka. TENAGA kerja Doorstep Retail sibuk memunggah barang untuk diagihkan kepada pelanggan. Sementara itu pengarahnya, Datin Shiamala Arumugam memberitahu, promosi turut diadakan setiap bulan untuk memberi faedah kepada pengguna. "Melalui promosi ini pengguna akan dapat membeli produk pada harga istimewa sekali gus menguntungkan mereka dalam pembelian dalam talian. "Kita akan sentiasa menukar produk promosi untuk memberi pilihan kepada pengguna dalam pembelian mereka," ujarnya lagi. Dalam pada itu Shiamala berkata, terdapat beberapa kelebihan membuat pembelian dalam talian terutamanya produk barangan keperluan harian rumah. "Ia membantu pengguna membuat perbelanjaan produk keperluan harian dengan lebih berhemah kerana terdapat harga dipaparkan dalam laman web berkenaan. "Pengguna juga dapat membantu memulihara alam sekitar apabila penghantaran yang dilakukan tidak menggunakan beg plastik," katanya. Ujarnya lagi, penjimatan penggunaan bahan api turut dapat dilakukan oleh pengguna kerana mereka tidak perlu memandu untuk mendapatkan produk sekali gus membantu mengurangkan pencemaran. Katanya, pengguna juga dapat mengatur masa mereka dengan lebih mudah kerana tidak perlu meredah kesesakan lalu lintas dan sebagainya. Menyentuh mengenai perancangan masa hadapan Ragavan menambah, dia bercadang mengembangkan lagi lokasi penghantaran ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat. "Kita juga sedang dalam perancangan untuk membangunkan kategori baru pusat beli-belah alam maya yang menawarkan pelbagai produk kepada pengguna," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Kaviar jadi buruan, sturgeon hampir pupus Posted: Kaviar jadi buruan, sturgeon hampir pupusKAVIAR hitam paling banyak berasal dari telur ikan sturgeon laut Kaspia di Azerbaijan, Iran, Rusia dan Kazakstan. STURGEON merupakan sejenis ikan bersaiz besar daripada keluarga Acipenseridae yang dikatakan telah hidup sejak zaman dinosaur lagi apabila fosil tertua yang dijumpai bertarikh 200 juta tahun. Terdapat lebih kurang 26 jenis spesies termasuk genera Acipenser, Huso, Scaphirhynchus dan Pseudoscaphirhynchus. Haiwan purba itu hanya hidup di lembangan sungai besar, tasik-tasik, perairan pantai dan laut dalam di kawasan hemisfera utara sahaja. Antara negara-negara tersebut termasuklah Azerbaijan, Bulgaria, Iran, Rusia dan negara Eropah dan utara Amerika. Rupanya kelihatan seperti ikan keli tetapi, bersaiz besar sehingga boleh mencapai panjang 5.5 meter bergantung kepada jenis spesies. Usianya pula amat panjang sehingga boleh mencapai 150 tahun dan ada sesetengah sturgeon seberat 150 kilogram apabila sudah matang. Sturgeon sentiasa diburu untuk mendapatkan telurnya untuk dijadikan kaviar. Kaviar merupakan sejenis makanan yang diklasifikasi sebagai gastronomi mewah kerana harganya boleh mencecah sehingga RM150,000. Walaupun mahal, ia sentiasa mendapat permintaan tinggi. Disebabkan nilai pasarannya, pemburuan haram sturgeon berlaku secara tidak terkawal terutama di Laut Kaspian apabila keruntuhan Kesatuan Soviet. Laut Kaspian yang bersempadan dengan Republik Islam Iran dikatakan mempunyai hampir enam jenis spesies sturgeon dan antara sumber kaviar yang bermutu tinggi. Tambahan pula, selepas keruntuhan republik sosialis itu, tiada sistem pengawalan dan pengurusan yang sistematik dalam menuai hasil ikan tersebut dijalankan di sana. Tangkapan yang tidak terkawal dan sifat sturgeon yang sangat lambat dewasa telah meletakkan haiwan tersebut di ambang kepupusan. Faktor-faktor lain yang menyumbang risiko kepupusannya adalah haiwan itu hanya akan mencapai usia matang untuk membiak pada usia yang lewat. Selain itu, kegiatan manusia bagi mengejar arus kemodenan juga menyebabkan kemusnahan dan pencemaran habitat asli binatang tersebut. Usaha SAINTIS dan penduduk kampung Tamadau berganding bahu memastikan GPS dapat dipasang pada seekor sturgeon. Pelbagai tindakan telah diambil bagi memastikan kelangsungan spesies tersebut dengan tidak membuat tangkapan yang melebihi kapasiti pembiakannya. Usaha menyelamatkan sturgeon mendapat sambutan dan pada mesyuarat ke-10 oleh Conference of the Parties (COP) di Harare, Zimbabwe pada tahun 1997. Ahli-ahli COP bersetuju untuk mengawal setiap aktiviti perdagangan yang melibatkan ikan sturgeon di peringkat antarabangsa. Setiap bahagian ikan tersebut seperti kaviar, daging, kulit dan lain-lain yang memasuki pasaran perlu memiliki permit atau sijil pengeluaran yang sah oleh CITES. CITES merupakan sebuah badan yang mengawal perdagangan melibatkan flora dan fauna yang berdepan bahaya kepupusan. Sistem itu direka bagi memastikan setiap penghantaran hasil produk sturgeon dapat direkod dan dikawal serta tempat asal ikan tersebut dapat dikesan. Menurut perangkaan Kesatuan Pemuliharaan Sedunia (IUCN), lebih 85 peratus spesies ikan sturgeon berdepan risiko kepupusan dan menjadikan ia sebagai haiwan yang paling terancam. Selain usaha-usaha yang dilakukan oleh badan-badan antarabangsa bagi menyelamatkan sturgeon daripada pupus, sebuah projek kolaborasi Romania-Norway diadakan pada 16 Mei lalu. Projek yang diadakan di kampung Tamadau yang terletak 40 kilometer dari timur Bucharest, Romania itu bertujuan mengkaji cara hidup dan habitat sturgeon. Sebanyak enam ekor sturgeon dewasa telah dipasang alat Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) pada bahagian ekor bagi memantau pergerakan mereka ke habitat semula jadi mereka. Kemudian, ikan-ikan tersebut dilepaskan ke sungai Danube yang merupakan sungai kedua terbesar di benua eropah serta menjadi sempadan kepada 10 buah negara. Sungai Danube juga merupakan salah satu habitat sturgeon dan dengan pemasangan GPS itu, para penyelidik dapat mengetahui laluan biasa perjalanan ikan berkenaan. Usaha tersebut juga diharap dapat mengkaji corak dan jenis makanan serta cara ikan tersebut membiak. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Kisaran ais halus sempurna
MENEGUK secawan hidangan minuman ais kisar tentu sekali akan memberi kepuasan dan kelegaan terutamanya tatkala mengharungi cuaca panas terik. Apatah lagi apabila hidangan ais yang dikisar begitu halus memasuki rongga kerongkong sehingga mendinginkan tubuh. Bagi memudahkan lagi penggemar minuman itu membikin ais kisar kegemaran mereka, syarikat pengeluar rangkaian peralatan elektrik terkemuka Eropah, Electrolux memperkenalkan tiga model pengisar terbaru iaitu Cruzo EBR2001, Cruzo EBR2501 dan Cruzo EBR2601. Dengan menggunakan pengisar terbaru itu, ia dapat memberi kepuasan kepada pengguna apabila hidangan ais kisar boleh dicampur pelbagai perasa kegemaran sekali gus menambah ikatan kekeluargaan. Selain daripada itu, produk terbaru yang mempunyai teknologi tinggi tersebut juga amat sesuai digunakan untuk menyediakan minuman bua-buahan segar. Model EBR 2001 yang didatangkan bersama jag plastik 1.25 liter turut mempunyai motor berkuasa 400 Watt dengan kawalan dua kelajuan dalam memberi hasil terbaik kepada pengguna. Bagi model EBR2501 dan EBR2601 yang mempunyai kapasiti 1.5 liter pula dilengkapi motor 500 Watt dalam memberi kelajuan optimum bagi menghasilkan tekstur kisaran sempurna dan lembut. Kesemua model Cruzo itu mempunyai ciri-ciri istimewa dari segi keselamatan, kemudahan dan prestasi optimum dalam memberi keselesaan kepada pengguna. Dari segi keselamatan, ia dilengkapi sistem perlindungan keselamatan yang berupaya memastikan penutup jag tidak mengalami kebocoran. Bagi memastikan jag tidak bergerak semasa digunakan kesemua pengisar itu mempunyai fungsi mengunci agar tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna. Dalam pada itu, rangkaian pengisar Cruzo berkenaan turut dilengkapi dengan pemotongan elektrik secara automatik jika ia terlalu panas bagi melindungi motor daripada rosak. Reka bentuk menarik dan kecil menjadikan pengisar mesra pengguna itu mudah disimpan serta dibasuh apabila digunakan. Ia juga mempunyai bilah keluli yang tahan karat dan mudah ditanggalkan untuk memastikan setiap kisaran menjadi rata. Kesemua model terbaru itu boleh dibeli pada harga RM120 hingga RM198. Untuk keterangan lanjut mengenai rangkaian Cruzo boleh melayari laman web www.electrolux.com.my. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Infiniti To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan